Ke mana hala tuju selepas Ramadan?
Ramadan telahpun meninggalkan kita, wajarlah bagi kita
untuk memeriksa kembali perjalanan Ramadan yang dilalui pada tahun ini
agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Inilah
saatnya kita memecutkan momentum ibadah yang dilaksanakan, agar matlamat
sebenar daripada tarbiyah Ramadan ini dapat dicapai dengan sempurna.
Ayuh, kita muhasabah diri bersama. Ketakwaan sebagai manifestasi
akhir latihan dalam bulan Ramadan. Apakah Ramadan ini berhasil untuk
meningkatkan ketakwaan dan keimanan kita selepas ini? Apakah mampu,
momentum ibadah dalam bulan mulia ini diteruskan untuk bulan-bulan akan
datang? Atau ia akan berakhir begitu sahaja setelah bergemanya takbir
Hari Raya sebagai tanda kemenangan?
Berpuasa bukan sekadar memelihara perkara yang dilarang secara
fizikal serta menjaga adab-adab berpuasa tetapi juga menuntut kita
berjuang memelihara daripada aspek rohani. Jadi, kedua-dua aspek ini
perlu digabung jalin untuk menjadikan Ramadan ini sebagai satu madrasah
dalam mendidik hati kita untuk bulan-bulan seterusnya. Sewajarnya, kita
tidak mahu beranggapan bahawa Ramadan ini sebagai bulan untuk mengikat
nafsu hanya buat sementara waktu.
Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW pernah memperingatkan umatnya tentang
kepincangan puasa yang bermaksud: Berapa ramai orang yang berpuasa,
namun tidak mendapatkan apa-apa selain lapar, dan berapa banyak orang
yang solat di tengah malam tidak mendapatkan apa-apa, selain berjaga
malam sahaja." (Hadis riwayat Nasaie )
Sudahkah kita berjaya menamatkan separuh masa pertama dengan
pengisian yang terbaik? Mengekang nafsu, memperjuangkan semangat yang
berkobar-kobar dalam mengerjakan solat fardu, tarawih serta solat-solat
sunat lain? Atau , adakah ia hanya sekadar ikut-ikutan yang mahu
memeriahkan Ramadan. Bersemangat pada awalnya tetapi tumbang menjelang
akhirnya. Tanpa kita menginsafi dan menyedari daripada lubuk hati
sendiri tentang kepentingan dan keutamaan ibadah dalam bulan Ramadan
bagi mereka yang mahu merebutnya.
Ramadan semakin berakhir. Masjid dan surau semakin sepi. Barang kali
kita berputus asa kerana gagal melihat sesuatu yang bernilai di hadapan.
Kita tidak nampak hasil yang diperolehi daripada pecutan ibadah yang
dilakukan dek kerana nilaian manusia itu kerap kali berdasarkan
penilaian mata kasar bukannya mata hati.
Seandainya ketika Ramadan, ibadah ditambah nilai dengan mengerjakan
ibadah sunat, bertadarus al-Quran, bersedekah, menjauhi tingkahlaku yang
tidak bermanfaat seperti mengumpat dan berbohong serta aktiviti
berfaedah lain, maka apakah setelah berakhirnya Ramadan, ia terus giat
diamalkan atau sebaliknya? Justeru, laluan Ramadan yang masih tinggal
ini, seharusnya menjadi kayu pengukur kepada amalan dan perbuatan yang
telah kita lakukan dan akan lakukan selepas ini.
Wajarlah kisah yang terakam dalam hidup Imam Malik bin Anas yang
menangis ketika hendak berbuka puasa menjadi pedoman. Ketika ditanya
oleh muridnya, beliau berkata: Aku sedih melihat makanan yang banyak
kerana terkenangkan Rasulullah SAW. Baginda berbuka dengan makanan yang
sedikit tetapi amalannya banyak. Sedangkan aku berbuka dengan makanan
yang banyak, tetapi amalanku cuma sedikit."
Bagaimana pula dengan puasa kita pada hari ini? Tidak cukup dengan
beraneka jenis makanan, dijamu dengan bufet Ramadan di restoran dan
hotel mewah, ditambah lagi dengan juadah di bazar Ramadan yang
sememangnya menyuntik nafsu yang sedang kelaparan. Kita sebenarnya mewah
dengan makanan tapi kita miskin untuk menjiwai nilai ibadah.
Tidak menjadikan makan sebagai ibadah tetapi diletakkan sebagai
tumpuan dan habuan sepanjang hari berpuasa. Setelah kekenyangan berbuka
puasa, sudah tidak mampu mengerjakan ibadah tarawih apatah lagi
memanfaatkan 10 malam terakhir ini untuk beribadah.
Akhirnya, ia berlalu begitu saja akibat daripada nafsu yang tidak
dapat dikekang. Sungguh, terlalu jauh untuk membandingkan puasa kita
dengan ulama terdahulu apatah lagi insan teragung Rasulullah SAW. Namun,
ia boleh dijadikan pengukur untuk memperbaiki puasa kita agar nanti ia
memberi kesan yang baik bukan setakat untuk nilai kesihatan tetapi juga
nilai rohani kita selepas melalui Ramadan ini.
Namun, ada juga sesetengah golongan yang masih bersederhana di bulan
Ramadan dalam menikmati makanan seperti mana yang dituntut dalam Islam.
Adakah amalan tersebut mampu diteruskan selepas Ramadan ditambah lagi
dengan kehadiran Syawal yang dianggap sebagai puncak pesta makanan?
Seringkali ramai yang tewas begitu sahaja walaupun mendapat
pentarbiyahan semasa di bulan Ramadan.
Akhirnya, mereka makan secara berlebihan kerana membalas dendam
setelah sebulan berpuasa. Natijahnya, hadis Nabi SAW yang bemaksud
berpuasalah, nescaya kamu menjadi sihat" hanya tinggal harapan
disebabkan oleh sikap umat Islam itu sendiri yang tidak mengikuti
lunas-lunas yang digariskan dalam Islam. Puasa tidak lagi mampu
menyihatkan malah memudaratkan.
Puasa tidak lagi relevan untuk mengurangkan masalah obesiti malah
merumitkan. Setelah berpuasa sebulan, badan telah dapat menerima keadaan
tersebut. Metabolisme menjadi rendah. Oleh itu, berat badan mudah
meningkat apabila diberikan makanan secara mengejut selepas berakhirnya
Ramadan. Justeru, amalan berpuasa enam di bulan Syawal adalah anjuran
yang terbaik agar badan dapat menerima keadaan tersebut secara
perlahan-lahan. Maka, seharusnya berwaspadalah kita dalam pengambilan
makanan semasa di bulan Syawal kerana ia mampu meningkatkan berat badan
secara mendadak.
Oleh itu, Ramadan yang masih berbaki ini, seharusnya dijadikan medan
muhasabah tentang amalan pemakanan kita. Adakah selama tempoh Ramadan
ini telah mampu membuatkan kita benar-benar menghargai nilai kesihatan
atau sebaliknya? Adakah mampu untuk kita kekalkan pemakanan secara
bersederhana demi menjaga tuntutan kesihatan dan bertenaga untuk
beribadat kepada Allah dalam mencari keberkatan Lailatulqadar?
Di bulan Ramadan, kita berpuasa selama sebulan, wajarlah kita melatih
diri untuk berpuasa sunat di bulan-bulan seterusnya. Kita cuba untuk
menghabiskan bacaan 30 juzuk al-Quran pada bulan ini, maka perlu
diusahakan pada hari-hari mendatang untuk membaca dan memahami kandungan
setiap lembaran al-Quran. Jika kita rajin mendirikan solat tarawih,
solat tahajud dan lain-lain pada bulan ini, seharusnya pada malam-malam
seterusnya kita mampu meringankan diri untuk mengerjakan qiyamullail.
Di bulan ini kita memperbanyakkan sedekah, Insya-Allah di bulan-bulan
lain juga kita dapat menghulurkan sebahagian rezeki yang kita miliki.
Dengan kata lain, perindahkan amalan di bulan Ramadan sebagai titik
permulaan ke arah kehidupan yang lebih baik.
Apakah Ramadan yang kita lalui ini bakal memberikan impak yang besar
dalam kehidupan kita atau sebaliknya. Semuanya tidak mampu memberikan
jawapan pasti kerana kita hanya ada masa sekarang untuk membuat tindakan
dan perhitungan. Dan masa sekarang itulah yang hanya beberapa hari
sahaja lagi, apakah masih ada ruang untuk kita berlengah-lengah? Maka,
insafilah diri, rebutlah peluang ini kerana kita tidak mampu
mengandaikan masih adakah lagi masa untuk kita mengecapi Ramadan pada
tahun hadapan.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik
Pusat Sains dan Teknologi,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
http://nowwhytwo.wordpress.com
Comments
Post a Comment