KHUTBAH JUMAAT 7 SEPT 2012




Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

KESETIAAN KEPADA PEMERINTAH
(7 SEPTEMBER 2012 / 20 SYAWAL 1433H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk khutbah pada hari ini: KESETIAAN KEPADA PEMERINTAH.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW sebagai pemimpin ummah dan bertindak sebagai ketua negara telah memberi penekanan khusus dalam membimbing umatnya dengan cara menggesa mereka sentiasa berakhlak mulia, taat beribadah kepada Allah, taat kepada pemimpin dan mencintai negara. Bimbingan ini akan menentukan mereka menjadi ummah yang terbaik yang mendapat pengiktirafan daripada Allah SWT di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: Sesungguhnya tiada nabi selepasku dan tiada umat selepas kamu, Demi sesungguhnya beribadatlah kamu kepada tuhan kamu, tunaikan solat lima waktu, berpuasalah pada bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat hartakamu dengan ikhlas hati kamu dan taatilah pemerintah-pemerintah kamu nescaya kamu akan masuk syurga tuhan kamu. (Riwayat al-Tirmizi)

 Menurut pandangan Ibnu Hajar al Makky al Haitamy seorang ulama yang terkenal bahawa: Antara dosa-dosa besar ialah mensyirikkan Allah SWT, membunuh manusia, makan harta anak yatim, menuduh seseorang berzina, menderhaka kepada kedua ibu bapa, makan riba dan membatalkan kesetiaan kepada pemerintah. Imam Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim menyatakan: Menderhaka kepada pemerintah dan memerangi mereka, maka hukumnya haram. Termasuk dalam perbuatan derhaka ialah membantah tanpa mengikut saluran yang sah. Apa-apa keputusan pemerintah yang dibuat berasaskan kuasa yang diberikan kepada mereka dalam menjalankan urusan pentadbiran negara.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Berdasarkan kepada i’tiqad Ahlus Sunnah wal-Jama’ah adalah menjadi satu tuntutan  mentaati dan menghormati pemerintah. Ketaatan yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada Pertama: Mentaati mereka dalam urusan kebaikan (ma’ruf), termasuk merealisasikan perintah mereka yang ma’ruf dan membantu mereka dalam urusan kebaikan yang diperlukan, Kedua: Menghormati dan memuliakan kedudukan mereka sebagai pemimpin serta sentiasa mendoakan kebaikan untuk mereka, Ketiga: Melaksanakan kebaikan bersama mereka, Keempat: Membenci maksiat yang mereka lakukan dan mengingkari keburukan yang mereka lakukan dengan cara nasihat dan kaedah-kaedah yang syar’i, dan Kelima: Tidak berusaha untuk menjatuhkan, membelot, menzahirkan sifat membangkang terhadap kepimpinan dan tidak menghina atau mencela  mereka. Mimbar ingin menegaskan bahawa persoalan kecintaan dan ketaatan kita terhadap pemerintah dan negara adalah merujuk kepada sejauh mana tanggungjawab kita dalam mempertahan, memelihara dan menjaga maruah tanahair agar ianya kekal aman dan selamat. Islam mengajar umatnya agar kasih kepada pemerintah dan negara kerana ia sebahagian daripada tanda keimanan.
Namun, persoalan besar timbul pada hari ini, mengapakah terdapat segelintir rakyat yang tidak bertanggungjawab dan cinta kepada negara sendiri sehingga sanggup menghina pemimpin dan negara, memijak gambar pemimpin serta sanggup membakar dan menukar bendera negara?. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar, bahawa semangat patriotik dan cintakan negara sebenarnya telah terhakis pada diri dan jiwa mereka serta dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang cuba menjatuhkan maruah dan martabat pemerintah dan negara ini. Perbuatan sebegini adalah mencerminkan rendahnya akhlak, tidak berintergriti, tidak bertamadun dan biadab. Mimbar ingin menyatakan bahawa dalam semua aspek umat manusia perlulah membina semangat patriotik kerana ianya menjamin kesejahteraan dan kecintaan rakyat kepada negara. Agama Islam telah menggariskan dengan jelas tentang patriotisme khususnya berhubungkait dengan kepentingan untuk mempertahankan keselamatan dan maruah negara. Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60:
Maksudnya:Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya .
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Dalam membina tanggungjawab kesetiaan kepada pemerintah dan negara ini ianya sangat berkait rapat dengan jati diri, perasaan kasih, kesetiaan rakyat kepada pemimpin secara menyeluruh. Berasaskan kepada dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadith Rasulullah SAW, para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa taat kepada pemerintah adalah fardu kepada setiap muslim manakala menderhaka merupakan satu dosa besar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Jangan kamu memaki para pemimpin negara, sebaliknya hendaklah kamu berdoa untuk kebaikan mereka kerana baiknya mereka akan membawa kebaikan untuk kamu. (Riwayat at-Tabarani).
Begitu juga menurut pandangan Ibnu Jamaah di dalam kitabnya Tahrir al-Ahkam menyatakan bahawa: Hendaklah seseorang itu mengetahui hak pemerintah yang begitu besar dan kewajipan meninggikan martabatnya supaya dengan itu hubungan dengan pemerintah berjalan mengikut cara yang mulia dan terhormat. Oleh itu perlakuan kurang adab yang dilakukan oleh sesetengah orang yang menggolongkan diri mereka sebagai zuhud bukanlah amalan yang sesuai dengan sunnah. Imam al-Qurthubi rahimahullah di dalam tafsirnya mengatakan: Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana mereka menghormati pemimpin dan para ulama. Maka sekiranya mereka menghormati keduanya ini, Allah SWT akan memberikan kebaikan kepada kehidupan dunia dan akhirat mereka. Dan sekiranya mereka menghina keduanya, maka Allah akan merosakkan kehidupan dunia dan akhirat mereka.
Justeru, menjadi tanggungjawab mimbar mengingatkan sidang Jumaat dan umat Islam sekalian bahawa sikap tidak kasih serta menghina pemerintah dan negara dengan apa cara sekalipun, memporak perandakan negara, memusnahkan perpaduan kaum dan mementingkan kepentingan diri akan menghancurkan kedaulatan bangsa dan negara serta tanda hilangnya iman seseorang. Ingatlah pesan Rasulullah SAW bahawa sesiapa menghina pemerintah di bumi ini nescaya Allah SWT akan menghinanya di akhirat kelak. Usahlah terpengaruh dengan tipu daya sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan demi mengejar kuasa dengan tidak mengiktiraf kesahihan pemerintah pada hari ini. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa mendapat kuasa melalui kekuatan hingga ia menjadi pemerintah dan di panggil pemerintah orang Islam, maka tidak halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berada semalam pun tanpa mengiktirafnya sebagai pemerintah samada ianya seorang yang baik atau fasik (Riwayat Imam Ahmad). Sesungguhnya agama Islam berkehendakkan supaya setiap umatnya menjadi sebaik-baik manusia yang sempurna keperibadiannya, mulia budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik kepada orang lain. Rasulullah SAW pernah menasihatkan kita dalam sabdanya:
Maksudnya: Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang bermanfaat kepada orang lain. ” (Riwayat Al-Tabarani)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar mengesa agar kumpulan-kumpulan yang sengaja menjatuhkan imej negara ini ditangani secara berkesan. Mimbar menyeru, marilah sama-sama kita melakukan tindakan berdasarkan prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat Islam dan bertimbang rasa dengan pihak lain. Janganlah pula kita terhasut dengan pemikiran yang jahat dan dari godaan syaitan yang menyesatkan. Ingatlah bahawa taat kepada pemerintah sebahagian daripada tuntutan kita sebagai umat Islam. Kita berdoa kepada Allah SWT agar mereka yang melakukan perbuatan yang tidak beradab dan tidak sopan ini diberi keinsafan dan berteduh dibawah payung keimanan. Kita juga memohon dikekalkan kesinambungan nikmat keamanan di kalangan kita, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan usaha membangunkan agama, bangsa dan negara. Mimbar juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat berangkat ke Mekah bagi jemaah Haji melalui penerbangan pertama pada 17 September 2012 ini. Semoga perjalanan mereka ini direstui oleh Allah SWT dan mendapat Haji yang mabrur. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 59:
Maksudnya: Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan taatlah kamu kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya .

ayat 6

Comments

Popular posts from this blog