SEJARAH SEKOLAH
Al-Madrasah Al-Islahiah, Bohor Mali, Perlis

  PENGENALAN

Pendidikan Islam di Negeri Perlis telah lahir sejak beberapa lama dahulu. Pendidikan Islam pada peringkat awalnya adalah dalam bentuk halaqah di masjid-masjid dan surau-surau. Tidak ada pusat pengajian yang khusus pada ketika itu. Memandangkan bahawa pendidikan Islam ini perlu diberikan perhatian maka kemudian lahirlah pusat-pusat pengajian yang berbentuk sistem ‘pondok’. Antara pondok yang lahir di Perlis suatu ketika dahulu ialah Madrasah Khairiah Kampung Sena, Madrasah Al-Falak di Mata Air, Pondok Kampung Petai di Padang Pauh, Pondok Darat di Beseri dan Pondok di Bohor Mali yang pada mulanya dikenali sebagai Pondok Tok Haji Ismail dalam tahun 1940'an sempena dengan nama Tuan Guru Haji Ismail Naim Bin Salim pengasas sekolah tersebut.

Oleh kerana keadaan zaman yang semakin maju, maka sistem pendidikan Islam juga turut mengalami arus perubahan dan kemajuan. Dengan itu lahirlah sistem pendidikan formal yang menggantikan sistem pondok. Maka muncullah sekolah-sekolah agama di Perlis antaranya Al-Madrasah Al-Alawiyah Al-iniyah Arau, Madrasah Arabiah Lil-Banat di Kangar dan Sekolah Menengah Agama Al-Islahiyah (dahulunya Al-Madrasah Al-Islahiah) tidak melupakan terus sistem pengajian pondoknya. Sistem ini masih dikekalkan di sekolah ini sebagai salah satu sistem pengajiannya. Malah pihak sekolah sentiasa berusaha dari masa ke semasa untuk memajukan lagi pengajian berbentuk ini. 

 SEJARAH AWAL SEKOLAH AGAMA AL-ISLAHIYAH, BOHOR MALI

            Selepas berakhirnya penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun  1945 M, penduduk tempatan di Kampung Bohor Mali merasakan perlu ada sebuah tempat pengajian untuk penduduk tempatan khususnya untuk menimba ilmu pengetahuan mengenai agama Islam. Atas kesedaran itulah maka sebuah jawatankuasa telah dibentuk dalam usaha untuk melahirkan sebuah pusat pengajian. Akhirnya dengan usaha jawatankuasa ini dan disokong penduduk tempatan maka lahirlah ‘Pondok Islahiah’ pada tahun 1364 H/1945M. Individu yang bertanggungjawab menyampaikan pengajaran di sini ialah Tuan Guru Haji Ismail Naim Bin Salim. 
           
 Beberapa tahun kemudiannya, pondok ini telah mengalami pembaharuan. Selepas dipindahkan bangunannya ketapak yang ada sekarang ini pada tahun 1369H/1950 M, namanya juga telah ditukarkan kepada Al-Madrasah Al-Islahiah Al-Wataniah dan sistem pendidikannya atau pengajianya juga turut berubah dari sistem pondok kepada sistem persekolahan formal. Namun begitu, bentuk pengajian bercorakkan pondok ini masih dikekalkan hingga ke hari ini. Inilah satu-satunya pusat pengajian di Negeri Perlis yang masih melaksanakan dan mengamalkan sistem pengajian pondok. 
           
 Pada awal penubuhannya ’Al- Madrasah Al-Islahiah Al-Wataniah’ berfungsi sebagai tempat pengajian berkonsepkan pondok kepada pelajar yang lebih menekankan kepada pendidikan berbentuk keagamaan khususnya. Disamping itu, berkongsi didalam satu kawasan yang sama juga, telah wujud dan kekal bersama-sama sistem pendidikan itu adalah rumah-rumah orang tua yang menempatkan lebih kurang 100 orang warga emas yang mengambil pilihan untuk tinggal disana bagi mendalami ilmu agama dan turut juga menjadi tenaga pengajar kepada pelajar di sekolah pondok berkenaan. 
Gambar 1.1 : Gambar diatas menunjukkan penempatan asal rumah warga emas yang mendiami dikawasan sama dengan ‘Al- Madrasah Al-Islahiah Al-Wataniah Gambar 1.2 : Berhadapan dengan rumah warga emas ( rumah kayu) adalah bangunan sekolah yang merupakan kelas tempat penyampaian ilmu.

Gambar 1.3 : Menunjukkan rumah warga tua, sekitar tahun 1970-an

Biarpun berkongsi kawasan namun sistem pendidikan sedikit pun tidak terganggu dengan kehadiran warga emas, kerana kehadiran golongan tersebut juga menjadi tenaga pengajar secara tidak formal dan turut menjadi ibubapa kepada anak-anak pelajar pada waktu itu. Konsep kekeluargaan wujud secara tidak langsung dengan situasi sedemikian. Memandangkan pelajar yang belajar di ’Al- Madrasah Al-Islahiah Al-Wataniah’ terdiri juga daripada pelajar dari luar negeri seperti Thailand dan berjauhan dengan keluarga, justeru itu dikalangan pelajar tersebut mengambil peluang menumpang manja dengan warga emas berkenaan. 
            
 Sesuatu yang menarik dalam sistem pendidikan sekolah tersebut pada waktu itu, walaupun tanpa struktur kelengkapan dan kemudahan yang  banyak namun masih mampu menarik minat ibubapa di sekitar mahupun luar negeri untuk menghantar anak-anak mengaji ilmu keagamaan pada waktu itu. Dari sudut ini, membuktikan kewibawaan tenaga pengajar ketika itu yang terdiri daripada ustaz dan ustazah yang punyai pendidikan dari berbagai sudut ilmu keagamaan.
Gambar 1.4 : Sebagai tanda kenangan pelajar –pelajar sekitar tahu 1970-an  bergambar dihadapan bangunan sekolah ” Al- Madrasah Al-Islahiah Al-Wataniah ’ pada ketika itu.
                
    Al-Madarasah Al-Islahiah Al-Wataniyyah mengalami satu lagi perkembangan pada tahun 1988M iaitu dengan mendaftarkan madrasah ini di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu  Perlis. ( rujukan : MAIPS.203 Jilid 6(9) 1985). Ini memberi erti bahawa pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis memberikan perhatian yang mencukupi terhadap sekolah ini. Ini terbukti dengan bantuan kewangan yang diperuntukkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis.

             Pada 17 Januari 1988, Madrasah ini mendaftar pula di bawah Jabatan Pendidikan Perlis dengan nombor Pendaftarannya JPPS/PPGS/5/2/4/11. Serentak dengan itu, namanya juga telah ditukarkan dari Al- Madrasah Al-Islahiyah Al-Wataniah kepada Sekolah Menengah Agama Al-Islahiah, Bohor Mali, Perlis. Sehingga kini, kedua-dua pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis dan Jabatan Pendidikan Perlis memberikan perhatian yang baik

2. PERUBAHAN INFRASTRUKTUR SEKOLAH DARI SEBUAH SEKOLAH PONDOK/MADRASAH KEPADA SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN. 
            
Pada tahun1990-an, pihak Lembaga Pengurusan Sekolah bersama guru-guru pada masa itu telah berusaha memperbaiki dan menambahbaikan keperluan pelajar dan juga guru-guru bagi memastikan keselesaan dan kesempurnaa dalam proses pembelajaran. Jika difikirkan pun pada waktu itu, aspek yang perlu dititikberatkan ialah tempat atau bangunan sekolah bagi menampung pelajar-pelajar.
          
  Memandangkan sekolah Agama Al- Islahiah pada waktu itu dikenali Al-Madrasah Al-Islahiyah Al-Wataniah telah sebati dengan masyarakat setempat, maka telah tampil beberapa orang yang sanggup mewakafkan tanah mahupun sumbangan dalam bentuk kewangan bagi membaik pulih dan membina bangunan sekolah yang baru.
        
    Perkembangan dan peningkatan bangunan sekolah bermula pada tahun 1990-an. Antara bangunan terawal yang dibina bagi menggantikan bangunan lama ialah bangunan seperti gambar dibawah. Bahan bagi binaan bangunan tersebut digunasemula daripada bahan bangunan Sekolah Rendah Simpang Empat yang pada waktu itu diroboh untuk pembinaan bangunan yang baru.

            Memandangkan waktu itu, kedudukan kewangan sekolah Al- Madrasah Al-Islahiyah Al-Wataniah banyak bergantung kepada sumbangan masyarakat  dari segenap lapisan masyarakat maka segala usaha untuk penambahbaikkan sekolah terhasil perlu ditangani dengan bijak supaya tidak membebankan kewangan sekolah.

 Gambar   : Kawasan asal sekolah binaan pada tahun 1990-an, bahan binaan digunasemula daripada bahan bangunan Sek.Ren. Simpang Empat.
Gambar :  Antara kawasan/tanah yang diwakafkan oleh penduduk kampung untuk digunakan oleh pihak sekolah bagi membina kawasan sekolah baru.
  
Pada tahun 1992, sekolah telah menerima satu sumbangan yang amat besar maknanya kepada pihak sekolah dan pelajar-pelajar. Dato’ Abdul Rahman Abbas ialah seorang yang sentiasa mengambil berat dalam hal-hal kebajikan dan pengembangan agama Islam. Hari ini, Dato’ Abdul Rahman sendiri telah menubuhkan satu yayasan yang dinamakan ‘ Yayasan Sofia’.

             Dato’ Abdul Rahman Abas telah menderma demi membina Sekolah Agama Al-Islahiah, Perlis dengan kos sebanyak RM365,000. Jawatankuasa sekolah bersetuju menamakannya sebagai Bangunan Ibnu Abas. Biasiswa juga diberi kepada 10 orang pelajar cemerlang mulai tahun 2005.

 

2.1 : TAPAK DAN BANGUNAN SEKOLAH

Disember 2004 setelah rasminya Memorandum  Persefahaman antara Jemaah Pengurusan Sekolah Agama Al-Islahiah (Menengah dan Rendah) dan Kementerian Pelajaran Malaysia maka bermulalah sumbangan modal dan bantuan yang diperuntukkan oleh pihak Kerajaan kepada pihak sekolah yang mana diantaranya melibatkan sumbangan bantuan bangunan sekolah. 

Walaubagaimanapun mengikut syarat Perkara VII dalam memorandum tertulis bahawa tapak dan bangunan Sekolah Agama hendaklah kekal di bawah hak milik tuan punya tanah atau Jemaah Pengurusan dan tidak, dengan apa-apa cara jua, boleh terletak hak kepada kerajaan.

 Tapak dan bangunan Sekolah Menengah Agama Al-Islahiah dan dan Sekolah Rendah Agama Al-Islahiah di daftarkan di bawah Jabatan Agama Islam Perlis sebagai Pemegang Amanah bagi pihak yang mewakafkan tanah-tanah itu. Manakala kawasan perkuburan seluas 2 relong dalam tapak kawasan sekolah ini dan 4 blok Rumah Penyayang (Baitul Hanan) yang dulu terletak di dalam kawasan yang sama dalam sekolah dikekalkan di bawah Lembaga Pentadbir dan di bawah Kawalan Kebajikan Masyarakat.

Selanjut dengan itu, Kerajaan telah menyumbang bantuan bangunan baru termasuk bangunan Asrama Putra dan Asrama Putri bagi menampung jumlah pelajar yang kini mencecah 350 orang pelajar. Sehingga pada masa kini pun, pihak Kerajaan masih dalam proses membangunkan beberapa bangunan tambahan dan menambahbaikan bangunan yang sedia ada untuk keselesaan pelajar dan warga pendidik malahan masyarakat setempat khususnya.

             Sumbangan dan bantuan Kerajaan membantu pihak sekolah dalam mencapai misi, visi dan matlamat Sekolah Agama Al-Islahiah, Bohor Mali, Simpang Empat, Perlis.
Gambar   :  Blok asrama putri Sekolah Agama Al-Islahiah, Bohor Mali.
Gambar   :  Blok bangunan kelas di belakang Bangunan Ibnu Abas
Gambar    :  Wajah baru Sekolah Agama Al-Islahiah, Bohor Mali 
lepas diambil alih oleh kerajaan

 http://sabkislahiyah.bpi.edu.my/

Comments

Popular posts from this blog