hiasan patung dan gambar di rumah


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sungguhnya para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)


Adapun patung atau lukisan yang dibuat bagi tujuan permainan kanak-kanak, ianya adalah harus hukumnya kerana ada riwayat daripada Rasulullah SAW yang memberi rukhshah (kelonggaran) mengenainya. Kelonggaran dan pengeculian ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. berkata yang maksudnya, “Aku biasa bermain-main dengan patung anak-anak perempuan di sisi Nabi SAW dan aku ada beberapa orang kawan bermain-main bersama-samaku. Apabila Baginda masuk, mereka menyembunyikan (patung-patung tersebut) daripada Baginda, Baginda membiarkan mereka untuk bermain-main bersamaku.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam riwayat lain lagi daripada Aisyah r.a. berkata yang bermaksud, “Sewaktu Rasulullah SAW (sampai di rumah) daripada peperangan Tabuk atau Khaibar, pada rak (kepunyaan Aisyah) ada kain penutup, lalu angin berhembus, maka tersingkap tepi kain penutup itu (sehingga) menampakkan beberapa anak patung perempuan mainan Aisyah. Maka Baginda bersabda : “Apa ini wahai Aisyah?” Aisyah menjawab : “Anak-anak patung perempuan milikku.” Dan Baginda terlihat pula di antara patung-patung tersebut ada patung kuda yang mempunyai dua sayap yang bertampal. Lalu Baginda bersabda : “Apa benda di atas kuda ini?” Aisyah menjawab : “Dua sayap.” Baginda bersabda : “Kuda ada dua sayap!” Aisyah menjawab : “Tidakkah Tuan pernah mendengar bahawa Nabi Sulaiman mempunyai kuda yang mempunyai beberapa sayap?” Aisyah berkata (menceritakan selanjutnya): “Maka Rasulullah tertawa sehingga aku melihat gigi-gigi geraham Baginda.”” (Hadis riwayat Abu Daud)

Daripada hadis ini, jelas menerangkan bahawa patung permainan bagi kanak-kanak adalah harus membuatnya dan memanfaatkannya berdasarkan tidak ada tegahan daripada Rasulullah SAW ketika melihatnya. Begitu juga patung atau lukisan yang dibuat bagi tujuan pendidikan atau pembelajaran, adalah harus hukumnya berdasarkan keperluan.

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a. yang maksudnya, “Sewaktu Rasulullah SAW (tiba di rumah) daripada suatu pelayaran; aku telah memasang tabir rak tempat penaruhan barang-barang dengan tabir nipis yang ada padanya gambar-gambar (lukisan-lukisan yang bernyawa). Maka apabila saja Rasulullah SAW melihatnya, Baginda menanggalkannya lalu bersabda: “Manusia yang paling berat seksaannya pada Hari Kiamat ialah mereka yang menjadikan sesuatu yang menyamai/menyerupai dengan makhluk Allah.” Aisyah berkata (ekoran daripada peristiwa itu: “Maka kami jadikan (kain tersebut) untuk dijadikan sebiji bantal atau dua biji bantal.”” (Hadis riwayat Bukhari)

Diriwayatkan ada seorang pematung yang sudah bertahun-tahun membuat sebuah patung. Setelah selesai, dia begitu terpesona dan tergila-gila dengan lekuk-lekuk tubuh patungnya. Dengan angkuhnya dia mengajak patungnya bercakap : “Marilah bercakap. Mari bercakap!!! Oleh itulah, Rasulullah saw bersabda : “Sesungguhnya orang-orang yang membuat patung-patung ini kelak di hari kiamat akan diseksa dan dikatakan pada mereka : “Hidupkan apa yang telah kalian ciptakan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika diletakkan di tempat yang mulia (yang tidak menghinakannya) seperti digantung, diletak di tempat-tempat tinggi, di dinding, di pakaian dan seumpamanya, hukumnya adalah haram.

Jika diletakkan di tempat yang menghinakannya seperti digunakan sebagai hamparan yang dipijak-pijak atau menjadi hina dengan penggunaannya seperti bantal, sandaran (penyandar), matawang yang menjadi pertukaran di dalam jual beli dan yang seumpamanya hukumnya adalah harus. (Lihat Nihayah Al-Muhtaj 6/379).

Dalam perkara ini juga, Imam An-Nawawi ada berkata di dalam Kitab Syarh Shahih Muslim: “Adapun penggunaan lukisan binatang, maka jika lukisan itu digantungkan di dinding atau lukisan itu pada pakaian yang dipakai atau serban dan seumpamanya yang tidak dianggap hina maka ia adalah haram. Jika ia terletak di hamparan yang dipijak, di bantal tidur, di kusyen sandar dan seumpamanya yang dianggap hina, maka tidaklah ia haram. Akan tetapi adakah (perkara yang sedemikian) itu menegah Malaikat Rahmat masuk ke rumah itu. Tidak ada perbezaan dalam perkara ini semuanya di antara lukisan yang mempunyai bayang (patung) atau yang tidak mempunyai bayang (lukisan, tenunan, lakaran, ukiran dan sebagainya). Ini adalah ringkasan mazhab kita (Asy-Syafi’e) dalam masalah ini. Inilah juga pendapat jumhur ulama daripada kalangan para sahabat, tabi’in dan orang-orang yang sesudah mereka, iaitu mazhab Ats-Tsauri, Malik, Abu Hanifah dan selain daripada mereka.”
— with Umi Atiq and 48 others.

Comments

Popular posts from this blog