Kampung Imam Lapar di Terengganu?
Oleh Azman Mahmood

pix_gal0
Desa di Mukim Telemong berkait rapat kisah pedagang dan perkataan 'laper' atau hafaz

BENARKAH ada peristiwa berlakunya kejadian imam yang lapar di Terengganu sehingga memungkinkan satu tempat diperuntukkan dengan kejadian berkenaan?
Apa yang pasti, nama Kampung Imam Lapar di Mukim Telemong, Kuala Berang, memang wujud dan menjadi tanda tanya terutama bagi orang luar dari kampung itu dan luar Terengganu kerana nama kampung itu seperti benar-benar menggambarkan sejarah kampung itu mempunyai imam yang hidupnya sentiasa dalam kelaparan.
Kampung Imam Lapar terletak kira-kira 23 kilometer dari Kuala Terengganu dan kira-kira 22 kilometer dari Kuala Berang dan mudah dihubungi. Lokasinya juga tidak sukar untuk dicari kerana terletak di tepi jalan utama antara Kampung Besah dan Kampung Kuala Telemong.

Ketika diminta menceritakan bagaimana sejarah kampung itu dinamakan Kampung Imam Lapar, Ramlah Mat Zin, 60, antara penduduk asal kampung itu, berkata daripada apa yang diceritakan secara turun temurun oleh nenek moyang sehingga kepada arwah ayahnya, Mat Zin Mamat, ia bermula dengan kisah dua pedagang.

Mereka menaiki perahu dari muka Kuala Sungai Telemong menyusuri sungai itu untuk mudik ke hulu dengan membawa barangan seperti beras dan ikan masin untuk dijual kepada penduduk kampung di sepanjang tebing sungai itu. Setibanya di kampung itu yang ketika itu tiada nama, mereka berdua singgah di Pengkalan Rengas Sembilan dan menaiki tebing untuk mencari makanan kerana lapar.

“Pedagang itu ke surau yang terletak di tepi tebing pengkalan berkenaan untuk mencari rumah bagi mendapatkan makanan dan api, tetapi mendapati imam sedang khusyuk menghafaz al-Quran.
“Mereka dikatakan sempat menyatakan kepada imam bahawa mereka lapar sebelum beredar kembali menaiki perahu menyusuri sungai itu. Mungkin imam tidak sedar ada orang datang dan memberitahu imam, dia lapar kerana khusyuk membaca al-Quran ketika itu,” katanya.

Bagaimanapun, kata Ramlah, akibat terlalu lapar, dua pedagang itu dikatakan singgah pula di satu lagi jeti dan ke surau yang terbukti surau sama. Imam itu masih lagi menghafaz al-Quran, lalu mereka terus beredar.

“Kemungkinan peristiwa itu diceritakan oleh pedagang itu kepada orang lain bahawa dia memberitahu imam, lapar tetapi imam itu terus ‘laper’ (menghafaz) al-Quran. Jadi, dari situlah kemungkinan itulah asal usulnya nama Kampung Imam Lapar ini. Yang pasti bukan imam itu yang lapar, tetapi pedagang itu yang lapar. Sukar dipastikan sejauh mana benarnya cerita itu saya dengar cerita ini daripada arwah bapa," katanya yang mendakwa kisah itu berlaku lebih 100 tahun lalu.

Seorang lagi penduduk asal, Abdullah Mat Amin, 72, berkata dia sendiri tidak pasti sejauh mana benarnya kisah itu, tetapi memang berkisar mengenai dua pedagang mencari makanan dan bahan api.

“Sebutan perkataan laper di zaman dulu bagi masyarakat pedalaman di negeri ini sama maknanya dengan menghafaz dan kebetulan perkataan itu pula bunyinya sama dengan lapar.

“Jadi, mungkin untuk ambil mudah kalau sebut pasal kampung ini, orang akan sebut perkataan Kampung Imam Laper - (menghafaz al-Quran),” katanya.

Apa yang pasti, seperti diakui Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, Samad Rani, ada pihak yang mencadangkan supaya nama Kampung Imam Lapar itu ditukar agar tidak berkaitan imam yang diketahui orang alim yang dihormati.

“Setakat ini, kami penduduk tidak bercadang untuk menukar nama itu kerana ia sesuatu yang unik dan orang ramai mudah mengingatinya. Apalagi, sebenarnya asal usul sejarah kampung ini tiada kaitan dengan kejadian tok imam lapar,” katanya.

Samad berkata, kampung ketika ini didiami oleh 60 keluarga yang membabitkan kira-kira 350 penduduk dengan 80 peratus daripadanya adalah bekerja kampung termasuk menoreh getah dan bertani.

Seperti perkampungan lain di luar bandar, Kampung Imam Lapar ini turut dilengkapi kemudahan asas jalan tar dan elektrik dengan sumber airnya berasaskan telaga tiub.

Antara kemudahan asas lain yang ada di kampung itu sekarang ialah sebuah balai raya yang baru bernilai RM90,000 yang dibina kerajaan negeri, bangunan JKKK dan juga dilengkapkan dengan Tadika KEMAS untuk kemudahan pendidikan pra sekolah anak-anak penduduk serta sebuah surau yang dikatakan ada kaitan dengan sejarah terjadinya nama Kampung Imam Lapar.

Comments

Popular posts from this blog