AMALAN KURAFAT DAN SIFAT-SIFAT TERCELA DI KALANGAN BAKAL-BAKAL HAJI
PENGENALAN
Terdapat ramai umat Islam yang kurang bersedia dari segi ilmu pengetahuan untuk mengerjakan haji. Malah ada yang tidak memahami walaupun pada perkara-perkara yang asas. Akhirnya, apabila mereka mengerjakan haji terjadilah perlanggaran hukum yang boleh mencacatkan kesempurnaan ibadah tersebut. Hal ini berlaku kerana mereka terikut-ikut dengan perbuatan jemaah yang kurang arif tentang ibadah itu dan malu hendak bertanya kepada orang yang tahu.
Disamping tidak mendalami hukum-hakam mengenai haji, ditambah pula dengan kejahilan tentang hukum-hakam dalam ibadat maka berlakulah campur-aduk amalan ibadah haji di antara yang hak dengan yang batil. Kadang-kadang yang hak ditinggalkan dan yang batil dikerjakan. Yang batil seperti amalan-amalan khurafat dilakukan dengan sebaik-baiknya, dengan kefahaman bahawa amalan-amalan itu dituntut oleh syarak sedangkan yang sebenarnya adalah sebaliknya.
Sering berlaku dari semasa ke semasa perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak yang dicampurkan dalam ibadah haji terutama amalan khurafat yang diadakan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Mereka memberi petua secara berbisik-bisik tanpa menggunakan sebarang kenyataan dari nas-nas yang muktabar tentang perkara yang disebutkan itu. Akhirnya amalan-amalan khurafat itu menjadi ikutan turun-temurun dari dahulu hinggalah sekarang.
PENGERTIAN KHURAFAT
Di dalam kamus Al-Marbawi khurafat bererti cerita karut atau karut-marut. Di dalam tafsiran yang lain pula khurafat juga disebut sebagai percakapan yang tidak betul sama sekali.
Secara umumnya khurafat bermaksud kepercayaan karut yang direka-reka dan diadakan untuk menutup satu keaiban tentang akan berlakunya baik atau buruk terhadap sesuatu kerja berpandukan kepada perbuatan dan kejadian-kejadian alam yang berlaku. Dengan mentafsirkan kejadian itu akan membawa bala-bencana atau membawa tuah keuntungan.
KHURAFAT SEBAGAI BUDAYA JAHILIAH
Masyarakat Jahiliah adalah sebuah masyarakat yang banyak menghayati budaya khurafat. Di antara khurafat mereka ialah mempercayai kepada arah burung yang berterbangan, memberi kesan kepada nasib mereka.
Orang-orang Arab Jahiliah apabila hendak mengerjakan sesuatu kerja atau sedang dalam perjalanan menuju sesuatu tempat tiba-tiba kedapatan burung yang melintasi mereka maka dikaitkan dengan sesuatu kepercayaan tertentu. Malah mereka meletak nama-nama tertentu pada keadaan burung yang melintasi mereka.
Dari nama-nama tersebut lahirlah tafsiran yang khusus ada bala dan bencana akan menimpa, ada tuah, ada keuntungan yang akan berlaku dan sebagainya dan mereka menggantungkan hal-hal tersebut sepenuhnya kepada keadaan burung tersebut. Masyarakat Jahiliah juga percaya bahawa jika burung hantu menghinggapi dan berbunyi di atas sesebuah rumah maka ertinya salah seorang dari penghuni rumah itu akan meninggal dunia. Kepercayaan sebegini mengakibatkan penghuni rumah akan berdukacita yang tidak terhingga kerana kematian akan menimpa.
Kepercayaan sedemikian terdapat juga di dalam masyarakat Melayu di Tenggara Asia yang terbawa-bawa dengan budaya Jahiliah hingga sekarang ini padahal semua itu adalah khurafat belaka.
KHURAFAT MENODAI IBADAH HAJI
Ibadah haji adalah suatu ibadah yng semestinya dilakukan dengan sempurna, tidak dicampur aduk dengan yang batil. Lebih-lebih lagi amalan khurafat hendaklah dijauhi sama sekali kerana ianya boleh mencemarkan ibadah haji daan menjadikannya ibadah yang sia-sia. Perlu diingat bahawa khurafat boleh membawa kepada syirik kerana ianya penentu persoalan ibadah. Kalau sudah iktikad rosak kerana khurafat maka orang yang rosak ibadahnya tidak akan mendapat apa-apa kebaikan dari ibadahnya.
Namun demikian, masih terdapat bakal-bakal haji yang seolah-olahnya tidak menyedari mereka melakukan perkara-perkara khurafat ketika hendak menunaikan haji dan ada pula yang melakukannya ketika mereka berada dalam ihram dan sedang bertungkus lumus mengerjakan haji itu sendiri. Kepada golongan ini seolah-olahnya apa yang diajarkan kepada mereka oleh tuan-tuan guru yang mengajar atau oleh pengkursus-pengkursus haji adalah tidak lengkap dan tidak sempurna. Mereka masih hendak menambah-nambah dan mengada-adakan berbagai-bagai perbuaatan yang tidak diajar oleh orang-orang berkenaan lalu mereka menerima pakai petua-petua dari orang yang tidak bertanggungjawab.
Khurafat bukan perkara kecil yang boleh dipermudah-mudahkan. Khurafat adalah perkara besar yang mesti difahami dan diberi perhatian serius untuk menjauhinya. Umat Islam jangan mudah menerima pakai sesuatu perbuatan yang disebutkan kepadanya bagi menambah-nambah amalan di dalam haji yang dipelajarinya secara terbuka dan ada sandarannya, itulah yang patut diamalkannya. Adapun yang diajar secara sembunyi-sembunyi dan dilakukan secara sembunyi patutlah diambil perhatian dan dipastikan dahulu boleh atau tidak mengamalkannya barulah diamalkan yang boleh dan menjauhkan yang khurafat.
PANDANGAN ISLAM TERHADAP KHURAFAT
Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada pergantungan kepada Allah dan menolak kepercayaan terhaadap yang selainnya bagi mendapat kebaikan daan menolak keburukan. Yang memberi segala kenikmatan dan keyakinan hanya Allah. Kepada-Nya seluruh makhluk bergantung. Firman Allah yang bermaksud:
“ Katakanlah apakah kamu tidak melihat kepada apa yang kamu memohon kepadanya selain daripada Allah bahawa jika sekiranya Allah mengkehendaki ke atasku sesuatu kemudaratan adakah mereka itu boleh menghindari dari kemudaratan itu. Atau jika Allah mengkehendaki sesuatu rahmat itu dianugerahkan kepadaku apakah mereka itu boleh menahan rahmat itu. Katakanlah adalah memadai Allah itu bagiku untuk segala-galanya. Kepada-Nya bertawakkal semua orang yang bertawakkal”. (Surah Al-Zumar, Ayat 38 )
Ayat di atas memperlihatkan konsep tawakkal kepada Allah dalam semua keadaan. Kebaikan dan kejahatan adalah dari Allah. Dia yang menyebabkan segala-galanya. Dia yang berkuasa atas segala sesuatu bukannya lintasan burung atau sebagainya yang terdapat di dalam amalan khurafat.
Dari Abu Hurairah R.A Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud:“ Tidak ada jangkitan (yang berlaku tanpa izin Allah ), tidak ada buruk sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang pada burung hantu dan tidak ada bala pada bulan Safar ( seperti yang dipercayai ).”
Dari Ibnu Mas’ud R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud:“ Buruk sangka ( di dalam amalan khurafat ) adalah syirik ( dua kali ) akan tetapi Allah menghapuskannya dengan bertawakkal kepada Allah”.
Dari Ibnu Amru R.A, katanya nabi pernah bersabda bermaksud: “ Sesiapa yang kerana buruk sangkanya terhadap sesuatu ( khurafatnya ) sehingga boleh memesongkannya dari meneruskan hajatnya maka sesungguhnya ia telah syirik ( kepada Allah ). Mereka bertanya apakah kifarat bagi yang demikian itu. Sabdanya: “ Hendaklah ia berkata Ya Allah tidak ada kebaikan melainkan kebaikan Mu. Tidak ada yang buruk ( jahat ) melainkan kejahatan yang datang dari Mu dan tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau”.
Semua urutan ayat Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah S.A.W yang tersebut jelas memperlihatkan konsep baik, buruk hanya dari Allah. Allah yang mengatur segala-galanya bukannya ada kaitan dengan kejadian-kejadian yang berlaku di dalam hidup ini yang boleh memberi kesan kepada kebahagiaan dan kecelakaan manusia.
Khurafat adalah karut-marut yang tidak benar sama sekali. Tidak sepatutnya kepercayaan-kepercayaan yang sedemikian menghantui umat Islam sehingga mencemarkan perjalanan hidup mereka kerana kongkongan khurafat itu. Umat Islam perlu bersih niat dan pergantungan mereka hanya kepada Allah seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud: “ Apabila kamu cekal bercita-cita (maka teruskanlah) dan bertawakkallah kepada Allah”.
KHURAFAT DI KALANGAN JEMAAH HAJI ASIA TENGGARA
Pengaruh khurafat ternyata masih kuat. Di dalam masyarakat Islam Asia Tenggara masih kedapatan amalan-amalan khurafat di dalam berbagai-bagai lapangan penghidupan. Di dalam perniagaan contohnya masih percaya kepada FONG SUAI. Di dalam pertanian masih percaya kepada semangat padi. Dalam mencari rezeki di lautan masih ada yang percaya kepada gembala-gembala ikan dan berbagai-bagai lagi.
Bukan sahaja di dalam rezeki ada berbagai-bagai khurafat, hatta ketika hendak melakukan ibadah kepada Allah pun masih diresapi berbagai-bagai khurafat. Antara yang ketara ialah khurafat-khurafat di dalam ibadah haji.
KHURAFAT DI TANAH AIR SEBELUM TIBA DI TANAH SUCI
- Tidak boleh memijak bendul rumah, kalau dipijak alamat tidak akan balik semula.
- Sesudah bertolak dari rumah, tidak boleh pandang kembali melihat rumah, kalau dipandang pekerjaan hajinya tidak sempurna, kerana hatinya teringat-ingat ke rumah.
- Membawa uri, rambut dan kuku bayi untuk ditanam di Tanah Haram supaya anak tersebut menjadi orang ternama dan disukai ramai.
- Setelah balik nanti mesti berkurung diri di rumah selama 40 hari yang disebut sebagai ibadah haji. Barulah haji itu berkat dan melekat di hati. Kalau melanggar sia-sialah haji.
KHURAFAT DI TANAH SUCI
- Mesti mencari tiang jin di dalam Masjidil Haram, peluk kuat-kuat boleh memanjangkan umur.
- Boleh menghadap toyol dengan bersembahyang sunat sebanyak-banyaknya secara mengadap tiang jin tersebut untuk dibawa balik toyol itu sebagai khadam.
- Jin yang dibawa balik dari Makkah adalah jin yang baik.
- Menampal duit syiling yang siap bergam di bawah pintu Baitullah dan dibawa balik untuk dibuat ibu duit bagi tujuan melariskan perniagaan, mendapatkan jodoh dan memurahkan rezeki.
- Memungut anak-anak batu di Arafah untuk dibawa balik dengan tujuan jika dicampak ke dalam kolam ikan maka ikan akan menjadi banyak. Jika ditabur di kebun tanaman maka buah-buah akan menjadi. Jika diletak di dalam kedai maka akan laris.
- Mencuri tali-tali khemah di padang Arafah untuk dijadikan tangkal bagi tujuan pelaris untuk jualan dan memperbanyakkan tangkapan ikan.
- Membawa balik tanah Arafah untuk upacara memijak tanah, buat pertama kali bagi bayi untuk menghindarkannya dari sebarang penyakit dan gagah berani.
- Tidak boleh melihat cermin semasa dalam ihram. Jika dilihat muka akan menjaadi hodoh dan orang tidak suka melihatnya.
- Menyapu tiang masjid dan diusap ke muka untuk menambah seri wajah.
- Mengetuk pintu Masjid dan gelang kuncinya di kawasan sai’e sebagai simbolik kepada mengetuk pintu rezeki. Jika tidak membuat rezekinya tertutup buat selama-lamanya.
- Bersetubuh dengan isteri di dalam Masjidil Haram supaya boleh mendapat anak yang mudah masuk syurga.
- Orang yang mandul boleh segera mendapat anak jika bersetubuh dengan suaminya di dalam masjid dua kali dari arah penjuru emas sekali kerana kepercayaan penjuru emas itu melambangkan kemaluan nabi Adam dan sekali lagi dari arah yang menghala ke Hajar Aswad kerana Hajar Aswad melambangkan Sii Hawa.
- Kain ihram perlu dibawa balik dan diwasiatkan bila mati nanti hendaklah dikapankan dengan kain itu bagi menghindari diri dari siksaan kubur.
- Beli khusus kain putih yang hendak dijadikan kapan dan basuh dahulu dengan air zam-zam di Makkah, disimpan dan diwasiatkan untuk dijadikan kain kapan dengannya. Mungkar Nangkir tidak berani memukul badan yang dibalut dengan kain tersebut.
- Kalau berlaku hujan maka mandilah di bawah curahan air dari pancuran emas agar sembuh segala penyakit dan tidak akan terkena penyakit hawar.
- Tiang-tiang masjid boleh dibeli untuk diwakafkan sekiranya ada orang yang menawarkannya maka jangan disoal banyak, beli sahaja akan menjadikan masuk syurga.
- Mandi bertelanjang di telaga Jakranah boleh memikat suami dan cepat mendapat jodoh bagi yang belum bersuami. Dan berbagai-bagai khurafat lagi yang masih diamalkan oleh masyarakat Islam Asia Tenggara.
AMALAN KHURAFAT DAN KAITANNYA DENGAN HUKUM SYARAK
Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah ditegah oleh syarak kerana disamping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bidaah yang buruk sepertimana tersebut di dalam hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud : “Setiap bidaah itu sesat dan setiap yang sesat akan ditempatkan di dalam neraka”.
Mengamalkan amalan khurafat dengan tidak disedari boleh menjauhkan diri daripada Allah, walhal kedatangan jemaah haji ke Tanah Suci ialah untuk menghampirkan diri kepada Allah serta mensucikan diri dari segala dosa dengan tujuan mendapatkan haji mabrur.
PUNCA AMALAN-AMALAN TERCELA DAN TERPAUTNYA SESEORANG KEPADA AMALAN KHURAFAT
Di antara punca-puncanya adalah seperti berikut:
- Tidak memenuhi asas yang kukuh di dalam pengetahuan agama di mana ia mudah menerima ia mudah menerima perkara- perkara yang dianggap menarik baginya.
- Mempelajari dari guru-guru atau ketua-ketua yang tidak bertanggungjawab.
- Terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain kerana menyangka amalan itu adalah amalan yang betul.
- Sudah terbiasa melayani nafsu amarah.
CARA-CARA MENGHINDARINYA
- Bakal-bakal haji hendaklah mempelajari hukum-hukum agama sebelum menunaikan haji.
- Jangan mudah terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain yang tidak diketahui puncanya.
- Sebarang amalan yang diterima daripada orang yang walaupun diakui keilmuannya tetapi jika diragui hendaklah dipastikan terlebih dahulu dari orang lain yang lebih berwibawa.
- Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.
- Tunailah haji semata-mata kerana Allah.
- Tanah Suci Makkah bukanlah tempat berehat atau tempat meluahkan rasa marah dengan sewenang-wenangnya.
- Perlu diingatkan bahawa di dalam pekerjaan haji mesti ditempuhi berbagai-bagai dugaan Allah yang perlu diterima dengan sabar.
TINGKAH LAKU BURUK SEBAHAGIAN JEMAAH HAJI
Selain dari khurafat yang tersebut di atas ditambah pula dengan adanya tingkahlaku buruk yang sering terdapat di kalangan jemaah haji umumnya termasuk jemaah haji Asia Tenggara, menjadikan ibadah haji, ibadah yang seolah-olahnya tanpa roh dan tanpa hikmah. Sebagai contoh yang ketara, berlakunya peristiwa Terowong Al-Muassim tahun 1990 beberapa tahun dahulu dan peristiwa pijak memijak di atas jambatan Mina tahun 1994 yang semuanya memakan kurban nyawa yang begitu banyak, mencerminkan masalah utamanya tingkah laku buruk jemaah haji. Tingkah laku dan tutur kata manusia itu adalah bayangan cermin peribadinya. Jika elok tingkah laku, berbudi bahasa dan manis kata-kata, maka tinggilah nilai diri, mulialah pekertinya. Kalaulah ini benar-benar menjadi cermin diri maka alangkah buruknya keadaan umat Islam ini kerana apa yang berlaku di musim haji menjadi ukuran yang utama pada nilai diri kita.
Di Makkah, umat Islam kelihatan seperti seolah-olah tidak tahu disiplin diri dan disiplin kehidupan. Ada yang tidak bertolak ansur, bertengkar, bergaduh, tengking menengking, herdik- mengherdik, menolak, melanggar, memukul, memijak, menghimpit, mengambil hak orang lain, menyusahkan kawan, memijak kepala, menyepak muka orang yang beribadah, mengganggu orang bersembahyang, menyepak Al-Quran, meletak Quran di atas lantai, mengubah ( mengalih ) Al- Quran dengan kaki, berebut-rebut dengan menggunakan segala kekuatan untuk mencium batu hitam ( Hajar Aswad ). Memegang tangan berangkai kuat untuk merempuh orang yang sedang solat dan tawaf. Perkara yang sama berlaku dengan dasyatnya ketika di Mina untuk melontar. Segala selipar dan kasut serta pakaian tertanggal dari badan. Yang sakit tidak diberi simpati, yang tua, uzur tidak dihirau dan berbagai-bagai perangai lagi yang boleh dilihat. Mengenai tutur kata, umat Islam tidak hendak menjaga tutur kata walaupun ketika sedang tawaf dan sai’e masih bercakap-cakap dengan hal-hal yang terkeluar dari erti ibadat yang sebenar, bergelak ketawa berdekah-dekah kerana kelucuan yang sengaja diada-adakan di dalam perbualan-perbualan seolah-olah mereka bukan berada di hadapan Allah di dalam ibadat yang syahdu. Kata mengata, caci mencaci sering kedengaran sepanjang masa berada di Makkah dan Madinah. Seolah-olah tidak berbeza dari tempat-tempat lain. Mengumpat, mencerca terus berlaku tanpa sebrang rasa takut kepada dosa yang diperbuat di Tanah Haram.
Semua tingkah laku buruk itu adalah sebahagian dari masalah yang sebenar berlaku di kalangan jemaah haji kita yang sudah sewajarnya kita menyedari perihal tersebut dan cuba untuk menghindarinya.
BAGAIMANA MENGATASI PERMASALAHAN TERSEBUT
Masalah akhlak adalah masalah pokok untuk membina masyarakat yang mulia. Akhlak yang terpuji menjadi tunjang kekuatan umat. Rasulullah S.A.W diutuskan Allah S.W.T untuk kemuliaan akhlak, mengasuh umatnya agar berakhlak mulia.
Bagi mengatasi masalah yang disebutkan tadi pendidikan kerohanian yang menekankan kepada kebaikan akhlak perlu dititikberatkan oleh bakal-bakal haji. Mereka hendaklah sentiasa membentuk diri dengan budi pekerti yang mulia untuk dihayati sepanjang masa hidupnya. Lebih-lebih lagi ketika menunaikan haji. Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud: “ Barangsiapa yang ingin sangat hidup menjadi manusia yang terkuat maka bertawakkallah kepada Allah. Barangsiapa yang ingin sangat hendak menjadi manusia yang terkaya hendaklah menyakini bahawa apa yang ada di sisi Allah lebih baik dari apa yang ada di dalam tangannya. Dan sesiapa yang ingin sangat menjadi manusia yang termulia hendaklah takut kepada Allah”.
Hadis ini mengingatkan kita tentang berakhlak dengan Allah, bertawakkal kepada Allah, takut kepada Allah. Apabila manusia sudah mentaati perintah Allah dan amat mengharapkan keredhaan-Nya, maka akan lahirlah budi pekerti yang mulia untuk mereka di kalangan manusia.
Mengunjungi Baitullah untuk menunai ibadah Haji adalah satu tuntutan syarak. Dari ibadah itu akan lahirlah pengajaran-pengajaran yang amat berguna untuk manusia. Fadhilat Haji amatlah banyak. Salah satu ialah untuk mengingati Allah. Oleh itu perbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah. Berzikir kepada Allah di dalam masa Haji dan sesudahnya khusus di Arafah dan Mina
Salah satu rahsia Allah mewajibkan haji ialah untuk membersihkan diri mereka dari segala dosa, dari segala perangai keji dan perbuatan-perbuatan mungkar. Kalaulah umat Islam memahami dan menghayati tujuan tersebut dengan sebaik-baiknya tentulah tidak akan berlaku perkara-perkara mungkar di Tanah Suci. Semua orang yang menunaikan haji akan menjadi orang yang amat baik pekertinya. Tidak ada khurafat berlaku dan tidak ada perkara-perkara negatif berlaku kerana semuanya itu akan menyebabkan haji seseorang itu sia-sia. Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud: “ Sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan perkara-perkara fasik maka kembalinya ke tanah airnya nanti ia menjadi seperti anak yang baru lahir”.
PENUTUP
Usaha untuk mempertingkatkan kualiti ilmu ke dalam masyarakat Islam perlu diteruskan dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi perisai umat Islam dari diserapi gejala-gejala tidak sihat seperti khurafat dan sebagainya.
Pengetahuan tentang ibadat Haji adalah pengetahuan fardhu ain yang sepatutnya diketahui oleh masyarakat umum. Perlu dipelajari dengan cara-cara yang berkesan agar dengan ilmu yang mantap itu setiap yang pergi menunaikan haji benar-benar mengetahui mengapa ibadat itu diwajibkan.
Ibadat-ibadat dalam Islam adalah alat untuk mendidikan manusia. Jika dipergunakan ibadat itu sebagai alat mengajar, maka yang mempelajari sungguh-sungguh daripadanya akan mendapat pengajaran yang amat berkesan. Rasulullah S.A.W telah pun mempergunakannya untuk mendidik umat Islam di zamannya. Dengannya mereka menjadi sebaik-baik umat yang Allah ciptakan untuk menjadi contoh kepada manusia. Akhlak yang terpuji akan lahir dari keikhlasan beribadat kepada Allah. Apabila difahami maksud dan tujuannya dari akhlak yang terpuji lahirlah peribadi unggul memimpin manusia ke jalan yang diredhai Allah.
Semoga Allah memelihara kita dari terjatuh ke dalam khurafat dan semoga Allah memberi hidayat kepada kita untuk mencontohi akhlak Rasulullah S.A.W.
Comments
Post a Comment