Memahami Hukum Bersalaman Dengan Bukan Mahram
Oleh: Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com
Gejala Ikhtilath (percampuran
di antara kaum lelaki dengan wanita) semakin dianggap perkara biasa.
Mereka saling bersentuhan kulit, bersalaman tangan, bertepuk-tampar,
bersenda-gurau, sehingga ada yang berpelukan sesama sendiri tanpa timbul
sebarang rasa bersalah. Lebih merisaukan apabila ada yang menganggap
bahawa ia tidak termasuk kesalahan di sisi agama. Di antara sebab-sebab
perkara ini terus berleluasa mungkin adalah kerana faktor lemahnya iman,
budaya persekitaran yang penuh syubhat, terkesan dengan pelbagai adegan
filem dan drama, dan ketidak-tahuan mereka terhadap dalil-dalil
berkaitan yang menjelaskan persoalan tersebut secara jelas.
Di
samping adanya beberapa fatwa meragukan dari tokoh-tokoh tertentu
masakini yang mengharuskan bersalaman di antara lelaki dan wanita
ajnabiyah (bukan mahram) dalam keadaan tertentu. Ini adalah sebagaimana
yang diutarakan dan ditunjukkan antaranya oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
berpandukan beberapa tafsiran dan takwilan yang dikemukakannya. Apa pun,
fatwa beliau tersebut wajar ditinggalkan dengan mendahulukan apa yang
telah jelas dan bebas dari syubhat sebagaimana ditunjukkan oleh akhlak
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya sebagaimana
dalil-dalil yang bakal dikemukakan.
Dalil pertama
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
لأن يطعن في رأس رجل بمخيط من حديد خير من أن يمس امرأة لا تحل له
“Sekiranya
kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu
adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak
halal bagi kamu.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani. Dinilai sahih oleh
al-Mundziri, al-Haitsami, dan al-Albani)
Syaikh
al-Albani rahimahullah berkata, “Pada hadis ini terdapat ancaman yang
keras (tegas) kepada sesiapa sahaja yang menyentuh wanita ajnabiyah
(yang bukan mahram). Padanya juga terdapat dalil atas haramnya
bersalaman (mushofahah) dengan wanita. Sebab itu, tidak diragukan bahawa
bersalaman itu mengandungi unsur bersentuhan. Pada masa ini, umat Islam
banyak diuji dengan situasi ini, dan di antara mereka adalah dari
kalangan ahli ilmu. Sekiranya mereka mengingkari perkara tersebut dengan
hati mereka, tentu ada sedikit kemudahan untuk menasihati mereka.
Tetapi sayangnya, mereka menghalalkan perkara tersebut dengan pelbagai
cara (jalan) dan takwilan (penafsiran).” (Rujuk: al-Albani, as-Silsilah
ash-Shahihah, 1/225)
Dalil Kedua
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,
كُتِبَ
عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ
فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا
الِاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا
الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى
وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ
“Persoalan
anak Adam berkaitan zina telah ditentukan. Tidak mustahil ia pasti
melakukannya. Dua mata berzina dengan melihat, dua telinga berzina
dengan mendengar, lidah berzina dengan berkata-kata, tangan berzina
dengan menyentuh, kaki berzina dengan melangkah, hati berzina dengan
angan-angan (kehendak), dan kemaluanlah yang akan membenarkan
(merealisasikan) atau mendustakan semua itu.” (Sahih: Hadis Riwayat
Muslim)
Kaedah pengambilan dalil dari hadis ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah,
وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ
“... dan tangan berzina dengan menyentuh.” (Dari hadis di atas)
Dalam riwayat Ahmad disebutkan,
وَالْيَدُ زِنَاهَا اللَّمْسُ
“... dan tangan berzina dengan menyentuh.”
Dalam riwayat Ibnu Hibban juga disebutkan,
وَالْيَدُ زِنَاؤُهَا اللَّمْسُ
“... dan tangan berzina dengan menyentuh.”
Imam
an-Nawawi rahimahullah menjelaskan, “Makna hadis di atas adalah bahawa
setiap anak Adam itu mungkin ada yang ditakdirkan untuk melakukan
perbuatan zina. Di antara mereka ada yang melakukan zina dengan
sebenar-benarnya, iaitu dengan memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan
wanita secara haram. Di antara mereka ada yang zinanya secara majaz
(kiasan), iaitu dengan melihat perkara-perkara yang haram, atau dengan
mendengar sesuatu yang mengajak kepada perzinaan dan usaha-usaha untuk
melakukan kepada zina, atau dengan sentuhan tangan, atau menyentuh
wanita ajnabiyah (yang bukan mahram) dengan tangannya, atau menciumnya.
Atau dengan melangkah kaki menuju tempat perzinaan, melihat, menyentuh,
atau berkata-kata dengan cara yang haram bersama dengan wanita ajnabiyah
(yang bukan mahram), atau berangan-angan (imaginasi atau berniat)
dengan hatinya. (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 16/206)
Dalil ketiga
Nabi
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah bersalaman dengan wanita
yang bukan mahram baginya walaupun dalam perlaksanaan proses bai’at.
Secara umumnya tuntutan proses ini berlaku dengan cara bersalaman, iaitu
apabila dilakukan di antara Nabi dengan para sahabat lelaki yang lain.
Umaimah Binti Ruqaiqah menyatakan,
أتيت
رسول الله صلى الله عليه وسلم في نساء لنبايعه، فأخذ علينا ما في القرآن: {
أَنْ لا يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئًا } الآية، وقال: "فيما استطعتن
وأطقتن"، قلنا: الله ورسوله أرحم بنا من أنفسنا، قلنا: يا رسول الله، ألا
تصافحنا؟ قال "إني لا أصافح النساء، إنما قولي لامرأة واحدة كقولي لمائة
امرأة
“Aku
pernah pergi menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama
beberapa orang wanita untuk melakukan bai’at (perjanjian taat setia)
kepada beliau. Maka beliau pun membai’at kami dengan apa yang terdapat
dalam al-Qur’an, iaitu kami tidak boleh mensyirikkan Allah dengan segala
sesuatu. Lalu beliau bersabda, “Iaitu berkenaan dengan apa yang kamu
mampu dan sanggupi.”
Maka
kami pun berkata, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih menyayangi kami
daripada diri kami sendiri.” Seterusnya kami bertanya, “Wahai
Rasulullah, tidakkah kita perlu bersalaman?”
Beliau
menjawab, “Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita. Ucapanku
kepada seorang wanita bersamaan dengan untuk seratus orang wanita.”
(Sahih: Hadis Riwayat Ahmad)
Syaikh
Muhammad al-Amin asy-Syanqithi rahimahullah berkata, “Bahawasanya telah
tsabit daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beliau bersabda,
“Sesungguhnya aku tidak pernah bersalaman dengan kaum wanita.” Dan Allah
telah berfirman, “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu
contoh tauladan yang baik.” Dengan itu, demi untuk mencontohi
(mengikuti) beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka kita tidak
bersalaman tangan dengan wanita ajnabiyah... dan sikap beliau
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang tidak bersalaman tangan dengan wanita
di ketika melakukan bai’ah adalah merupakan dalil yang sangat jelas
bahawa seseorang lelaki tidak boleh bersalaman tangan dengan wanita yang
bukan mahramnya dan tidak dibenarkan sama sekali dari anggota badannya
menyentuhnya. Ini adalah kerana bentuk sentuhan yang paling ringan
adalah dengan bersalaman. Apabila Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
sendiri enggan untuk bersalaman dengan wanita ajnabiyah di ketika
waktu-waktu yang sangat diperlukan untuk bersalaman iaitu di ketika
waktu berbai’ah, maka ini menunjukkan bahawa bersalaman tangan dengan
kaum wanita ajnabiyah adalah tidak dibenarkan. Sesiapa pun tidak wajar
untuk menyelisihi beliau. Kerana beliau adalah yang menetapkan syari’at
untuk umat beliau sama ada dengan ucapan, perbuatan, ataupun pembenaran
(taqrir).” (al-Amin asy-Syanqitihi, Adhwa’ul Bayan fii Idhahal Qur’an
bil Qur’an, 6/256)
Imam
an-Nawawi rahimahullah berkata, “Perkataan (suara) wanita ajnabiyah
boleh kita dengari apabila ada keperluan, dan suaranya tidak termasuk
aurat (apabila tidak berlebih-lebihan – pent.). Menyentuh kulit wanita
ajnabiyah tidak dibolehkan tanpa adanya alasan darurat seperti sebab
perubatan, pendarahan, bekam, mencabut gigi, dan seumpamanya, di mana
apabila tiada wanita yang boleh melakukannya. Maka pada ketika itu
lelaki yang bukan mahram dibenarkan melakukannya atas faktor
keterpaksaan tertentu.” (Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 13/10)
Beliau
juga berkata, “Disebabkan melihat wanita yang bukan mahram itu
diharamkan (terdapat perintah menundukkan pandangan – pent.), sudah
tentu menyentuh kulitnya lebih diharamkan lagi. Ini adalah kerana
menyentuh lebih mudah membangkitkan syahwat.” (Imam an-Nawawi, Raudhatut
Thalibin wa ‘Umdatul Muftiin, 7/27)
Demikianlah
antara dalil-dalil utama dan penegasan para ulama ahlus Sunnah
wal-jama’ah dalam persoalan hukum bersentuhan kulit (termasuk
bersalaman) di antara lelaki dengan wanita bukan mahram yang
disengajakan. Sama ada berlapik atau bersarung tangan, maka ia tetap
terlarang. Tidak pernah pula dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa Sallam. Walau bagaimanapun, bersalaman atau bersentuhan di
antara suami dengan isteri adalah dibenarkan walaupun dalam keadaan
berwudhu’ dan tidak terbatal wudhu’ mereka. Semoga kita selaku umat
Islam diberikan kemudahan untuk memahami persoalan ini dengan baik.
Sekiranya bersalaman dan bersentuhan pun termasuk perkara yang
terlarang, fikirkanlah yang melampau dari itu! Wallahu ‘alam...
Comments
Post a Comment