MARI AMAL JARIAH DAN FISABILILLAH UNTUK SAHAM AKHIRAT ANDA - BAGI PERBELANJAAN PENGURUSAN MASJID DAN KAKITANGAN MASJID
SUMBANGAN BOLEH DIKREDITKAN KE AKAUN: MASJID BANDAR SERI PUTRA - Maybank Islamic : 5628 3450 4024
CIMB Islamic : 12 3700 006 081 08
Bank Islam : 1202 9010 0595 85
Resit rasmi drp Bendahari - Setiausaha - Sdr Adli 0132215804
Get link
Facebook
X
Pinterest
Email
Other Apps
Aurat Wanita Muslimah Menurut Syarak
Pembahasan
tentang masalah aurat wanita Islam tidak pernah sunyi dari
diperkatakan. Malangnya, apa yang mendukacitakan adalah sering kali
penjelasan tentangnya tidak berlandaskan nas yang sahih sebaliknya
hanyalah takwilan yang dilatari hawa nafsu serta kebencian kepada sumber
yang qat’ie. Sebahagian kaum Muslimah yang telah dirasuk pemikiran
kufur turut mempertikaikan kewajaran pemakaian tudung yang juga
dipanggil ‘hijab’ dengan menganggap menutup kepala sebagai menutup akal.
Contoh golongan ini adalah seperti Pengurus Program Sisters In Islam
(SIS), Norhayati Kaprawi dalam sesi dialog Islam Liberal di Hotel
Selesa, Pasir Gudang yang berkata bahawa pakaian taqwa itu lebih baik
dari menutup aurat.
Ada juga yang beranggapan menutup aurat adalah penyebab kemunduran umat
Islam. Ahmad Reda yang merupakan penyeru agar ditumbangkan sistem
pemerintahan Islam di Turki menganggap bahawa selagi lelaki dan wanita
Turki tidak bercampur bebas dan membuka hijabnya maka tiada kedaulatan
undang-undang dan kebebasan di Turki [Rujuk al-Ittijah al-Wataniah fi
al-Adab al-Mu’sir, Jil. 2, ms273). Manakala Taha Husin dari Mesir
menyatakan dalam bukunya ‘Mustaqbal al-Thaqafah fi Misr’: “Kita mesti
mengikut jejak langkah orang-orang Eropah dan cara mereka. Kita mesti
menjadi sekutu mereka dan rakan kongsi dalam ketamadunan, sama ada yang
baik atau yang buruk, sama ada yang manis atau yang pahit, sama ada yang
disukai atau yang dicaci.” Baginya menutup aurat perlu ditentang kerana ianya berbeza dengan Barat. Dr. ‘Imad ‘Abd Hamid An-Najar dalam Jaridah al-Akhbar pula menyatakan: “Adapun
mengenai hijab dan percampuran antara wanita dan lelaki dalam kehidupan
harian, ini adalah perkara yang boleh ditentukan oleh sesebuah
masyarakat berdasarkan keadaannya. Bagi setiap masyarakat ada pakaian
dan cara-cara yang memudahkan individunya. Apa yang disebut di dalam
al-Qur’an mengenai hijab adalah khusus untuk isteri-isteri Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam. Hukum-hakam ini bukanlah semestinya
berkaitan dengan seluruh wanita.”
Demikianlah di antara sebahagian penentangan-penentangan terhadap hukum
Allah yang ditunjukkan oleh kumpulan atau individu yang sudah teracun
oleh pemikiran kufur Barat. Di samping itu, masih terdapat ramai juga
wanita Muslim yang masih tidak tahu, tidak faham atau salah faham dengan
cara-cara menutup aurat secara syar’ie di dalam kehidupan mereka.
Justeru, mereka terjatuh di dalam dosa dan keharaman. Justeru, hukum
menutup aurat ke atas Muslimah ini mestilah diperhatikan betul-betul
agar kita tidak terjerumus ke dalam kesesatan dan dosa. Dalil-dalil tentang Aurat Wanita
(i) Batasan aurat wanita
Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua
telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki
ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut
sampai hujung kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan adalah aurat
yang wajib ditutup. Hal ini berlandaskan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya.” [TMQ An-Nur (24):31].
Yang di maksud “wa laa yubdiina ziinatahunnaa” (janganlah mereka menampakkan perhiasannya), adalah "walaa yubdiina mahalla ziinatahinnaa",
maksudnya janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh)
yang di situ dikenakan perhiasan. [Lihat Abu Bakar Al-Jashshash, Ahkamul
Qur`an, Juz III hal.316].
Selanjutnya, kalimah “illa maa zhahara minhaa” [kecuali yang
(biasa) nampak darinya], ini bermaksud, ada anggota tubuh yang boleh
dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak tangan. Demikianlah pendapat
sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan juga Aisyah
[Al-Albani, 2001:66].
Ibnu Jarir Ath-Thabari (wafat 310H) menjelaskan dalam kitab tafsirnya,
Jami Al-Bayan fi Tafsir Al-Qur`an Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang di
maksud “kecuali yang (biasa) nampak darinya (illaa maa zhahara minha)”,
katanya, pendapat yang paling mendekati kebenaran adalah yang
mengatakan bahawa, yang dimaksudkan (dalam ayat di atas) adalah wajah
dan dua telapak tangan.
Pendapat yang sama dinyatakan Imam Al-Qurthubi dalam kitab tafsirnya
Al-Jamia li Ahkam Al-Qur’an, Juz XII hal. 229 [Al-Albani, 2001:50 &
57]. Jadi, apa yang biasa nampak darinya adalah wajah dan dua telapak
tangan sebab kedua anggota tubuh inilah yang biasa nampak dari kalangan
Muslimah di hadapan Nabi Sallalahu alaihi wa Sallam sedangkan
baginda mendiamkannya. Kedua anggota tubuh ini pula yang nampak dalam
ibadah-ibadah seperti haji dan solat dan biasa terlihat di masa
Rasulullah iaitu di masa masih turunnya ayat Al Qur`an [An-Nabhani,
1990:45].
Dalil lain yang menunjukkan bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah
aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah sabda Rasulullah
kepada Asma’ binti Abu Bakar,
“Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh
(haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan
ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.”[HR Abu Dawud]
(ii) Aurat Wanita dalam Hayaatul ‘Am (Kehidupan Umum/Public Life)
Yang dimaksudkan dengan hayaatul ‘am adalah keadaan di mana
wanita itu berada di luar dari kawasan rumahnya di mana mereka bercampur
dengan masyarakat. Pakaian wanita dalam kehidupan umum iaitu di luar
rumahnya terdiri dari dua jenis iaitu
(a) libas asfal (baju bawah) yang disebut dengan jilbab, dan
(b) libas ‘ala (baju atas) iaitu khimar (tudung).
Dengan dua pakaian inilah seseorang wanita itu boleh berada dalam
kehidupan umum seperti di jalanan, di pasar-pasar, pasar raya, kampus,
taman-taman, dewan orang ramai dan seumpamanya. Dalil wajib memakai
jilbab bagi wanita adalah berdasarkan firman Allah,
“Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak
perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka
mengulurkan jilbabnya.” [TMQ Al-Ahzab (33):59].
Oleh sebab Al-Quran adalah berbahasa Arab, dan perkataan “jilbab” itu
adalah perkataan Arab, maka kita hendaklah memahami apakah yang
dimaksudkan “jilbab” di dalam bahasa Arab. Dengan kata lain, kita
hendaklah memahami dan mengikuti apakah yang orang Arab faham bila
disebut jilbab. Maka inilah pakaian yang diperintahkan oleh Allah kepada
perempuan. Di samping itu, perincian tentang pakaian ini telah pun
dijelaskan di dalam banyak hadis sahih yang wajib diikuti oleh setiap
orang.
Jadi, apakah makna jilbab itu? Selain dari melihat sendiri kepada
nas-nas hadis tentang pakaian yang dipakai Muslimah semasa zaman
Rasulullah, kita juga boleh merujuk kepada banyak kamus Arab untuk
mengetahui makna “jilbab”. Dalam kitab Al-Mu’jam Al-Wasith karya Dr.
Ibrahim Anis [Kaherah: Darul Maarif ms 128], jilbab diertikan sebagai
ats-tsaubul musytamil ala al-jasadi kullihi (pakaian yang menutupi
seluruh tubuh), atau ma fauqa ats-tsiyab kal milhafah (pakaian luar yang
dikenakan di atas pakaian rumah, seperti milhafah (seperti jubah), atau al-mula’ah asy-tamilu biha al-mar’ah (pakaian luar yang digunakan untuk menutupi seluruh tubuh wanita).
Berdasarkan pengertian ini, jelaslah bahawa yang diwajibkan ke atas
wanita adalah mengenakan pakaian yang satu (sekeping) yang lurus dari
atas hinggalah ke bawah, yakni hingga ke mata kaki. Maksud milhafah/mula’ah (Arab)
adalah pakaian yang dikenakan sebagai pakaian luar [di dalamnya masih
ada pakaian dalam (pakaian rumah) atau pakaian sehari-hari tetapi bukan
hanya coli dan seluar dalam] lalu diulurkan ke bawah hingga menutupi
kedua mata kakinya. Untuk pakaian atas, wanita disyariatkan/diwajibkan
memakai “khimar” iaitu tudung atau apa sahaja bahan/kain yang
serupa dengannya yang berfungsi menutupi seluruh kepala, leher, dan
lubang leher baju di dada.
Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman Allah,
“Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” [TMQ An-Nur (24):31].
Pakaian jenis ini (jilbab dan khimar) wajib dipakai oleh seorang
Muslimah (yang telah baligh) apabila hendak keluar menuju ke pasar-pasar
atau berjalan melalui jalanan umum. Setelah memakai kedua jenis pakaian
ini (jilbab dan khimar) maka barulah dibolehkan baginya keluar dari
rumahnya menuju ke kehidupan am tanpa sebarang dosa. Jika tidak, maka
dia tidak boleh (haram) keluar dari rumah kerana perintah yang
menyangkut kedua jenis pakaian ini datang dalam bentuk yang umum, dan
tetap dalam keumumannya dalam semua keadaan. Mana-mana wanita yang telah
baligh dan melanggar ketetapan Allah ini, maka berdosalah mereka dan
layak mendapat seksa Allah di akhirat nanti.
(iii) Pakaian wanita dalam Hayatul Khassah (Kehidupan Khusus/private life) Yang dimaksudkan dengan hayatul khassah adalah keadaan di
mana seseorang wanita itu menjalani kehidupannya di rumahnya bersama
dengan anggota keluarganya yang lain.
Adapun cara seorang Muslimah menutupi auratnya di hadapan lelaki ajnabi
dalam kehidupan khusus seperti di rumahnya atau di dalam kenderaan
peribadi, syarak tidak menentukan bentuk/fesyen pakaian tertentu tetapi
membiarkan secara mutlak tanpa menentukannya dan cukup dengan
mencantumkan lafaz dalam firman-Nya,
“wa laa yubdiina” (“dan janganlah mereka menampakkan”) [Surah An-Nur:31]
atau sabda Nabi,
“lam yashluh an yura minha” (“tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya”) [HR Abu Dawud].
Jadi, pakaian yang menutupi seluruh auratnya kecuali wajah dan telapak
tangan dianggap sudah menutupi, walau bagaimana pun bentuknya. Tetapi ia
adalah tertakluk kepada hukum tabarruj (sila lihat perbincangan di
bawah).
Berdasarkan hal ini maka setiap bentuk dan jenis pakaian yang dapat
menutupi aurat iaitu yang tidak menampakkan aurat dianggap sebagai
penutup bagi aurat secara syar'i, tanpa melihat lagi bentuk, jenis, atau
fesyennya. Namun demikian syara' telah mensyaratkan dalam berpakaian
agar pakaian yang dikenakan dapat menutupi kulit. Jadi pakaian wajib
dapat menutupi kulit sehingga warna kulitnya tidak diketahui. Jika tidak
demikian, maka tidak dikatakan menutup aurat. Oleh kerana itu apabila
kain penutup itu tipis/transparent sehingga nampak warna kulitnya dan
dapat diketahui sama ada kulitnya berwarna merah atau coklat, maka kain
penutup seperti ini tidak boleh dijadikan penutup aurat dan haram hukum
memakainya.
(iv) Wajib memakai tsaub, di samping jilbab
Tsaub ialah ‘pakaian di rumah’ iaitu pakaian yang dipakai oleh
wanita di hadapan mahramnya semasa berada dalam hayatul khassah
(kehidupan khusus) tatkala tiada lelaki ajnabi (lelaki asing) di
dalamnya. Dalil mengapa wajib mengenakan tsaub di dalam jilbab ialah
berdasarkan firman Allah,
“Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haidh dan
mengandung) yang tiada ingin berkahwin (lagi) tiadalah atas mereka dosa
menanggalkan pakaian (tsiyab) mereka, dengan tidak bertujuan mendedahkan
perhiasan mereka” [TMQ An-Nur (24):60].
Ayat ini membenarkan wanita yang telah putus haid dan tiada keinginan
berkahwin menanggalkan atau melepaskan pakaian (tsaub). Ini bermakna,
jika tiada ‘pakaian’ di dalam jilbab, bermakna wanita yang telah putus
haid berkenaan akan berbogel, walhal berbogel tidak dibolehkan. Justeru,
tsaub adalah ‘pakaian dalam’ (pakaian rumah) yang wajib dipakai oleh
Muslimah di samping jilbab (pakaian luar) di dalam hayatul am atau di
dalam hayatul khas tatkala ada lelaki ajnabi. [Rujuk Imam Muhammad Abu
Zahrah dalam kitab Usulul Fiqh:164-147, Abdul Wahab Khallaf kitab Ilmu
Usul Fiqh:143-153 dan Sheikh Taqiuddin an-Nabhani dalam kitab
As-Syahsiyyah Al-Islamiyyah Juz. 3:178-179].
Larangan Bertabarruj
Adapun dalil tentang larangan bertabarruj adalah juga dari Surah An-Nur (24):60 iaitu Firman Allah,
“Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti [dari haid dan
mengandung] yang tiada ingin kawin [lagi], tiadalah atas mereka dosa
menanggalkan pakaian mereka dengan tidak [bermaksud] menampakkan
perhiasan (tabaruj), dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka.
Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. [TMQ An Nur(24):60]
Mafhum muwafaqah (yang disepakati) dari ayat ini adalah jika
perempuan tua yang telah putus haid haram menampakkan perhiasan iaitu
bertabarruj, apatah lagi perempuan yang masih muda, belum putus haid dan
berkeinginan berumahtangga, tentulah lebih lagi. Dalil lain ialah
“Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah.” [TMQ Al-Ahzab (33):33]
Dan Hadis Rasulullah riwayat dari Bazzar dan At-Termizi menjelaskan,
“Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, setiap kali mereka keluar, syaitan akan memperhatikannya.”
Abul A’la al Maududi berkata:
“Jika kalimat tabarruj dipergunakan kepada kaum wanita, ia bermakna-
(i) wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (yang bukan mahramnya);
(ii) wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada
lelaki asing; dan memperlihatkan dirinya, make-upnya, gerak-gerinya dan
kemegahannya. Selain memastikan pakaiannya tidak nipis, jarang, longgar,
tidak memakai perhiasan yang menarik perhatian lelaki ajnabi, tidak
menyerupai pakaian lelaki atau orang kafir/musyrik, pakaiannya yang
bukan melambangkan kemegahan, dia juga tidak boleh tampil dengan haruman
semerbak. "Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian
melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka
dia dikira berzina” [hadis dari Abu Musa al-Asy’ari].
Khatimah
Sesungguhnya aurat wanita Islam bukanlah hanya tudung semata-mata
sebagaimana yang difahami oleh sebahagian umat Islam sebaliknya apa yang
paling penting ialah setiap Muslimah mestilah memahami batasan aurat
dalam hayatul khassah (kehidupan khusus) dan hayatul am (kehidupan umum)
menurut syarak selain menyedari keharaman bertabarruj atas semua wanita
sama ada belum atau telah putus haid. Menutup aurat juga hendaklah
didasari dengan iman dan taqwa iaitu mengharapkan keredhaan Allah
semata-mata, bukan atas dasar hak asasi atau rutin harian. Memetik
kata-kata Sheikh Ali Thantawi:
"Terdapat perbezaan yang besar antara seorang yang terjaga lewat
pagi kemudian terus bergegas untuk keluar bekerja. Disebabkan kesibukan
menjalankan tugas, beliau tidak berkesempatan untuk makan dan minum
sehingga tibanya waktu malam, sementara seorang yang lain yang turut
mengalami keadaan berlapar dan dahaga tetapi telah berniat untuk
berpuasa, telah mendapat pahala daripada amalannya disebabkan niatnya,
sementara orang yang pertama tidak memperoleh apa-apa sedangkan dia
turut berlapar dan dahaga. Begitulah keadaannya dengan amalan-amalan
kebiasaan yang lain, bilamana diniatkan untuk mendapatkan keredhaan
Allah Subhanahu wa Taala akan memperolehi pahala dari Nya, sebaliknya
jika dilakukan sebagai rutin hidup, dia tidak akan memperoleh apa-apa".
7 Salamun / 7 Ayat Keselamatan (Salamun) 7 Ayat Keselamatan (Salamun) ini dibaca masing-masing 7x setiap sehabis sholat subuh dan maghrib, InsyaAllah kita akan terbebas dari segala macam bahaya dan mendapat perlindungan Allah SWT 1. Salamun Qaulam Mirrabbirrahim 7x 2. Salamun Ala Ibrahim 7x 3. Salamun Ala Nuhin Fil Alamin 7x 4. Salamun Ala Musa Wa Harun 7x 5. Salamun Alaikum Thibtum Fadhkhuluna Khalidin 7x 6. Salamun Ala Ilyasin 7x 7. Salamun Hiya Hatta Mat La'il Fajr Telah kubaca ayat-ayat suci di dalam Qalam Ilahi, dalam surat As-Shaffat. Ada satu hal yang sangat membuat jiwa ini ikut merindukan untuk mendapatkannya. Di dalam surat As-Shaffat dikisahkan para Nabi dan Rasul yang mulia. Para utusan Allah tersebut mendapat ucapan salam. Sebuah salam yang sangat indah. Sangat indah sekali.. Karena salam itu berasal dari Ar-Rahim, Allah Yang Maha Penyanyang: “Salamun ‘ala nuhin fil ‘alamin.” “Kesejahteraan (Kami limpahkan) atas Nuh di seluruh alam.” “Salamun ‘...
Resepi Perut Lembu Panggang Assalamualaikum… Bila dah berkahwin, macam-macam makanan yang Zifa jumpa. Maklumla kahwin dengan berlainan negeri. Kalau kahwin sama-sama kampung tak merasa la pengalaman berada di negeri orang. Sebab itu digalakkan kita mencari ilmu sampai ke negeri China. Banyak perkara baru yang dapat kita perolehi. So, entry kali ini Zifa nak berkongsi satu resepi keluarga yang Zifa belajar dari mak mertua Zifa iaitu resepi perut lembu bakar. Meleleh pulak. Ini adalah antara resepi dan makanan yang Zifa baru jumpa dan cuba sejak berkahwin. Zifa memang minat dengan apa-apa makanan yang berasaskan perut lembu. Di Terengganu, resepinya lain skit. Nanti akan dikongsikan kemudian. Actually perut lembu yang dimaksudkan dalam resepi ini adalah perut bulat iaitu usus lembu yang panjang-panjang tu. Suami panggil nama ‘perut bulat’. Tak tau la pulak hang pa panggil apa. Orang Utara panggil esau atau perut muda. Jom....
BOMOH HAJI JAMIL KG GANGSA, DURIAN TUNGGAL, MELAKA Penawar Batu Karang Hempedu dan lain-lain penyakit Salam pagi Jumaat Hari baik2 ni nak ler berkongsi dgn u all pasal penyakit batu karang yer kot2 ada yang mencari2 perubatan tradisional meh sini I nak share mende2 baik ni kita kena kongsikan bersama Pagi2 buta sebelum suboh dah tercongok kat sini bukan aku yang sakit temankan ajer sebab kesian sakitnya dah teruk sgt sampai nak kena buat operations So sebagai mencari alternatif lain tak salah rasanya kalau nak mencuba rawatan tradisional cuma aku tekankan kat sini kalau bomoh yang pakai jampi serapah contoh cam kemenyan tu sorilah dah sah2 aku sendiri pun tak percaya khurafat lagi (baru jer feeling2 nak bodek Mr Y pi tengok citer khurafat..tp ada blogger kata tak serem punnn...cancell) So kalau korang pi sini tak perlu bawa air...botol beli jer kat sini...yang besar tu harganya RM2 ... so kami beli dua sebab apa aku expla...
Comments
Post a Comment