Mencerap Sumber Mutiara Ilmu Islam

Kehebatan dunia maya pada hari ini sangat membantu proses pemidahan maklumat dan ilmu daripada sumbernya kepada manusia sejagat. Halangan bahasa dan geografi serta masa tidak lagi boleh menjadi alasan bagi sesiapa sahaja mendapatkan maklumat atau ilmu kerana segalanya, meskipun tidak total boleh digapai dengan ketikan-ketikan jari di papan kekunci.

Bertalaqi adalah antara kaedah utama bagi umat Islam menuntut ilmu merujuk kepada tradisi sejarah Islam itu sendiri, talaqi itu boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:

1.Perlu seseorang itu berguru dalam erti kata perlunya seseorang itu kepada pembimbing (guru/ustaz/syeikh/murabbi/muallim) dalam proses mendapatkan ilmu. Ia boleh sahaja sama ada secara personal dan juga secara umum sebagaimana hari ini di sekolah dan universiti serta di pondok-pondok.

Kaedah kuliah di masjid-masjid dan surau juga termasuk dalam kategori ini. Cara ini boleh dikaitkan dengan cara bagaimana Rasulullah menerima wahyu daripada Allah melalui perantaraan Jibril dan kemudian bagaimana Rasulullah menyampaikan ilmu wahyu tersebut kepada para sahabat.

2. Seseorang itu juga boleh terlebih dahulu membaca dan menghafal sebanyak mungkin maklumat serta ilmu daripada bahan-bahan bacaan yang khusus atau pelbagai mengikut kecenderungan dan minatnya sendiri dan kemudian barulah menghadap dan berbincang dengan guru bagi membincangkan apa yang dibacanya.

Cara ini ternyata lebih membina dan menyebabkan seseorang menjadi lebih kritis. Cara ini diteladani daripada Imam Syafie yang terlebih dahulu menghafal kesemua isi kitab Al-Muwatta' karangan Imam Malik dan kemudian barulah beliau pergi berguru dengan Imam Malik di Madinah.

Kedua-dua kaedah ini terpakai dalam Islam dan masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan bergantung kepada si pencari ilmu itu sendiri. Apapun keadaan dan caranya, andai si pencari ilmu benar ikhlas dalam menuntut ilmu dan cintakan kebenaran, kedua-dua cara adalah cara yang terbaik buat diri mereka.

Peringkat Ilmu-ilmu dalam Islam

Pada peringkat awal kerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w. selama 10 tahun di Makkah, ayat-ayat al-Quran yang diturunkan banyak menekankan mengenai isu akidah.

Justeru bentuk atau ciri ayat al-Quran dapat dikenal pasti melalui ayat-ayat yang diturunkan biasanya pendek-pendek, membicarakan isu tauhid dan kebanyakan bermula dengan seruan 'Wahai sekalian manusia'.
Daripada sumber ini maka lahirlah ilmu yang dikenali sebagai Ilmu Akidah atau Ilmu Tauhid serta cabang-cabangnya.

Manakala bagi 13 tahun fasa Madinah, ayat-ayat al-Quran yang diturunkan adalah panjang, menyangkut isu-isu syariat (hukum-hakam); ibadah, muamalat, undang-undang, kepimpinan, ketenteraan, pendidikan dan sebagainya serta biasanya bermula dengan seruan 'Wahai orang yang beriman'.

Daripada sumber ini pula lahir ilmu yang dikelas dan dinamakan sebagai ilmu Syariat Islamiyah yang merangkumi ilmu Fiqh dan Usul al-Fiqh serta cabang-cabangnya.

Selain daripada kedua pembahagian ini, sepanjang 23 tahun tersebut malah semenjak Rasulullah baru dilahirkan sehingga wafat ada satu lagi cabang ilmu yang kemudian dibangunkan daripada watak Rasulullah itu sendiri iaitu ilmu berkaitan dengan akhlak. Ianya berjalan seiring dengan hayat Rasulullah meskipun al-Quran belum diturunkan lagi.

Justeru, sepanjang 63 tahun kehidupan Rasulullah ilmu yang paling besar terhasil daripada watak dan sosok tubuh baginda serta hati budinya adalah ilmu akhlak yang kemudian terkenal dengan nama Ilmu Tasawuf oleh ulama kemudiannya.

Selain daripada terma tasawuf dan ahli sufi, ia juga dikenali sebagai ilmu insan, fiqh al-batin, Rabbani, al-tariq ila Allah dan sebagainya.

Akidah, Syariat dan Tasawuf

Ketiga-tiga cabang utama daripada asas ilmu Islam ini terus berkembang dan berkembang mengikut kefahaman dan pengaruh ilmu, geografi dan zaman, malah politik! Ijtihad-ijtihad dan inovasi dalam mengenengahkan gagasan ilmu ini bagi diterima dan relevan sepanjang masa dan tempat oleh manusia sentiasa dibuat khususnya dalam ilmu syariat merujuk kepada perbahasan fiqh dan usul fiqh (yang digagaskan oleh Imam Syafie melalui karya beliau, Ar-Risalah).

Dalam masa yang sama, cabang Ilmu Akidah juga tidak terlepas daripada pengembangan kepada metode-metode khas yang berdasarkan kepada ijtihad alim ulama zaman berzaman. Sebagai contoh lahirnya metode bagi memahami ilmu akidah yang merujuk kepada pembahagian Tauhid Uluhiyah, Tauhid Rububiyah dan Asma wa Sifat yang diguna pakai oleh para ulama salaf.

Kemudian pula lahir apa yang diistilahkan sebagai Ilmu Kalam yang kemudian dilandasi oleh para ulama aliran Asyaariyah dan Maturudiyah sebagai kaedah dalam memahami Ilmu Akidah. Sifat 20 menjadi landasan kepada pengajian mengenal Allah yang juga merujuk kepada penggalian sumber daripada al-Quran dan hadis pastinya.

Antara sebab lahirnya kaedah-kaedah ini yang boleh disimpulkan berdasarkan kepada sumber yang sama iaitu al-Quran dan hadis adalah refleksi kepada masalah-masalah atau kumpulan-kumpulan pemikiran yang muncul pada zaman para ulama yang mengagaskan pemikiran dan metode ini. Aliran kalam adalah refleksi kepada wujud dan meluasnya ancaman golongan Muktazilah yang menggunakan kaedah ra'yi iaitu logik akal semata-mata dalam mentakwil pemahaman agama dan ilmu-ilmunya.

Justeru bagi menjawab dan berhujah dengan golongan tersebut, kaedah yang sama diperlukan namun pastinya dengan mendasarkan hakikat ilmu daripada al-Quran dan hadis. Maka Ilmu Kalam menjadi senjata yang ampuh dalam menghadapi dan menjadi refleksi kepada kelahiran aliran pemikiran Muktazilah (golongan Liberal pada hari ini juga dikenali sebagai neo-Muktazilah).

Ilmu tasawuf yang kemudian sinonim dengan terma sufi atau ahli sufi kemudian menyusul dan juga mendapat perhatian daripada para alim ulama sejak daripada abad pertama hijrah lagi. Nama-nama besar seperti Uwais al-Qarni, Fudail bin Iyadh, Hasan al-Basri, Sufian al-Tsauri dan ramai lagi biasa dikaitkan dengan gelaran ulama sufi.

Gelar seperti Ulama Tauhid, Ulama Fiqh dan Ulama Tasawuf kemudian seakan menjadi label-label khas dan rasmi pula kepada seseorang ulama yang menonjol dalam pecahan-pecahan tersebut. Hakikatnya para ulama zaman awal Islam adalah alim dalam kesemua pecahan ilmu tersebut, cuma diberi gelar ulama sekian-sekian apabila menonjol dalam sesuatu ilmu berbanding yang lain. Selain daripada itu gelaran seperti Ulama Hadis, Ulama Tafsir, Ulama Tarikh, Ulama Nahu Saraf dan sebagainya seiring dengan perkembangan ilmu-ilmu Islam dan cabangnya.

Ironinya perkembangan ilmu tasawuf menjadi sedikit tercalar apabila dikatakan terpengaruh dengan ajaran kerahiban daripada agama lain seperti agama Nasrani dan Yahudi. 

Realiti Pada Hari Ini

Alhamdulillah dengan sistem pengajian yang semakin efisien dan kondusif serta alat bantu seperti komputer, internet dan segala macam jenis teknologi amat membantu dan memudahkan proses pencarian ilmu tanpa menafikan bahawa berguru sama ada bertalaqi dengan kaedah pertama dan kedua di atas adalah suatu keperluan dalam proses penerimaan ilmu itu sendiri.

Namun di sebalik kebaikan timbul pula kegusaran yang mana kini sudah menjadi kebiasaan bagi sesiapa sahaja bercakap dan memberikan pandangan dalam isu agama sehinggakan tanpa sedar atau tidak mereka seolah memberikan fatwa dan menyanggah fatwa yang sudah sedia ada dengan alasan mencari kebenaran, hak agama yang tidak perlu menjadi ekslusif kepada para agamawan sahaja dan sebagainya.

Secara dasarnya ia adalah suatu fenomena yang bagus. Kecaknaan dan kecenderungan bagi menjadikan ilmu agama sebagai bahan wacana dan sembang santai di laman sesawang menunjukkan ada perubahan di kalangan Generasi Y dan mereka yang bukan berlatar pengajian agama bagi mendekati agama dan sumbernya.

Ia kini menjadi ujian yang besar kepada para agamawan dalam menghadapi dan membimbing golongan jalur lebar bagi memberikan mereka panduan bagaimanakah cara yang terbaik bagi mereka menangani ilmu agama dalam kehidupan maya mereka agar nanti agama Islam dan ilmunya memberikan manfaat sebagaimana yang sepatutnya dan bukan menjadi fitnah kepada agama Islam dan diri mereka sendiri.

Ilmu agama yang ekslusif dan inklusif

Tidak dinafikan bahawa Islam adalah agama sejagat dan agama untuk semua penganutnya. Justeru membincangkan isu agama adalah suatu kemestian bagi penganutnya apatah lagi bagi mendalami ilmu agama itu sendiri. Menjadi suatu yang tabii juga tahap kefahaman dan kebolehlaksaan amalan setiap daripada manusia itu juga adalah berbeza-beza.

Persoalan yang timbul adalah, apakah tidak boleh bagi kita selaku orang awam bagi membincangkan perihal Islam dan ilmu-ilmunya? Sedangkan Allah taala juga berpesan yang bermaksud,
"...Maka bertanyalah kepada ahli zikri (ahlinya) andai kamu tidak tahu." (Surah al-Anbiya, ayat 7)

Ada sebuah anekdot ringkas bagi menjelaskan perkara ini. Anekdot ini diambil daripada rencana berjudul Ulama Masa Kini; Peranannya (1 Mac 2012, kalamkhalifah.com): Sepasang adik-beradik yang merupakan seorang Dr. Pakar Otak dan seorang Dr. Falsafah Pengajian Islam pengkhususan Fiqh dan Usul berdiskusi setelah lama tidak berjumpa.

Dr. Pakar: Kenapa murung sahaja, ada apa-apa masalah?
Dr. Falsafah: Tidak ada apa-apa, sedang fikir mengenai sesetengah golongan yang berpendapat Islam dan ilmu-ilmu khusus seperti pengeluaran fatwa dan penghuraian dan pentafsiran terhadap al-Quran dan hadis tidak wajar diekslusifkan kepada para sarjana dan ulama yang berlatar belakang ilmu Islam sahaja.
Dr. Pakar: Apa yang menjadi masalahnya?

Dr. Falsafah: Memang diperakui Islam adalah agama yang inklusif, namun ilmu-ilmunya yang cabang, bermula daripada Ulum al-Quran, Usul al-Tafsir, Ulum al-Hadis, Fiqh dan Usul al-Fiqh memerlukan disiplin yang khusus dan ketat bagi memahami dan beramal dengannya, justeru tidak wajar bagi ilmu-ilmu ini dibincangkan dengan wewenang dan menyebabkan salah faham kepada sumber ilmu Islam dan Islam itu sendiri.

Dr. Pakar: Ya, saya juga berpendapat dengan kamu. Perkara-perkara asas tidak wajar dieksklusifkan, namun bagi ilmu-ilmu khusus pastinya ia memerlukan suatu disiplin pengajian dan pemahaman yang panjang dan memakan masa. Sama juga seperti doktor perubatan yang pakar dalam bidang yang khusus, seperti saya dalam bidang otak, makanya saya pakar dalam penyakit otak. Bukan sahaja orang awam, malah doktor-doktor junior dan bukan pakar dalam penyakit otak wajar menghormati kepakaran dan pendapat saya.

Dr. Falsafah: Itulah, saya harap mereka menghormati saya dalam mendapatkan pendapat dan fatwa agama sebagaimana mereka menghormati kamu, apabila mereka mahu otak mereka dibedah oleh kamu.

Dr. Pakar: Tapi itu tidak bermaksud si pakar sentiasa betul, kadang-kadang mereka boleh sahaja melakukan kesilapan.

Dr. Falsafah: (Tersenyum dan mengangguk) Benar

Kemudian cuba fahami penjelasan di bawah ini:Ulama perlu diperakui, dihormati kealiman dan ketokohan mereka dalam disiplin dan pengkhususan pengajian mereka, namun dalam masa yang sama tidak dapat tidak kita tidak boleh nafikan sumbangan barat, so called orientalis dalam memberikan perspektif baru kepada sudut pandang Islam dan ilmu-ilmunya yang menyebabkan umat Islam perlu bekerja lebih keras bagi mengatasi mereka.

Ini adalah suatu perkara yang positif. Perlu difahami, pembahagian sumber ilmu fundamental Islam hinggalah kepada ilmu-ilmu cabang tidak lepas daripada dua bahagian besar ini.

Menurut Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dan ulama-ulama semasa dengannya ia terbahagi kepada dua iaitu:
1. Ilmu Riwayah
2. Ilmu Dirayah
Ilmu Riwayah adalah umum kerana skop perbincangannya adalah lebih berkisarkan sejarah, susur galur, proses, teknikal dan sebagainya. Perkara-perkara kulit dan illmu ini saya fikir tiada masalah sesiapapun mahu membincangkannya namun masih perlu dalam ruang lingkup sumber dan disiplin yang tidak batil. Dalam erti kata lain, sesiapa yang mahu membincangkan isu dalam ruang lingkup ilmu riwayah juga masih perlu mempunyai asas kepada maklumat dan ilmu daripada sumber yang diperakui oleh Islam.

Ilmu Dirayah yang memfokuskan mengenai tafsiran al-Quran dan hadis, dan daripada pemahaman dan kajian yang mnedalam oleh ulama, istinbat (pengeluaran) hukum berdasarkan keduanya dibuat dengan tambahan pengalaman dan fatwa (atsar) para sahabat Rasulullah, tabien, tabi tabien dan ulama muktabar sebelumnya. Dalam menginstinbatkan sesuatu hukum, pastinya memerlukan seorang yang pakar dan tinggi ilmunya sementelah dalam Islam, maqam bagi seseorang digelar ulama itu sangat ketat syaratnya.

Konklusi

Dengan daya capaian yang sangat efisien pada hari ini, adalah menjadi sangat mudah bagi seseorang itu menyemak dan menilai sesuatu maklumat sama ada sahih atau palsu, contohnya mengenai status sesebuah hadis. Apabila menjumpai sebuah hadis yang dirasakan bagus namun dengan status yang meragukan, langkah yang terbaik adalah meninggalkannya atau sekadar mengungkapkannya sebagai kata-kata hikmah.
Sementelah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang berdusta lantas menyandarkannya kepadaku, tempahlah tempatnya dalam api neraka." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagi tujuan perkongsian dan rujukan, kenapa tidak merujuk terus kepada sumber-sumber hadis yang sahih sebagai contoh kitab-kitab imam hadis yang muktabar, paling tidak ada sembilan semuanya dan semuanya sudah ada dalam versi dalam talian sebagaimana yang dijana oleh para cendekiawan dan pencinta Islam dari seberang di bawah program lidwa.com.

Merujuk kepada sumber yang sahih dan ulama yang faqih (pakar) dalam bidang-bidang pengkhususan mereka adalah cara yang selamat bagi sekalian Muslim dalam mendalami dan menyebarkan sesuatu maklumat/ilmu. Hendak dapat tidak, seorang Muslim mesti menempuhi jalan yang sudah tersedia secara sunnatullah dan syariatullah sama ada sukar ataupun senang dalam menggapai faham dan amal dalam ilmu akidah (tauhid dan aliran pemikiran), ilmu syariat (fiqh dan usul) dan ilmu tasawuf (adab dan akhlak) seterusnya kepada ilmu-ilmu cabang di bawah ilmu-ilmu usul tersebut.
- Artikel iluvislam.com

Comments

Popular posts from this blog