LAPANGKAN HATIMU DENGAN TAUBAT
Satu cara untuk mengetahui sejauh mana kita benar-benar beriman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa terhadap hati kita?
Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa?
Jika terasa menyesal, itu petanda Iman masih ada di dalam dada.
Sebaliknya, jika dosa tidak memberi kesan apa, malah kita tetap
gembira...
1
Itu satu petanda buruk. Iman kita amat lemah, hati kita sedang sakit. Boleh jadi sudah menanti masa sahaja untuk melayang.
Apa tanda menyesal? Menyesal bukan menyesal jika kita hanya berasa
sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi menyesal yang sebenarnya apabila
kita mula bertindak selaras dengan apa yang kita kesalkan.
2
Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita tempuhi jalan-jalan
taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan mengulanginya lagi dan
berbuat baik sebagai 'galang-ganti' kepada kejahatan yang kita lakukan
itu.
Mari kita bertanya pada hati masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan taubat?
3
Pangkat di dunia tidak akan berguna selepas mati, sedangkan pangkat
taqwa di sisi Allah bukan sahaja berguna di dunia – dengan jaminan
pembelaan, kecukupan rezeki, diberi jalan keluar daripada sebarang
masalah dan lain-lain, malah lebih berguna di Akhirat nanti – kehidupan
yang hakiki dan abadi.
Rasulullah S.A.W bersabda : "Malaikat Jibril datang kepadaku dan
berkata : "Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak
mengucapkan selawat atasmu". Aku mengucap : "Amin". "Rugi orang yang
berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai
bisa masuk ke Syurga". Aku berkata : "Amin". Jibril berkata lagi : "Rugi
orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai
terampuni dosa-dosanya". Lalu aku mengucapkan : "Amin". [HR. Ahmad]
4
Hati siapa yang tidak tersentuh apabila mendengar hadis di atas?
Betapa ruginya nanti kita di Akhirat sana. Dosa tidak diampunkan, masuk
ke Neraka dan jauh daripada rahmat dan pengampunan Allah.
Menyesallah dahulu, kerana menyesal kemudian tidak berguna. Jika kita
hendak menangis, maka menangislah pada hari ini... kerana menangis di
Akhirat sudah terlambat dan tidak berguna.
5
Takutilah akibat dosa yang kita lakukan. Jangan ambil mudah dengan
kemurkaan Allah. Jika marah isteri, suami, boss dan kawan-kawan pun
sudah boleh menyebabkan hidup kita resah dan susah, apalagi murka Allah,
Tuhan yang mencipta kita.
Ya, kita sering terlupa bencana akibat dosa boleh datang tiba-tiba.
6
Lupakah kita dengan kaum Aad yang ditimpa bencana tepat ketika mana
mereka berarak ria menuju 'syurga' ciptaan raja mereka? Apakah kita lupa
bagaimana sikap Rasulullah S.A.W ketika baginda dan para sahabat
melalui lokasi tempat kaum Aad dan Tsamud menerima bala? Baginda terlalu
terganggu oleh 'nostalgia dosa' – hinggakan sejarah mencatatkan bahawa
Rasulullah S.A.W menyuruh para sahabat menundukkan muka dan jangan
memandang ke langit (tanda merendahkan diri) ketika melalui tempat
tersebut.
Rasulullah S.A.W pernah berdoa memohon agar Allah tidak menurunkan
bala bencana ketika gerhana berlaku. Baginda akan sembahyang dengan
penuh tawaduk dan baginda berdoa:
"Tuhanku! Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab
mereka (umat Islam), dan aku berada bersama mereka. Tidakkah engkau
telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), sedangkan
mereka adalah orang yang bertaubat. [Sulaiman bin al-Ash'ath, Sunan Abi
Daud]
Itulah sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W, seorang insan
yang maksum daripada dosa dan dijamin masuk Syurga. Padahal baginda
insan yang mulia, para penduduk kota Madinah ialah para sahabat
Rasulullah yang terkenal sebagai generasi al-Quran dan kota Madinah itu
sendiri adalah kota suci yang penuh rahmat dan keberkatan.
Dengan segala kelebihan itupun baginda masih tidak terasa ada jaminan
keselamatan daripada bala bencana. Sinisnya, bagaimana nasib kita yang
setiap masa bergelumang dengan kemungkaran dan kemaksiatan,
kadang-kadang hidup di tengah kota yang di kelilingi premis dosa?
Walau bagaimanapun, bencana alam, penyakit-penyakit kronik, gejala
sosial dan lain-lain masalah sebenarnya boleh membawa rahmat jika kita
dapat mencungkil ibrahnya yang tersirat.
la boleh diumpamakan sebagai racun kepada hati yang derhaka kepada
Allah, tetapi penawar kepada hati yang tunduk dan patuh kepada Allah.
Kata orang, "What happens 'in' you is more important than what happens
'to' you." – apa yang berlaku 'di dalam' diri kita jauh lebih penting
daripada apa yang berlaku kepada ('di luar') diri kita.
Untuk memahami yang tersirat dan mencungkil hakikat daripada sesuatu
peristiwa, kita perlu menyingkap lembaran sejarah. Bencana alam yang
telah menimpa umat nabi-nabi terdahulu kerana kederhakaan dan kedegilan
mereka walaupun telah diberi peringatan berkali-kali perlu diamat-amati.
Renungilah hakikat ini : Umat Nabi Nuh a.s yang tunduk kepada hasutan
Syaitan, yang mana Syaitan itu diciptakan daripada api – Allah
musnahkan mereka dengan mendatangkan banjir besar. Kaum Saba' yang juga
menyembah api, Allah musnahkan dengan banjir. Apabila api
diagung-agungkan selalunya Allah datangkan air sebagai pemusnah.
Hukum ini terus berjalan sepanjang zaman. Apabila berlaku kemungkaran
yang bermaharajalela di tengah umat manusia, Allah akan datangkan bala
bencana sebagai azab yang memusnahkan mereka.
Inilah yang telah berlaku kepada umat Nabi Luth, yang ditelan bumi
kerana mengamalkan homoseksual dan lesbian. Kaum Nabi Salleh kerana
curang dalam perniagaan. Kaum Aad dan Tsamud yang ditimpa hujan batu
kerana kederhakaannya.
'Tentera Allah' (air, angin, tanah) dihantar kepada para pendosa yang
engkar walaupun telah diberi peringatan berulang kali oleh nabi
masing-masing. Sepanjang sejarah, sudah lapan bangsa pada lapan zaman
yang telah mendapat akibat buruk daripada Allah S.W.T kerana mendustakan
rasul yang diutus kepada mereka. Kelapan-lapan kaum itu ialah:
Kaum Nabi NuhAshabul Rass – mendustakan nabi mereka yang bernama
Hanzalah. Mereka menyembah berhala.Kaum Tsamud – kaum Nabi Salleh.Kaum
Aad – kaum Nabi Hud.Firaun dan pengikutnya.Kaum Nabi Luth.Ashabul Aikah –
kaum Nabi Syuaib.Kaum Tubba'.
Untungnya, umat Nabi Muhammad mempunyai banyak kelebihan berkat kasih
sayang Allah kepada Nabi-Nya – Muhammad S.A.W. Bencana tidak berlaku
serta-merta kepada umat Nabi Muhammad sepertimana yang menimpa umat
nabi-nabi terdahulu. Masih ada penangguhan dan diberi tempoh masa untuk
memperbaiki diri.
Bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, tanah runtuh, banjir,
kemarau dan lain-lain (walaupun sudah hebat dan dahsyat) tetapi ini
berkali-kali ganda lebih ringan berbanding bencana yang menimpa
umat-umat terdahulu.
Apapun, mesejnya tetap sama – sebagai peringatan dan amaran.
Dengarkanlah 'bisikan' Allah ini. Jangan sampai kita terpaksa mendengar
'jeritan-Nya!' (bencana yang lebih dahsyat).
Lihat sahaja loji-loji nuklear di Fusyima Jepun yang dilumpuhkan
hanya dengan kuasa air. Bukankah ini satu tempelakan kepada kemajuan
teknologi yang dibanggakan oleh manusia tetapi akhirnya tunduk kepada
kuasa 'konvensional' yakni air?
Walau bagaimanapun, ada bencana yang lebih seni dan maknawi sifatnya.
Tidak ketara oleh mata, tetapi sangat derita pada hati. Di dunia, dosa
dapat membuat hati keras dan buta dari kebenaran. Ia akan menutup pintu
hati dari melihat kebenaran dan membuatnya terbalik dalam membuat
penilaian. Allah berfirman:
"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan
dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan,
sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami
seksa mereka secara mengejut, maka ketika itu mereka berputus asa."
(Surah al-An'am 6: 44)
Manakala secara peribadi dosa akan menyebabkan hidup kita menjadi
sempit, perasaan menjadi tidak keruan dan fikiran selalu kacau. Ada
sahaja yang tidak kena walaupun kekadang kita sudah memiliki kekayaan,
kesihatan dan pekerjaan. Firman Allah: "Dan barang siapa yang berpaling
daripada peringatan-Ku maka sesungguhnya baginya penghidupan yang
sempit." (Surah Thaha: 24)
Ibnu Khatir menjelaskan keadaan orang yang melakukan dosa dengan katanya:
"Di dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan.
Hatinya gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu
senang, mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal
di mana sahaja yang dia kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada
keyakinan dan petunjuk maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu
dan masih terus ragu. Ini ialah kehidupan yang sempit."
Hati orang soleh begitu lembut, sensitif, mudah menerima cahaya
hidayah dan taufik. Sebaliknya, hati seorang pendosa menjadi gelap,
tertutup, berkarat, keras, dan kerananya tidak dapat ditembusi cahaya
kebenaran. Kita sering diingatkan bahawa apabila bencana menimpa jangan
salahkan sesiapa, tetapi salahkanlah diri sendiri.
Perhatikanlah hari-hari yang kita lalui selepas Ramadhan, apakah
penuh pahala atau sebaliknya. Bagaimana kita di sini (di dunia),
begitulah kita di sana (Akhirat) nanti. Siapa yang menyemai angin, pasti
terpaksa menuai badai!
KREDIT: http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/4522-lapangkan-hatimu-dengan-taubat.html
Comments
Post a Comment