Peringatan buat para isteri
Pada
suatu petang, saya mendapat panggilan daripada hospital menyatakan
seorang ibu muda mempunyai mata merah yang sakit dan tidak dapat membuka
mata beliau. Setelah memeriksa beliau, saya mendapati, beliau mengalami
sakit mata selamat 5 hari dan tidak beransur pulih dengan ubat yang
diberi oleh tiga doktor sebelum itu. Semasa memeriksa mata beliau, saya
dapati, selain daripada jangkitan virus dan yang menghairankan saya,
selalunya infeksinya hanya melibatkan konjunktiva atau bahagian mata
yang putih. Bagi pesakit ini, bahagian kornea atau bahagian mata yang
hitam yang penting untuk melihat telah koyak dengan agak banyak sehingga
menyebabkan beliau rasa amat sakit dan tidak dapat melihat dengan
jelas. Saya terpaksa meletak ubat dan menampal kedua mata beliau dan
memasukkan beliau ke dalam wad untuk pemerhatian rapi. Setelah melihat
keadaan yang agak teruk bagi jangkitan yang selalunya mudah dikawal,
hati kecil saya bertanya apakah hikmah ataupun rahsia di sebalik
kejadian ini. Dengan kuasa Allah, saya menyedari bahawa beliau agak
kasar dengan suaminya. Setelah dua hari di dalam wad dan beransur pulih,
saya menasihati beliau secara tidak langsung tentang pentingnya sebagai
seorang isteri solehah kita harus menjaga tiga perkara suami kita.
1. Mata beliau - sentiasa kelihatan cantik dan menawan dengan menjaga rupa paras dan berat badan.
2.
Hidung beliau - sentiasa berbau wangi dan menjaga kebersihan mulut dan
nafas supaya selesa apabila suami bercakap berdekatan dengan kita.
3.
Telinga beliau - sentiasa mengeluarkan kata-kata yang manis dan pujian
serta penghargaan, dan jangan sekali-kali kufur nikmat.
Beliau
seterusnya memberitahu saya sebelum berlakunya sakit mata itu, beliau
telah merajuk dengan suaminya. Beliau nampaknya insaf ketika memberitahu
kisah ini dan mengakui bahawa setiap kali beliau berlaku kasar terhadap
suaminya, tentu sesuatu perkara negatif akan berlaku terhadap beliau.
Saya meneruskan menasihati beliau bahawa dalam kehidupan kita bahawa
redha Allah bergantung kepada redha suami dan sebagai seorang isteri,
hidup kita fokus untuk jadi isteri solehah. Dan jika mempunyai
profession, jadi professional mukminah. Setelah berjumpa dengan beliau
hari ni, beliau menyatakan bahawa beliau memang selalu memberitahu
suaminya bahawa fokus beliau adalah untuk menjadi isteri solehah dan
setelah peristiwa ini, semangat beliau untuk mencapai cita-cita ini
bertambah kuat.
Saya
bersyukur kerana di dalam setiap pesakit yang saya jumpai dapat
mempelajari sesuatu dan menambah lagi kesyukuran apabila hati kita suka
pada kebaikan dan takut pada kejahatan.
http://drmuhaya.blogspot.com/
Comments
Post a Comment