Kehidupan Ringkas tapi Signifikan
buku Travelog Haji: 50 Tips Motivasi
Pandangan bukan Ustaz
Niat buku Travelog Haji: 50 Tips Motivasi ditulis khusus
bagi mereka yang “biasa-biasa” tetapi berkeinginan untuk menjadi
manusia yang lebih baik berbanding semalam. Inilah pandangan mereka,
Membaca manuskrip Travelog Haji: 50 Tips Motivasi bukan
semata-mata buku mencari petua atau panduan tetapi sarat dengan ajakan
untuk bermuhasabah diri. Sebahagian besar isu yang dicatatkan mungkin
pernah tersirat dalam hati insan-insan yang pernah ke Tanah Suci tetapi
tidak berupaya untuk dikongsi secara meluas.
Tips yang diberikan berdasarkan pengalaman peribadi penulis telah
disusun dan diolah sedemikian rupa sehingga menjadikannya satu hidangan
muhasabah atau check list bagi merenung ke dalam diri mengenai hubungan
diri dengan penciptanya. Ia juga merangkumi persiapan mental dan fizikal
serta memberi ilham bagaimana mahu bermuamalah dengan jutaan karenah
manusia di Tanah Suci.
Buku ini boleh dijadikan pengisi lompang yang sangat signifikan
sebelum menunaikan fardhu haji. Bagi mereka yang telah melaksanakan
kewajipan tersebut, buku ini menyediakan satu senarai timbal balik yang
panjang untuk diimbau kembali kembara haji yang telah dilalui.
Sebahagian isu yang diutarakan tampak remeh misalnya penggunaan
tandas dalam bab 17 dan 40, iaitu
Ajarlah Mereka dan Aurat. Jika
direnung sejenak kedua-dua perkara ini merupakan perkara pokok dalam
penentuan sah atau tidak amalan-amalan wajib yang dilakukan. Diri
mungkin bebas daripada hadas kecil dan besar padahal kaki yang melangkah
keluar dari bilik air membawa bersama sisa tinggalan najis dari lantai
basah yang dipijak.
Aurat yang tidak ditutup sempurna dengan sengaja boleh membatalkan
ibadat solat dan tawaf yang dilakukan. Ia sangat-sangat memberi impak
terhadap kesempurnaan haji. InsyaAllah tips yang telah diperturunkan
jika diambil manfaat daripadanya akan secara tidak langsung dapat
membantu menjaga ibadah tersebut daripada tercalar.
Tahniah kepada Prof Dr Haji Muhd Kamil Ibrahim dan Hajah Raudzah
Roslan kerana telah berjaya membukukan tips hasil pengalaman dan
pengamatan mereka dalam suasana yang tidak terlalu mendesak hati dan
perasaan khalayak pembaca. Mudah-mudahan ia dapat dimanfaatkan oleh
khalayak pembaca yang mahu meneroka ilmu yang sarat dengan teladan dan
sempadan.
Saya rasa dihargai kerana diberi peluang untuk menyampaikan pandangan. Terima kasih.
Wan Zarina Wan Kamaruddin
Pensyarah Sains [Kimia]
Pensyarah Sains [Kimia]
Berkongsi pengalaman lumrah dilakukan. Mengambil iktibar daripada
setiap catatan pengalaman juga perkara biasa. Namun pengalaman itu
menjadi luar biasa, unik dan berbeza apabila ia dikupas secara halus dan
terperinci, kemudian diadun dengan rasa keinsafan dan ketulusan hati
serta dihidangkan dalam pelbagai cerita yang dikaitkan semata-mata untuk
mendapat keredhaan Illahi.
Travelog Haji: 50 Tips Motivasi mempunyai kesemua ramuan
tersebut. Membaca manuskrip ini, saya berasa begitu kerdil di sisinya.
Hampir setiap ruang penceritaan saya cuba membayangkan suasana yang
berlaku. Bahkan membayangkan saya berada di sisi penulis lalu berpeluang
membaca manuskrip ini dan buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman
mempunyai hikmahnya untuk saya. Hati merintih, “Ya Allah moga aku
berpeluang menjadi tetamumu”.
Amin.
Khairul Anuar bin A. Rahim
Timbalan Pendaftar
Timbalan Pendaftar
“Saya belum bersedia,” itulah jawapan saya ketika diajak oleh arwah
isteri bagi menunaikan fardhu haji. Beliau kemudian meninggalkan saya
dipanggil Allah akibat penyakit kanser sebelum sempat saya membawa
beliau ke Tanah Suci. Jawapan “belum bersedia” merupakan alasan yang
dicipta. Hakikat sebenar, saya berada di dalam ketakutan di atas
dosa-dosa lampau dan risau dengan pembalasan Allah sebagaimana yang
diceritakan oleh ramai orang.
Setahun yang lalu (2009), pintu hati saya diketuk untuk menunaikan
fardhu haji. Saya mendaftar dan tahun pemergian yang direkodkan adalah
2029 ketika usia saya 63 tahun. MasyaAllah, benarlah apa yang dinyatakan
oleh Prof Dr Muhd Kamil dan Puan Raudzah betapa rukun Islam yang ke
lima ini perlu dirancang seawal mungkin.
Saya rasa bertuah kerana dipilih untuk membaca manuskrip Travelog Haji: 50 Tips Motivasi.
Saya melihat ke dalam diri sendiri, membaca kerana inginkan ilmu
pengetahuan dan menghayati setiap tips-tips yang dikemukakan atas sifat
ingin menunaikan fardhu haji secepat mungkin.
Lalu saya membuat kesimpulan, ia senaskah buku yang sangat-sangat
memberi manfaat kepada diri sendiri. Setiap tips yang diberi membuka
minda dan saya dapat mencongak apakah yang perlu dirancang, bersedia
dengan pelbagai kemungkinan dan bermuhasabah bagi mendapat nilai yang
terbaik daripada proses melaksanakan ibadah haji.
Bukhori Che Mat
Pengurus Cawangan Bank Rakyat
Pengurus Cawangan Bank Rakyat
Ia senaskah buku yang mengutarakan tips-tips melaksanakan ibadat
haji. Kesemuanya kelihatan mudah. Namun ia memberi kesan yang besar
kepada ibadah utama ibadah haji seperti tawaf, saie dan lain-lain. Malah
saya fikir catatan kedua-dua penulis yang berdasarkan pengalaman,
pemerhatian dan amalan merupakan sesuatu yang sangat unik namun jelas ia
boleh dijadikan tauladan dan sempadan bagi mereka yang lain.
Buku ini sangat segar dan hidup. Saya terasa-rasa berada di sisi
penulis, bersama mereka dalam situasi tertentu. Inilah kekuatan sebenar
buku ini. Isu-isu utama seperti niat sebenar menunaikan fardhu haji
telah diulas dengan menarik. Konsep menunaikan ibadah haji semata-mata
kerana Allah dinyatakan dengan cara yang berbeza.
Malah tips-tips yang dikemukakan mencakupi isu-isu yang sering
dipandang ringan oleh setengah-setengah jemaah haji. Soal bagaimana
menjaga wuduk, memberi tumpuan kepada niat sebenar dan strategi ibadah
malam dipertegaskan dengan cara yang sangat santai tetapi berkesan.
Semoga 50 tips yang dibincangkan dapat dijadikan panduan kepada jemaah
haji di masa akan datang.
Dr. Aryati Bakri
Pensyarah Sains Komputer dan Sains Maklumat
Pensyarah Sains Komputer dan Sains Maklumat
Alhamdulillah, saya telah membaca keseluruhan manuskrip Travelog Haji: 50 Tips Motivasi.
Ia satu pengalaman yang menarik bagi mereka yang belum menunaikan
fardhu haji. Isi kandungan buku ini memungkinkan pembaca mendapat
panduan dan rangsangan berguna semasa berada di Mekah dan Madinah.
Bagaimanapun, saya berpendapat yang khalayak pembaca perlu bersedia
untuk membaca buku ini tanpa prejudis dan harus berlapang dada. Caranya
mudah, letakkan diri sebagai manusia biasa-biasa yang sentiasa mencari
ilmu yang bermanfaat. Kemudian bacalah secara bertenang, dari satu bab
ke satu bab hingga ke bab terakhir.
InsyaAllah pembaca akan merasai sedang berada bersama-sama penulis di
Mekah dan Madinah sambil diberikan panduan atau tips yang sangat
bermanfaat. Saya fikir kedua-dua pasangan penulis ini telah berjaya
mengisi sebahagian dari ruang-ruang lompang (knowledge gap) yang ditinggalkan oleh penulis-penulis terdahulu tentang ibadat haji.
Mereka telah menjawab pelbagai persoalan yang kelihatannya kecil
tetapi membawa makna besar terutamanya dalam konteks mencari haji
terbaik di sisi Allah.
Selamat membaca.
Mohd Halim Kadri
Pensyarah Perakaunan
Pensyarah Perakaunan
”Hampir setiap manusia mempunyai rahsia tersembunyi”
Itulah petikan ayat yang terkandung di dalam Tips 8 – Bertaubat, yang
menjadi prasa kata kunci setelah membaca manuskrip Travelog Haji: 50
Tips Motivasi. Bagi saya itulah kesempatan bijak yang dimanfaatkan
penulis – gandingan pasangan suami isteri ini. Dan percayalah, membaca
50 Tips itu seumpama merungkai lebih 50 rahsia diri sendiri bersama
pengkisahan yang dibawa penulis.
Ungkapan berulang-ulang ”orang biasa-biasa” dalam mensasarkan
khalayak ke atas tips atau petua, menjadi asas penceritaan Travelog siri
ke empat ini – selepas Travelog Haji – Mengubah Sempadan Iman dan Travelog Dakwah – Meniti Hari Esok oleh Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim dan Travelog Cinta Abadi – masa yang berlalu… catatan Puan Raudzah Roslan. Membacanya pasti mengetuk hati dan mencabar minda – dalam menanda aras diri!
Tidak ramai penulis, khususnya di kalangan cerdik pandai yang berani
dan sanggup menggalas tugasan ’mendedahkan kekurangan diri’ dalam
menyampaikan mesej ’remeh-remeh tetapi signifikan’, secara kreatif –
mudah dan bersahaja. Namun, Prof Kamil jelas berjaya meneruskan
lagendanya dalam merobosi tembok bayang-bayangan itu. Itulah pengorbanan
besar beliau. Itulah juga bekalan ilmunya yang telah dan akan
dimanfaatkan, InsyaAllah.
Buku ini bukan sekadar tips motivasi haji. Ianya menjangkaui
aspek-aspek falsafah haji dan jatidiri bakal jemaah. Juga membicarakan
soal hati. Apa yang pasti, 50 Tips Motivasi juga menjadi senarai semak mabrur atau tidaknya ibadat haji yang telah dikerjakan; walaupun 20 tahun lalu!
Sabtu Md Ali
Penasihat Korporat
Penasihat Korporat
Buku Travelog Haji 50 Tips Motivasi bukanlah hanya sebuah
buku tetapi ia sebenarnya adalah hadiah kepada mereka yang sedang
berusaha sedaya upaya untuk menyempurnakan ikrar mereka sebagai seorang
muslim/muslimah dengan menunaikan rukun Islam yang ke lima iaitu
menunaikan fardhu haji.
50 tips tips yang diberikan dalam buku ini amatlah jelas maksud dan
tujuannya. Setiap tips dikupas dengan begitu teratur seiring dengan
sebab dan akibatnya. Ia dilandasi dengan firman Allah, didokong oleh
hadis dan amalan oleh kedua-dua penulis. Ia juga didasari oleh fitrah
dan sikap manusia dan kemudiannya, dibuktikan keberkesanannya melalui
pengalaman penulis sendiri.
Ia juga diolah dengan bijak dan berjaya membuka mata pembaca kepada
beberapa perkara yang tidak pernah terlintas difikiran kita. Sekadar
menyebut contoh, bab tandas, waktu tidur di Malaysia vs Mekah dan
Madinah dan beberapa tajuk lagi.
Buku dan tips yang diberikan ini merupakan satu buku yang sangat
berguna jika diambil manfaat dari isinya. Semoga usaha dan tips yang
diberikan oleh Prof. dan Puan Roza akan membina sebuah peradaban insan
di dunia dicatat di hari pembalasan sebagai sebuah perjuangan
fisabilillah.
Zety Natamulia EliasPembantu Tadbir
http://muhdkamil.org/blog/2010/12/05/pandangan-bukan-ustaz/
Comments
Post a Comment