Acara berbalas pantun PTPTN
TOK PERAK
 

*SEBAGAI satu lagi tanda-tanda Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir, acara berbalas pantun mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berterusan dan setiap hari menjadi lebih hangat.

Pembangkang kata akan menghapuskan terus PTPTN sekiranya mereka diberi mandat menguasai Putrajaya. Alasannya blah, blah, blah. Kerajaan kata tabung itu perlu diteruskan. Alasannya blah, blah, blah.

Seperti biasa dalam berbalas pantun, ada pihak yang menjual, ada pula pihak yang membeli. Dalam jual beli ini macam-macam boleh dijanjikan. Bulan, bintang, matahari, intan, berlian, pendek kata apa sahaja yang sedap-sedap boleh dijanjikan.

Pendek kata siapa pun boleh berjanji apa sahaja. Masalahnya ialah apakah janji itu boleh ditepati. Lihat sekeliling, dan tanyakan apakah ‘tinggi gunung seribu janji’ sebelum ini telah ditunaikan? Fikir-fikirkanlah!


*BIARLAH mereka berbalas pantun, atau terus mendeklamasi sajak kabur. Kita kena selalu berpegang kepada fakta. Bahawa PTPTN sejak 1997 telah memberi pinjaman berjumlah RM43 bilion kepada beratus ribu pelajar.

Walaupun ada yang liat membayar balik, rata-rata peminjam berusaha melangsaikan hutang. Seperti yang dilaporkan media 83 peratus atau kira-kira 690,000 daripada 840,000 peminjam kini melakukan pemotongan berkala bagi melunaskan hutang mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN, Agos Cholan berkata, buat masa ini pihaknya tidak menghadapi masalah pembayaran kerana sikap terbuka diamalkan.

“Kita juga tidak menafikan memang wujud peminjam degil membuat bayaran balik, tetapi jumlahnya tidak banyak. PTPTN masih berupaya memberi pinjaman kepada peminjam baru,” katanya.

Kepada yang liat membayar hutang, kenalah ingat hutang yang tidak dijelaskan dengan sengaja, boleh menghalang kita masuk syurga. Jangan ingat dunia sahaja, ingat sama dunia yang satu lagi.


*RAMAI yang gelisah tidak keruan Rabu lalu. Bumi Aceh digegar gempa untuk ke sekian kali. Pada 8.9 skala Richter, gegaran itu menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan. Semua orang, termasuk di negara kita panik.

Bagi penduduk di Pulau Pinang, Kota Kuala Muda di Kedah dan beberapa kawasan di utara Semenanjung, amaran tsunami Rabu lalu mengingatkan mereka pada tragedi kira-kira lapan tahun lalu apabila tsunami melanda rantau ini, menyebabkan beratus ribu maut.

Syukur lewat petang itu amaran tsunami ditarik balik. Kehidupan pun kembali selesa seperti biasa. Kita boleh tidur lena, boleh ketawa-ketawa. Marilah kita berdoa supaya yang sering terjadi di Aceh dan beberapa negara jiran itu tidak berlaku di tempat kita.

Walaupun tidak ada gempa, tsunami boleh juga melanda tempat kita, seperti empat tahun lalu, sebaik sahaja Pilihan Raya Umum Ke-12. Tsunami politik pun kesannya boleh dirasa.

Semua orang kini menunggu bila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tarikh PRU13. Ramai yang menjangka pilihan raya kali ini jauh lebih sengit dari PRU12. Apakah akan terjadi satu lagi tsunami selepas PRU13?


*AKHIR kalam, ramai yang bersimpati pada Sri Wani Choo Abdullah, wanita manis 37 tahun yang jantinanya dipertikai suami. Semakin ditenung gambar wajahnya semakin meningkat pula simpati terhadap pengusaha produk kecantikan itu.

Setelah lebih dua tahun menjadi isteri no.3, suaminya tiba-tiba meragui kewanitaan isteri, dan memohon mahkamah supaya memerintahkan Wani menjalani ujian DNA. Maka ramai yang bertanya, mengapa baru sekarang?

Seperti yang diberitakan, sejak tercetus kontroversi, Wani hidup tidak tenteram dan menjadi buruan media. Ramai orang, termasuk lelaki tidak dikenali pun turut mengganggunya.

Agaknya lelaki itu bukan bermaksud mengganggu, tetapi sekadar ingin meluahkan rasa simpati.
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/tok-perak/acara-berbalas-pantun-ptptn-1.40084
oleh kerana Debat dianggap budaya barat oleh pihak UMNO, apa kata kalau dianjurkan perlawanan berbalas pantun antara Anwar dan Najib. Mungkin ini tidak nampak barat. Adakah Najib akan kata Anwar demam juga atau bukan budaya melayu?

Comments

Popular posts from this blog