-TeGur, NaSiHat HinDar Diri DaRipaDa SiFat MuNafik-
Firman Allah yang bermaksud:
“Apabila
orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami
mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah. Dan
Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah
menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.” - (Surah
al-Munafiqun, ayat 1)
Begitulah Allah menerangkan dengan jelas perihal orang munafik dalam al-Quran sehingga Allah menamakan satu surah iaitu al-Munafiqun bagi menggambarkan betapa bahayanya sifat munafik terhadap agama Islam.
Pada zaman
Rasulullah SAW, perihal orang munafik itu lebih jelas apabila Baginda
memerintahkan Muslimin untuk keluar berjihad di jalan Allah, maka
golongan munafik akan segera berdolak-dalih dan memberi 1001 alasan bagi
mengecualikan diri keluar berperang menentang Musyrikin ketika itu.
Allah merakamkan keadaan itu menerusi firman-Nya yang bermaksud:
Allah merakamkan keadaan itu menerusi firman-Nya yang bermaksud:
“Dan
juga dengan tujuan Ia hendak melahirkan dengan nyata akan orang munafik
yang dikatakan kepada mereka: Marilah berperang pada jalan Allah (untuk
membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda
kamu). Mereka menjawab: Jika kami mengetahui bagaimana hendak berperang,
tentulah kami mengikut kamu (turut berperang).” - (Surah Ali-Imran,
ayat 167)
Ulama mengkelaskan golongan munafik
kepada dua keadaan. Pertamanya, munafik I’tiqadi iaitu yang berkaitan
dengan kepercayaan dalam hati. Mereka itu terdiri daripada golongan yang
hanya beriman kepada Allah secara luaran saja.
Hakikatnya mereka ragu dengan kebenaran Islam dan keesaan Allah. Mereka
hanya berlakon di khalayak ramai, tetapi sebenarnya mendustakan agama
Allah yang dibawa oleh Rasul-Nya. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan
di antara manusia ada yang berkata: Kami sudah beriman kepada Allah dan
hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.” - (Surah
al-Baqarah, ayat 8)
Hakikatnya, golongan itu sudah
terkeluar daripada agama Allah kerana niat di hati memainkan peranan
penting dalam soal akidah dan dikira sebagai penentu hakiki kepada
keimanan seseorang di sisi Allah.
Golongan itu akan dimasukkan ke tingkatan neraka paling bawah. Sesuai dengan penipuan dan kezaliman dilakukan terhadap diri mereka sendiri. Firman Allah yang bermaksud:
Golongan itu akan dimasukkan ke tingkatan neraka paling bawah. Sesuai dengan penipuan dan kezaliman dilakukan terhadap diri mereka sendiri. Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya
orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan terkebawah sekali dari
(lapisan dalam) neraka.” - (Surah an-Nisa’, ayat 145)
Keadaan kedua disebut munafik ‘Amali iaitu berkaitan perbuatan. Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabda yang bermaksud:
“Tanda
orang munafik itu ada tiga; apabila berkata ia berdusta, dan apabila
berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianat.” - (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:
“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang
munafik yang jelas. Sesiapa melakukan satu daripada empat perkara itu,
maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik hingga dia
meninggalkannya, iaitu apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap
ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia
mengenepikan kebenaran (menegakkan benang yang basah).” - (Hadis riwayat
Bukhari)
Jelas kepada kita ada perbuatan tertentu yang jika dilakukan, maka ia termasuk dalam golongan munafik. Sebagai manusia yang secara fitrahnya tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan, sudah tentu saban hari kita menuturkan kata-kata, membuat janji dan memikul amanah.
Persoalannya, adakah kita melakukan perbuatan itu dengan cara yang betul dan menurut kehendak Islam? Ataupun kita melakukan perbuatan itu mengikut cara orang munafik melakukannya?
Persoalan itu hanya mampu dijawab dengan jawapan positif bagi mereka yang memiliki iman kukuh dalam diri. Walaupun jika dilihat secara rambang, kesemua perbuatan itu tidaklah sebesar dosa membunuh, berzina, mencuri atau minum arak tetapi dengan mengamalkannya sudah cukup untuk melayakkan diri menerima azab seksa-Nya di akhirat kelak.
Sebagai Muslim yang berusaha sedaya upaya untuk menjadi hamba sentiasa mendapat keredaan Allah, tidak boleh tidak, semua sifat dan perbuatan yang melambangkan perihal orang munafik mestilah dihindari untuk menyelamatkan diri daripada menerima kemurkaan Allah.
Antara lain, dengan muhasabah diri kerana dengan itu kita akan lebih berwaspada terhadap setiap tingkah laku dan gerak-geri. Bermuhasabah juga, membolehkan kita memperbaiki kelemahan yang ada dalam diri.
Kadang-kadang kita tidak sedar perbuatan itu melampaui batas ditetapkan agama. Muhasabah diri menyedarkan seseorang mengenai perbuatan yang dilakukan dan setiap amalan tidak terlepas daripada timbangan neraca Allah di akhirat kelak.
Firman Allah yang bermaksud:
“Barang
siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya
(dalam suratan amalnya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan
seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amalnya).” -
(Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)
Saidina Umar al-Khattab pula pernah berkata yang maksudnya:
“Hisablah (nilai) diri kamu, sebelum kamu dihisab (pada hari akhirat kelak).”
Selain bermuhasabah yang bergantung seratus peratus pada usaha sendiri, sebagai Muslim yang mencintai saudaranya, amalan saling memberi nasihat dan teguran juga boleh menghindarkan diri daripada sifat munafik yang tercela itu.
Ada kala perbuatan kita di luar kawalan atau tanpa kita sedari. Justeru, peranan orang di sekeliling yang menyedari akan hal itu dapat membantu kita daripada terus hanyut di bawa arus pembohongan, pendustaan dan pengkhianatan atau pecah amanah.
Sesungguhnya, amalan memberi nasihat dan teguran inilah yang menjadi tuntutan Islam, sesuai sabda Baginda SAW yang bermaksud:
“Agama itu nasihat.” - (Hadis riwayat Muslim)
Allah juga mengingatkan pentingnya sentiasa memberi peringatan yang sememangnya akan membawa kebaikan kepada ummah secara keseluruhannya. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan
tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya
peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.” - (Surah
az-Dzariyat, ayat 55)
Marilah sama-sama berusaha sedaya upaya untuk sentiasa menjauhi sifat golongan munafik. Jangan jadikan pembohongan, mungkir janji dan khianat atau pecah amanah satu perlakuan biasa tanpa ada rasa bersalah dan takutkan azab yang sentiasa menunggu bagi mereka yang tidak menyesali segala perbuatan jahat dilakukan.
Iltizam yang kuat dalam diri di samping bantuan sesama Muslim penting bagi memelihara diri daripada sifat golongan munafik itu. Sesuai sabda Rasulullah SAW yang menerapkan semangat kasih sayang sesama Muslim supaya orang Islam sentiasa berada dalam rahmat dan keredaan Allah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya, seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
http://pingitanhiasanduniawi.blogspot.com
KHUTBAH JUMAAT
1
2
3
4
Comments
Post a Comment