Syafaat Rasulullah S.A.W
ADA dakwaan sesetengah orang bahawa meminta syafaat atau istighozah
(memohon pertolongan) daripada nabi SAW hanya dibolehkan ketika baginda
hidup maka kita menjawab: Sesungguhnya beristighozah dan bertawassul;
jika keharusannya dikaitkan dengan hidupnya pihak yang diminta
pertolongan, maka ketahuilah, bahawa para nabi dan hamba-hamba Allah
yang diredai itu tetap hidup di alam kubur mereka.
Jika tiada dalil lain untuk membenarkan keharusan bertawassul dan
beristighozah dengan Rasulullah SAW setelah wafat, kecuali dengan
menggunakan qias atau analogi terhadap tawassul dan istighozah dengan
Baginda SAW ketika masih hidup, maka itupun sudah cukup, kerana kita
meyakini bahawa Rasulullah SAW tetap hidup di alam barzakh.
Baginda SAW selalu memerhatikan umatnya. Dengan izin Allah SWT, nabi
SAW menguruskan keadaan mereka dan mengetahui apa yang mereka lakukan.
Selawat yang mereka ucapkan diperlihatkan kepada baginda SAW. Salam yang
mereka berikan juga sampai kepada baginda SAW, meskipun mereka sangat
ramai.
Orang yang mempunyai pengetahuan yang luas tentang keadaan roh dan
keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada mereka. Terutamanya
terhadap roh yang mempunyai kedudukan yang tinggi, iaitu roh para rasul
dan nabi, hatinya akan terbuka untuk mempercayai dan mengimani perihal
kehidupan para roh.
Lebih-lebih lagi, terhadap induk segala roh, dan cahaya yang menyinari segala cahaya, iaitu Nabi Muhammad SAW.
Jika memohon syafaat, istighozah atau bertawassul dengan Rasulullah
SAW itu dinilai sebagai syirik dan kufur sebagaimana yang disangkakan,
adalah tidak wajar ia diharuskan pada satu keadaan sahaja, semasa hayat
Baginda SAW tidak pada keadaan yang lain. Sebabnya, perbuatan syirik itu
menjadi kemurkaan Allah dalam semua keadaan.
Dakwaan bahawa orang yang sudah mati tidak mampu melakukan apa-apa,
adalah dakwaan yang batil. Jika dakwaan tersebut didasarkan kepada
kepercayaan mereka bahawa mayat itu menjadi tanah, jelas itu merupakan
suatu kebodohan dan kejahilan. Mereka jahil tentang hadis-hadis yang
disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW.
Bahkan, mereka juga jahil tentang firman Allah SWT yang menegaskan
bahawa roh-roh itu tetap hidup dan kekal setelah terpisah daripada
jasad. Mereka juga jahil tentang kisah Nabi Muhammad SAW yang pernah
menyeru mayat yang ada di dalam kubur ketika Perang Badar.
Rasulullah SAW juga pernah mengucapkan salam kepada ahli kubur, dan menyeru mereka dengan sabdanya:
“Semoga kesejahteraan dilimpahkan ke atas kalian, wahai penghuni perkampungan (kubur) ini!”
Dalil yang lain adalah tentang azab dan nikmat kubur bagi penghuni
kubur, nas-nas yang menceritakan tentang roh-roh yang selalu datang dan
pergi kepada roh-roh yang lain. Banyak lagi dalil yang ditetapkan oleh
Islam dan diakui oleh para ilmuwan, dulu dan kini.
Bagaimanapun, kami membataskan perbicaraan hanya mengikut soalan
berikut: Apakah mereka percaya atau tidak bahawa orang yang mati syahid
itu hidup di sisi Tuhannya, sebagaimana yang diungkapkan oleh al-Quran?
Jika mereka tidak mempercayainya, kami tidak berminat berbincang
dengan mereka, kerana mereka telah membohongi al-Quran yang mengatakan:
Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu orang-orang yang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa) tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (al-Baqarah: 154)
Jika mereka mempercayainya, maka kami katakan pula kepada mereka:
Sesungguhnya para nabi dan kebanyakan orang soleh lain; yang tidak mati
syahid; seperti sesetengah para sahabat besar r.a, adalah lebih mulia
daripada orang-orang yang mati syahid tanpa diragui lagi.
Jika jelas diakui bahawa para syuhada itu hidup di dalam kuburnya,
maka menetapkan bahawa hidupnya orang yang lebih mulia daripada golongan
syuhada adalah lebih patut dan lebih layak. Lebih-lebih lagi, hidupnya
para nabi itu disebut secara jelas dalam hadis-hadis sahih.
Jika telah thabit kehidupan yang khusus dan istimewa selepas mati
bagi golongan yang mulia ini, maka apakah lagi penghalang menurut
pandangan akal yang menyekat daripada beristighozah dan meminta
pertolongan kepada Allah melalui roh mereka ini?
http://myibrah.com
Comments
Post a Comment