Berbeza pendapat bukan menghina
Sikap fanatik kepada sesuatu pegangan atau jumud pemikiran boleh menatijahkan beberapa akhlak yang buruk. Antaranya, ia menyebabkan seseorang itu selalu berfikiran negatif terhadap orang yang berbeza pendapat dengannya. Ini seperti menuduh orang yang berbeza pendapat dengannya itu sebagai jahat, musuh dan seumpamanya.
Bahkan lebih buruk daripada itu
mereka yang berpenyakit fanatik ini sering cenderung membuat fitnah dan
tuduhan palsu kepada orang lain apabila mereka kehilangan hujah dan
alasan bagi mempertahankan apa yang mereka pegang. Mereka akan
mengada-adakan tuduhan palsu agar orang ramai terpengaruh dan tidak
mendengar hujah pihak yang berbeza dengan mereka.
Di Malaysia umpamanya, apabila ada
pihak yang menyatakan ‘tiada dalil yang sahih yang menyatakan
dikhususkan malam Jumaat untuk membaca Surah Yasin’, maka golongan yang
tidak dapat menerima perbezaan ini membuat cerita bohong kepada orang
ramai kononnya ‘puak tersebut menyatakan haram membaca Yasin’. Tentu
mereka yang terpengaruh dengan tuduhan ini akan marah dengan kenyataan
yang seperti itu. Mana mungkin haram untuk membaca Surah Yasin sedang
itu salah satu surah dalam al-Quran?! Lihat bagaimana mereka mengubah
kenyataan dan fakta sehingga orang menjadi keliru dan bersalah sangka
terhadap maksud asal kenyataan.
Demikian juga apabila ada yang
membuat kenyataan menyatakan ‘tiada sebarang solat khusus untuk malam
Jumaat’. Mereka yang pantang berbeza pendapat itu memberitahu orang
ramai ‘puak itu kata haram solat sunat malam Jumaat’. Padahal maksud
tiada solat khusus itu ialah tiada solat khas sempena malam Jumaat
sahaja, adapun solat-solat sunat yang biasa tiada halangan.
Ini disebut oleh baginda Nabi s.a.w: Jangan
kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan
malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan
puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam
(bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa (Riwayat Muslim).
Sikap ini akan terserlah buruknya
apabila mereka pantang mendengar pandangan atau kritikan terhadap aliran
mazhab yang mereka pegang sekalipun dalam keadaan yang ilmiah.
Ada orang yang marah apabila saya
memberitahu pandangan ulama dahulu bahawa tempoh mengandung mungkin
sehingga dua tahun, atau empat tahun, atau enam tahun atau lebih
daripada itu tiada asas yang kukuh.
Katanya, ‘dia siapa hendak berbeza
dengan ulama-ulama dahulu yang lebih alim dan warak?! Dia lebih alim
daripada merekakah?!” Padahal soal tempoh paling lama mengandung yang
disebutkan itu memang tiada nas yang sahih daripada al-Quran ataupun
Sunnah. Sementara yang ada hanyalah andaian beberapa ulama dahulu
berasaskan khabar yang mereka dengar dari beberapa wanita. Wanita-wanita
itu mungkin tidak berbohong, tetapi sangkaan mereka bahawa mereka
mengandung itu tidak benar.
Apatah lagi ketika itu ujian kehamilan (pregnancy test)
seperti sekarang belum wujud. Ahli perubatan moden menyatakan tempoh
mengandung secara puratanya 266 hari atau sehingga 280 hari. Untuk
sampai sehingga dua atau tiga atau empat tahun tidak menepati perkiraan
saintifik.
Justeru itu, seorang tokoh saintis
muslim Dr. Muhammad ‘Ali al-Bar menyifat kenyataan ahli fekah silam
tentang tempoh mengandung sehingga tiga atau empat tahun sebagai riwayat
yang khurafat (tiada asas) (lihat: ‘Umar Ghanim, Ahkam al-Janin fi al-Fiqh al-Islami, m.s 74, Beirut: Dar Ibn Hazm).
Apatah lagi dakwaan itu boleh
mempunyai kesan yang jelas dalam kehidupan. Umpamanya, dengan berpegang
kepada pendapat yang menyatakan tempoh mengandung sehingga empat tahun
membolehkan seorang wanita yang kematian suami dan melahirkan anak empat
tahun kemudian mendakwa dia mengandung empat tahun anak arwah suaminya.
Seterusnya menuntut harta pusaka. Maka pengkajian sains moden patut
didahulukan.
Menolak pendapat ulama yang lepas
bukanlah bererti menghina mereka, sebaliknya berpegang kepada kajian dan
ilmu. Namun golongan fanatik menganggap ini keluar mazhab dan tidak
beradab.
Dalam sejarah perkembangan ilmu umat
Islam berbeza pendapat dan kritikan ilmiah tidak pernah dianggap sebagai
dosa dan jenayah melainkan mereka yang fanatik. Contoh al-Imam
al-Zahabi (meninggal 748H) yang merupakan jaguh ilmu hadis yang agung
dalam Islam ketika mengulas tentang al-Imam al-Ghazali r.h, beliau
menyebut: “Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun
bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan
kesilapan”.
Kemudian al-Zahabi mengulas berbagai perkara mengenai al-Imam al-Ghazali, antara katanya: “Adapun kitab al-Ihya
padanya ada sejumlah hadis-hadis yang batil. Sekiranya tidak ada
padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan
golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak.
Memohon
Kita memohon daripada Allah ilmu yang
bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat? Ia apa yang
dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan
dan perbuatan. Sabda Nabi SAW: sesiapa yang berpaling dari sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala 19/339). Ini bukan permusuhan tetapi tugas kesarjanaan yang dilakukan oleh al-Imam al-Zahabi.
Tokoh ilmuwan besar al-Imam Ibn ‘Abd
al-Barr (meninggal 463H) ketika mengulas pendapat tabi’i terkenal
Mujahid bin Jabr mengenai maksud ayat 22-23 dalam Surah al-Qiyamah,
beliau menyanggahi pendapat Mujahid bin Jabr. Padahal Mujahid merupakan
anak murid sahabah ilmuwan besar dalam bidang tafsir iaitu Ibn ‘Abbas.
Kata Ibn ‘Abd al-Barr: “Tetapi pendapat Mujahid ini ditolak dengan
sunnah yang sabit daripada Nabi s.a.w, perkataan-perkataan sahabah dan
mijoriti salaf. Pendapat Mujahid ini di sisi Ahl al-Sunnah adalah
pendapat yang ditinggalkan.
Apa yang menjadi pegangan Ahl
al-Sunnah ialah yang sabit daripada Nabi mereka mengenai perkara
tersebut (maksud ayat berkenaan). Tiada di kalangan ulama melainkan
boleh diambil atau ditolak pendapatnya, kecuali Rasulullah SAW” (Ibn
‘Abd al-Barr, Al-Tamhid, 7/157, Morocco: Wizarah ‘Umum al-Auqaf).
Ini bukan bererti menghina Mujahid ataupun gurunya Ibn ‘Abbas.
Bahkan kita dapati dalam sejarah
ilmuwan, pandangan sahabat Nabi SAW ada yang dikritik. Bukan tanda benci
atau tidak hormat, tetapi tanggungjawab keilmuwaan. Umpamanya al-Hafizd
Muhammad bin Tahir al-Qaisarani (meninggal 507H) ketika menceritakan
ketokohan sahabat Nabi yang mulia lagi dicintai, ‘Abd Allah bin Mas’ud,
beliau mengulas: Sesungguhnya beliau (‘Abd Allah bin Mas’ud) adalah
antara tokoh sahabah, jaguh ilmuan dan pemimpin kepada hidayah.
Namun begitu beliau memiliki qiraat
dan fatwa yang tersendiri yang disebut dalam kitab-kitab ilmu. Setiap
imam itu boleh diambil dan ditinggalkan pekataannya, kecuali imam
golongan ahli taqwa, yang benar lagi diakui kebenarannya, yang amanah
lagi maksum (Rasulullah) selawat dan salam ke atasnya. Alangkah
hairannya, apabila seseorang alim menjadikan agamanya mengikut diri
seseorang imam dalam setiap apa yang diucapkan, sedangkan dia tahu
wujudnya nas-nas nabawiyyah (sunnah) yang menolak mazhab imamnya.Tiada
kekuatan melainkan dengan Allah jua”. (Muhammad bin Tahir al-Qaisarani,
Tazkirah al-Huffadz, 1/16, Riyadh: Dar al-Sumai’i).
Dalam dunia ilmu, berbeza pandangan
tidak pernah dianggap jenayah. Namun golongan yang fanatik selalu
mencari jalan permusuhan dengan mengandaikan sesiapa yang berbeza dengan
tokoh tertentu maka dia menghina dan tidak beradab. Selagi pandangan
itu diberikan dalam lingkaran ilmu dan perbincangan ilmiah tanpa maki
dan cerca, maka itu adalah dunia ilmu yang patut diberikan haknya.
Jangan kerana kita begitu rakus agar
semua cakap kita didengari apabila ada orang berbeza dengan kita, dia
dianggap musuh. Marilah kita belajar menilai pandangan dan menghormati
perbezaan. Berbeza bukan bererti menghina. Kata al-Imam al-Zahabi juga:
“Setiap orang boleh diambil dan ditolak pendapatnya, kecuali Rasulullah
SAW. Namun jika seseorang imam itu tersilap dalam ijtihadnya, tidak
wajar untuk kita melupai kebaikan-kebaikannya dan menutup amalan-amalan
makrufnya. Bahkan kita beristighfar untuknya dan memaafkannya”
(Al-Zahabi,Siyar A’lam al-Nubala, 18/157).
(Sumber: Dr.Maza)http://fitrahislami.wordpress.com/category/bicara-ulama/
Comments
Post a Comment