JAGALAH TEPI KAIN ORANG JGN ASYIK SUKA MENYELAKNYA
Assalamualaikum..Dalam
masyarakat Melayu ada satu pepatah yang begitu terkenal yang
menggambarkan kepedulian masyarakat yang begitu mendalam terhadap hal
ehwal orang lain. Terkenalnya pepatah ini sehingga ianya sering
digunakan oleh orang Melayu dan mungkin juga orang bukan Melayu dalam
perbualan harian berbanding dengan pepatah-pepatah yang lain. Pepatah
yang dimaksudkan ialah ‘jangan jaga tepi kain orang' yang membawa maksud
jangan ambil peduli hal orang lain. Persoalannya ialah adakah pepatah
ini masih relevan dengan cara hidup kita hari ini? Dan lebih-lebih lagi
kita orang Islam adakah pepatah ini selaras dengan tuntutan agama?
Sebenarnya pepatah ini mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri
bergantung dari sudut mana kita melihatnya.
Sekiranya
pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang' ini membawa maksud buangkan sifat
ingin tahu yang berlebih-lebihan mengenai sifat buruk dan keaiban
seseorang maka memang layak pepatah ini diamalkan. Ini adalah kerana
sifat suka mengambil tahu tentang keburukan orang lain seringkali akan
disusuli pula dengan tabiat suka menyebarkan keburukan itu kepada orang
lain. Ini mengupat namanya dan diharamkan oleh agama. Bahkan al Quran
telah mengingatkan kita supaya menjauhi sifat buruk ini di dalam surah
al Hujurat, sebahagian daripada ayat ke 12, yang maksudnya:
"Janganlah setengah daripada kamu mengupat setengah yang lain..."
Begitu
juga pepatah ini wajar diterima-pakai dan diamalkan sekiranya ia
membawa maksud menjauhi sifat suka mengintip dan mencari-cari kesalahan
orang lain. Hal ini juga telah diperingatkan kepada kita oleh Islam
supaya menjauhi sifat ‘tajassus' atau mengintip dengan tujuan untuk
mencari keaiban dan keburukan orang yang tersembunyi, sepertimana firman
Allah SWT di dalam surah dan ayat yang sama seperti di atas, yang
membawa maksud:
"Dan janganlah kamu mengintip dan mencari-cari kesalahan dan keaiban orang..."
Buruknya
amalan mengupat dan sifat ‘tajassus' ini sehingga Rasulullah SAW
sendiri telah mengingatkan kita supaya menjauhi sifat-sifat ini dengan
sabda Baginda yang bermaksud:
"Wahai golongan yang beriman
dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya; Janganlah kamu
mengumpat kaum Muslimin dan janganlah kamu mengintip keaiban mereka,
maka barang siapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan
mengintip keaibannya, dan siapa yang diintip Allah akan keaibannya maka
Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang
kenderaannya"
(Hadith riwayat at Tirmidzi)
Namun
apa yang ingin dilihat disebalik pepatah yang kelihatannya tidak begitu
molek diamalkan ini ialah ianya masih tetap relevan dengan tuntutan
kehidupan harian kita masa kini sehingga mungkin ianya terpaksa diubah
dari ‘jangan jaga tepi kain orang' kepada ‘tolong jaga tepi kain orang'.
Apa yang ingin dimaksudkan di sini ialah kita harus mengakui bahawa
persekitaran hidup kita sekarang tidak lagi aman dan selamat seperti
suatu masa dahulu..
sesuai juga ditambah peribahasa :
"jagalah
tepi kain orang jangan asyik suka untuk menyelaknya " dan "jagalah tepi
kain sendiri jangan sampai terselak" :)sesuai juga ditambah-ust azhar
Idrus
Comments
Post a Comment