Kenapa Melayu
Derhaka?
 

Konsep derhaka dalam budaya
Melayu terkandung di dalam
buku Sejarah Melayu.
Diriwayatkan, perjanjian antara
Sang Sapurba (mewakili
golongan raja) dengan Demang
Lebar Daun (mewakili golongan
rakyat) telah memberi garisan
pemisah antara kedua-dua
golongan. Golongan raja
menjadi golongan yang
memerintah manakala golongan
rakyat adalah hamba kepada
raja. Andai dirujuk Sejarah
Melayu dan dikaji sedalam-
dalamnya, perjanjian antara dua
golongan itu memaparkan unsur
berat sebelah yang sangat
ketara.
Dalam perjanjian itu, golongan
rakyat tidak membuat banyak
permintaan. Apa yang
dimahukan hanyalah, supaya
golongan raja tidak memberi
malu kepada hamba rakyatnya.
Sekiranya seseorang hamba
berdosa kepada raja, janganlah
dinista atau dikeji. Sekiranya
patut dibunuh, bunuhlah hamba
itu. Raja tidak sepatutnya
memberi aib kepada hamba
yang bersalah itu. Keluarga
hamba yang bersalah itu juga
pasti mendapat keaiban yang
besar. Itu sahaja permintaan
Demang Lebar Daun, yang
mewakili golongan rakyat.
Sang Sapurba pula membuat
permintaan yang melampau dan
tidak adil dalam perjanjian itu.
Sang Sapurba mengatakan,
sekiranya Raja Melayu bersalah
sekalipun, jahat dan zalim
pekertinya, hamba rakyat tidak
boleh sesekali menitikkan darah
raja ke bumi. Jangan sesekali
hamba Melayu derhaka.
Sekiranya hamba Melayu
derhaka kepada raja, nescaya
hidupnya tidak selamat dunia
akhirat kerana Raja berdaulat.
Begitulah perjanjian sumpah
Melayu antara Raja dengan
Rakyat.
Dalam hikayat Melayu, terdapat
beberapa hamba Melayu yang
dianggap telah menderhaka
kepada Rajanya. Antaranya
adalah Hang Jebat, Laksmana
Bentan dan Sang Rajuna Tapa.
Hang Jebat menderhaka kerana
menuntut bela kematian
sahabatnya, Hang Tuah. Hang
Jebat membuat onar dengan
merampas istana, merogol
dayang-dayang dan gundik raja
kemudian membunuh mereka.
Sesiapa yang cuba
menentangnya akan dibunuh.
Hang Tuah, yang sebenarnya
tidak mati, diutuskan pula
membunuh Hang Jebat. Tragedi
berakhir dengan kematian Hang
Jebat di tangan Hang Tuah.
Laksmana Bentan pula telah
menderhaka kepada raja kerana
raja telah menghukum bunuh
isteri Laksmana hanya kerana
kesalahan memakan seulas
nangka milik raja. Laksmana
berasa marah kerana jasanya
berperang demi maruah raja
telah dibalas dengan kekejaman
ke atas keluarganya. Laksmana
Bentan terus merancang strategi
untuk membunuh raja dan
pembesar negeri yang menjadi
penghasut raja. Raja Mahmud
telah ditikam semasa baginda
dijulang dalam perjalanan ke
Masjid untuk solat Jumaat.
Disebabkan Laksmana telah
menderhaka dan menitiskan
darah raja, Laksmana telah
muntah darah dan mati di situ
serta merta.
Sang Rajuna Tapa pula
menderhaka kepada Raja
Singapura kerana anaknya telah
dihukum sula dan diarak keliling
pasar. Sebenarnya, anaknya
yang merupakan salah seorang
gundik raja, telah difitnah oleh
gundik-gundik lain yang iri hati.
Raja terus menghukum sula
tanpa usul periksa. Tindakan
raja itu telah memberi aib
kepada Sang Rajuna Tapa
sehingga menyebabkannya
mengutus surat kepada
Majapahit supaya menyerang
Singapura dan berjanji untuk
belot dari dalam kota.
Majapahit melancarkan serangan
ke atas Singapura. Pertahanan
Singapura semakin lemah kerana
Sang Rajuna Tapa
menyembunyikan makanan dan
beras. Suatu waktu kemudian,
Sang Rajuna Tapa telah
membuka pintu kota Singapura
dan angkatan Majapahit
berupaya masuk, mengalahkan
Singapura. Raja Singapura
terpaksa lari ke Melaka. Biarpun
hati Sang Rajuna Tapa puas, dia
tidak dapat lari daripada ‘daulat’
raja kerana dia telah
menderhaka. Diriwayatkan,
gudang beras terbakar. Sang
Rajuna Tapa dan isterinya
menjadi batu.
Dalam Sejarah Melayu, ada
diriwayatkan tentang Raja
Muhammad, anak Sultan
Mansur Syah di Melaka telah
membunuh Tun Besar, anak
Bendahara. Tun Besar dibunuh
kerana bola raga yang
disepaknya telah tersasar
mengenai Raja Muhammad
sehingga menjatuhkan destar
(Tanjak) yang dipakai Raja
Muhammad ke tanah. Apabila
kesemua anak buah bendahara
bersiap sedia menuntut bela,
Bendahara memarahi mereka
kerana mereka mahu
menderhaka. Katanya, pantang
hamba Melayu menderhaka
tetapi ‘hukuman’ ke atas Raja
Muhammad ialah, janganlah
dipertuankan. Maksudnya, Raja
Muhammad tidak akan
disembah sebagai Raja Melaka.
Kesimpulannya, anak Melayu
menderhaka kerana berasa tiada
keadilan dalam pemerintahan.
Raja bersikap tidak adil, tidak
bertimbang rasa dan memberi
keaiban berterusan kepada
rakyat. Namun konsep ‘sembah
derhaka’ yang lantang

diperkatakan dewasa ini, tidak
pernah wujud dalam budaya
Melayu. Jika nak menderhaka,
anak Melayu tidak pernah
meminta kebenaran daripada
pihak Raja. Pendek kata,
perjanjian pertama antara Sang
Sapurba dan Demang Lebar
Daunlah yang mencorakkan
konsep daulat dan derhaka. Di
Singapura sekarang, konsep
daulat dan derhaka mungkin
tidak lagi relevan.
 

Comments

Popular posts from this blog