Persoalan masbuk dan muafik
Apa maksud masbuk dan muafik.
Secara ringkas, muafik adalah
makmum yang sempat takbiratul ihram dengan imam. Dengan kata lain,
orang yang muafik ini datang awal ke masjid dan surau serta sempat
membaca fatihah bersama imam.Makmum yang muafik bermaksud dia sempat
berjemaah dengan imam semasa berdiri (qiam) imamnya, di mana
dia sempat berjemaah dengan imam sekadar masa yang membolehkan ia
membaca al-fatihah hingga tamat mengikut pembacaan yang pertengahan di
kalangan kebiasaan orang ramai.
Masbuq adalah makmum yang
tidak sempat berjemaah semasa berdiri imamnya sekadar masa membaca
al-fatihah dengan bacaan yang pertengahan. Tidak terlalu cepat dan tidak
terlalu lambat, bahkan mengikut bacaan kebiasaan orang ramai.Makmum
yang tidak sempat berjemaah dengan imam semasa berdiri imamnya sekadar
masa yang membolehkan ia membaca al-fatihah hingga selesai, maka
dinamakan orang yang masbuk.
Jika kita masbuk, apakah syarat fatihah kita untuk ditanggung oleh imam?
Apabila imam selesai membaca fatihah
dan rukuk sebelum makmum yang masbuk sempurna membaca fatihah, maka
wajib makmum itu memutuskan atau memberhentikan bacaan fatihahnya dan
terus rukuk.Syarat untuk membolehkan makmum memotong bacaan fatihah dan
ditanggung oleh imam adalah jangan membaca yang sunat. Iaitu jangan
membaca doa iftitah dan ta’awuz(auuzubillah).
Orang yang masbuk hendaklah terus membaca rukun qauli (bacaan) yang wajib. Bagi al-fatihah yang wajib adalah bermula dengan bismillah.Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang solat berimam maka bacaan imam itu adalah bacaannya”.Bagi
mereka yang masbuk ketika imam sedang rukuk, mereka hendaklah terus
rukuk mengikut imam dan tidak perlu lagi membaca fatihah.Makmum itu
dikira mendapat satu rakaat jika dia sempat rukuk bersama imam dengan
tama’ninah.
Bagaimanapun, suka diingatkan supaya
jangan sengaja melewat-lewatkan bertakbir. Ini taktik orang yang
menyangka mereka untung kerana tidak perlu membaca fatihah. Walhal
perbuatan tersebut adalah makruh.
Jika kita muafik, tiba-tiba imam membaca surah pendek dan laju. Kita baru separuh baca fatihah, apa yang perlu makmum lakukan?
Dalam kitab fikah, makmum boleh takhalluf (ketinggalan atau terkebelakang) daripada imam tidak melebihi tiga rukun fi’li (perbuatan).
Jika makmum ada masa yang cukup untuk
baca fatihah tetapi dia termasuk dalam golongan yang bacaannya lambat
secara semula jadi, maka ada ulama yang mengharuskan orang ini memotong
bacaan fatihahnya dan terus rukuk sebagai mana makmum yang masbuk. Dan
orang ini tidak dikira sebagai muqassir (cuai).
Namun, mengikut qaul yang asah seperti yang tersebut dalam kitab al-Raudah, makmum itu hendaklah menghabiskan fatihahnya dan takhallufnya itu diberi keuzuran.
Bagaimanapun, bacaan al-Quran itu ada tiga wajah iaitu tartil (lambat), tadwir (sederhana) danhadr
(laju). Jadi, kalau pada rakaat pertama kita ketinggalan membaca
al-fatihah maka pada rakaat seterusnya hendaklah kita memilih bacaan
yang lebih cepat supaya sempat menghabiskan al-fatihah.
Dalam bab masbuk, adakah nas untuk kita tepuk bahu imam?
Sebenarnya tidak ada nas berbuat
demikian. Bahkan jika kita lakukan perbuatan itu sehingga mengganggu
khusyuk solat orang lain, itu jatuh makruh.Kalau kita hendak masbuk,
cukup sekadar kita merapatkan diri dengan imam itu atau menguatkan suara
semasa bertakbir.Ini kerana, tidak disyaratkan seorang itu berniat imam
kecuali semasa mengimamkan solat Jumaat.
Apabila imam tersilap, contohnya tertinggal tahiyat awal, bagaimana makmum boleh menegurnya?
Dalam hal ini, makmum itu perlu tahu
adakah kesilapan itu perkara rukun atau sunat dalam solat.Kalau dalam
perkara sunat, makmum tidak dibenarkan melawan atau menyalahi imam.
Contohnya, imam terlupa membaca tahiyat awal pada rakaat kedua
sebaliknya terus qiamselepas sujud.Dalam hal ini, makmum wajib ikut imam cuma dia boleh menegur dengan menyebutsubhanallah
supaya imam tahu dia terlupa tahiyat awal dan boleh sujud sahwi
kemudian.Jika makmum berkeras dan membaca tahiyat awal maka solatnya
batal.
Lain pula halnya jika yang terlupa itu
melibatkan rukun. Contohnya, imam bangkit selepas rakaat keempat pada
solat asar.Kalau makmum sedar imam terlebih rakaat, maka dia tidak boleh
ikut bangun. Jika makmum ikut tambah satu rakaat, maka solatnya batal.
Walhal bagi imam, solatnya sah kerana dikira uzur akibat terlupa. Dengan
itu, imam boleh teruskan solat hingga memberi salam.Sebaliknya makmum
diberi pilihan sama ada hendaklah duduk tahiyat akhir dan tunggu imam
sehingga sampai salam atau niat mufarakah (berpisah daripada imam).
(Oleh: Ustaz Ahmad Mustafa Mohd. Sidin – Imam Besar Masjid Negeri Selangor di petik dari Utusan Malaysia)
Comments
Post a Comment