MASUKLAH SEPENUHNYA
Percaya
bermakna tiada keraguan. Bila ada keraguan walaupun sedikit, itu tidak
percaya namanya. Itu dipanggil zan, syak atau waham. Percaya atau yakin
itu umpama isteri yang tertidur dengan nyenyaknya, mungkin sehingga
berdengkur di sebelah suami ketika suami memandu kereta. Kadang-kadang sehingga terpaksa dikejutkan bila sudah sampai ke destinasi. Jika ada sedikit keraguan, pastinya si isteri itu tidak akan tidur senyenyak itu.
Keraguan
pula umpama suami yang tertidur di sebelah isteri yang memandu kereta.
Bila sedikit sahaja isterinya membrek secara deras, si suami akan segera
terjaga. Suami itu belum sampai taraf yakin terhadap kemampuan
isterinya memandu kereta. Ini adalah sebagai ibarat sahaja kerana
realitinya mungkin sebaliknya.
Dalam
konteks percaya kepada Allah yang merupakan tonggak pertama dalam rukum
iman, adakah kita telah benar-benar percaya ? Percaya kepada Allah
bermakna bahawa apa sahaja perintah atau laranganNya wajib dipatuhi
tanpa sedikitpun keraguan. Apakah kita tidak sedikit pun ragu bahawa apa
yang disuruh oleh Islam itu baik dan apa yang ditegahnya itu tidak baik
? Kalau kita benar-benar percaya, mengapa masih terdengar suara yang
mengatakan ada hukum Allah yang sudah tidak sesuai dengan zaman.
Misalnya dalam perlaksanaan hukum hudud, pengharaman riba, keharusan
berpoligami.
Tidak percaya dengan tidak mahu atau tidak mampu melaksanakannya adalah dua perkara yang berbeza.
Kalau
kita tidak percaya kepada mana-mana hukum Allah, akidah kita boleh
tergelincir dan boleh menjadi kafir dan tempat orang kafir adalah di
neraka. Nauzubillah. Tetapi kalau kita tidak mahu atau belum mampu
atau malas melaksanakannya, kita boleh menjadi fasiq sahaja dan berdosa.
Sayangnya
kadang-kadang kita memilih-milih untuk percaya. Misalnya bila kita
diwajibkan berpuasa, tidak ada keraguan tentang itu adalah suruhan Allah
yang wajib dituruti. Bahkan ada orang yang cukup percaya dengan suruhan
itu sehingga tidak seharipun meninggalkan puasa walaupun dia tidak
sembahyang. Begitu juga dengan bab zakat. Kita berlomba-lomba dan
bersungguh-sungguh sekali melaksanakannya.
Tidak
ada pula kedengaran orang Islam yang mengatakan suruhan berpuasa itu
tidak adil. Tidak pernah kedengaran orang Islam mempersoalkan kenapa
mereka sahaja diwajbkan berpuasa sedangkan orang yang bukan Islam
tidak. Tidak ada orang Islam yang merungut kenapa orang bukan Islam yang
makan dikhalayak ramai tidak ditangkap dan dihukum. Begitu juga tidak
ada kedengaran orang Islam mengatakan hukum berzakat itu tidak adil
kerana hanya orang Islam yang diwajibkan berzakat.
Tetapi
bila kita hendak melaksanakan hukum potong tangan kepada pencuri, maka
akan ada suara mengatakan tidak adil kerana hukum itu tidak terpakai
kepada mereka yang bukan Islam. Nanti ramailah orang Islam yang kudung.
Sedangkan arahan untuk berpuasa dan arahan untuk memotong tangan itu
adalah dari sumber yang satu iaitu Allah swt. Adakah hukum puasa dan zakat itu sahaja yang baik dan betul dan hukum yang lain tidak baik dan tidak betul ? Adakah kita ingin mengingkari perintah Allah dalam ayat berikut yang menyuruh kita mematuhi SEGALA hukum-hukumnya dan bukan memilih ikut sedap rasa sendiri.
سُوۡرَةُ البَقَرَة
يَـٰٓأَيُّهَا
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِى ٱلسِّلۡمِ ڪَآفَّةً۬ وَلَا
تَتَّبِعُواْ خُطُوَٲتِ ٱلشَّيۡطَـٰنِۚ إِنَّهُ ۥ لَڪُمۡ عَدُوٌّ۬
مُّبِينٌ۬(٢٠٨)
"Wahai
orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan
mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak
langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang
nyata. (208)
Begitu
juga dalam keharusan berpoligami. Kenapa harus ada keraguan tentang
hukum ini. Kenapa kita mencari ruang untuk mencemuh dan menolaknya.
Kenapa bila ada kes anak terbiar kerana bapanya berpoligami kita akan
bingkas mengambilnya sebagai contoh keburukan berpoligami. Sedangkan
berapa banyak anak yang terbiar yang bapanya tidak berpoligami, kita
pejamkan mata.
Saya
menimbulkan isu ini bukan kerana teringin sangat hendak berpoligami.
Dan kalau dibuat bancian, berapa peratuskah suami di negara ini yang
berpoligami. Dan juga kalau dilanjutkan bancian itu, berapa peratuskah nisbah
keluarga berpoligami yang berantakan berbanding keluarga yang tidak
berpoligami. Saya membangkitkan isu ini kerana tidak mahu ada
rakan-rakan blogger kita samada perempuan mahupun lelaki yang
terpengaruh dengan dakyah barat dan hasutan syaitan yang sentiasa
berusaha menimbulkan keraguan tentang kesyumulan Islam. Kalau kita tidak
sanggup berpoligami atau tidak mahu suami berkahwin lain kerana tidak
mahu berbahagi kasih atau kekayaan misalnya, itu boleh difahami dan
boleh dimaafi tetapi jangan sekali-sekali mengingkari atau menolak
hukum Allah yang mengharuskan poligami itu sebagai hukuman yang tidak
sesuai dengan zaman. Tidak sanggup atau belum bersedia melaksanakannya adalah berbeza dengan menolak atau mengingkari hukum itu.
Saya
ingin menceritakan kisah benar dalam keluarga saya. Ada seorang
saudara tua saya (lelaki) mengingatkan saya adik beradik supaya jangan
terlibat dalam poligami kerana tidak mahu keluarga menjadi kucar kacir.
Akan tetapi selang beberapa tahun kemudian, dia sendiri yang berkahwin
dua. Bila saya berjumpa dia selepas itu, tanpa saya bertanya atau
menyentuh sedikit pun perkahwinan dia yang kedua itu, dia berkata "siapalah abang yang ingin menolak takdir"
Ini
soal akidah. Kalau kita gagal satu, kita gagal semua. Ia bukan macam
ibadah. Kalau kita tidak sembahyang Subuh tetapi sembahyang fardu yang
lain kita lakukan, kita hanya berdosa dalam meninggalkan sembahyang
Subuh sahaja. Tetapi tidak dalam soal akidah, kalau kita menolak satu,
maka kita gagal semuanya. Sayang sekali kalau kita melaksanakan rukun
Islam yang lima itu sepenuhnya, tetapi kerana ragu dengan satu hukum
Allah maka ibadat kita itu menjadi sia-sia sahaja. Bagi diri saya mudah
sahaja, kalau saya berjumpa dengan perintah Allah yang sukar saya fahami
rasionalnya, maka saya akan berkata kepada diri saya "Perintah itu benar dan aku terima sepenuhnya. Cuma aku sahaja yang jahil yang belum memahami hikmahnya"
Saya
cuma ingin mengingatkan dan menyampaikan. Kalau ada yang terasa hati
dengan entri ini, apakan daya saya. Saya teringat kata-kata seorang alim
suatu ketika dulu kepada seorang yang meragui hukum Islam begini .. "saya tahu kubur kita masing-masing, tapi saya bimbang akan berjiran dengan kamu di dalam kubur nanti"dipetik dan diubahsuai drp http://al-lavendari.blogspot.com/
cantik sungguh selingan itu .. terima kasih banyak-banyak kerana menambah nilai kepada entri saya.
ReplyDelete