Tiga ciri jadi pemimpin
APAKAH ciri-ciri seorang pemimpin yang berkaliber, personaliti dan imej
yang baik? Bagaimana pula dengan bentuk kepemimpinan yang ditolak oleh
masyarakat dan negara. Presiden baru Majlis Belia Malaysia (MBM), Saifuddin
Abdullah mengupas ciri pemimpin dan kepemimpinan yang baik mengikut perspektif
negara serta secocok dengan amalan demokrasi. Wartawan Berita Minggu, ZAINUDIN
ISA menemu bualnya, baru-baru ini.
BOLEH saudara jelaskan mengenai ungkapan `pemimpin dan kepemimpinan
yang baik'.
Saya rasa pemimpin dan kepemimpinan adalah satu konsep yang sangat
luas ruang lingkupnya membabitkan setiap individu. Dalam konteks sebuah
negara, saya lihat kepemimpinan dan pemimpin mesti mendokong konsep musyawarah
dan bermuafakat. Malah, demokrasi menggalakkan konsep jemaah, musyawarah
dan bermuafakat. Kepemimpinan itu dalam satu pasukan.
Apakah ciri-ciri atau kelayakan yang perlu ada kepada seseorang yang
bergelar pemimpin?
Ada tiga ciri penting untuk melayakkan seseorang itu menjadi pemimpin.
Pertama, idealisme iaitu kombinasi kepercayaan dan pendirian yang tegas,
jelas dan berlandaskan kecintaan kepada nilai murni dan pada masa yang
sama kebencian kepada perkara yang negatif. Nilai murni ialah kebenaran,
keadilan dan persaudaraan. Perkara buruk pula ialah perpecahan, permusuhan,
peperangan dan kezaliman.
Ciri pemimpin kedua ialah aktivisme, iaitu kesediaan berkorban
apa saja untuk merealisasikan idealisme. Ketiga intelektualisme, iaitu
kekuatan ilmu yang mendasari perjuangan, tindakan dan pengorbanan. Ketiga-tiga
ini mesti ada kerana ia saling lengkap melengkapi. Kalau ada idealisme
dan aktivisme saja, kita tidak akan maju kerana kita tidak ada unsur ilmu.
Kita hanya rajin dan bersemangat, tetapi kita masih tidak ke mana.
Pemimpin dikatakan mesti mempunyai keistimewaan atau kelebihan tertentu.
Apakah ini benar?
Sesuatu pasukan kepemimpinan mesti ada ketuanya. Ketua mesti ada
ciri-ciri yang melebihi daripada anak buahnya. Antara yang diperlukan ialah
wawasan untuk memandu arah pasukan ke alam yang jelas. Kedua, dia mesti
mempunyai pemikiran strategik. Jika ada wawasan saja, tanpa ada pemikiran
strategik, ia hanya tinggal fantasi, tidak berpijak di bumi nyata. Ketiga,
dia mesti mempunyai pengalaman kerana ilmu boleh dipelajari, boleh dituntut,
tapi pengalaman adalah sesuatu yang sangat mahal. Daripada pengalaman datangnya
kebijaksanaan, kematangan dan hikmah. Ujian seorang pemimpin itu ialah
adakah wawasannya realistik, bolehkah ia merealisasikan wawasannya. Apabila
dia berhadapan dengan cabaran, adakah dia mempunyai hikmah.
Selain lahir dengan sendiri, pemimpin yang baik mungkin perlu dilatih.
Apa pandangan saudara?
Saya rasa kedua-duanya perlu. Seseorang itu harus mempunyai sedikit
sebanyak faktor kesediaan untuk memimpin. Kalaupun dia dilatih dan diasah,
jika dia sendiri tidak bersedia, dia tidak akan jadi pemimpin. Kalaupun
seseorang itu berasakan dirinya bersedia, tapi dia tidak diasah dan tidak
diberikan suntikan pendedahan secukupnya, itu masih mempunyai kekurangan.
Bakat bukan soal yang penting, tetapi kesediaan, latihan dalam bentuk pendedahan
dan melalui rentetan pengalaman.
Bagaimana pula dengan keperluan atau persediaan untuk menjadi pemimpin
politik kerana seperti kita maklum sebagai pemimpin politik seseorang perlu
melalui pelbagai cabaran?
Maaflah, soal politik ini bukan bidang saya dan saya juga tidak
ada pengalaman. Tetapi melalui pengamatan saya terhadap mana-mana budaya,
bangsa dan tamadun dunia, seseorang pemimpin politik yang mencapai tahap
pemimpin negara, cabarannya semakin besar, tanggungjawabnya semakin besar.
Setiap tingkah laku dan keputusan yang diambilnya membabitkan sejumlah
rakyat yang tidak terhingga. Sebab itu saya tekankan hikmah dan kebijaksanaan
sebagai ciri kepemimpinan yang jitu.
Adakah imej dan personaliti seorang pemimpin penting?
Kita tidak menafikan faktor personaliti, karisma dan imej. Ada
orang yang mahu seseorang itu jadi pemimpin kerana personaliti merendah
diri dan sederhana. Dia dianggap sesuai bagi sesetengah kelompok. Ada yang
diangkat menjadi pemimpin kerana karismanya, seperti cara dia berpidato
atau berhujah. Ada yang diangkat jadi pemimpin kerana imejnya. Tapi bagi
saya bukan penting sangat soal imej, personaliti atau karisma. Yang penting
sekali ialah sejauh mana seseorang itu berkesan. Sebab ada pemimpin yang
tidak ada karisma dan tidak mempunyai imej yang melambung, tapi berkesan
kerana idea dan wawasannya.
Pemimpin itu bergantung kepada kumpulan yang dipimpinnya dan suasana
semasa. Dalam suasana memperjuangkan kemerdekaan, kita mungkin memerlukan
seorang pemimpin berjiwa revolusi. Tetapi untuk mengisi kemerdekaan, negara
atau bangsa yang sama mungkin memerlukan pemimpin yang sesuai untuk mengisi
tempoh itu. Ketika memperjuangkan kemerdekaan mungkin panglima perang sesuai,
tapi untuk mengisi kemerdekaan, mungkin pentadbir sangat perlu.
Sejauh mana kebenaran falsafah bahawa 'pemimpin datang dan pergi'?
Bagi saya secara umumnya pemimpin datang dan pergi. Tapi pemimpin
yang cemerlang itu jarang datang. Saya fikir semua bangsa dan negara memerlukan
pemimpin yang cemerlang. Pemimpin yang cemerlang ialah sesuatu yang dihasilkan
melalui sumbangannya terhadap rakyat. Rakyat akan menentukan sama ada pemimpin
itu cemerlang atau sebaliknya. Setiap kali pemimpin itu gugur, macam mana
sekalipun masyarakat itu akan melahirkan pemimpin yang baru.
Pandangan saudara mengenai seorang pemimpin yang tidak diperlukan,
tetapi terus mempengaruhi rakyat terhadap perjuangannya?
Bagi saya, orang yang berasakan dirinya bersedia untuk memimpin
dia akan sentiasa menawarkan dirinya untuk memimpin. Jika sekalipun dia
tidak diterima oleh kelompok masyarakat atau negaranya, tidak ada sesiapa
yang menyuruh dia berhenti. Tetapi, akhirnya masyarakat itu sendiri akan
menentukan sama ada dia diterima kembali atau dia terus tidak diterima.
Itu faktor masa akan menentukan keadaan seterusnya. Dalam amalan demokrasi
ia jelas masyarakat yang mempunyai kuasa penentu.
Jika seseorang pemimpin itu mahu teruskan perjuangan sedangkan sudah
ketandusan penyokong, sejauh mana dia mampu bertahan?
Apa yang saya katakan awal tadi, itu adalah hak pemimpin itu sendiri.
Sejauh mana dia mampu bertahan bergantung kepada sejauh mana intipati perjuangannya
itu serasi dengan rakyat serta sesuai dengan masa. Jika ia tidak serasi
dengan rakyat dan tidak sesuai dengan masa, dia mungkin tidak dapat bertahan
lama.
Adakah pemimpin terkecuali daripada mematuhi peraturan dan undang-undang
negaranya?
Semua orang perlu patuh dengan undang-undang, apatah lagi dengan
seorang pemimpin kerana pemimpin adalah contoh kepada pengikut-pengikutnya.
Perlukah generasi muda diheret oleh pertubuhan atau orang tertentu
untuk mengikuti perjuangan seseorang pemimpin?
Umumnya, individu dalam masyarakat perlu mempunyai kefahaman yang
tinggi terhadap erti dan objektif kepemimpinan. Selain itu kita sebagai
individu mempunyai tanggungjawab dalam menentukan pemimpin dan kepemimpinan.
Jika kita mempunyai kematangan dalam soal kepemimpinan dan amalan demokrasi,
saya rasa rakyat akan membuat keputusan yang paling adil.
Akhir sekali bagaimana dengan rancangan MBM untuk melahirkan bakal
pemimpin belia dan negara?
Dalam MBM dan setiap badan gabungan, kita mempunyai kaedah yang
tersendiri. Umumnya ada beberapa pendekatan yang diambil. Misalnya, yang
pertama kita mengenal pasti bakat, personaliti tertentu yang dikira oleh
badan dan pertubuhan yang boleh diketengahkan. Kedua, kita mengadakan modul
latihan yang sistematik pelbagai tahap. Misalnya, kita ada tahap belia
kampung, daerah, negeri dan kebangsaan. Ada proses yang membabitkan kursus,
disiplin dan latihan tertentu. Kita juga mempunyai modul pendedahan, iaitu
pemimpin muda diberi peluang memimpin. Mereka juga diberi peluang untuk
membuat keputusan yang membabitkan peringkat negara.
Misalnya, kita mempunyai Majlis Perundingan Belia Negara dan MBM
mewakili kepentingan belia berbincang secara rasmi dengan kerajaan melalui
Kementerian Belia dan Sukan. Dalam majlis ini kita membincangkan dasar,
termasuk yang terakhir Dasar Pembangunan Belia Negara.
(Saifuddin, 37, berasal dari Temerloh, Pahang adalah lulusan ijazah
sarjana muda sejarah Universiti Malaya pada 1984. Mula aktif dalam persatuan
pelajar dan belia sejak menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada
1974. Ketika di Universiti Malaya, beliau menjadi Presiden Persatuan Bahasa
Melayu (1982-1984). Beliau juga pernah menjadi Timbalan Presiden Persatuan
Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (1984), ahli dewan tertinggi MBM (1985-1990)
dan Setiausaha Agung MBM (1990-1998).
Beliau juga adalah Perunding Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia
Pasifik (Escap), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
http://members.tripod.com/siti_2/01/55.html
Comments
Post a Comment