PERGI TIDAK AKAN KEMBALI
Gambar Hiasan
Sebagai seorang Islam yang berpegang
kepada al-Quran dan hadith, kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian
dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib dilalui
oleh semua manusia. Dalam peringkat kehidupan kita di dunia, jarang
umur manusia melebihi 100 tahun tetapi puratanya mencapai umur antara
60 hingga 80 tahun . Umur pendek atau panjang tidak menjadi persoalan
kerana akhirnya manusia pasti mati. Bagaimana sihat seseorang, bagaimana
megah kuasa dan kayanya, namun manusia pasti mati dan meninggalkan
dunia fana ini. Malah para nabi, rasul iaitu manusia yang paling dekat
dengan tuhan, bahkan manusia yang menjadi kekasih Allah SWT pun tidak
dapat lari dari kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman
di padang Mahsyar.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 78:
Maksudnya: ”Di
mana sahaja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu
bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat”.
Setiap manusia pasti mati kerana
mati bermakna manusia kembali kepada asal kejadiannya. Ia berasal dari
tanah, maka pastilah ia akan kembali menjadi tanah agar menjadi
peringatan kepada manusia. Persoalan mati adalah suatu kejadian yang
paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan. Bila seseorang
manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri manusia
kerana jasadnya menjadi busuk, dimakan cacing, tulang belulang menjadi
hancur lebur kembali menjadi tanah dan roh telah keluar dari badan
manusia. Rohlah yang menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat,
berakal, merasai dan berfikir.
Kubur atau alam barzakh adalah
sebagai tempat permulaan alam akhirat. Sebagaimana kesukaran manusia
menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi
menghadapi kesukaran siksaan kubur di alam barzakh. Sebaik sahaja ahli
keluarga dan sahabat handai selesai mengkebumikan dan dalam perjalanan
pulang ke rumah maka dalam suasana yang gelap gelita dua malaikat iaitu
Munkar dan Nakir datang menghampiri dan mendudukkan jenazah. Bagi
jenazah yang beriman dan berbekalkan amal soleh serta ketakwaan yang
unggul maka alam barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi
jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah
Allah SWT, maka alam barzakh adalah episod ngeri yang dipenuhi gelombang
azab sengsara hingga datangnya hari kiamat. Mereka berkeadaan seperti
orang yang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan.
Mimbar mengingatkan jemaah dan
umat Islam sekalian bahawa pada akhir zaman ini, semakin kurang atau
amat sedikit dari kalangan manusia yang bercakap tentang kematian, alam
berzakh dan Mahsyar, kerana manusia sedang sibuk dengan pembangunan
kerjaya dan kelazatan kehidupan dunia. Akhirnya mereka terkejut besar
apabila malaikat Izrael datang dengan mencabut nyawanya.
Saididna Ali RA pernah berkata, ” bahawa
manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari
tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa
dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut
bila kematian datang secara mendadak”.
Kesibukan mencari keseronokan
dan kelazatan dunia merupakan penyumbang terbesar kelalaian manusia
mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian. Sebagai
contoh mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti penagih dadah
sanggup melakukan apa saja termasuk mengambil ubat-ubat jalanan yang
mengandungi dadah dan bahan-bahan terlarang yang tidak diluluskan oleh
Kementerian Kesihatan bagi menambah lagi nikmat keseronokan. Perbuatan
ini seolah-olah mengali lubang kubur sendiri.Mereka ini akan menanggung
siksaan hidup dengan penyakit-penyakit kronik yang akhirnya membawa
kepada kehancuran dan kematian.
Berdasarkan kajian JAKIM
terdapat kelompok ajaran sesat tidak menerima hakikat kematian
pemimpinnya. Mereka sering mendakwa keajaiban pemimpin yang kadangkala
lebih hebat dari Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin. Dakwaan
terbaru kumpulan ajaran sesat ini ialah pemimpin mereka yang silih
berganti tidak akan mati sampai bila-bila, mereka hanya ghaib. Sebelum
ini mereka mendakwa pemimpin mereka sering bertemu dan berbincang dengan
Rasulullah SAW dalam keadaan sedar untuk menerima arahan baru dari
Rasulullah SAW. Ketaksuban kepada pemimpin dengan mendewa serta
memujanya menjadi salah satu ciri ajaran sesat. Pendewaan ini berterusan
sehingga kematian pemimpin tersebut. Pernah berlaku diluar negara
terdapat mayat pemimpin di awet untuk dikekalkan jasadnya seterusnya di
dewa dan di puja.
Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 185:
Maksudnya: “ Tiap-tiap
yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat
sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Maka sesiapa yang dijauhkan
dari neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya.
Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang
memperdayakan.”
Menghadapi kematian pemimpin
yang disayangi sememangnya amat perit dan sukar diterima. Kita perlu
mencontohi sikap waras Abu Bakar RA ketika berhadapan dengan kewafatan
nabi. Beliau memujuk Umar al-Khattab RA yang masih terkejut dengan
pemergian nabi SAW seraya berkata: ketahuilah, sesiapa yang menyembah
Muhammad SAW, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Sesiapa yang
menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah sentiasa hidup tidak akan
mati.
Persoalan tentang perkara ghaib
misalnya mengenai kematian, alam barzakh, hari kiamat, syurga, neraka
dan sebagainya adalah hak Allah SWT yang sama sekali tidak boleh
dicerobohi oleh manusia atau malaikat. Islam menetapkan dasar akidah dan
perkara ghaib adalah bersandarkan kepada dalil al-Quran dan
hadith-hadith sahih. Dasar akidah yang bersumber qiyas, ilham manusia
atau ramalan kosong seperti yang diamalkan oleh penegak ajaran sesat
adalah ditolak. Para nabi dan malaikat yang mulia hanya dapat mengetahui
sesetengah perkara ghaib setakat yang diizinkan oleh Allah SWT sahaja.
Firman Allah SWT dalam surah al-Jinn ayat 26-27:
Maksudnya : ” Tuhanlah
sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu
perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapa pun. Melainkan
kepada sesiapa yang di redhai-Nya dari Rasul-Nya maka Ia mengadakan di
hadapan dan di belakang mereka malaikat yang menjaganya”
Mengakhiri khutbah pada minggu
ini, mimbar menyeru, insaflah dan sedarlah bahawa kematian merupakan
perjalanan hidup yang tidak akan kembali lagi ke dunia yang fana ini.
Kita sering bercakap tentang kematian rakan dan sahabat kita yang telah
kembali menyahut seruan Ilahi. Bagaimanapun sayang sekali apakah
kematian rakan-rakan kita itu telah menimbulkan keinsafan dan kesedaran
untuk kita membuat persiapan serta menyediakan bekalan yang mencukupi
menghadapi kematian yang pasti itu. Ingatlah dan sedarlah bahawa alam
barzakh sentiasa menanti-nanti kehadiran kita dan sentiasa membuka
pintunya untuk kita. Tidak kira di mana kita berada atau bila masanya
kematian pasti mendatangi dan menjemput diri kita, Cuma persoalannya
adakah kita sudah bersedia menghadapi kematian ini.
Sebagai renungan marilah sama-sama kita menghayati
firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 144:
Maksudnya: ” Dan
Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului
oleh beberapa orang Rasul. Apakah kalau ia pula mati atau terbunuh, kamu
berbalik ke belakang (murtad)? Dan sesiapa yang berbalik ke belakang
maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan
(sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang
bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)."
Sumber : Khutbah Online JAKIM
http://manbaeil-uloom.blogspot.com
Comments
Post a Comment