SYA’BAN BULAN MERAIH GANJARAN PAHALA
Marilah kita meningkatkan ketaqwaan ke hadrat Allah SWT supaya hidup kita selamat di dunia dan di akhirat. Hari ini kita sedang berada di bulan Sya'ban yang mulia. Insya Allah pada Bulan hadapan kita akan berpuasa selama sebulan, kerana menjunjung perintah Allah SWT untuk mendapatkan keampunan dan keredhaan daripada-Nya.
Apabila sampai malam 15 Sya'ban yang dikenali juga dengan "Malam Nisfu Sya'ban", para ulama' yang mengikuti fahaman ahli sunnah wal jamaah biasanya melakukan pembacaan surah Yasin 3 kali selepas solat fardhu Maghrib. Mereka memperbanyakkan doa untuk kebaikan diri dan seluruh umat Islam baik secara individu atau secara berjemaah, dengan harapan agar diberi ketetapan iman dan Islam, rezeki yang luas dan umur yang panjang serta mati dalam husnulkhatimah.
Dinamakan bulan Sya'ban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat
banyak. Oleh itu, untuk mendapatkan kemuliaan dan ketinggian, seseorang
itu mestilah banyak melakukan amal kebajukan, supaya dengan yang
demikian, hati kita akan tunduk, jinak dan mudah menerima cahaya hidayah
Allah SWT.
Pada malam Nisfu Sya'ban, buku catatan amal kita akan diangkat ke langit
oleh para malaikat (Raqib dan Atid). Apabila tiba waktu perhitungan
amalan, buku itu akan dipergunakan sebagai saksi bagi setiap manusia.
Menurut sejarah, antara peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dalam
bulan Sya'ban ialah Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. supaya
mengubah arah qiblat bagi kaum muslimin, yang sebelumnya menghadap ke
Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis bertukar ke arah Masjid al-Haram
(Kaabatul Musyarrafah) di negeri Mekah al-Mukarramah.
Al-Quran menjelaskan kepada kita bahawa, perhitungan amalan manusia atau
hisab itu dilaksanakan oleh Allah SWT dengan beberapa cara, antaranya;
Pertama : Perhitungan amalan dihisab melalui soal jawab.
Setiap insan akan ditanya segala tingkah laku yang diperbuatnya di
dunia, baik yang lahir mahupun yang tersembunyi, yang kecil mahupun yang
besar.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 92-93;
"Demi Tuhan-Mu! Kami pasti akan menyoal mereka. Mengenai apa yang mereka telah lakukan".
Kedua : Perhitungan amalan dihisab dengan pembacaan buku catatan.
Allah SWT telah menugaskan beberapa malaikat-Nya kepada setiap manusia
untuk mencatat segala amalan yang baik atau yang buruk, dalam keadaan
sedar atau lupa, dalam keadaan bergurau atau bersungguh-sungguh,
sehingga nafas yang turun naik dan rintihan kalbu pun dicatat juga.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Infithar ayat 10-11;
"Dan sesungguhnya, ada malaikat-malaikat
yang menjaga dan mengawasi segala perilaku kamu. (Mereka adalah makhluk)
yang mulia (di sisi Allah) yang ditugaskan menulis (amalan-amalan
kamu)".
Ketiga : Perhitungan amalan dihisab dengan memperdengarkan rakaman.
Rakaman setiap perbuatan atau perkataan yang pernah diucap disepanjang hayat ketika di dunia.
Firman Allah SWT dalam surah al-Jatsyiah ayat 29;
"Inilah surat (kirab catatan malaikat)
Kami, dia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar, kerana
sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu
telah lakukan (di dunia dahulu)".
Keempat : Perhitungan amalan dihisab dengan mempamerkan semula segala amalan.
Setiap orang akan menyaksikan sendiri apa sahaja yang pernah dilakukan
sepanjang hayatnya melalui tayangan itu. Walaupun perbuatan-perbuatan
itu dilakukan dengan tersembunyi di tempat yang gelap atau
terang-terangan, baik yang kecil mahupun yang besar akan tetap dapat
didedahkan juga sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 6;
"Pada hari itu manusia akan keluar (dari
kuburnya) dalam keadaan yang bermacam-macam, untuk diperlihatkan kepada
mereka (balasan) bagi setiap amalan mereka".
Menurut riwayat, ketika Rasulullah s.a.w. menyampaikan wahyu ini kepada
umat manusia, maka ramai di antara para sahabat Baginda, menangis
teresak-esak. Ini adalah kerana mereka merasakan begitu banyak kejahatan
yang telah mereka lakukan. Di antara para sahabat Nabi yang paling
sedih, adalah Umar bin Khattab r.a., beliau terasa malu apabila
perbuatan-perbuatannya yang hina dan nista itu dipertontonkan oleh Allah
S.W.T. kepada seluruh makhluk.
Kelima : Perhitungan amalan dihisab melalui timbangan.
Seluruh amalan yang pernah dilakukan oleh setiap manusia dalam hidupnya,
akan ditimbang dengan satu timbangan besar. Demikianlah penjelasan
masalah terjadinya hisab. Mudah-mudahan dengan penjelasan ini, boleh
meningkatkan keinsafan dan menambah amal kita untuk lebih bertaqwa
kepada Allah S.W.T. dan menebus dosa-dosa yang telah kita lakukan.
Antara amalan yang sering dilakukan oleh para ulama' pada bulan Sya'ban adalah seperti berikut:-
Pertama : Berpuasa.
Saidatina Aisyah r.a. berkata bahawa;
"Tidak pernah Rasulullah s.a.w. berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya'ban (selain bulan Ramadhan)."
(Riwayat Bukhari)
Saidina Zaid r.a berkata bahawa:
"Aku telah bertanya kepada Rasulullah
s.a.w., "Ya Rasulullah, aku tidak pernah menyaksikan seumpama puasamu di
bulan Sya'ban dengan lain-lain bulan kecuali bulan Ramadhan".
Rasulullah s.a.w. bersabda;
Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Itulah bulan Sya'ban di mana manusia
lalai mengenainya iaitu antara bulan Rejab dan Ramadhan, ia adalah bulan
di mana segala amalan diangkat kepada Allah Tuhan sekalian alam. Maka
aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sedangkan pada masa itu aku
dalam keadaan berpuasa".
( Riwayat Ahmad)
( Riwayat Ahmad)
Kedua : Beristighfar, berselawat dan berzikir.
Oleh kerana bulan Sya'ban adalah bulan yang sangat mulia di sisi Allah
S.W.T. dan rasul-Nya, maka wajarlah kiranya sepanjang bulan itu kita
memperbanyakan ibadah seperti beristighfar, berselawat kepada nabi,
berzikir serta bertasbih.
Ketiga : Memperbanyakan membaca al Quran dan bersedekah.
Daripada Anas bin Malik r.a. katanya; sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.
apabila mereka melihat anak bulan dipermulaan bulan Sya'ban, mereka
bersungguh-sungguh membaca al-Quran. Di samping itu, umat Islam
dianjurkan mengeluarkan sedekah kepada fakir miskin supaya golongan yang
tidak bernasib baik ini akan memiliki kekuatan untuk menyambut
kedatangan bulan Ramadhan.
Kesempatan yang baik di bulan Sya'ban ini, marilah kita muhasabah diri
dan menilai amalan-amalan yang sering kita lakukan, walaupun amalan itu
tidak salah menurut Islam. Contohnya, amalan kenduri bulan Sya'ban;
walaupun terdapat unsur bersedekah, seperti memberi jamuan kepada tetamu
dan bertahlil, tetapi yang paling afdal ialah memberi jamuan berbuka
puasa kepada orang yang berpuasa, lebih-lebih lagi puasa Ramadhan.
Justeru, janganlah menjadikan kenduri Sya'ban itu sebagai perkara wajib,
kerana kadangkala ia boleh mendatangkan budaya pembaziran apabila
beberapa rumah membuat kenduri pada hari yang sama.
Demikian juga dalam menentukan ziarah kubur pada bulan Sya'ban. Amalan
tersebut bukanlah suatu perkara yang wajib, kerana menziarahi kubur
hukumnya sunat pada bila-bila masa.
Justeru, kita hendaklah segera bertaubat dengan memberhentikan semua
kegiatan maksiat yang telah dilakukan, di samping memohon keampunan
daripada Allah SWT. Marilah kita menunaikan tiap-tiap yang diwajibkan,
di samping menjalankan tanggungjawab amar makruf dan mencegah
kemungkaran. Semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang
bertaqwa.
"Dan bersegeralah kamu kepada
(mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada
Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi,
yang disediakan bagi orang yang bertaqwa".
(Ali-‘Imran : 133)
http://manbaeil-uloom.blogspot.com
Comments
Post a Comment