Pengajaran & Hikmah Peristiwa Israk & Mikraj
1
2
3
4
Allah berfirman:
"Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna) Kerana orang yang takut (melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu; Dan (sebaliknya) orang yang sangat celaka akan menjauhinya," (Al-A'laa [87] : 11)
Jadi dengan mendengar ceramah
serta membaca artikel-artikel berkaitan Israk mikraj ini boleh
mengingatkan kita akan tujuan hidup kita.
Di bawah ini pula saya salin daripada sini
Pengajaran peristiwa Israk dan Mikraj
PERISTIWA
Israk dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang
dikurniakan oleh Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung,
Rasulullah SAW.
Dalam
perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran
dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi
pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa
yang berlaku di alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba.
Peristiwa
Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini
yang semakin jauh dari dapat menyelami hikmah-hikmah Ilahi. Sesungguhnya
Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai
pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah
SAW yang istimewa di sisi-Nya.
Pengajaran Tentang Solat
Antara
pengajaran terpenting yang diperolehi daripada perjalanan Israk dan
Mikraj ialah tentang solat. Di antara kefarduan solat dan mukjizat Israk
dan Mikraj, terdapat hubung kait yang begitu mendalam dan erat,
sehingga munasabahlah dinamakan solat itu sebagai al Mikraj al Ruhi.
Apabila
Mikraj Nabi kita SAW dengan jasad dan rohnya ke langit sebagai suatu
mukjizat, maka Allah SWT menjadikan bagi umat Muhammad SAW Mikraj Roh
pada setiap hari sebanyak lima kali. Di mana roh dan hati mereka pergi
menemui Allah bagi memastikan mereka bebas dari kekangan hawa nafsu dan
menyaksikan keagungan Allah, kekuasaan serta keesaan-Nya, sehingga
mereka menjadi orang yang mulia di atas permukaan bumi ini.
Kemuliaan
yang diperolehi bukan dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan,
tetapi dengan jalan kebaikan dan ketinggian, jalan kesucian dan
kemuliaan serta jalan solat.
Tidaklah
solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai
makna, tetapi ia adalah sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas
semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh
kesesakan hidup, hiruk-pikuk dan kejahatannya.
Solat
merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya,
maka dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang
meninggalkannya, maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian.
Allah
SWT telah memfardukan solat ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya
ia menjadi penghubung dengan hadrat-Nya, peringatan tentang
keagungan-Nya dan tanda kesyukuran hamba-Nya atas nikmat yang
dicurahkan-Nya.
Ia
merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan
akhirat. Sabda Rasulullah SAW: "Amalan pertama yang dihisab bagi hamba
pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah
segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala
amalannya yang lain". (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al
Awsotjuga disebut di dalam Majma' al Zawaid (1/291)).
Tidak
menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala
amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara
sempurna dengan khusyuk dan khudhu' kepada Allah, akan menanam di dalam
jiwa sifat muraqabah kepada-Nya.
Sesiapa
yang telah mencapai muraqabatullah, akan berasa takut kepada-Nya,
bertakwa kepada-Nya, menunaikan perkara yang menjurus kepada
keredaan-Nya, berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila
berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan
bersyukur dengan nikmat-Nya.
Firman
Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23: Sesungguhnya manusia
itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila
dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh
kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang
mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.
Seorang
hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka
daripadamuraqabatullah dalam kesibukan dan urusan sehariannya.
Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikannya
dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Tuhannya.
Sabda
Rasulullah SAW: "Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan
yang dilakukan di hadapannya". (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).
Sabda
Baginda SAW lagi: "Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang
wajib, maka dia masuk syurga". Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi
dan al Hakim).
Sesiapa
yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada
memperolehi nikmat keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab
selepas kematiannya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.
Setiap
kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya.
Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan
dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.
Wahai
kaum Muslimin! Bertakwalah kalian kepada Allah dan peliharalah solat
serta tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan khusyuk. Tiada yang
menghalang kalian untuk menunaikannya walaupun disebabkan kesejukan dan
juga pekerjaan.
Bermujahadahlah
sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya
tatkala kalian berseronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas.
Begitu juga bermujahadahlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat
Asar kerana terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan.
Berhati-hatilah
kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan
kementerian tidak menyibukkan kalian dari menunaikan solat.
Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah SWT yang maksud-Nya: (
Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung. (al-Nur: 37 dan 38)
Daripada
Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari, Nabi SAW menyebut tentang
solat dengan sabdanya: "Sesiapa yang memelihara solat maka baginya
cahaya, petunjuk dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak
memeliharanya, maka tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada
hari kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn
Khalaf". (riwayat al Tabrani dan Ibnu Hibban)
Daripada
Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda: "Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu
rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada
setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang
tinggal pada badannya?" Sahabat menjawab, "Tidak ada suatu kotoran pun
yang tinggal". Sabda Baginda SAW, "Begitu jugalah perumpamaannya dengan
solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan
kesalahan-kesalahan. (riwayat al Bukhari dan Muslim)
Banyak
lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj
terutamanya beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW
bagi menunjukkan kepada kita tentang ketinggian martabat Baginda SAW.
Semoga
kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga
kita dapat menghayati hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa agung,
Israk dan Mikraj.
Hikmah & Pengajaran Israk Mikraj
http://www.ustazshauqi.com
Bulan
Rejab kian hampir melabuhkan tirainya. Maka semakin terasa dekatnya
pertemuan dengan bulan mulia lagi penuh rahmat, iaitu Ramadan
al-mubarak. Namun, di penghujung Rejab yang mulia ini, kita terpanggil
untuk merenung sejenak peristiwa yang besar dan bermakna bagi seluruh
umat. Peristiwa yang dimaksudkan itu ialah peristiwa Israk Mikraj yang
menakjubkan.
Israk
dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang
dialami oleh Nabi Muhammad SAW dan dianggap sebagai satu penganugerahan
yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu
adalah kurnia Allah SWT kepada baginda untuk memperlihatkan tanda
keagungan dan kekuasaan-Nya.
Sungguhpun
peristiwa luar biasa yang terjadi setahun sebelum Nabi Muhammad SAW
berhijrah ke Madinah itu mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran
manusia, namun kita selaku umat Islam wajib percaya dan meyakini bahawa
Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Nabi Muhammad SAW adalah
benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Segala-galanya boleh
berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah selaku Pencipta dan
Pentadbir alam semesta.
Israk
bererti perjalanan Nabi SAW dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidil
Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin. Peristiwa ini terakam di dalam
Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :
“Maha
Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari
dari Masjidil-Haraam (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang
Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda
(kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha
Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Q.S. Al-Israa’: 1).
Sementara
itu, Mikraj pula merujuk kepada perjalanan baginda SAW dari Masjidil
Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, dekat singgahsana Allah SWT
sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran yang bermaksud:
“Dan
demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril dalam
bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi “Sidratul-Muntaha”; yang
di sisinya terletak syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat
Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa
“Sidratul-Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam
ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar
daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ
yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi
sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda
(yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.” (Q.S.
An-Najm: 13-18).
Oleh
itu, Israk Mikraj dapat disimpulkan sebagai satu perjalanan kilat Nabi
Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil
Haram ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul
Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat
di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu
kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
Salah
satu inti penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah perintah
solat yang diterima Nabi SAW di Sidratulmuntaha. Pada mulanya Allah SWT
memberi perintah supaya mengerjakan solat 50
waktu sehari semalam. Tatkala bertemu dengan Nabi Musa Alaihi Salam di
langit keenam, Muhammad SAW menceritakan perintah yang diterimanya
daripada Allah. Lalu Nabi Musa menyarankan agar baginda kembali
menghadap Allah SWT untuk memohon keringanan, dengan alasan bahawa
umatnya tidak akan sanggup melaksanakan solat 50 waktu itu. Disebabkan
terlalu sayangkan umatnya, Nabi SAW menerima saranan itu. Ia pun kembali
menghadap untuk memohon keringanan. Permohonan itu berulang sampai 9
kali hinggalah Allah SWT mengabulkannya dengan mengurangi waktu solat
menjadi hanya 5 kali sehari semalam.
Adapun
waktu-waktu solat yang telah ditentukan itu ialah Subuh, Zohor, Asar,
Maghrib dan Isya. Waktu mengerjakan solat berkenaan diterangkan dengan
jelas di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :
“Dan
dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan
pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan yang baik
itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah
peringatan-peringatan bagi orang-orang yang ingat.” (Q.S. Hud: 114).
Bulan
Rejab tahun ke-11 dari kerasulan baginda SAW, disifatkan oleh ahli
sejarah sebagai ‘Amulhuzn’ (tahun dukacita) bagi Rasulullah. Ini
berikutan dengan dua musibah berturut-turut yang menimpa baginda, iaitu
kehilangan dua insan tersayang berikutan kewafatan Khadijah, isteri
baginda yang tercinta, yang kemudian disusuli pula dengan pemergian bapa
saudara baginda, Abu Thalib, yang banyak melindunginya daripada ancaman
kaum kuffar Quraisy.
Musibah yang menimpa itu berpengaruh besar terhadap diri Rasulullah. Lantas
Nabi merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di kota Makkah semakin
sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan yang sedemikian
mendorong Rasulullah untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar
penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya.
Malangnya, segala harapan baginda hancur berkecai kerana penduduk Thaif
bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada Nabi, malah Nabi
dicaci, dihina hatta dianiaya.
Lalu,
Rasulullah kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa tanpa hasil.
Dan dalam hal keadaan menanggung kesedihan dan kehampaan, Allah
menganugerahkan Israk Mikraj, yang antara lain bertujuan menghibur dan
mempertebal iman Nabi SAW.
Berdasarkan
kepada peristiwa Israk Mikraj, kita memperolehi pelbagai pengajaran
berharga yang terkandung di dalamnya untuk direnungi serta dihayati.
Antara pengajaran berguna tersebut ialah:
1.
Manusia harus sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah, baik di kala
ditimpa kesusahan mahupun di kala mendapat kesenangan. Ini kerana hanya
Allah yang berkuasa memberikan pertolongan, menghilangkan segala
kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri manusia. Sebagaimana yang
diceritakan, Nabi telah ditimpa beberapa musibah sebelum terjadi Israk
Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk Mikraj,
iaitu untuk berhadapan dengan Allah swt. Ini memberi pengajaran kepada
kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan
pelbagai permasalahan dalam kehidupan. Caranya ialah dengan melaksanakan
semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya di samping terus
meningkatkan ketakwaan dan amal ibadat.
2.
Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa Israk Mikraj, tepatnya
sewaktu Nabi diajak meninjau keadaan neraka, baginda ditunjukkan
berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai
kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah
mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang
memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia
kembali bertaut seperti sediakala. Nabi juga melihat bentuk penyeksaan
yang lain seperti seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang
suka memfitnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar supaya kita
yang hidup di dunia ini tidak melakukan segala perbuatan tercela itu
dan juga pekerjaan lain yang jelas dilarang Allah kerana begitulah
seksaan yang bakal diterima oleh seseorang di akhirat nanti sekiranya
perbuatan yang dilarang Allah itu dilakukan.
3.
Perintah solat sebagai suatu bentuk ibadah yang Allah sendiri
menggariskan ketentuan mengenainya. Kewajipan solat berbeza dengan
kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini adalah kerana
kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi daripada Allah sewaktu
bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail. Ini
menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah
lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak.
Dengan solat, kita berpeluang untuk berdialog langsung dengan Allah,
iaitu ketika bersolat.
4.
Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar
keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia.
Ini kerana sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi akan
keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya yang terdapat di alam
tinggi bernama langit itu seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain
lagi.
5.
Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak
pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Ini
mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya
selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam sebagai tanda
penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan.
Israk
Mikraj merupakan mukjizat yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang
lain. Justeru itu, Pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di
dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ianya dapat membantu
memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan
ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan
ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi masa
kini. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan
tidaklah Kami mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), selain
dari kalangan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu
bertanyalah kamu kepada orang yang berpengatahuan agama jika kamu tidak
mengetahui.”
HIKMAH DI SEBALIK ISRAK MIKRAJ
Posted by Abu 'Asim on 11:25 PM
Marilah
kita mendengar firman Allah Taala yang menceritakan tentang peristiwa
agung yang berlaku dalam sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.Walaupun para ulama telah bertelingkah di dalam menentukan bulan dan tahun berlakunya Israk tetapi ia adalah peristiwa yang benar-benar berlaku kepada Rasulullah s.a.w.
Peristiwa ini dinyatakan oleh al-Quranul Karim dan diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadisnya yang sahih, yang diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi.
Matlamat yang penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah s.a.w. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat bersejarah itu.
Firman Allah Taala (maksudnya): "Maha suci Tuhan yang telah menjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitulmaqdis) yang Kami telah berkati di sekelilingnya supaya Kami tunjukkan kepadanya ayat-ayat Kami (tanda-tanda kebesaran dan ketuhanan Kami), sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israk: 1)
Peristiwa Israk dan Mikraj untuk menyatakan Rasulullah s.a.w. adalah benar seorang rasul yang dipilih oleh Allah SWT, membawa satu agama dan pengajaran yang bernama Islam, firman Allah (maksudnya): "Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam." (A-li Imran: 19).
Dan Allah menyatakan juga (maksudnya): "Dan sesiapa yang mencari (berpegang) dengan agama selain daripada Islam, maka Allah tidak akan menerima dan pada hari akhirat dia tergolong dalam orang-orang yang rugi." (A-li Imran: 85)
Pada malam yang bersejarah itu, Rasulullah s.a.w. dihimpun bersama dengan roh para nabi dan rasul 'alaihimus solatu wassalam di Masjidil Aqsa. Mereka solat berjemaah bersama-sama, dan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi imam kepada mereka.
Ini menandakan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu daripada mata rantai ajaran Islam yang bersambung-sambung dari seorang nabi dan rasul kepada nabi dan rasul yang lain. Bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman, tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w.
Allah SWT memilih nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan manusia. Mereka terdiri daripada manusia yang memiliki akhlak yang luhur lagi tinggi, bersifat benar, amanah, menyampaikan, cerdik dan bijaksana di kalangan kaumnya dan dipelihara daripada melakukan kesalahan dan dosa.
Adapun mereka yang tidak memahami dan buta al-Quran tidak akan percaya kepada peristiwa Israk dan Mikraj, kerana pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w. ditemukan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan Bani Israil dan nabi-nabi dan rasul di kalangan umat-umat yang lain, yang cerita-cerita mereka disebut dalam al-Quran, sebuah kitab Allah yang masih wujud sehingga hari ini. Ini menandakan kebenaran al-Quran.
Kebenaran al-Quran bukan sahaja menandakan betulnya Rasululah s.a.w. bahkan juga menjadi pengajaran kepada umatnya. Semua nabi adalah menganut agama yang satu iaitu agama Islam.
Semua mereka bersolat dalam keadaan menghadap Allah SWT dengan cara-cara solat yang diajar oleh Allah. Semua nabi berpegang dengan akidah tauhid Lailahaillallah, tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah, Tuhan yang layak disembah kepada-Nya, Tuhan yang menjadikan dan menguruskan alam ini.
Alam ini tunduk di bawah undang-undang peraturan Allah, maka wajib manusia hanya tunduk kepada undang-undang dan peraturan Allah SWT. Itulah ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul yang terpaksa berjuang mengharungi perjuangan yang panjang.
Di dalam peristiwa itu juga ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w. rasul yang disertai oleh pengikut yang ramai. Ada rasul yang disertai oleh pengikut yang sedikit, ada yang berjalan seorang diri, ada nabi yang dibunuh dan ada yang dipenjara. Itulah nabi-nabi dan rasul-rasul yang membawa ajaran Allah yang berdepan dengan cabaran golongan manusia yang menjadi bala tentera iblis yang akan wujud sehingga hari kiamat.
Peristiwa Israk dan Mikraj juga berlaku untuk meningkatkan semangat Rasulullah s.a.w. supaya jangan takut dan gentar di dalam perjuangan Islam, kerana Islam yang dibawa itu ialah Islam Allah SWT. Seluruh kuasa besar yang ada dalam dunia adalah habuk-habuk yang kecil yang boleh ditiup angin, bahkan ia lebih kecil lagi apabila berdepan dengan ketuhanan Allah SWT pada hari kiamat.
Seseorang yang menganut Islam hendaklah merasa mulia, tinggi dan hebat dengan Islam, dengan syarat mereka berpegang dengan Islam. Allah SWT memuliakan umat ini dengan Islam. Kehinaan yang menimpa umat ini apabila mereka meninggalkan Islam.
Ditunjukkan pada malam Israk dan Mikraj itu di mana perginya orang yang berpegang dengan Islam sehingga mati dan ke mana arah orang yang menyeleweng dan meninggalkan agama Islam. Orang yang berpegang dengan Islam diletakkan di syurga dan mereka yang menyeleweng daripada Islam berada di dalam neraka. Hal ini digambarkan dengan jelas supaya diberitahu kepada umatnya sehingga kiamat.
Marilah kita menghayati peristiwa Israk dan Mikraj dengan bukan hanya kita mendengar cerita yang berlaku di dalamnya tetapi yang lebih penting ialah untuk menambah iman kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran Islam untuk sehidup semati dengan Islam sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT.
Firman Allah (maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam." (A-li Imran: 102).
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
http://syababghardhuffaz.blogspot.com
Comments
Post a Comment