Adab-adab Mengambil Wudhuk

 

 



Kita mengambil WUDHUK sebelum melakukan ibadat-ibadat wajib mahupun sunat.

Adab-adab ketika mengambil wuduk juga haruslah dijaga supaya wuduk kita lebih sempurna dan segala amalan yang kita lakukan diterima Allah s.w.t. InsyaAllah.


Di antara adab-adab ketika mengambil wuduk adalah:-

1) Membersih mulut dan gigi seperti berkumur dan bersugi. Ianya amat dituntut dalam Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:


“Kalaulah tidak kerana menyusahkan umatku nescaya aku menyuruh mereka bersugi pada tiap-tiap kali sembahyang.”


2) Bersugi adalah sunat dengan menggunakan kayu sugi atau alat sugi yang boleh membersihkan (berus gigi). Seperti hadis Rasulullah di atas, kita dapat lihat pentingnya bersugi sebelum berwuduk.


3) Sesudah itu, ambil wuduk dengan khusyuk tanpa lalai dan leka. Sesetengah ulamak meminta supaya membaca doa di setiap anggota yang dibasuh dan disapu.


Ketika mengambil wuduk mulakan membaca:


“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang. Hai Tuhan, aku minta berlindung dengan Engkau dari gangguan syaitan dan aku minta berlindung dengan Engkau, hai Tuhan dari mereka datang kepadaku.”


4) Membasuh dua tangan. Baca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku meminta dari Engkau kesempurnaan dan keberkatan dan aku minta perlindungan dengan Engkau dari kecelakaan dan kebinasaan.”


5) Berkumur dan membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, tolonglah aku membaca kitab Engkau, banyak berzikir kepada Engkau dan tetapkanlah aku dengan kata-kata yang tetap di dunia dan di akhirat.”


6) Ketika memasukkan air ke dalam hidung, baca doa: “Hai Tuhan, berikan kepadaku bau-bauan syurga dan Engkau reda kepadaku.”


7) Ketika mengeluarkan air dari hidung hendaklah membaca doa: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari bauan neraka dan kesiksaan neraka.”


8) Sesudah itu berniat mengambil wuduk, kemudian membasuh muka dan berdoa: “Hai Tuhan, bercahayalah mukaku dengan cahaya Engkau pada hari bercahayanya muka wali-wali Kamu dan janganlah kamu menggelapkan mukaku dengan kegelapan Engkau pada hari menjadi hitam muka musuh-musuh Kamu.”


9) Ketika membasuh tangan hingga ke siku, baca doa; bagi tangan kanan-Hai Tuhan, serahkanlah rekod amalanku melalui tangan kananku dan perhitungkanlah aku secara mudah.” Manakala ketika membasuh tangan kira, baca doa: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari Engkau serahkan buku rekodku melalui tangan kiriku atau dari belakang.”


10) Ketika menyapu kepala hendaklah kamu membaca: “Hai Tuhan, litupilah aku dengan rahmat Engkau, turunkan keberkatan Engkau kepada aku, lindungilah aku dibawah baying arasy Engkau pada hari yang tidak ada sebarang perlindungan kecuali lindungan bayangan Engkau. Hai Tuhan, peliharalah rambutku dan kulitku daripada api neraka.”


11) Dan ketika menyapu dua telinga, bacalah: “Hai Tuhan, jadikanlah aku dari kalangan orang yang mendengar perkataan maka mengikut yang baiknya. Hai Tuhan perdengarkanlah aku malaikat yang menyeru ke syurga, di syurga bersama-sama orang yang baik-baik.”



Kemudian, ketika membasuh kaki kanan hendaklah membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, tetapkanlah kakiku di atas titian Siratul Mustaqim bersama tetapnya kaki hamba-hambamu yang soleh.”


Manakala ketika membasuh kaki kiri hendaklah membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku minta berlindung dengan Engkau dari tergelincirnya kakiku di atas titian Sirat ke dalam neraka pada hari tergelincirnya kaki-kaki orang munafik dan musyrik.”


12) Dan akhir sekali, setelah selesai mengambil wuduk, membaca doa yang membawa maksud: Hai Tuhan, jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang bertaubat, jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang bersih dan jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang soleh.”
 
Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi s.a.w., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud "Tidaklah salah orang di antara kamu berwudhu', maka ia sempurnakan wudhu'nya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu Syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya."
(Hadis Riwayat Muslim )

Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Jika seorang hamba yang Muslim atau Mukmin berwudhu', ketika ia basuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya semua kesalahan yang dilihat dengan kedua matanya bersama air atau bersama tetes air terakhir. Jika membasuh kedua tangannya, keluarlah dari kedua tangannya semua kesalahan yang dilakukan tangannya bersama keluarnya air atau tetes terakhir air. Jika membasuh kedua kakinya, keluarlah semua kesalahan yang diperbuat kakinya bersama air atau tetes terakhir air, sampai ia selesai wudhu' dalam keadaan bersih dari dosa."
(Hadis Riwayat Muslim).
 
 http://abubasyer.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog