Langkah-Langkah Syaitan Untuk Menyesatkan Manusia
Muhammad Fashan Bin Ahmad Ziadi
http://ibnabiashim89.blogspot.com
Ketika manusia sibuk untuk
mengalahkan musuhnya,sama ada musuh yang tak sealiran dengannya,musuh
yang dibencinya,mereka lupa akan musuh mereka yang hakiki,yang tidak
mereka sedari akan kehadirannya iaitulah syaitan dan tentera-tenteranya.
Syaitan merupakan musuh yang jelas diberitakan oleh Allah dalam al-Quran sebagaimana firmanNya:
أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آَدَمَ أَنْ لَا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Bukankah Aku telah memerintahkan
kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya
syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu” (Yassin:60)
Al-Imam Ibnu
Kathir-rahimahullah-dalam Tafsirnya ketika menafsirkan ayat ini berkata:
Ini adalah celaan Allah kepada mereka yang mengingkariNya di kalangan
bani Adam iaitulah mereka yang mentaati syaitan sedangkan syaitan adalah
musuhnya yang nyata,dan mereka yang melakukan maksiat kepada Allah
sedangkan Dialah yang menciptakannya dan mengurniakan rezeki kepadanya”
(Tafsir al-Quran al-`Azhim,Ibnu Kathir,3/167)
Langkah-Langkah Syaitan Menyesatkan Manusia
Syaitan telah berjanji di hadapan
Allah bahawa dia akan menyesatkan dengan pelbagai bentuk cara dan
keadaan,hakikat ini dirakamkan dalam al-Quran:
قَالَ
فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ ()
ثُمَّ لَآَتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ
أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ
Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah
menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan (menghalangi) mereka dari
jalan Engkau yang lurus. kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka
dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau
tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)” (Al-`Aaraf: 17)
Inilah janji iblis dan
tentera-tenteranya iaitulah syaitan dikalangan jin dan manusia,mereka
akan berusaha untuk menyesatkan manusia daripada jalan yang lurus:
وقوله:
{ثم لآتينهم من بين أيديهم ومن خلفهم} الآية، قال ابن عباس: {ثم لآتينهم من
بين أيديهم} أشككهم في آخرتهم {ومن خلفهم} أرعبهم في دنياهم {وعن أيمانهم}
أشبه عليهم أمر دينهم {وعن شمائلهم} أشهي لهم المعاصي
Berkata Ibnu `Abbas radiallahu`anhuma ketika menafsirkan ayat di atas:
“datang dari muka(hadapan)manusia,
bermaksud dia akan menimbulkan syak(keraguan)terhadap hari akhirat,dan
dia datang dari belakang,iaitulah dia menggalakkan atau menakutkan
manusia tentang dunia mereka,ia datang dari kanan mereka iaitulah dia
menimbulkan kesamaran pada urusan agama mereka dan ia datang dari kiri
manusia iaitulah dia menjadikan lazat(membangkitkan)syahwat kepada
mereka terhadap maksiat” (Tafsir al-Quran al-`Azhim,Ibn Kathir,1/152)
Begitu juga langkah-langkah syaitan
sangat berbahaya dan halus sehingga Allah Ta`ala memerintahkan agar kita
menjauhi langkah-langkah syaitan,FirmanNya:
وَلَا
تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ ()
إِنَّمَا يَأْمُرُكُمْ بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاءِ وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى
اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
“dan janganlah kamu mengikuti
langkah-langkah syaitan,kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh
yang nyata bagimu.Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat
jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu
ketahui.” (Al-Baqarah:169)
Berdasarkan huraian Ibnu `Abbas
radiallahu`nhuma dan ayat di atas kita mendapati beberapa cara dan
langkah-langkah yang digunakan oleh syaitan untuk menyesatkan manusia
antaranya:
1. Menimbulkan syak(keraguan) terhadap hari akhirat.
Hari akhirat adalah termasuk dalam
perkara-perkara berkaitan keimanan dan akidah.Praktikalnya,apabila iblis
dan syaitan menyerang keyakinan kita akan hari akhirat,maka secara
automatik keraguan akan timbul dalam hati kita.Ketika itu hilang dalam
hati dan fikiran kita akan Maha Melihatnya Allah,malaikat,dosa dan
pahala,syurga dan neraka.Apabila iblis dan syaitan berjaya menimbulkan
keraguan dalam keimanan kita maka ketika itu,kita akan melakukan dosa
dan perkara yang dilarang oleh Allah.Ketika itu kita sudah terjerat
dalam perangkap iblis yang berjaya dengan rancangannya.Maka ketika
itu,dosa dan maksiat seperti syirik,bid`ah,berzina,mengumpat,mendedahkan
aurat,minum arak dan sebagainya dilakukan tanpa ada rasa bersalah.Hal
ini berlaku kerana mereka tidak yakin dengan Allah dan berita-berita
yang disampaikan oleh al-Quran dan As-Sunnah seperti firmanNya:
أَلَا إِنَّهُمْ فِي مِرْيَةٍ مِنْ لِقَاءِ رَبِّهِمْ أَلَا إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ مُحِيط
“Ingatlah bahawa sesungguhnya mereka
adalah dalam keraguan tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah
bahawa sesungguhnya Dia Maha Meliputi segala sesuatu” (Fusshilat: 54)
2. Menimbulkan kesamaran dan memerintahkan agar bercakap tentang Allah tanpa ilmu.
Antara jalan yang digunakan oleh
iblis dan syaitan untuk menyesatkan manusia ialah dengan menimbulkan
kesamaran terhadap mereka antaranya ialah iblis menimbulkan kesamaran
diantara syirik dengan Tauhid,Sunnah dengan bid`ah yang halal dengan
yang haram,perkara yang boleh memasukkan ke syurga ataupun ke neraka.Hal
ini boleh diatasi hanyalah dengan jalan menuntut dan mendalami ilmu
agama berdasarkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah
sallallahu`alaihiwasallam serta mengikuti manhaj Salafussoleh.Begitulah
juga mereka yang bermudah-mudah berkata tentang Allah atau
Sifat-sifatNya,dan berkenaan agamaNya tanpa ilmu dan petujuk yang
benar,mereka yang telah terpedaya dengan perintah syaitan agar berkata
tentang Allah tanpa ilmu terdiri daripada orang-orang Yahudi dan Nasrani
serta kebanyakan ahli bid`ah seperti
Syiah,Muktazilah,Jahmiyyah,Khawarij,Sufiyyah dan Asya`irah,mereka
terperangkap dengan tipu daya syaitan ini lalu terjatuh dalam
bid`ah-bid`ah mereka apabila mereka bercakap tentang Allah dan agamanya
tanpa ilmu dan petunjuk Salaf,mereka yang melakukan perkara sebegini
jelaslah mereka telah berjaya diperdaya oleh Iblis dan tenteranya.Antara
contoh petunjuk Nabi sallallahu`alaihiwasallam menjelaskan solusi untuk
masalah ini:
يأتي الشيطان أحدكم فيقول فمن خلق كذا من خلق كذا؟ حتى يقول :من خلق ربك ,فإذا بلغه فليستعذ بالله ولينته.
Syaitan akan datang kepada kamu, dan
berkata:”siapakah yang mencipta ini ?,dan ini?, hinggalah dia berkata:
“Siapa yang mencipta Tuhanmu?, jika sampai kepadanya (syak tersebut)
maka hendaklah dia isti`azah minta perlindungan kepada Allah dan
berhenti (dari memikirkannya)” (HR Bukhari dlm Khalq `Afalul`Ibad 11,Bab
Sifat Iblis dan tenteranya,Imam Al-Asbahani , Al-Hujjah fi bayan
Al-Mahajjah m/s;108)
Satu lagi petunjuk Nabawiyyah dlm
masalah mengekang bisikan syaitan tersebut ke dalam hati
kita,sebagaimana sabda Nabi sallalalhu`alaihiwasallam:
إن أحدكم يأتيه الشيطان فيقول: من خلقك؟ فيقول: الله، فيقول: فمن خلق
الله؟! فإذا وجد ذلك أحدكم فليقرأ: آمنت بالله ورسله، فإن ذلك يذهب عنه “.
الله؟! فإذا وجد ذلك أحدكم فليقرأ: آمنت بالله ورسله، فإن ذلك يذهب عنه “.
“Sesungguhnya salah seorang
dikalangan kamu akan didatangi syaitan lalu dia berkata: ” siapakah yg
menciptamu?” ,lalu dia menjawab Allah, lalu dia bertanya lagi ;” siapa
Allah?” sesiapa yang mendapati keadaan tersebut dikalangan kamu maka
bacalah;” aku beriman dengan Allah dan rasul-rasulNya, maka sesungguhnya
hal tersebut menghilangkan was-was darinya” (HR Ahmad, Silsilah
As-Shahihah no:116)
Selain itu,berpegang teguh dengan
Al-Quran,As-Sunnah serta petunjuk Salaf merupakan perisai yang paling
ampuh bagi mengekang kesamaran serta syubhat-syubhat yang dibawa oleh
iblis dan tentera-tenteranya syaitan sama ada dikalangan jin mahupun
manusia.
3. Menyeru kepada kejahatan
dan perkara yang keji (seperti zina,liwat dan sebagainya) serta
membangkitkan syahwat(kelazatan) dalam perkara maksiat.
Sesungguhnya inilah jalan yang paling
banyak manusia terjerat dan terperangkap di dalamnya.Ketahuilah syahwat
antara perkara yang paling mudah digunakan oleh iblis dan
tentera-tenteranya untuk menyesatkan manusia.Kita lihat di zaman
sekarang berapa ramai yang terlibat dengan perzinaan,pelacuran dan
sebagainya?.Permulaan syahwat ialah dengan pandangan mata,kemudian
berpindah kepada fikiran yang membangkitkan angan-angan,kemudian tangan
tak putus-putus bermesej dan tak cukup bermesej teringin pula nak
bertemu dan apabila nafsu menguasai diri dan apabila syahwat dan
perasaan menggantikan tempat iman maka berlakulah perkara yang dibenci
oleh Allah.Sesungguhnya iblis telah berjanji bahawa dia akan menyesatkan
kita dengan membangkitkan angan-angan kosong seperti dirakamkan dalam
al-Quran:
وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ
“Dan aku akan benar-benar menyesatkan mereka,dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka..” (an-Nisa`: 119)
Hendaklah perkara sebegini diambil
perhatian,kadang-kadang kita melihat sesuatu perkara itu sebagai baik
padahal ianya adalah perangkap syaitan.Sesetengah mereka sangat suka
mendengar muzik dan lagu-lagu yang mengandungi lirik yang membangkitkan
syahwat dan lagu yang melekakan kononya ianya dapat menenangkan perasaan
padahal ianya hanyalah melalaikan dan menimbulkan angan-angan
kosong.Tidak kurang juga mereka yang menghalalkan muzik dan
menggunakannya atas nama muzik islam,nasyid dan sebagainya,sebahagian
mereka pula merasa tidak malu apabila menunjukkan aurat mereka di
hadapan manusia,sanggup menjadikan tubuh-tubuh mereka sebagai bahan
tontonan di khalayak ramai,bertabarruj di dalam internet,akhbar-akhbar
dan majalah-majalah dan mereka merasakan perkara itu adalah baik bagi
mereka.Sedangkan ianya hanyalah nikmat yang sementara.
4.Menakut-nakutkan dalam urusan agama sehingga berputus asa dengan rahmat Allah.
Apabila Iblis dan syaitan berjaya
menjerumuskan seseorang terhadap kemaksiatan terhadap kepada Allah maka
dia tidak hanya berhenti di situ malah dia akan menakut-nakutkan mereka
yang berdosa dengan dosa mereka sehinggakan dia membuatkan mereka yang
berdosa akan berputus asa daripada untuk bertaubat kepada
Allah,sedangkan Allah membukakan pintu taubat bagi sesiapa yang
mengharapkan keampunan dan rahmatNya.Firman Allah s.w.t:
وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِآَيَاتِ اللَّهِ وَلِقَائِهِ أُولَئِكَ يَئِسُوا مِنْ رَحْمَتِي وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ.
“Dan orang-orang yang kafir terhadap
ayat-ayat Allah dan pertemuan dengan Dia, mereka putus asa dari
rahmatKu, dan mereka itu mendapat azab yang pedih” (Al-Ankabut: 23)
Dan Allah berfirman lagi:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung” (an-Nuur: 31)
Dan Allah berfirman lagi:
قُلْ يَا
عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ
رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ
الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang
malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus
asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya.
Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”
(Az-Zumar:53)
Daripada Abu Hurairah radiallahu`anhu katanya:Nabi sallallahu`alaihiwasallam bersabda:
من تاب قبل أن تطلع الشمس من مغربها تاب الله عليه
“Barangsiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari sebelah barat maka Allah menerima taubatnya” (HR Muslim)
Dan daripada Abdullah ibnu Umar r.a katanya Nabi sallallahu`alaihiwasallam bersabda:
إنّ الله عزّوجلّ يقبل توبة العبد ما لم يغرغر
Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang hambaNya selagi nyawanya belum sampai di kerongkongan.
Semoga dengan apa yang disampaikan
ini dapat memperingati diri kita semua dan semoga kita digolongkan dalam
golongan orang-orang yang sentiasa berwaspada terhadap langkah-langkah
syaitan untuk menyesatkan kita,semoga kita sentiasa termasuk di kalangan
golongan yang selamat daripada tipu daya iblis dan tentera-tenteranya
serta memasukkan kita dalam golongan yang sentiasa bertaubat dan kembali
kepada Allah Ta`ala.
Abul Hussein
Universiti Islam Madinah An-Nabawiyyah.
http://www.1aqidah.net
Comments
Post a Comment