Di antara taqdir dan ikhtiar….
Kes A
Puan N.A berumur 34 tahun dan bekerja sebagai seorang suri rumah
sepenuh masa. Bersuamikan seorang guru yang penyayang, hidupnya bahagia
walaupun mereka hanya mempunyai seorang cahaya mata yang baru berusia 4
tahun. Ketenangan hidupnya mula terganggu sejak awal tahun ini apabila
beliau mula merasakan sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Kerap kali
dia merasakan perutnya membuncit dan rasa tidak begitu selesa pada
masa-masa yang tertentu.
Walaupun telah banyak kali dia berjumpa dengan beberapa orang doktor
yang berbeza di 4 buah klinik yang berlainan, namun masing-masing
menyatakan bahawa dia tidak mempunyai masalah yang serius dan hanya
diberikan ubat tahan sakit serta ubat ‘gastrik’ untuk di minum. Melalui
bantuan rakannya yang bekerja di klinik pakar di sebuah hospital
kerajaan, Puan N.A dibawa berjumpa dengan seorang pakar ginekologi.
Setelah pemeriksaan dan ujian penuh dijalankan, beliau disyaki mengidap
kanser ovari yang telah pun merebak dan memerlukan pembedahan seberapa
segera. Selepas pembedahan, dia dikejutkankan dengan berita bahawa
kansernya telah merebak ke hati dan organ-organ dalamannya yang lain.
Hatinya sayu dan sedih apabila mengenangkan suami dan anak kecilnya yang
bakal ditinggalkannya dek peluangnya untuk hidup melebihi 6 bulan
amatlah tipis sekali.
Kes B
Puan B.K adalah seorang pesara guru yang berumur 70’an. Beliau
tinggal bersendirian setelah suaminya meninggal dunia beberapa tahun
yang lepas. Beliau hidup ceria dengan memberikan banyak masanya untuk
berbuat kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat. Memiliki anak-anak yang
berjaya dan prihatin adalah di antara faktor tambahan kepada
kegembiraan hati yang dimilikinya.
Tiba-tiba Puan B.K mengalami pendarahan seumpama haid sedangkan
beliau telah pun menopos sejak 22 tahun yang lalu. Anaknya bungsunya
yang juga merupakan seorang pakar ginekologi terus membawanya ke
hospital untuk menjalankan pemeriksaan lanjut. Amat mengejutkan beliau
apabila ibunya, Puan B.K yang sentiasa kelihatan sihat sebelum ini telah
didapati mengidap kanser serviks pada tahap 4 (advanced stage).
Menginsafi situasi sebenar yang sedang dan bakal berlaku kepada Puan
B.K, anaknya tidak dapat menahan air matanya yang bergelinang membasahi
pipinya.
Kes C
Puan S.S bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah.
Beliau berumur 35 tahun dan telah dikurniakan dengan 3 orang cahaya mata
setelah berumah-tangga dengan suaminya yang prihatin lagi penyayang
sejak 10 tahun yang lalu. Sejak beberapa bulan yang lalu, Puan SS
merasai ketulan pada payu dara. Dek khuatirnya terhadap sesuatu yang
tidak baik kepada dirinya, beliau hanya berharap dan berdoa agar ketulan
ini hanya ketulan biasa yang akan hilang dengan sendirinya.
Ternyata harapannya tidak menjadi kenyataan, payu daranya semakin
membengkak dan keras. Malahan mula mengeluarkan cecair yang berdarah
yang bercampur dengan nanah. Beliau pasti bahawa pada tahap ini, sesuatu
yang serius telah berlaku yang memaksanya berjumpa dengan doktor untuk
mendapatkan rawatan selanjutnya. Selepas seminggu Puan SS bertemu dengan
pakar bedah endokrinologi di salah sebuah hospital kerajaan. Bagaikan
langit yang jatuh menghempapnya, beliau diberitahu bahawa beliau
mengidap kanser payu dara di tahap kritikal yang memerlukan rawatan
pembedahan dan kemoterapi. Bukan itu sahaja, peluang untuk beliau sembuh
juga dikatakan sangat tipis sekali.
A, B dan C sebagai perbandingan :
Puan N.A telah bertemu dengan ramai doktor sejak awal-awal lagi
tetapi kanser ‘ovari’nya gagal dikesan oleh mereka sehingga ke tahap
yang kritikal. Bakal meninggalkan suami dan anaknya yang masih kecil
adalah kesedihannya yang paling sukar untuk dihadapnya.
Puan B.K adalah seorang yang sihat dan tidak mempunyai sebarang
tanda-tanda sakit. Secara tiba-tiba beliau didapati mengidap kanser
serviks di tahap yang kritikal. Sukar untuk membayangkan kesedihan anak
bungsu kesayangannya apabila dia sendiri gagal mengesan sesuatu yang di
tidak kena terhadap ibunya sendiri.
Puan SS hanya mengharapkan sesuatu yang tidak serius atau cuba untuk
menafikan sesuatu yang bahaya bakal terhadap dirinya. Acap kali dia
bertanya kepada dirinya, “Kenapalah aku tidak datang mendapatkan rawatan
awal apabila mula-mula mengesyaki sesuatu. Entahlah…… Nasi hampir
menjadi bubur !”.
Situasi dan kisah-kisah seharian seumpama ini terus mengajar saya
menginsafi realiti hidup dan kehidupan. Dari masa ke semasa, pertemuan
dengan insan yang diuji sedemikian rupa di hospital dan di tempat-tempat
yang lain terus mendidik diri ini agar terus sedar tentang peranan
ingat-memperingati di antara satu sama lain bahawa kehidupan ini
sangatlah sementara sifatnya. Bagaimana mungkin untuk kita terus alpa
dengan tanggung-jawab kita sebagai hamba yag sedang diujinya di pentas
yang bernama dunia.
Allah telah berfirman yang bermaksud,
“Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara
kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun”.
(Surah al Mulk ayat 2)
Di antara pengajarannya :
1-Hidup, musibah dan maut adalah ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah swt.
2-Peranan kita sebagai manusia ialah berusaha sebaik yang mungkin dan
seterusnya bertawakkal kepada Allah, Pencipta bagi segala alam semesta.
3-Walau bagaimana sibuk sekali pun, janganlah hendaknya kita melupakan kesihatan diri sendiri dan untuk si dia yang kita kasihi.
4-Kerjaya yang membantu manusia yang memerlukan adalah profession
yang mulia. Namun kemuliaan itu bukanlah letaknya pada pangkat dan
kedudukan, malahan pada kesungguhan dan keikhlasan untuk membantu.
Kecuaian dan kegagalan memberikan yang terbaik boleh mengakibatkan kesan
yang lebih parah.
http://zainurrashid.com/di-antara-taqdir-dan-ikhtiar%E2%80%A6/
Comments
Post a Comment