Isteri Luar Biasa
Jika ditanya pula pada seorang wanita yang baru mendirikan
rumahtangga, kebanyakannya ingin menjadi isteri yang baik kepada suami
dan ibu yang baik kepada anak-anaknya.
Antara lain harapan yang diletakkan ialah ingin mengekalkan
kebahagiaan hingga ke anak cucu, malah ada yang ingin kekal bahagia
sehingga ke akhir hayat.
Sekalipun matlamat dan harapan cukup jelas, ramai yang gagal meramal atau menjangka laluannya tidak semudah yang disangka.
Alasannya cukup mudah, jika yang diinginkan ialah kebahagiaan, sudah
tentu yang diuji adalah ketahanan dan pengorbanan setiap individu yang
inginkan kebahagiaan tersebut.
Bahagia tidak datang secara percuma, juga bahagia bukan sesuatu yang boleh diperturunkan oleh sesiapa kepada sesiapa.
Kebahagiaan perlu diusahakan.
Laluannya perlu difahami, teknik dan strategi perlu dipelajari,
rintangan dan halangan perlu dijangka lebih awal, persediaan mental,
fizikal dan kejiwaan perlu sentiasa dibina dan ditingkat, kemahiran asas
dan tambahan perlu dipelajari, petua dari yang orang yang berjaya dan
berpengalaman perlu sentiasa dituntut dan yang penting sekali
perhubungan dengan Yang Maha Berkuasa perlu sentiasa dihidupkan.
Bagi seorang wanita yang ingin menjadi isteri yang solehah, mereka perlu jelas dengan apa yang dinyatakan tadi.
Isteri solehah di sisi Allah selayaknya diberi ganjaran syurga.
Sementara syurga itu adalah tempat orang yang juga mendapat tempat
disisi Allah.
Orang yang mendapat tempat disisi Allah pula bukanlah orang
yang sembarangan, bukan orang yang kalah bila diuji, yang melatah bila
ditimpa kesusahan dan putus asa bila diuji dengan kesabaran.
Isteri yang solehah boleh dikatakan sebagai isteri yang luar biasa pada masakini.
Pada masa ini terdapat lebih ramai isteri yang biasa-biasa saja dari
segi ketaatan dan kepatuhan kepada suami juga biasa-biasa sahaja dari
segi ketahanan jiwa dan mentalnya dalam menjalankan tanggungjawabnya
sebagai isteri.
Sesuai dengan apa yang diceritakan oleh Nabi dalam Isra' baginda
dimana kebanyakan dari penghuni neraka adalah wanita, termasuklah wanita
yang derhaka kepada Allah dan suaminya.
Jika sudah itu kenyataannya sudah tentu di dunia kini kita dapat
melihat banyak wanita yang bergelar isteri mempunyai ciri-ciri ahli
neraka. Juga pada masa yang sama jika terdapat golongan wanita yang
mempunyai ciri-ciri ahli syurga sudah tentu sedikit bilangannya.
Maka dari kiraan statistiknya kumpulan yang terkeluar dari populasi
yang ramai atau yang biasa dinamakan sebagai kumpulan yang luar biasa.
Dalam konteks sebuah perkahwinan, kedudukan wanita atau isteri di
sisi suaminya adalah sebagai pembantu atau suri dalam kehidupan. Jika
suami ibarat raja yang boleh bertitah dan mengeluarkan perintah, isteri
pula umpama menteri yang menerima segala arahan dan wajib mentaati serta
merealisasikan perintah tersebut.
Dalam ertikata yang lain, isteri bertanggungjawab mentaati perintah suami.
Dalam Al-Quran jelas menyatakan perkara tersebut dimana isteri wajib mentaati suami selagimana perintah suami tidak bercanggah dengan perintah Allah Taala.
Isteri yang luarbiasa perlu lulus segala ujian. Ujian seorang isteri
terletak dibawah kemampuannya mentaati perintah Allah dan juga perintah
suaminya. Isteri yang ingin lulus dengan jayanya perlu mengetahui
beberapa perkara yang menjadi kunci atau asas kejayaan.
01.Pertama, isteri perlu meletakkan Allah sebagai pusat ketaatan yang tertinggi dan utama atas segala-galanya.
Sementara suami wajib ditaati selagi apa yang diperintah tidak menyalahi atau membelakangi ketaatan isteri kepada Allah.
Dalam ertikata lain, isteri perlu tahu dan faham bahawa ketaatan
beliau kepada suami adalah kerana Allah memerintahkan beliau untuk
berbuat demikian, bukan kerana suami yang mengkehendaki sedemikian.
Adalah penting untuk isteri memahami perkara ini kerana kebanyakan
isteri yang 'biasa-biasa' mudah merasa putus asa untuk terus mentaati
apa yang dikehendaki oleh suami terutama apabila keinginan suami
bercanggah dengan keinginan sendiri atau suami tidak membalas ketaatan
dan kebaikan yang isteri lakukan.
Isteri yang luarbiasa mempunyai matlamat yang juga luarbiasa atau yang tidak dapat dilihat oleh isteri yang 'biasa-biasa'.
Jika isteri yang 'biasa-biasa' melihat hubungan antara suami dan
isteri sebagai interaksi antara pasangan bercinta, isteri yang luarbiasa
melihat hubungan tersebut dan interaksi antaranya sebagai ibadah kepada
Allah Taala.
Maka tidak kiralah samada suami membalas atau tidak kebaikan yang
dilakukan, isteri sebegini tidak akan berhenti dari terus melaksanakan
kewajiban yang ditetapkan oleh Allah Taala.
02.Kedua, isteri perlu sentiasa menjana kekuatan mental dan spiritualnya.
Tanggungjawab seharian seorang isteri sangat mencabar kekuatan jiwa.
Apatah lagi jika isteri tersebut bekerjaya. Tuntutan tanggungjawab yang
berterusan mudah menekan perasaan naluri isteri yang secara fitrahnya
sememangnya lembut dan halus.
Lebih mencabar lagi jika isteri tersebut mempunyai suami yang kurang
sensitif atau kurang bertimbangrasa dalam hal-hal berhubung
tanggungjawab di rumah.
Walau apapun keadaannya, apa yang dipertanggungjawabkan oleh Allah
kepada seorang isteri akan kekal sebagai tanggungjawab yang bakal disoal
di akhirat kelak.
Dalam ertikata yang lain, sekalipun isteri tersebut bekerja, tidak
sekali-kali dia terkecuali atau dikurangkan dari tanggungjawab asasnya
terhadap rumahtangganya.
Dalam keadaan ini jika tekanan tidak dapat dikurangkan seorang isteri
yang luarbiasa akan sentiasa meningkatkan kekuatan mental dan
spiritualnya melalui hubungannya dengan Allah Taala.
Semakin kuat tekanan, semakin rapat hubungannya dengan Allah. Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasullullah s.a.w;
"Barangsiapa menjadikan semua kebimbangannya kepada
satu kebimbangan (akhirat) Allah akan melenyapkan semua kebimbangan
keduniaannya, dan barangsiapa yang membimbangkan tentang hal-hal
keduniaan, Allah akan membiarkannya tenggelam dalam kebimbangannya"
Dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman yang kira-kira bermaksud:
"Wahai anak Adam! Luangkanlah masa kamu untuk
beribadah kepadaKu dan Aku pastinya akan memenuhi dadamu dengan kekayaan
dan kesenangan (iaitu merasa puashati dan bebas dari kesusahan) dan
membebaskan kamu daripada bergantung (pada orang lain untuk keperluanmu)
tetapi sekiranya kamu tidak melakukannya maka Aku akan memenuhi dadamu
dengan perasaan gelisah dan rasa bersalah dan tidak akan membebaskanmu
daripada bantuanmu (dan keperluan)."
Dengan kata lain, semakin bertambahnya kekayaan, kamu akan bertambah bakhil dan kamu akan sentiasa dalam kebuntuan.
Isteri yang luar biasa menjadikan Allah sebagai tempat mengadu, tempat bergantung dan memohon kekuatan.
Dalam keadaan bebanan tanggungjawab yang semakin bertambah; melayan
dan memenuhi keperluan suami, mendidik dan mengasuh anak-anak, mengurus
kerja-kerja rumahtangga yang tidak pernah berkesudahan, kemudian di
tambah lagi dengan tuntutan tanggungjawab kerjaya sudah tentu kudrat
manusia biasa tidak termampu untuk menanggungnya sendirian, apatah lagi
oleh wanita yang berjiwa halus dan berfizikal lembut.
Dalam keadaan ini hanya Allah sahaja yang mampu memberi kekuatan,
tempat mengadu yang menyediakan pemahaman yang amat mendalam dan tempat
menggantung doa serta harapan yang tidak pernah mengecewakan.
Isteri luarbiasa mempunyai pertalian yang luarbiasa dengan Penciptanya.
03.Ketiga, isteri luarbiasa jiwanya penuh dengan kasih sayang.
Kasih sayang tersebut sentiasa mendorongnya untuk memberi berbanding
menerima, memahami berbanding menuntut orang lain memahaminya,
mengutamakan berbanding diutamakan, berkorban berbanding mengharap orang
lain berkorban untuknya.
Isteri sebegini sedar dimana beliau dapat menyalurkan kedukaan dan
keluhan agar tidak sampai nampak pada pandangan suami apatah lagi
menyusahkan suami.
Bagi seorang isteri yang luarbiasa akhlaknya, tanggungjawabnya lebih
utama dari hak yang perlu dituntut. Tanggungjawab akan dikira di depan
Allah berbanding dengan hak.
Isteri solehah lebih gusar jika tanggungjawab sebagai isteri dan ibu
tidak dipenuhi olehnya berbanding dengan hak yang perlu diterima.
Isteri solehah lebih gusar jika kemuraman dan kemasaman wajahnya
menyusahkan suami berbanding menuntut suami melayani perasaan dan
kekecewaannya. Dalam ertikata yang lain, isteri yang luarbiasa juga mempunyai ketahanan mental dan emosi yang cukup tinggi.
Bagi setiap wanita yang bergelar isteri, yang bercita-cita untuk
menjadi isteri yang solehah, sebaiknya mengukur kemampuan dan
kesanggupan diri sendiri untuk memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan tadi.
Jika belum mampu, pertingkatkan usaha. Menjadi
seorang isteri merupakan anugerah yang cukup tinggi bagi seorang wanita.
Memiliki suami umpama memiliki jambatan bonus untuk meniti ke syurga.
Namun tanpa ketaatan terhadap suami umpama tidak menghargai peluang yang
ada.
Mengenepikan suami atau menderhakai suami pula, umpama merobohkan
jambatan tersebut dan memilih untuk berenang ke syurga. Arahnya sama,
namun sayang kemudahan tiada. Isteri yang luarbiasa sahaja yang berjaya
tiba ke syurga yang dijanjikan Allah padanya.
Syurga pula ganjaran tertinggi bagi
hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Apa yang perlu diingat selalu,
sesuatu yang bernilai tinggi tidak diberi secara percuma juga tidak
murah harga dan nilainya.
Info Penulis
Penulis merupakan kaunselor berdaftar di sebuah agensi kerajaan di
Negeri Sarawak. Terlibat secara aktif dalam bidang kaunseling,
terutamanya kaunseling perkahwinan.
http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1288-isteri-luar-biasa.html
Comments
Post a Comment