- SELAMAT MELAYARI BLOG INI SEMOGA KITA MEMPEROLEHI MANFAATNYA DAN HARAP DISEBARLUASKAN KEPADA PEMBACA YANG LAIN PULA BERSESUAIAN DENGAN SABDA RASULULLAH S.A.W "SAMPAIKAN DARIPADAKU WALAUPUN DENGAN SATU AYAT"

Saturday, June 9, 2012






KASIHAN terhadap Ustaz fathul Bari dan ustaz-ustaz Pas


SETIAP kali berlaku konsert yang dilibati oleh sekian banyak orang Melayu, maka nama Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya menjadi sebutan.  Sekian banyak akan bertanya atau menyindir Ustaz fathul Bari mengenai peranannya dalam parti Melayu, Umno.  Bagi mereka Ustaz Fathul Bari sudah bersekongkol dalam program maksiat, atau paling tidak dikira bersubahat kerana berada dalam Umno yang didakwa kilang maksiat’.  Berderetan pula yang mengatakan ‘ini manhaj duit dan politik’, ‘ulama angguk’ dan macam-macam lagi.  Mengapa nama Ustaz Fathul Bari? Jawabnya, dia ahli agama yang masuk Umno untuk  berdakwah kepada jalan al-Quran dan sunah nabi.
Saya bukan hanya kasihan kepada Ustaz Fathul Bari, malah kepada sekian banyak lagi orang yang kelihatan begitu menjaga agama (malah banyak yang bergelar ustaz, macam Ustaz Fathul Bari)  yang kedudukannya sama seperti ustaz muda itu.  Dengan menuduh Ustaz Fathul Bari bersekongkol atau dalam manhaj maksiat, bermakna sekian banyak ustaz juga dikira bersekongkol dalam manhaj maksiat sekalipun mereka bukan ahli Umno, malah ahli Pas yang sangat alim dan warak!
Ustaz Fathul Bari masuk Umno, tetapi mudah kita menemui 50 ustaz ahli Pas bekerja dalam kerajaan khasnya Kementerian Pelajaran sebagai guru agama. Kalau  kita tanya kepada 50 ustaz Pas yang  makan gaji dengan kementerian Pelajaran (kena baca sistem pelajaran ideologi Melayu Umno!), mereka akan jawab, “kerja ikhlas kerana Allah, tidak melakukan atau reda apa-apa program maksiat dalam kerajaan.”  Insya Allah kalau kita tanya Ustaz Fathul Bari, itu juga jawabannya.  Sebab itu apabila saya kasihan apabila Ustaz Fathul Bari disumpah seranah, dicaci-maki dan disindir-sindir, maka kasihan saya berpanjangan kepada sekian banyak ustaz ahli Pas yang mencari rezeki dalam Kementerian yang diterajui oleh Menteri bermentaliti Umno (?).
Sekarang kita bandingkan peranan Ustaz Fathul Bari dengan 50 ustaz Pas berkenaan dan 50 ahli Umno biasa.  Ustaz Fathul Bari dan 50 ustaz ahli Pas yang makan gaji dengan KPM cukup besar peranannya, berbanding dengan 50 ahli Umno yang sekadar menunggu masa mengundi Umno-BN lima tahun sekali.  Kepada 50 ahli Umno itu, terpulanglah kepada pemimpin hendak bekerja setakat mana, dan apa yang mahu dilakukan.  Tugasnya hanya menyokongnya dalam pilihan raya  supaya pemimpin melaksanakan tugas-tugas yang dijanjikannya. 
Bagi Ustaz Fathul Bari, dia berdakwah  dalam Umno.  Bagi 50 ahli Pas dalam KPM mereka melaksanakan dasar dan keputusan yang dibuat oleh jemaah Menteri yang dikuasai oleh Umno-BN.  Melaksanakan dasar Jemaah Menteri Umno-BN bermakna mendukung atau menjayakan misi serta falsafah Umno-BN.  Jika 50 ustaz Pas dalam KPM itu mensabotaj atau ingkar kerja, maka akan mula kelihatan rosak pelaksanaan dasar Umno-BN.  Jika ada 500 ahli Pas yang sangat membenci Umno bekerja dalam mana-mana kementerian kerajaan persekutuan, bermakna mereka sedang menggerakan dasar Umno-BN.  Jelas peranan sekian banyak ahli Pas yang membenci Umno dalam organisasi kerajaan,  sedang menjayakannya….bukan seperti 50 ahli Umno yang hanya duduk dan lihat. 
Sebab itulah apabila dihukum salah Ustaz Fathul Bari dalam Umno, kasihanilah sekian banyak ahli Pas yang ikhlas mencari rezeki dalam kerajaan yang diketuai oleh Umno-BN.  Saya yakin mereka tidak akan tuang kerja disebabkan tidak mahu melaksanakan agenda Umno-BN kerana faham erti gaji buta dan dosanya.  Jadi mereka bekerja dan tidak akan melakukan amal mungkar.  Tidakkah pendirian mereka sama dengan Ustaz Fathul Bari itu?
Moga-moga sesiapa yang ikhlas kerana Allah akan dipelihara oleh-Nya dalam apa juga perkara.  Kepada yang sakit hati dan menabur fitnah, terpulanglah kepada mereka sendiri sebab antara yang cukup tegar membuat  tuduhan dan mempengaruhi orang lain, bukan orang yang cuai solatnya. Mereka yang gemar membuat persepsi atau andaian buruk (pukul borong saja) adalah orang yang sangat mahu khusuk dalam solatnya. Ada juga yang sangat mencintai solat malam dan puasa di luar Ramadan.  Moga-moga akhirnya dia sedar apa yang difikirkan  dan dilakukan itu.
 http://suparjo.blogspot.com/2012/05/kasihan-terhadap-ustaz-fathul-bari-dan.html

No comments:

Post a Comment