- SELAMAT MELAYARI BLOG INI SEMOGA KITA MEMPEROLEHI MANFAATNYA DAN HARAP DISEBARLUASKAN KEPADA PEMBACA YANG LAIN PULA BERSESUAIAN DENGAN SABDA RASULULLAH S.A.W "SAMPAIKAN DARIPADAKU WALAUPUN DENGAN SATU AYAT"

Friday, June 15, 2012






Kuliah Khas: RAJA BERDAULAT, PERLEMBAGAAN DIJUNJUNG, RAKYAT SEJAHTERA, NEGERI DISANJUNG

 

 

KHUTBAH JUMAAT NEGERI PERLIS - RAJA BERDAULAT, PERLEMBAGAAN DIJUNJUNG, SEJAHTERA RAKYAT

KHUTBAH JUMAAT NEGERI PERLIS(18 Mei 2012 M / 26 Jamadil Akhir 1433 H) - RAJA BERDAULAT, PERLEMBAGAAN DIJUNJUNG, SEJAHTERA RAKYAT


RAJA BERDAULAT, PERLEMBAGAAN DIJUNJUNG, SEJAHTERTA RAKYAT, NEGERI DISANJUNG (18 Mei 2012 M / 26 Jamadil Akhir 1433 H)

اَلْحَمْدُلِلّهِ الَّذِى هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْ لَا أَنْ هَدَانَا الله, أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Sidang Jumaat Yang Dikasihi Allah SWT , Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk: “Raja Berdaulat, Perlembagaan Dijunjung, Sejahterta Rakyat, Negeri Disanjung”. 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah sekalian, 

Umat Islam di negeri ini amat bertuah kerana mempunyai raja pemerintah dan ketua agama yang berada di atas prinsip Ahlus Sunnah Waljamaah. Raja yang memerintah mempunyai kuasa tertinggi dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan negeri, terutamanya berkaitan urusan umat Islam. Telah tertulis dalam perlembagaan negara bahawa agama persekutuan bagi negara ini adalah Agama Islam, dan raja atau sultan yang memerintah adalah ketua agama bagi setiap negeri. Maka, menjadi tanggungjawab rakyat jelata memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Baginda sebagai pemerintah sepertimana yang telah diajar oleh agama. 

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 59: 

Maksudnya: ”Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu”. 

 Sesungguhnya, ketaatan kepada raja sebagai pemerintah adalah wajib selama mana pemerintah berkenaan berlaku adil dan beramanah dalam tindakan serta tidak menyuruh rakyat melakukan maksiat kepada Allah SWT. 

Sabda nabi SAW dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim:
"السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيْمَا أَحَبَّ أوْ كَرِهَ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَّةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَّةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَة".
Maksudnya : “Mendengar dan taat kepada pemimpin adalah wajib ke atas setiap muslim sama ada perkara yang ia suka atau tidak suka (benci), selagi ia tidak disuruh melakukan maksiat. Maka apabila disuruh melakukan maksiat, maka perintah itu tidak boleh didengar dan tidak boleh ditaati lagi ". 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

Kedaulatan Islam bertunjangkan kepada kekuatan kepimpinan. Oleh itu, Tuanku Raja sebagai ketua agama Islam sama ada dari segi keperibadiannya atau dalam menjalankan bidang kuasa untuk menjaga kesucian agama Islam di negeri ini amatlah dikagumi oleh rakyat jelata. Rakyat menjunjung kasih dan taat setia di atas keperihatinan Baginda dalam memartabatkan agama Islam di atas prinsip Ahli Sunnah Waljamaah dalam negeri ini. 

Kedudukan dan keistimewaan ini merupakan kurniaan dan anugerah Allah SWT yang amat istimewa kepada sesiapa yang Dia kehendaki daripada kalangan hamba-hamba-Nya. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 26: 

 Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) : Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau jualah yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Di Tangan Engkau sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

Dalam Islam, seseorang pemimpin merupakan wakil bagi sesuatu umat, bahkan boleh pula disebut sebagai khalifah umat Islam untuk melaksanakan amanah Allah SWT di atas muka bumi ini. Salah satu amanah sebagai khalifah Allah ialah menyebarkan dasar Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada manusia. Antara rahmat yang perlu disebar ialah berlaku adil kepada sesama manusia iaitu tidak melakukan kezaliman, penindasan, penipuan dan tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat. Usaha mewujudkan keadilan kepada manusia sejagat adalah sebahagian sifat ketakwaan. Firman Allah dalam surah An-Nahl, ayat 90 : 

Maksudnya: ”Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu dengan suruhan dan larangan-Nya ini, supaya kamu mengambil peringatan untuk mematuhi-Nya”. 

Berdasarkan ayat tersebut, pemerintah yang melaksanakan kebaikan dan berlaku adil pada rakyat akan mendapat pahala daripada Allah SWT dan begitu juga bagi rakyat yang mentaati Allah SWT, Rasulnya dan pemerintah akan mendapat ganjaran yang sama. Dalam sebuah hadith sahih riwayat Ibnu Hibban telah disebut berkenaan doa pemerintah yang adil dimakbulkan oleh Allah SWT, sepertimana Rasulullah SAW bersabda :
ثَلَاثَةٌ لَا تُرَّدُ دَعْوَتُهُمْ : ألْإِمَامُ العَادِلُ
Maksudnya : ”Tiga golongan yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT doa mereka, antaranya : ialah pemimpin yang adil”. 

Muslimin Yang Dimuliakan, 

Ketaatan dan kepatuhan kepada pemerintah merupakan kunci kejayaan kita rakyat Malaysia hari ini. Mimbar berharap tidak ada mana-mana pihak yang cuba untuk menganggu-gugat kehidupan kita yang aman bahagia ini dengan menimbulkan sebarang masalah dan kekacauan yang boleh mengugat perpaduan dan persefahaman dalam kalangan rakyat di negara ini. Kita hendaklah sentiasa hidup bersatu padu dan saling berganding bahu ke arah membangun negara mencapai matlamat wawasan negara menjadi sebuah negara maju, disegani, dihormati dan menjadi negara contoh. 

Akhir sekali, mimbar Jumaat pada hari ini menyeru para Jemaah dan rakyat negeri ini, untuk sama-sama mendoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan Perlis diteguhkan keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan bagi mentadbir negeri ini dan menjalankan tugas dengan sempurna. Kita mendoakan juga agar negeri Perlis ini khususnya dan Negara Malaysia umumnya dikekalkan nikmat kestabilan politik dan keamanan, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran, tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, semoga hidup aman damai, menikmati keadilan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman. 
Ajaran Islam menetapkan bahawa keadilan adalah unsur penting dalam pengukuhan integriti pemerintahan. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 58: 

 Maksudnya: “Sesungguhnya Allah s.w.t menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa mendengar; lagi sentiasa melihat.” 

Mengakhiri khutbah ini, beberapa perkara dapat dirumuskan untuk kita sama-sama renungi iaitu: 
  1. Kewajipan Mentaati Pemimpin tidak boleh dipertikaikan demi memelihara kesucian agama, kerukunan bangsa dan kemakmuran negara. 
  2. Kedudukan pemerintah yang adil amatlah tinggi di dunia dan di akhirat. 
  3. Seluruh rakyat hendaklah sentiasa mentaati pemimpin setiap masa demi menjamin kestabilan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat. 
  4. Kerajaan yang adil dirahmati Allah, rakyat yang taat mendapat berkat, negara yang aman kekal selamat.
بَارَكَ الله لِيْ وَلَكُمْ فِيْ الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِيْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّيْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.
خطبه كدوا
الحَمْدُ للهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَعُوذُ بِالله مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِيَ لَهُ، أَشْهَدُ أَن لاَّ إِلِهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ، اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

 Sekali lagi saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian, 

Akidah yang benar hanya dapat dikenal pasti melalui ilmu yang benar. Tidak dapat tidak, untuk membina dasar-dasar akidah yang murni dalam diri kita adalah perlu ditangani dengan ilmu. Begitu juga untuk mengenali batas-batas perbuatan yang boleh menjerumuskan kita kepada kesyirikan, juga perlu dengan ilmu. Selain itu, persoalan amal ibadah perlu dengan ilmu dan pengetahuan yang jelas. Amal ibadah yang dilakukan mengikut hawa nafsu semata-mata, tanpa melihat dan mengetahui bagaimana tatacara yang sebenar ditunjuk oleh baginda Rasulullah SAW adalah sia-sia. Allah SWT menegah kita daripada melakukan sesuatu tanpa ilmu yang jelas. Maka, sebelum kita dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna, perlulah kita memulakannya dengan menuntut ilmu. Allah SWT berfiman dalam surah Al-Isra’, ayat 36: 

Yang bermaksud : “Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan jantung hati, semuanya itu akan disoal siasat oleh Allah”. 

Marilah kita melaksanakan amalan kita berdasarkan prinsip-prinsip ilmu yang benar dan sahih. Kita juga wajib mengiringinya dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah Taala. Tanpa sifat ikhlas dan mengikut Nabi SAW, amal-amal kita tidak akan diterima oleh Allah SWT. 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, 

 Sesungguhnya, Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ahzab, ayat 56: ¨ Maksudnya : “Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat ke atas Nabi, maka wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu berselawat dan salam ke atas nabi”.
اَللّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.
اَللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ. إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعْوَاتِ وَقَاضِىَ الْحَاجَاتِ
 
Ya Allah! Ampunilah seluruh kaum Muslimin sama ada yang hidup ataupun yang telah mati. Ya Allah! Berikan petunjuk hidayah serta rahmat-Mu kepada kami dan kepada para pemimpin kami terutamanya Raja Pemerintah Negeri Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamallullail dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail serta kaum kerabat Baginda, supaya sentiasa beramal dengan Kitab-Mu dan Sunnah Nabi-Mu. 

Ya Allah! Kurniakan kepada kami segala rahmat dan nikmatmu, kukuhkan negeri Perlis ini sebagai negeri yang maju, makmur dan berkat. Bimbinglah masyarakat kami agar menjadi masyarakat berminda kelas pertama. Tetapkan iman dan amal kami, kukuhkan perpaduan kami, murahkan rezeki kami, kayakan kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkan jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikan generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungi kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, kemiskinan dan persengketaan umat Islam.
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِىْ قُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوْفُ الرَّحِيْمُ.
عِبَادَ اللهِ! اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالاحْسَانِ وَاِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ.

No comments:

Post a Comment