TAFSIR SURAH ALI 'IMRAN AYAT 59 HINGGA 74
AYAT 59 HINGGA 63.


3-59: Sesungguhnya perbandingan ‘Isa di sisi Allah adalah seumpama Adam. Dia (Allah) menjadikannya (Adam) daripada tanah, kemudian Dia (Allah) berfirman: “Kun (Jadilah)!” Maka jadilah dia (Adam).  
Perbandingan ‘Isa di sisi Allah adalah seumpama Adam. Allah menciptakan ‘Isa tanpa bapa. Penciptaan ‘Isa itu tidaklah sukar berbanding penciptaan Adam tanpa bapa dan ibu. Adam diciptakan daripada tanah dengan kalimah “Kun”. ‘Isa diciptakan tanpa bapa juga dengan kalimah “Kun”. Kedua-duanya adalah manusia, hamba Allah dan nabi-nabi-Nya. Sangatlah tidak wajar pada akal jika menganggap ‘Isa yang tanpa bapa itu sebagai tuhan sedangkan Adam yang tanpa bapa dan ibu masih dianggap sebagai manusia. Keistimewaan yang Allah letakkan kepada mana-mana makhluk tidaklah sampai menjadikan makhluk itu tuhan atau anak tuhan. Ada pula segolongan orang Yahudi yang tidak mahu menerima kenyataan ‘Isa diciptakan tanpa bapa sedangkan mereka mengakui Adam diciptakan tanpa bapa dan ibu. Mereka menolak ajaran ‘Isa, malah pemuda yang bernama ‘Isa itu tidak wujud dalam catatan sejarah mereka.

3-60: Kebenaran itu daripada Rab (Tuhan) engkau, maka janganlah engkau termasuk golongan yang ragu-ragu.  
Allah mengingatkan bahawa apa yang diceritakan oleh al-Qur’an itu adalah benar. Benar Adam diciptakan daripada tanah dengan kalimah “Kun”. Benar ‘Isa diciptakan tanpa bapa dengan kalimah “Kun”. Benar Maryam itu seorang perawan yang suci. Benar Hawari itu pengikut setia ‘Isa memperjuangkan al-din Allah. Benar ‘Isa tidak mati dibunuh oleh orang Yahudi. Benar ‘Isa diangkat ke langit sama ada secara roh sahaja atau secara roh dan jasad sekali. Semuanya adalah benar.

3-61: Sesiapa membantah engkau (Muhammad saw) tentang (kebenaran) itu, sesudah datang pengetahuan kepada engkau, maka katakanlah: “Marilah, kita ajak anak-anak kami, anak-anak kamu, isteri-isteri kami, isteri-isteri kamu, diri-diri kami dan diri-diri kamu, kemudian kita bermohon dengan bersungguh-sungguh, serta kita mohonkan agar laknat Allah menimpa orang yang berdusta.”  
Jika mereka masih juga menafikan kebenaran tersebut, sedangkan kebenaran itu disampaikan melalui wahyu Allah, maka ajaklah mereka melakukan sumpah berat atau mubahalah. Kedua-dua pihak yang melakukan mubahalah itu hendaklah memanggil anak-anak mereka, isteri-isteri mereka dan diri mereka sendiri. Kemudian hendaklah bermohon sungguh-sungguh agar laknat Allah menimpa orang yang berdusta. Mubahalah ini merupakan satu cabaran yang hebat yang Allah lemparkan kepada puak yang mendustakan Nabi Muhammad saw dalam hal Almasih ‘Isa ‘ibn Maryam. Cara mubahalah sudah terkeluar daripada hujjah dan logik. Perkara ‘Isa itu adalah kepercayaan, maka berdasarkan kekuatan kepercayaan masing-masing diadakan mubahalah. Tidak perlu lagi bertengkar dan berhujjah, mengemukakan dalil akal dan sebagainya. Orang yang berani melakukan mubahalah itu adalah orang yang bukan sahaja percaya malah mempunyai pengetahuan tentang perkara yang dipertikaikan itu. Pengetahuan yang sebenar datangnya daripada Allah. Sebagai tanda meyakini dan beriman sungguh-sungguh kepada apa yang disampaikan oleh Allah, maka Nabi Muhammad saw diletakkan dalam situasi melakukan mubahalah. Tidak ada orang Nasrani atau Yahudi yang menyahut cabaran tersebut.

3-62: Sesungguhnya ini adalah cerita benar, dan tidak ada daripada (apa jua yang dianggap sebagai) Ilah (Tuhan), melainkan Allah. Dan sesungguhnya Allah, sungguh Dia (Allah) adalah al-’Aziz (Maha Perkasa), lagi al-Hakim (Maha Bijaksana).  
Sekali lagi Allah menegaskan bahawa kisah Almasih ‘Isa ‘ibn Maryam yang diceritakan oleh al-Qur’an itu adalah benar. Tidak ada Ilah melainkan Allah. Hanya Allah yang berkehendak dan berkuasa menciptakan ‘Isa sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Taraf ‘Isa adalah taraf penciptaan Allah, bukan anak Allah atau setara dengan Allah. Allah adalah al-‘Aziz lagi al-Hakim. Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Allah Maha Perkasa mempertahankan kedudukan-Nya sebagai Ilah Yang Esa, tidak beranak, tidak diperanakkan dan tidak ada yang setara dengan-Nya. Allah Maha Bijaksana dalam mengaturkan takdir kepada makhluk-Nya. Segala yang Allah ciptakan adalah teratur dan seimbang, tidak ada cacat celanya. Renungan yang mendalam akan melahirkan kekaguman terhadap kebijaksanaan Allah itu.

3-63: Kemudian jika mereka berpaling, sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui orang yang melakukan kerosakan.  
Orang yang berpaling, tidak mahu menerima apa yang diwahyukan oleh Allah, tidak mahu menerima akidah tauhid dan tidak mahu melakukan mubahalah, maka sesungguhnya mereka adalah orang yang sudah rosak akal budinya dan mereka menyebarkan kerosakan itu kepada orang lain.

AYAT 64 HINGGA 68.
 
3-64: Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, bahawa kita tidak mengabdikan diri melainkan kepada Allah, dan kita tidak menyengutukan-Nya (menyengutukan Allah) dengan sesuatu; dan (juga) sebahagian daripada kita tidak menjadikan sebahagian yang lain sebagai ‘arbab’ (tuhan-tuhan) selain Allah.” Jika mereka berpaling katakanlah: “Saksikanlah bahawa kami adalah Muslimin (orang yang menyerah diri kepada Allah).”  
Ajakan Rasulullah saw kepada muhabalah telah ditolak oleh orang-orang yang diberi kitab itu. Penolakan itu menunjukkan bahawa dalam hati mereka ada keraguan terhadap akidah yang mereka pegang. Oleh itu mereka diajak kepada ajaran pokok yang ada persamaan di antara mereka sebagai Ahli Kitab dan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Mereka diajak kepada satu kalimah iaitu kalimah tauhid: tidak mengabdikan diri melainkan kepada Allah; tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu dan tidak menjadikan mana-mana manusia sebagai arbab (tuhan-tuhan) selain Allah. Ajaran pokok ini terdapat di dalam semua kitab-kitab, baik Kitab Tawrat yang dipegang oleh orang Yahudi, Kitab Injil yang dipegang oleh orang Nasrani dan juga Kitab al-Qur’an yang dipegang oleh Nabi Muhammad saw dan pengikutnya. Ajaran tauhid ini masih terdapat di dalam kitab-kitab Tawrat dan Injil, walaupun sudah dimasukkan dengan unsur kemusyrikan. Di satu bahagian kitab-kitab tersebut mengajarkan tauhid dan di bahagian yang lain pula memperkenalkan syirik. Buangkan bahagian yang mengajarkan syirik itu. Tetapkan pengabdian hanya kepada Allah Yang Maha Esa. Jangan diadakan tuhan-tuhan yang lain. Jangan menjadikan manusia seperti ‘Isa dan ‘Uzair sebagai anak tuhan. Inilah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Jika golongan Ahli Kitab menolak ajaran tauhid ini maka janganlah bertolak ansur dalam soal akidah ini. Tetapkan pendirian sebagai Muslim yang berserah diri kepada Allah dan berpegang kepada ajaran tauhid.

3-65: Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berbantah-bantah tentang Ibrahim, sedangkan tidak diturunkan Tawrat dan Injil melainkan sesudah dia (Ibrahim), apakah kamu tidak fikirkan?  
Orang Yahudi mengatakan Nabi Ibrahim as adalah Yahudi dan orang Nasrani mengatakannya Nasrani. Orang Yahudi mempesakai Kitab Tawrat daripada Nabi Musa as dan orang Nasrani mempesakai Kitab Injil daripada ‘Isa as. Asalnya tidak ada istilah Yahudi dan Nasrani. Nabi Musa serta pengikutnya dan Nabi ‘Isa serta pengikutnya mengakui bahawa mereka adalah orang yang berserah diri kepada Allah atau dipanggil Muslim. Setelah lama berlalu masa Musa as baharulah timbul istilah Yahudi dan setelah masa ‘Isa baharulah digunakan istilah Nasrani. Jika istilah Yahudi dan Nasrani timbul kemudian, bagaimana pula Ibrahim as yang datang sebelum Musa as dan ‘Isa as dianggap sebagai Yahudi atau Nasrani? Fakta ini adalah perkara logik yang mudah diterima oleh akal. Tidak perlu berbantah-bantah dan mengemukakan alasan.

3-66: Ingatlah, kamu adalah orang yang pernah berbantah-bantah mengenai perkara yang kamu ketahui, mengapa pula kamu berbantah-bantah mengenai perkara yang kamu tidak ketahui? Dan Allah mengetahui sedangkan kamu tidak ketahui.  
Ketika Nabi Musa as masih hidup dan juga ketika Nabi ‘Isa as masih hidup, Bani Isra’el pernah membantah dan menafikan apa yang berlaku di hadapan mereka, sedangkan mereka melihat sendiri kejadian tersebut. Mereka telah membantah perkara yang mereka ketahui, kemudian mereka membantah pula perkara yang mereka tidak ketahui, iaitu kedudukan Nabi Ibrahim as yang jauh lebih awal daripada Nabi Musa as dan Nabi ‘Isa as.

3-67: Ibrahim bukanlah seorang Yahudi dan bukan (juga) seorang Nasrani, tetapi dia (Ibrahim) seorang yang hanif (lurus); seorang Muslim (yang menyerah diri kepada Allah), dan dia (Ibrahim) bukanlah dari golongan musyrik.  
Cukup jelas bahawa Nabi Ibrahim as bukanlah Yahudi dan bukan juga Nasrani. Ibrahim as adalah seorang yang hanif, iaitu yang tetap berada pada kesucian fitrahnya dan juga seorang Muslim. Ibrahim as tidak sekali-kali berbuat syirik kepada Allah.

3-68: Sesungguhnya manusia yang paling dekat kepada Ibrahim ialah orang yang mengikutinya (Ibrahim) dan nabi ini (Muhammad saw) serta orang yang beriman. Dan Allah adalah al-Waliy (Pelindung) bagi orang yang beriman.  
Dekat dari segi jasad ialah pertalian darah dan keturunan. Bani Isra’el adalah keturunan Nabi Ya’qub as. Nabi Ya’qub as adalah anak kepada Nabi Ishaq as dan Nabi Ishaq as adalah anak kepada Nabi Ibrahim as. Dari segi pertalian darah Bani Isra’el merupakan keturunan Nabi Ibrahim as. Satu lagi talian keturunan Nabi Ibrahim as adalah melalui anaknya Nabi Isma’el as. Daripada Nabi Isma’el as munculnya bangsa Arab dan lahirnya Nabi Muhammad saw. Pada sisi Allah pertalian darah dan keturunan bangsa Arab dan Bani Isra’el dengan Nabi Ibrahim as bukanlah jaminan kehampiran mereka dengannya. Orang yang hampir dengan Nabi Ibrahim as adalah orang yang mengikutinya. Semasa Nabi Ibrahim as menyeru umat manusia ada sebahagian daripada mereka menerima seruan tersebut dan memelihara kesuciannya tanpa menokok tambah apa yang diajarkan oleh Nabi Ibrahim as. Mereka kembali kepada kesucian manusia yang asli, iaitu menjadi seorang yang hanif. Mereka berpegang kepada akidah tauhid dan melaksanakan tuntutan syariat yang dibawa oleh Nabi Ibrahim as. Golongan orang yang hanif yang berpegang teguh kepada ajaran Ibrahim as sentiasa ada di semua peringkat zaman sehinggalah kepada zaman Nabi Muhammad saw. Sebelum Nabi Muhammad saw diutuskan bilangan orang hanif yang masih ada di atas muka bumi sangatlah sedikit. Nabi Muhammad saw datang mengajar umat manusia kepada ajaran tauhid dan menjadikan mereka hanif. Orang hanif di sepanjang zaman dan Nabi Muhammad saw serta pengikutnya yang beriman dan yang hanif adalah golongan yang benar-benar hampir dengan Nabi Ibrahim as. Dakwaan sebagai orang Yahudi atau orang Nasrani bukanlah jaminan kehampiran dengan Nabi Ibrahim as.

Dan Allah adalah al-Waliy (Pelindung) bagi orang yang beriman. Orang beriman yang dimasukkan ke bawah perlindungan al-Waliy adalah orang yang dipanggil wali Allah. Wali Allah adalah orang hanif yang beriman dan bertauhid. Seorang wali Allah kembali kepada kesucian kemanusiaan yang asli sebagaimana dia mula-mula diciptakan Allah. Wali Allah tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu baik anasir alam mahu pun dari kalangan manusia sendiri. Pengabdian hanya kepada Allah bukan kepada manusia atau lain-lain makhluk. Di dalam pengabdian kepada Allah itu ada khidmat kepada makhluk. Pengabdian kepada Allah dan perkhidmatan kepada makhluk dilakukan sebagaimana tuntutan syariat yang dibawa oleh nabi-nabi.
 
AYAT 69 HINGGA 74.
 
3-69: Segolongan Ahli Kitab itu sangat ingin (jika mereka dapat) menyesatkan engkau, tetapi mereka tidak menyesatkan kecuali diri mereka sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. Segolongan orang Yahudi dan orang Nasrani sangat ingin menyesatkan orang yang beriman, iaitu pengikut Nabi Muhammad saw. Ketika Rasulullah saw berdakwah di Madinah orang Yahudi merupakan golongan yang paling kuat mengadakan propaganda dan sabotaj kepada ajaran Rasulullah saw. Secara umumnya mereka menganggap orang Arab, termasuklah Nabi Muhammad saw, sebagai orang yang tidak berpelajaran. Bagi mereka hanya orang yang daripada Bani Isra’el sahaja yang layak menjadi nabi dan mendapat petunjuk daripada Allah. Mereka mengingkari wahyu Allah lantaran dengki kepada Nabi Muhammad saw. Surah al-Baqarah, ayat 90 menceritakan: Seburuk-buruk harga yang mereka menjual diri mereka ialah mengingkari apa yang diturunkan Allah, kerana dengki bahawa diturunkan Allah kurnia-Nya (kurnia Allah) kepada sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki antara hamba-hamba-Nya (hamba-hamba Allah). Justeru patutlah mereka ditimpa kemurkaaan di atas kemurkaan. Dan bagi orang yang kafir itu azab yang menghinakan. Gerakan utama mereka ialah mengajak orang yang beriman menafikan dan menolak ajaran Nabi Muhammad saw yang terkandung di dalam al-Qur’an. Surah ali-‘Imran, ayat 72 di bawah menceritakan salah satu taktik jahat mereka: Segolongan daripada Ahli Kitab itu berkata: “Berimanlah kamu kepada apa yang diturunkan kepada orang yang beriman itu pada permulaan siang (pagi) dan kufurilah ia pada akhirnya (petang), supaya mereka (orang yang beriman) kembali (menjadi kafir).” Mereka berpura-pura beriman kepada Nabi Muhammad saw dan mendengar pengajarannya dengan bersungguh-sungguh. Kemudian mereka menyatakan murtad, dengan alasan ajaran Nabi Muhammad saw tidak benar. Taktik jahat mereka tidak berjaya memesungkan orang yang beriman, sebaliknya kesesatan yang mereka reka sendiri terpaksa pula mereka pertahankan sebagai kebenaran yang mereka percayai.

Gerakan jahat Ahli Kitab tidak terhenti pada zaman Rasulullah saw sahaja. Ia dibawa kepada semua zaman sehinggalah kepada hari ini. Orang Yahudi dan orang Nasrani mempunyai fokus yang berbeza. Yahudi yang bersifat materialistik lebih menumpukan kepada agenda mengembangkan ekonomi sendiri dengan menjatuhkan ekonomi orang lain. Mereka jarang mengambil alih pemerintahan sesebuah negara, tetapi mereka dengan liciknya menguasai pemerintah negara dengan menjadi penasihat kepada pemerintah. Mereka menjadi penggubal dasar dan perencana perlaksanaan sistem yang diamalkan. Strategi mereka ialah memperkuatkan kedudukan pemerintah boneka yang mereka kuasai dan pada masa yang sama melemahkan kedudukan rakyat yang diperintah. Apabila pemerintah lalai dengan kemewahan yang mereka kecapi, mudahlah golongan Yahudi mengaut keuntungan daripada nasib malang rakyat. Orang ramai terpaksa menerima sistem kewangan yang dibentuk oleh orang Yahudi dan Yahudi juga yang menguasainya. Wujudlah keadaan di mana orang ramai bekerja bermati-matian dengan mendapat faedah yang sedikit sementara orang Yahudi bekerja sedikit dengan mendapat faedah yang banyak.

Orang Nasrani pula lebih menumpukan kepada soal kepercayaan dan amalan. Mereka lebih berminat membawa orang lain menjadi Nasrani. Ramailah mubaligh mereka pergi ke segenap pelusuk dunia mengajak manusia menjadi Nasrani. Tugas yang demikian memerlukan sumber kewangan yang besar. Dalam hal ini orang Yahudi membantu gerakan Nasrani yang cuba meruntuhkan kepercayaan umat lain, terutamanya umat Islam.

Gerakan Yahudi dan Nasrani menggempur kepercayaan orang beriman sejak zaman Nabi Muhammad saw berterusan hingga ke hari ini. Pendekatan yang diambil pada hari ini ialah memisahkan umat Islam daripada pengajaran al-Qur’an. Satu masa dahulu masyarakat menjadikan ahli agama sebagai contoh ikutan. Gerakan Yahudi dan Nasrani mencipta idola baharu yang terdiri daripada ahli sukan, penghibur dan sebagainya. Senjata yang unggul digunakan ialah hiburan yang melalaikan dan merangsang hawa nafsu. Yahudi membiayai program melalaikan umat manusia. Nasrani pula menawarkan agama yang boleh dianuti tanpa keluar daripada medan kelalaian dan hawa nafsu. Dosa bukan lagi perkara yang ditakuti kerana hak pengampunan dosa dipegang oleh padri. Orang yang berdosa hanya perlu mengakui dosanya kepada padri, lalu dosa itu sudah terampun. Gerakan terancang puak Yahudi dan Nasrani telah menampakkan kejayaan yang besar pada hari ini. Mereka menguasai ekonomi dunia. Ramai pemerintah boneka telah dilantik dan dikuasai oleh mereka. Pemerintah boneka tersebut menghalalkan kemusyrikan dan kemaksiatan atas alasan kebebasan adalah hak asasi manusia.

Pada zahirnya mereka telah berjaya menyesatkan umat manusia, tetapi sebenarnya tidak ada yang mereka sesatkan melainkan diri mereka sendiri. Mereka sudah sesat dan orang yang mengikuti kesesatan mereka adalah orang yang seperti mereka juga. Orang beriman, pengikut tulen Nabi Ibrahim as, tidak berjaya disesatkan oleh golongan Ahli Kitab itu, walau pun gerakan mereka sudah bermula beribu tahun yang lampau. Kekuatan orang beriman semakin bertambah dengan kebangkitan Nabi Muhammad saw.
 
3-70: Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu tidak mahu beriman kepada ayat-ayat Allah, sedangkan kamu menyaksikan (kebenarannya)?
  Allah telah menurunkan ayat-ayat-Nya dan mempamerkan tanda-tanda-Nya. Di dalam Tawrat dan Injil sudah dinyatakan tentang nabi akhir zaman. Apabila nabi tersebut datang dia membawa tanda-tanda yang dinyatakan oleh kitab-kitab terdahulu. Ahli Kitab, iaitu orang Yahudi dan orang Nasrani menyaksikan kebenaran tanda-tanda yang terdapat pada Nabi Muhammad saw sebagaimana dinyatakan oleh kitab-kitab mereka. Malangnya mereka tetap menolak kebenaran tersebut.
 
3-71: Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan kebenaran dengan kepalsuan, dan kamu menyembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahuinya?
  Kitab-kitab suci adalah wahyu Allah kepada nabi-nabi. Isi kitab suci yang asli adalah kebenaran. Ajaran pokoknya ialah tauhid dan cara pengabdian kepada Allah yang benar. Di dalamnya juga menceritakan tentang nabi-nabi yang terdahulu dan yang utamanya tentang kedatangan nabi terakhir. Isi kitab yang benar itu masih boleh dijumpai di dalam kitab-kitab Tawrat dan Injil yang ada di tangan Ahli Kitab, iaitu Yahudi dan Nasrani. Tetapi kebenaran tersebut sudah diselubungi dengan kepalsuan, umpama berlian yang ditanam di dalam lumpur. Hanya lumpur yang kelihatan sedangkan berlian tersembunyi. Ajaran tauhid yang ditinggalkan oleh nabi-nabi sudah diliputi oleh ajaran syirik yang direka oleh orang Yahudi dan Nasrani. Pengabdian kepada Allah semata-mata sudah dicampurkan dengan pengabdian kepada sesama manusia. Ayat atau tanda mengenai kedatangan nabi terakhir disembunyikan. Ajaran palsu yang dibuat oleh tangan manusia lebih dipegang daripada ajaran asli yang masih terdapat di dalam kitab-kitab tersebut.
 
3-72: Segolongan daripada Ahli Kitab itu berkata: “Berimanlah kamu kepada apa yang diturunkan kepada orang yang beriman itu pada permulaan siang (pagi) dan kufurilah ia pada akhirnya (petang), supaya mereka (orang yang beriman) kembali (menjadi kafir).”
  Segolongan Ahli Kitab menjadi pemimpin dan pemikir yang mengatur strategi dalam melemahkan orang yang beriman. Dahulunya ketua-ketua puak yang memegang pucuk pimpinan. Setelah kaum Yahudi berselerakan di serata dunia, mereka membentuk badan rahsia yang mengatur gerakan Yahudi di seluruh dunia. Gerakan rahsia Yahudi tidak terpisah daripada gerakan Nasrani. Al-Qur’an menyebut Ahli Kitab, gabungan kedua-dua puak yang besar itu, sebagai menunjukkan bahawa kerja sama di antara mereka terjalin erat. Taktik yang diajarkan oleh pemimpin Ahli Kitab kepada orang-orang mereka ialah: “Berimanlah kamu kepada apa yang diturunkan kepada orang yang beriman itu pada permulaan siang (pagi) dan kufurilah ia pada akhirnya (petang), supaya mereka (orang yang beriman) kembali (menjadi kafir).” Ahli Kitab digalakkan bercampur dengan orang yang beriman. Mereka menyertai kumpulan orang beriman seolah-olah mereka benar-benar berminat dengan kepercayaan orang yang beriman itu. Mereka tunjukkan bahawa mereka ikhlas mahu mencari kebenaran dan memperjuangkannya. Setelah mereka diterima sebagai ahli kumpulan yang mereka sertai itu, mulalah mereka menjalankan gerakan propaganda dan subversif. Mereka keluarkan pendapat-pendapat yang mencabar kepercayaan kumpulan tersebut. Mereka berikan alasan dan hujjah yang dapat diterima oleh orang yang kurang mendalam ilmunya. Kumpulan itu pun terpecah kepada dua. Tali barut Ahli Kitab itu seterusnya meninggalkan kumpulan yang disertainya itu bagi meyakinkan orang ramai bahawa kepercayaan mereka yang diajarkan selama ini bukanlah kepercayaan yang benar. Inilah taktik popular yang digunakan oleh Ahli Kitab. Mereka gunakan taktik ini dalam segala bidang, sama ada agama, politik, sosial dan sebagainya. Ramailah umat manusia yang terpedaya, meninggalkan kumpulan sendiri, lalu menyertai gerakan Ahli Kitab, ikut serta memperjuangkan agenda Ahli Kitab. Ada yang sanggup mengutuk kepercayaan ibu bapa sendiri.
 
3-73: “Dan janganlah kamu percaya kecuali kepada orang yang mengikuti kepercayaan kamu.” Katakanlah (wahai Muhammad saw): “Sesungguhnya petunjuk adalah petunjuk Allah.” (Mereka berkata lagi): “(Jangan percaya) bahawa akan diberikan-Nya (diberikan Allah) kepada seseorang, seperti yang telah diberikan kepada kamu, atau (jika kamu percaya kepada Muhammad saw) tentu ada yang membantah kamu di sisi Rab (Tuhan) kamu.” Katakanlah (wahai Muhammad saw): “Sesungguhnya kurnia itu di tangan Allah, Dia (Allah) berikan kepada sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki, dan Allah adalah al-Wasi’ (Maha Luas), lagi al-‘Alim (Maha Mengetahui).”
  Ahli Kitab menyemaikan perasaan fanatik dan taksub di kalangan pengikut mereka. Mereka menganggap hanya perkataan orang yang sama kepercayaan dengan mereka sahaja yang benar. Apa juga sistem, perundangan dan kod etika, jika bukan datang daripada Ahli Kitab maka ia tidak diakui sebagai sesuatu yang benar dan baik.

Orang yang beriman hendaklah mempercayai bahawa Allah jua yang memberikan petunjuk bukan Ahli Kitab. Orang beriman hendaklah berpegang kepada petunjuk Allah, jangan dikaburi oleh propaganda Ahli Kitab, sekali pun pada zahirnya ia kelihatan baik.

Ahli Kitab menanamkan kepercayaan di kalangan pengikut mereka bahawa hanya daripada golongan mereka sahaja yang ditakdirkan menjadi nabi dan mendapat wahyu. Jangan percaya jika ada yang mengatakan pegangan mereka itu salah dan akan diperhitungkan di hadapan Rab (Tuhan) kelak. Jadi, Ahli Kitab mempersiapkan pengikut mereka untuk merasakan diri mereka sebagai mengatasi orang lain. Golongan lain mestilah tunduk dan akur kepada keputusan mereka.

Orang beriman diperingatkan supaya tidak lemah semangat sekiranya mereka tidak bergantung kepada Ahli Kitab. Allah menjamin bahawa segala kurnia ada di tangan Allah dan Allah memberikannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Kedudukan sebagai Ahli Kitab tidak dapat mempengaruhi Allah. Ahli Kitab cuba menyempitkan pemikiran manusia. Orang beriman diajarkan supaya berfikiran terbuka kerana sesungguhnya Allah adalah al-Wasi’ (Maha Luas), lagi al-‘Alim (Maha Mengetahui). 
 
3-74: Dia (Allah) menentukan rahmat-Nya (rahmat Allah) kepada sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki, dan Allah mempunyai kurnia yang besar.
  Allah menentukan rahmat-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Allah telah menurunkan nabi-nabi daripada kalangan Bani Isra’el. Kemudian Allah menghantarkan pula nabi daripada Bani Isma’el menjadi nabi terakhir. Nabi terakhir itu menjadi nabi bagi umat zaman ini. Beserta pengangkatan sebagai nabi, Allah sertakan jua kurnia yang besar, yang diperlukan oleh umat manusia untuk mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

 http://tokfaqir.bravehost.com/timr059t074.html

Comments

Popular posts from this blog