AGAMA YANG DIREDHAI ALLAH IALAH ISLAM

Firman Allah Taala, maksudnya: "Sesungguhnya agama(1) yang diredhai Allah ialah Islam(2) ..." (19, Ali Imran).
"Sesiapa yang menurut jalan yang lain dari apa yang disyariatkan Allah sebagai agamanya, maka tidak sekali-kali akan diterima daripadanya .." (85, Ali Imran).
_________________________
(1) Agama:  Ialah undang-undang dan cara hidup yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. untuk manusia mendapat - dengan sebabnya - nikmat yang sebenar dan kebahagiaan yang kekal.
(2) Islam: Dipakai dengan erti:
Pertama - Mematuhi segala perkara yang disampaikan dan diterangkan oleh
Rasulullah s.a.w., seperti yang tersebut pada Ayat 19, surah Ali Imran.
Kedua - Hukum-hukum
syarak dan keterangan-keterangan yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w., seperti yang tersebut pada Ayat 85, Surah Ali Imran.
Ketiga -
Agama yang dibawa dan disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Seperti yang tersebut pada Ayat 3, Surah Al-Maidah, yang maksudnya: "Dan aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu."
Hadis Ketujuh
7- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى. (البخاري)
7 - Dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sekalian umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Ya Rasulullah,  siapakah orang yang enggan itu?" Baginda menjawab:  "Sesiapa yang taat kepada ku akan masuk syurga dan sesiapa yang derhaka kepada ku maka sesungguhnya ia telah enggan." (Bukhari)
Hadis yang ketujuh ini mengandungi:
(1) Manusia wajib mematuhi satu undang-undang yang tertentu.
(2)
Kepatuhan yang sempurna kepada undang-undang itu sahajalah yang menyebabkan kebahagiaan seseorang di dunia dan di akhirat.
Huraiannya
Pertama - Manusia dan Undang-undang yang diwajibkan mematuhinya:
Sebagaimana yang diketahui dan
disaksikan bahawa segala jenis makhluk dalam alam kehidupan ini - untuk kesempurnaan keadaannya - tak dapat tidak mematuhi undang-undang yang dikhaskan baginya, maka manusia sebagai makhluk yang tersusun dari jasmani dan rohani sudah tentu wajib mematuhi satu undang-undang yang khas untuk rohaninya selain dari wajibnya mematuhi undang-undang jasmaninya.
 
Undang-undang itu ialah Islam (hukum-hukum
syarak dan keterangan-keterangan yang disampaikan oleh utusan Tuhan).

Kedua -
Kepatuhan yang sempurna dan balasannya:

Tiap-tiap amal meliputi
kepercayaan,  tutur kata dan perbuatan - ada balasan yang sesuai dengannya, sama ada baik atau sebaliknya; dan segala kesenangan serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat adalah hasil dari kepatuhan (Islam) yang sempurna dalam mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang.
 
Oleh kerana kesenangan dan kebahagiaan sejati hanya terdapat di akhirat, maka
balasan syurga dan segala nikmat di dalamnya hendaklah menjadi harapan yang utama kepada setiap orang dengan mematuhi ajaran Islam.

Hadis Kelapan
8- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ أَطَاعَ الْأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِي وَمَنْ عَصَى الْأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي. (البخاري ومسلم)
8 - Dan dari Abu Hurairah juga, dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang taat kepada ku maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah,  dan sesiapa yang derhaka kepada ku maka sesungguhnya ia telah derhaka kepada Allah,  dan (selain itu) sesiapa yang taat kepada ketua - pemerintah maka sesungguhnya ia telah taat kepada ku dan sesiapa yang derhaka kepada ketua - pemerintah maka sesungguhnya ia telah derhaka kepada ku .."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kelapan ini menyatakan bahawa:
Taat kepada Rasulullah s.a.w. dan taat kepada pemerintah bererti taat kepada Allah.
Huraiannya:
Sebagaimana yang diterangkan bahawa di antara pengertian-pengertian Islam ialah taat atau mematuhi hukum Allah. Oleh kerana hukum-hukum itu dibawa dan disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dan dijalankan oleh pemerintah serta pemerintah-pemerintah itu pula mengadakan hukum-hukum dan peraturan yang tidak berlawanan dengannya, maka taat kepada Rasulullah s.a.w dan kepada pemerintah itu bererti taat yang membawa keredhaan Allah. Sebaliknya menderhaka kepada Rasul dan pemerintah yang bersifat demikian, bererti kederhakaan yang menyebabkan kemurkaan Allah.
Oleh itu, maka orang yang berakal siuman,  sudah tentu berusaha menjauhi dirinya dan segala apa jua yang menyebabkan kemurkaan Allah, dan tidak ada jalan yang lain melainkan mematuhi ajaran-ajaran Islam. 
Hadis Kesembilan
9- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَجِيءُ الْأَعْمَالُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَتَجِيءُ الصَّلَاةُ فَتَقُولُ يَا رَبِّ أَنَا الصَّلَاةُ فَيَقُولُ إِنَّكِ عَلَى خَيْرٍ فَتَجِيءُ الصَّدَقَةُ فَتَقُولُ يَا رَبِّ أَنَا الصَّدَقَةُ فَيَقُولُ إِنَّكِ عَلَى خَيْرٍ ثُمَّ يَجِيءُ الصِّيَامُ فَيَقُولُ أَيْ يَا رَبِّ أَنَا الصِّيَامُ فَيَقُولُ إِنَّكَ عَلَى خَيْرٍ ثُمَّ تَجِيءُ الْأَعْمَالُ عَلَى ذَلِكَ فَيَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِنَّكَ عَلَى خَيْرٍ ثُمَّ يَجِيءُ الْإِسْلَامُ فَيَقُولُ يَا رَبِّ أَنْتَ السَّلَامُ وَأَنَا الْإِسْلَامُ فَيَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِنَّكَ عَلَى خَيْرٍ بِكَ الْيَوْمَ آخُذُ وَبِكَ أُعْطِي. (الإمام أحمد)
9 - Dan dari Abu Hurairah juga, katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda: "Segala amal akan datang pada hari qiamat (untuk memberi syafaat kepada yang mengerjakannya), - di antaranya sembahyang datang lalu berkata:  "Ya Tuhanku!  Akulah sembahyang"; Allah Taala berfirman (kepadanya): "Tujuan engkau itu baik,  (tetapi engkau sahaja belum cukup)"; dan (selepas itu) datang pula sedekah, puasa dan amal-amal yang lain, semuanya itu Allah berfirman (kepada tiap-tiap satunya): "Tujuan engkau itu baik,  tetapi engkau sahaja belum cukup)"; kemudian datang pula Islam lalu berkata:  "Ya Tuhanku!  Enqkaulah Tuhan yang bernama: As-Salam dan akulah: "Islam"; maka Allah Taala berfirman (kepadanya): "Tujuan engkau itu baik, pada hari ini dengan engkaulah aku menerima dan dengan engkaulah juga aku memberi balasan".
(Imam Ahmad)
Hadis yang kesembilan ini menyatakan bahawa:
Amal-amal: Sembahyang, zakat, puasa dan lain-lainnya, datang pada hari qiamat untuk menolong yang mengerjakannya. Islam juga datang dan dengan Islamlah dinilai segala amal.
Huraiannya:
Keadaan Amal-amal yang baik pada hari Qiamat:
Segala yang berlaku pada hari qiamat, seperti kebangkitan manusia hidup semula dan balasan amal-amal masing-masing, keadaan syurga dan neraka dan lain-lainnya adalah perkara-perkara yang diterangkan perihalnya oleh Allah dan RasulNya; segala yang diterangkannya itu adalah benar belaka, tetap berlaku, sama ada manusia meyakininya atau tidak.
Apa jua yang akan berlaku pada hari qiamat tidak harus diukur dengan perkara-perkara biasa yang berlaku dalam dunia ini,  kerana segala yang berlaku dalam alam akhirat adalah berlainan sama sekali keadaannya.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., menerangkan bahawa pada hari qiamat kelak, amal-amal: Sembahyang, zakat,  puasa dan lain-lainnya, masing-masing datang mengadap ke hadrat Allah `Azza wa Jalla dengan tujuan hendak memohon syafaat (pertolongan) bagi orang yang mengerjakannya.
Allah Taala memuji tujuan baik tiap-tiap amal itu dan menerangkan kepadanya, bahawa itu sahaja belum cukup dan belum tentu lagi dapat memberikan pertolongan selagi masing-masing belum dinilai tentang sahnya dan sempurnanya.
Setelah itu datanglah Islam mengadap Allah Taala dan memujiNya. Tujuan kedatangannya, juga untuk memohonkan syafaat pertolongan bagi orang yang mengerjakan amal dengan mematuhinya.
Allah Taala memuji tujuan Islam yang baik itu dan menegaskan bahawa dengan adanya Islam yang sempurna pada tiap-tiap amal yang dikerjakan maka Allah menerima amal itu serta membalasnya dengan balasan yang sesuai dengannya.

Comments

Popular posts from this blog