INI KES DUA TAHUN YANG LALU



What We're Doing With Islam???

  12 Jan 2010 | 13
Tiba-tiba macam  tersentap kejap bila bukak e-mail aku pagi ni. Astagfirullah Hal`azim…*telan air liur kejap.. terkejut punye pasal* Kiriman E-Mail yang aku terima semalam membuatkan aku rasa dah pon mendapat rehat yang cukup sebagai seorang penulis blog picisan. Pada asalnya aku bercadang untuk berehat dari menulis lebih kurang seminggu, tapi rehat sebagai seorang Live Blogger hanya cukup lah sekadar mengurangkan entri dalam masa satu hari.  Agak kelakar dengan statement yang dikeluarkan, namum apa yang dipaparkan pada kali ini harap dapat diperbincangkan bersama ya, Insyaallah…

Mungkin kamu ada menerima kiriman e-mail yang seperti ini, atau lebih.. Kalau boleh, dapat kita kongsikan bersama. Ini adalah salah contoh-contoh sentimen agama yang kadang-kala menimbulkan kecaman pada masyarakat Islam tertamanya. Pendapat yang hadir adalah berbeza… namun, kamu nilaikan lah sendiri dengan ilmu yang telah dibekalkan kepada kamu. Bagi aku yang amat cetek ilmu ni, memang aku rasakan perkara seperti ni amat pelik.
Aku rabun atau gambar ini dimanipulasikan? Solat apa agaknya ni? Imam Wanita… makmum lelaki dan perempuan dalam satu saf? Wohhh… memang aku mengaku aku cetek ilmu. Kamu rase mazhab mane ni?
Ini lagi la kurang hajar.. Nauzubillah…. rasanya kalau nkorang tak tau nak baca Khaligrafi.. nkorang masih mengenal huruf kan? Nampak perkataan Muhammad? Dah terang-terang ni adalah Kalimah Syahadah…
Kalimah Suci pada kasut. Owh biar betoi la wei…
Hati-hati ketika membeli-belah barangan berjenama. Ada sapa pandai baca arab tak? Aku tak reti la nak bace apa report yang dia tulis kat sebelah gambar tuh.
Nike ni memang terkenal dengan jenama yang mempunyai logo yang agak kontroversi. Kalau dah tau macam tuh, dan rasa was-was.. sila jangan beli.
Nah… amik kau! Mana makmum lelaki… mana makmum perempuan… tak tutup aurat? Saf antara lelaki dan perempuan bercampur? Kompius weh… Memang la ade mazhab lain.. tapi satu saf memang boleh campur antara lelaki dan perempuan ker? Nampaknya ilmu aku masih lagi cetek….
Nota: Pada aku gambar di atas telah dimanipulasi oleh mereka yang cuba menjatuhkan Islam. Kita sendiri tahu akan perkara ini. Jangan membuat spekulasi melulu dahulu tanpa mendapat maklumat yang sahih ok!
Perihal Imam Wanita Utk Solat Jumaat
 
 Hari Jumaat, 18 Mac 2005 telah mencatatkan satu sejarah besar di dalam lembaran kehidupan umat Islam semenjak zaman Rasulullah S.A.W. ianya lebih besar dari peristiwa peperangan Badar di mana umat Islam buat pertama kalinya berjihad menentang Musyrikin Qurasih. Ianya lebih besar dari pengisytiharan perang oleh Khalifah pertama umat Islam, Abu Bakar terhadap golongan murtad yang enggan membayar zakat. Ianya juga jauh lebih besar daripada peristiwa penawanan masjid al-Aqsa oleh tentera salib lewat tahun 1099, dan juga penawanan buat kali keduanya oleh rejim Zionis pada tahun 1967. Apakah peristiwanya


Pembaharu agama di milenium baru

Di Manhattan, AS, seorang pembawa pembaharuan bagi agama Islam lagak Martin Luther King bagi agama Kristian dan juga Moses Mendelson bagi agama Yahudi telah melakukan satu pembaharuan dalam agama Islam yang tidak pernah disaksikan semenjak awal Jibril membawa wahyu ke gua Hira kepada Rasulullah S.A.W. Dr. Ameenah Wadud, seorang wanita yang dianggap sebagai imam, intelek, ilmuan oleh para pengkagum dan penyembah ide-idenya telah melakukan solat Jumaat secara berjemaah dengan diimamkan oleh beliau sendiri!, ya beliau sendiri, sebagai seorang wanita telah menjadi imam kepada para makmumnya dan telah memberikan khutbah Jumaat. Yang lebih lucu, di antara para makmum tersebut terdapat para jamaah lelaki (yang mungkin telah hilang kelakiannya) yang bersolat di belakang saf wanita.

Mantan tenaga pengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini bukanlah asing dan pelik bagi para pengamat isu Islam di peringkat antarabangsa. Ini juga bukanlah kali pertama beliau muncul dengan isu yang penuh sarat dengan kontreversi. Bagi para liberalis yang jumud dengan pemikiran yang agak ketinggalan zaman, beliau merupakan mujtahid, malah pembaharu, jika tidak mencapai tahap kenabian yang berupaya merubah pentafsiran agama Islam yang sering didakwa oleh beliau dan pengkagumnya sebagai telah didominasi pentafsirannya oleh para ulama lelaki yang bias kepada male chauvinisme. Bagi beliau dan penganut ide-ide Islam versi barunya, Islam fundamentalis dan konservatif ini telah menjumudkan umat Islam, mengongkong pemikiran mereka dan juga terlalu bersifat anti wanita. Jika ada sesiapa yang mengkritik ide-ide beliau yang dianggap kudus oleh pemuja-pemujanya dari para Liberalis Islam, sering kedudukannya sebagai mantan pensyarah di UIAM, thesis beliau di dalam bidang tafsir dan juga dua batang huruf D dan R di hadapan namanya akan dijadikan dalil yang paling qat'i untuk mempertahankan kekeramatan pembaharu agama ini.


Objektif!

Biarlah kita meletakkan peribadinya ketepi. Dalam membincangkan sesuatu ide dan isu biarlah kita bersifat objektif. Sikap melihat individu di dalam menilai isu bukanlah satu sikap yang tepat walaupun ianya perkara yang termudah dan juga senjata paling ampuh yang digunakan oleh para tradisionalis yang kolot dan pro-taqlid. Sikap jumud dan taqlid buta inilah yang sering membawa kepada ekstrim kiri yang muncul dengan pelbagai nama kononnya untuk mencerahkan Islam yang kononnya telah dikotori dengan warna-warna tradisionalis yang penuh dengan jumud, kolot, taqlid dan juga anti thesis. Inilah dilemma umat Islam, yang ekstrim kanannya melakarkan Islam dalam bentuk yang tidak saintifik, samada golongan tarekatnya yang mentuhankan syeikh-syeikh mereka dan kuburan-kuburan syeikh-syeikh tersebut, ataupun golongan-golongan pondok dan taqlid yang mendewakan teks-teks lama kitab-kitab fiqh yang hanya sesuai di zaman Abbasiyyah dengan seruan penutupan pintu ijtihad dan pemonopolian golongan tertentu tanpa boleh dicabar. Ekstrimis kanan juga mempunyai pelbagai versi yang lain seperti golongan golongan yang merapu dan jauh dari kebenaran Islam seperti golongan Syiah, Ahbash, Brelwi dan lain-lain lagi. Sebagai tindak balas yang ekstrim pula, muncul golongan sekularis yang langsung menolak Islam dan juga golongan Liberalis yang beriman dengan kebebasan mutlak ala-Orwelli di dalam mentafsirkan agama tanpa menghiraukan nilai keilmuan, prinsip dokotomi dan juga kekudusan teks al-Quran dan sunnah yang qat'i dan ijmak para sahabat yang luhur dan diiktiraf oleh Rasulullah S.A.W. sendiri. Dengan pengaruh arus enlightment di barat dan juga idealisme protestenisme, mereka telah membiarkan teks-teks suci ini menjadi bahan tafsiran sesiapa sahaja, malah menjadi bahan lelongan di pasar borong. Berkat bimbingan para orientalis yang cuba mengaplikasikan konsep pembaharuan agama untuk mengeluarkan penganutnya dari kegelapan gereja yang bersifat anti-saintifik, Islam yang sarat dengan objektivisme dan juga nilai-nilai saintifik telah dihamparkan di lantai yang sama tarafnya dengan ajaran ortodoks gereja-gereja Eropah pra-zaman pencerahan. Ini bukanlah tindakan yang bijak, malah seumpama tikus yang membaiki keju!


Wanita sebagai imam

Di sini bukanlah gelanggangnya untuk membicarakan tentang kelencongan kedua-dua ekstrim ini. Biarlah di forum yang lain ianya dinilaikan. Tajuk utama di sini ialah, adakah wanita boleh menjadi imam untuk solat Jumaat

Persoalan yang pertama : Adakah solat Jumaat itu wajib untuk orang perempuan?

Jawapannya, Rasulullah S.A.W. dalam sebuah hadis telah mengatakan: Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat hendaklah dia menunaikan (solat) Jumaat kecuali wanita, orang yang musafir, hamba sahaya dan orang yang sakit. (H.R. Abu Daud, al-Baihaqi dan lain-lain )

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah S.A.W. telah bersabda: Solat Jumaat adalah wajib ke atas setiap muslim kecuali empat golongan: Hamba sahaya, wanita, anak-anak dan orang yang sakit (Hadis riwayat Abu Daud)

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Daraqutni pula, kanak-kanak digantikan dengan musafir seperti hadis al-baihaqi. Para ulama telah mengabungkan kesemua riwayat dan membuat kesimpulan, wanita, kanak-kanak, hamba sahaya, orang yang bermusafir dan juga orang yang sakit tidak diwajibkan untuk menunaikan solat Jumaat, dan mereka hanya menunaikan solat Zohor sahaja. Dalam kes ini, Ibn al-Mundhir di dalam ensiklopedia ijmaknya, sepertimana yang disebutkan oleh al-Nawawi di dalam karyanya al-Majmuk telah mengatakan, umat Islam telah berijmak bahawa solat Jumaat adalah tidak wajib bagi wanita.

Jelas ianya adalah wajib bagi lelaki dan tidak wajib ke atas wanita. Perlakuan para sahabiyyat yang tidak menghadiri solat Jumaat dan juga tiada satu pun hadis samada dari Aisyah, ataupun isteri-isteri Nabi yang lain, mahupun para Sahabiyyat mengatakan solat Jumaat itu wajib dan mereka menghadirinya. Konsesi secara mutawatir ini menjadi sokongan terhadap hadis di atas jika ada yang ingin mencabar statusnya dengan mengatakan ianya adalah hadis Ahad.

Jika ianya tidak wajib, mengapa pula orang yang tidak wajib untuk bersolat Jumaat ingin menjadi imam kepada orang-orang yang wajib menunaikan solat Jumaat, iaitu para makmum lelaki

Di dalam al-Mughni, penulisya Ibnu Qudamah (mati 660H) telah membawa perbincangan ini dan telah membawa pendapat jumhur muslimin bahawa wanita tidak boleh menjadi imam, kerana solat Jumaat adalah tidak wajib ke atas mereka. Malah kehadiran mereka pun tidak digalakkan. Ibnu Mas'ud, salah seoorang daripada sahabat Rasulullah S.A.W. yang menjadi rujukan dalam bidang fiqh dan qiraat telah menyuruh para jamaah wanita untuk pulang ke rumah dan mengatakan : Solat anda semua di rumah lebih afdhal bagi diri anda. (Athar ini telah diriwayatkan oleh Abu Amru al-Syaibani, penulis Diwan al-Lughah wa al-Syiir dan diiktiraf sbagai Saduq oleh para pengkritik rijal hadis).

Logiknya lagi, para wanita sendiri digalakkan oleh Rasulullah S.A.W. untuk bersolat di rumah mereka (Hadis riwayat Abu Daud) dan tidak digalakkan ke masjid. Ini penting agar mereka dapat membimbing anak-anak di rumah untuk solat bersama, sewaktu para suami ke masjid untuk menunaikan solat. Lebih menarik lagi, kehadiran wanita untuk menunaikan solat Jumaat pun tidak dikira sebagai anggota untuk mencukupkan bilangan korum yang membolehkan solat Jumaat berlangsung.

Jika adapun sesiapa yang menggunakan hujah hadis Umm al-Waraqah (riwayat Ahmad dan Abu Daud) yang telah dibenarkan oleh Rasulullah S.A.W. untuk menjadi imam untuk isi rumahnya (termasuk lelaki dan perempuan), ianya masih lagi terbuka untuk perbincangan. Pertamanya, hadis yang sama menurut riwayat al-Daraqutni telah mentafsirkan keumuman makna riwayat Ahmad dan Abu Daud apabila disebutkan suruhan tersebut adalah untuk Umm al-Waraqah mengimamkan orang-orang perempuan di dalam rumah beliau. Dari sudut sanadnya pula, hadis ini juga tidak terlepas daripada kritikan. Jika pun hadis ini hendak digunakan sebagai dalil juga untuk membenarkan orang perempuan menjadi imam kepada jamaah lelaki, namun ianya tetap bukan dalil untuk membenarkan perempuan menjadi imam untuk solat Jumaat, kerana suruhan itu khusus untuk seorang wanita mengimamkan solat di rumahnya sahaja. Dalilnya, tidak pernah pun Umm al-Waraqah ataupun mana-mana sahabiyyat menjadi imam bagi solat Jumaat kepada para sahabat lelaki pada waktu itu dan juga sepanjang sejarah Islam. Adakah insan yang bernama Amina Wadud ini lebih memahami hadis Umm al-Waraqah daripada Umm al-Waraqah sendiri?

Mungkin ada juga yang berdalilkan beberapa hadis yang menunjukkan para sahabiyat mengetuai solat tarawikh, ataupun fatwa Imam Ahmad bin Hanbal berfatwa harusnya wanita mengimamkan solat tarawikh di kalangan ahli keluarganya di rumah. Dalam kes ini, para ulama bersepakat itu hanya terhad kepada ahli rumah an di kalangan wanita sahaja, jika ianya melibatkan kaum lelaki pun seperti yang difatwakan oleh Imam Ahmad, ianya dengan syarat ahli lelaki di rumah tersebut tidak boleh membaca al-Quran dan hanya wanita yang paling berumur sahaja yang elok bacaannya. Tidak timbul pula di dalam hadis tersebut penambahan untuk melakukannya di masjid, atau untuk solat Jumaat.


Ibadah tidak menerima inovasi

Soalan keduanya pula, kita meyakini Aisyah merupakan antara para isteri Nabi yang menjadi rujukan para sahabat dan sahabiyyat. Malah Rasulullah S.A.W. menyuruh kita mengambil daripada ajaran Islam daripada beliau. Fakta yang tidak boleh dinafikan juga bahawa para sahabat yang terkemuka merujuk dan menjadikan Aisyah sebagai guru mereka. Jikalaulah wanita boleh menjadi imam untuk solat Jumaat dan juga berkhutbah Jumaat, mengapa Aisyah tidak pernah menjadi imam, hatta walaupun sekali di dalam seumur hidup beliau? Bukankah beliau pernah mengetuai gerakan reformasi mengkritik kepimpinan Ali dan mengetuai segerombolan sahabat lewat peristiwa Siffin?

Jawapannya mudah, kerana solat Jumaat merupakan persoalan Ibadat. Persoalan ibadat adalah bersifat ta'abbudi dan tawqifi, iaitu hanya mengikuti apa yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W. tanpa perlukan modifikasi dan juga inovasi. Malah inovasi di dalam ibadah adalah termasuk di dalam perkara bid'ah yang dicela oleh Rasulullah S.A.W. dan dijamin sebagai tidak diterima oleh Allah (rujuk hadis Aisyah riwayat Muslim: Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam ajaran Islam yang bukan berasal daripadanya, ianya tertolak). Ini perkara asas yang diterima oleh semua pihak, sepertimana asasnya pengetahuan bahawa solat Zohor adalah empat rakaat, subuh adalah dua rakaat, puasa di bulan Ramadan adalah wajib dan juga haji adalah ke Mekah dan bukannya ke India ataupun ke Pulau Pinang. Barangsiapa yang merubah perkara-perkara ini, maka mereka dianggap sebagai pelaku bid'ah dan amalan mereka tidak akan diterima oleh Allah, hatta jika niat mereka itu ikhlas, kerana ikhlas sahaja bukanlah emata-mata syarat untuk diterima sesuatu amalan. Di dalam persoalan ibadah, seperti yang telah disinggung oleh al-Suyuti (mati 911H) di dalam karyanya al-Amru bi al-Ittiba wa al-Nahyu an al-Ibtida, dan sebelumnya al-Shatibi (mati 780H) di dalam karyanya al-Itisaam, ianya hendaklah menuruti sunnah dan tunjuk ajar Rasulullah S.A.W.

Bukankah Aisyah lebih afdhal untuk menjadi imam Jumaat semenjak zaman dahulu lagi, jika wanita boleh menjadi imam. Mengapa baru kini pula muncul mujtahid instant yang ingin menginovasikan ibadah dengan menjadi imam bagi solat Jumaat pula Pelik @ ajaib bin hairan. Samada sipelakunya tidak berpuashati dengan ibadah yang telah Allah berikan kepada Rasulullah S.A.W. untuk diajarkan kepada kaum muslimin, ataupun si pelakunya adalah seorang yang gila dan tidak waras, maka dimaafkan apa yang beliau lakukan kerana otaknya yang mereng itu.

Di dalam isu mengada-adakan ibadat yang baru dan juga penginovasian terhadap hukum ibadat yang telah disepakati dan telah ditetapkan oleh syariat, Allah S.W.T. telah memberikan ancaman yang amat keras di dalam surah al-Shura (42) ayat 21, yang berbunyi: Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan apa yang tidak diizinkan oleh Allah?.


Dominasi kaum lelaki

Mungkin prinsip ibadah tidak menerima inovasi itu tidak diterima oleh pemikiran bebas golongan liberal. Bukankah mereka tidak menerima prinsip-prinsip lama dan juga yang diterima secara ijmak oleh para sahabat kerana ianya didominasi oleh kaum lelaki yang gila kuasa!

Maka mungkin persoalan mengapa Aisyah tidak menjadi imam Jumaat akan dirasionalkan (walaupun tidak logik langsung), bahawa para sahabat yang lelaki masih dominan, dan mentaliti masyarakat pada waktu itu masih lagi menindas wanita. Hujah yang tidak logik dan kebudak-budakkan dan berbau sikap taklid buta aqidah feminisme ini amat mudah untuk disangkal. Pertamanya, mengapa di bidang keilmuan Aisyah punya kuasa dan boleh menunjukkan belang di gelanggang politik, tetapi di dalam isu solat Jumaat sahaja beliau takut untuk menjadi imam. Dan sakit jiwa apa pula yang menghidapi para sahabat yang dapat menerima Aisyah sebagai rujukan agama dan pemimpin politik, tetapi melarang beliau hanya dalam kes menjadi imam solat?

Ternyata di dalam kes ibadah, para sahabat, tidak kira yang lelaki dan perempuan maklum dan akur dan tunduk patuh ianya tidak boleh menerima perubahan. Maka di dalam isu solat Jumaat, oleh kerana ianya wajib untuk lelaki sahaja, maka wanita tidak boleh menjadi imam bagi solat tersebut. Lebih menarik lagi perkataan imam itu sendiri hanya ada di dalam bentuk (wazan) maskulin dan tiada femininnya imamah seperti halnya ustazah adalah feminin kepada ustaz, muslimah adalah feminin kepada muslim dan lain-lain lagi. Begitu juga berhubung perkataan Hamil orang yang hamil / mengandung, ianya khusus untuk wanita, dan tiada maskulin untuk perkataan tersebut, kerana ianya khusus untuk wanita. Termasuk juga perkataan Haaid yang bermaksud orang yang sedang haid merujuk kepada orang perempuan dan tiada maskulin bagi perkataan tersebut, kerana orang lelaki tidak mengalami haid. Maka imam hanya khusus bagi lelaki dari sudut bahasanya, dan di dalam kes wanita mengimamkan wanita yang lain, penamaan imam adalah berbentuk majazi (pinjaman) sahaja.

Jika persoalan dominasi lelaki yang menjadi ukuran juga, mengapakah Ibnu Hazm yang bergurukan para wanita pun tidak mengutarakan ide yang begitu hebat ini?, ataupun lewat pemerintahan Syajarat al-Durr di Mesir yang telah menjadi sultan kepada kerajaan Mamluk, beliau tidak pula menjadi imam untuk solat Jumaat di masjid al-Azhar, ataupun lewat pemerintahan Ratu Adil dan sultan-sultan perempuan di Aceh, tidak pula kedengaran mereka menjadi imam untuk solat Jumaat. Ternyata persoalan dominasi lelaki dan juga kekusaan politik bukanlah isu utamanya di sini.


Ijmak

Bagi majoriti umat Islam yang berpegang dengan ajaran Rasulullah S.A.W. yang sebenar, larangan wanita menjadi imam solat Jumaat kepada jamaah lelaki dan wanita adalah berdasarkan ijmak para sahabat dan juga kaum muslimin semenjak 1400 tahun yang lalu. Ianya adalah sesuatu yang maklum dan perlakuan wanita menjadi imam solat Jumaat kepada jamaah lelaki dan wanita, adalah ibarat orang lelaki yang ingin cuti solat kerana haid, ataupun mewajibkan hijab ke atas orang lelaki dan juga mewajibkan tanggungan nafkah suami ke atas para isteri... .perlukan kita kepada pencerahan seumpama ini?... hanya golongan Wadudiyah sahaja yang boleh menjawabnya.

Wanita menjadi Imam Sembahyang Jumaat

Oleh : Dr. Udah bin Mohsin

Mukadimah

Sembahyang Jumaat adalah menjadi satu kewajipan kepada kaum lelaki, dan ia tidak wajib bagi kaum wanita. Persoalannya adakah boleh bagi seorang wanita menjadi imam bagi sembahyang jumaat yang  makmumnya terdiri dari kaum lelaki dan wanita?. Ini satu persoalan yang memerlukan kepada jawapan.
Di dalam membincangkan  tajuk ini penulis menyentuh perkara-perkara berikut:

1. Imam sembahyang Jumaat oleh Rasulullah, Khulafa dan Sahabat.
Di zaman Rasulullah (s.a.w.) Imam sembahyang Jumaat adalah Rasulullah sendiri. Baginda tidak pernah memberi izin kepada seseorang wanita pun untuk menjadi imam sembahyang Jumaat. Perbuataan Rasulullah ini adalah termasuk di dalam Sunnahnya yang wajib diikut.  Manakala di zaman Khulafa' al-Rashidin dan di zaman Sahabat-sahabat dan seterusnya, tidak ada seorang pun wanita yang menjadi imam sembahyang jumaat sekalipun masjid telah dibuka dengan banyak, dan terdapat ramai wanita-wanita yang alim di dalam agama, mereka memberi fatwa dan menjadi rujukan di dalam agama seperti cAisyah (r.a.c), Umm Salamah dan lain-lain. Mereka tidak mahu melantik Umm al-Mukminin cAisyah,  isteri Rasulullah yang banyak memberi fatwa dan salah seorang Sahabat yang teralim tentang hadith Rasulullah,  'Aisah sendiri pun tidak pernah meminta untuk mejadi imam di dalam sembahyang Jumaat mestilah mempunyai sebab yang kuat yang sepatutnya dijadikan hujah di dalam perbahasan ini. Bukan setakat di zaman Rasulullah dan di zaman Sahabat sahaja tidak terdapat seorang perempuan menjadi imam sembahyang Jumaat, tetapi itulah yang berlaku di zaman Tabicin dan yang selepasnya sehingga berlalulah 14 kurun yang silam.  Ini bukan sekali-kali kerana tidak ada perempunan yang alim di dalam agama dan bukan kerana tidak banyak masjid.

2. Saf wanita di dalam sembahyang
Mengenai kewajipan sembahyang Jumaat  Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ  [الجمعة :
Bermaksud: Wahai mereka yang beriman! Apabila kamu diseru untuk sembahyang pada hari Jumaat hendaklah kamu segera kepada mengingati Allah dan tinggalkan jual beli. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (Surah al-Jumaat, 62: 9) Ayat di atas adalah nas yang jelas menunjukkan kefarduan ibadah sembahyang Jumaat. Jika dilihat kepada khitab kefarduan sembahyang Jumaat tersebut pada fascaw adalah ditujukan kepada lelaki, sekalipun boleh dimasukknn perempuan padnya tetapi terdapat bukti yang menunjukkan bahawa wanita Islam tidak wajib mengerjakan sembahyang Jumaat. Ini ialah kerana tidak ada riwayat yang menyebut bahawa semua kaum wanita muslimah di zaman Rasulullah mereka pergi sembahyang jumaat. Walau apapun hendak di kata, nas ini sekurang-kurangnya,  menunjukkan bahawa kaum lelaki itu lebih utama mengerjakan sembahyang Jumaat dari perempuan. Dengan ini imam sembahyang Jumaat mestilh lelaki, bukan perempuan.
Jika dilihat kepada hadith pula telah dinyatakan sebelum ini yang menjadi imam di zaman Rasulullah adalah Rasulullah sendiri dan Baginda tidak pernah menyuruh atau mengizinkan seorang wanita pun menjadi imam sembahyang Jumaat atau sembahyang fardu berjamaah di masjid. Nas-nas hadith yang sahih menunjukkan bahawa saf perempuan adalah di belakang saf lelaki, jauh untuk menjadi imam, apatah lagi menjadi imam sembahyang Jumaat. Di antara nas-nas itu ialah:
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا ». (صحيح مسلم، الصلاة، 132)
Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah (r.a.c), katanya Rasulullah bersabda:  Sebaik-baik saf lelaki ialah saf yang pertama dan yang seburuk-buruknya ialah saf yang paling akhir, menakala sebaik-baik saf perempuan ialah saf yang paling  belakang dan seburuk-buruknya ialah saf yang awal.( Muslim 1955, 1: 326, Abu Daud 1969, 1: 438, al-Tirmidhi 1937, 1: 436.)  Ini ialah kerana saf yang akhir bagi lelaki hampir dengan perempuan dan saf yang awal bagi perempuan adalah berhampiran dengan lelaki. Hadith ini menunjukkan bahawa saf  perempuan adalah di belakang saf lelaki. Jauh untuk menjadi imam sembahyang fardu apatah lagi sembahyang Jumaat. 
Di dalam  riwayat Abu Sacid al-Khudri Rasulullah menjelaskan:
يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ إِذَا سَجَدَ الرِّجَالُ فَاغْضُضْنَ أَبْصَارَكُنَّ لا تَرَيْنَ عَوْرَاتِ الرِّجَالِ مِنْ ضِيقِ الأُزُرِ
Bermaksud: Wahai kaum wanita apabila kaum lelaki sujud hendaklah kamu merendahkan penglihatan  kamu supaya kamu tidak melihat aurat lelaki kerana kain yang sempit. (Ahmad 1978, 3: 3)
Daripada Sahl bin Sacd katanya:
 لَقَدْ رَأَيْتُ الرِّجَالَ عَاقِدِى أُزُرِهِمْ فِى أَعْنَاقِهِمْ مِثْلَ الصِّبْيَانِ مِنْ ضِيقِ الأُزُرِ خَلْفَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ قَائِلٌ يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ لاَ تَرْفَعْنَ رُءُوسَكُنَّ حَتَّى يَرْفَعَ الرِّجَالُ.) (صحيح مسلم، الصلاة، 133)
Bermaksud: Aku melihat kaum lelaki mengikat kain mereka di tengkok mereka seperti kanak-kanak kerana kain yang sempit di belakang Nabi (s.a.w.) maka terdapat orang yang berkata: Wahai kaum wanita janganlah kamu mengangkat kepala kamu sehingga kaum lelaki bangun (Muslim 1955, 1: 326)
 Hadith-hadith ini juga jelas menunjukkan saf perempuan adalah di belakang lelaki. Jauh bagi perempuan untuk menjadi imam sembahyang fardu apatah lagi sembahyang Jumaat.
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ جَدَّتَهُ مُلَيْكَةَ دَعَتْ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - لِطَعَامٍ صَنَعَتْهُ لَهُ ، فَأَكَلَ مِنْهُ ثُمَّ قَالَ « قُومُوا فَلأُصَلِّ لَكُمْ » . قَالَ أَنَسٌ فَقُمْتُ إِلَى حَصِيرٍ لَنَا قَدِ اسْوَدَّ مِنْ طُولِ مَا لُبِسَ ، فَنَضَحْتُهُ بِمَاءٍ ، فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - وَصَفَفْتُ وَالْيَتِيمَ وَرَاءَهُ ، وَالْعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا... (صحيح البخاري، الصلاة، 20)
Antara maksud hadith ini ialah: Aku dan seorang yatim di belakang Baginda Rasulullah, manakala nenek perempuan di belakang kami. (al-Bukhari di dalam Ibn Hajar t.t. 1: 488, al-Tirmidhi 1937, 1: 454-456, al-Nasa'I t.t. 2: 85-86) Hadis ini menunjukkan bahawa saf perempun adalah yang paling belakang sekali, iaitu dibelakang kanak-kanak.
عَنْ أَبِى مَالِكٍ الأَشْعَرِىِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَنَّهُ كَانَ يُسَوِّى بَيْنَ الأَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِى الْقِرَاءَةِ وَالْقِيَامِ وَيَجْعَلُ الرَّكْعَةَ الأُولَى هِىَ أَطْوَلُهُنَّ لِكَىْ يَثُوبَ النَّاسُ وَيَجْعَلُ الرِّجَالَ قُدَّامَ الْغِلْمَانِ وَالْغِلْمَانَ خَلْفَهُمْ وَالنِّسَاءَ خَلْفَ الْغِلْمَان
Antara maksud hadith ini ialah: Rasulullah meletakkan saf lelaki di hadapan kanak-kanak dan  saf perempuan di belakang saf kanak-kanak.(al-Harith 1992, 1: 270)  Dari hadith ini menunjukkan bahawa saf perempuan adalah di belakang sekali, di belakang kanak-kanak. Di dalam riwayat yang lain:
عَنْ أَنَسٍ أَنَّهُ كَانَ هُوَ وَرَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَأُمُّهُ وَخَالَتُهُ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَجَعَلَ أَنَسًا عَنْ يَمِينِهِ وَأُمَّهُ وَخَالَتَهُ خَلْفَهُمَا. (النسائي، الإمامة، إذا كانوا رجلين وامرأتين)
Bermaksud:  Daripada Anas bahawasanya dia,  Rasulullah (s.a.w.), ibunya dan emak sudaranya bersembahyang, Rasulullah meletakkan Anas di sebelah kanannya, menekala ibunya dan emak sudaranya di belakang kedua-duanya. (al-Nasa'I t.t. 2: 86) Di dalam hadith ini juga menunjukkan saf perempuan adalah di belakang sekali iaitu di belakang kanak-kanak walaupun kanak-kanak itu  anaknya sendiri.
Dari nas-nas di atas menunjukkan saf perempuan adalah paling belakang iaitu di belakang kanak-kanak, jauh untuk jadi imam apatah lagi untuk menjadi imam sembahyang Jumaat.

3.      Sembahyang Jumaat adalah satu ibadah, bukan adat.
Sembahyang Jumaat sama dengan sembahyang-sembahyang fardu yang lain adalah merupakan ibadah, bukan adat. Di dalam perkara ibadah, kita sebagai seorang Mukmin hendaklah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya, tidak boleh mereka-reka atau mencipta yang baru. Cara sembahyang fardu, dengan takbir al-ihram, qiyam, rukuk, sujud, duduk di antara dua sujud dan seterusnya dengan diimamkan oleh seorang lelaki jika sembahyang itu berjamaah  antara lelaki dengan perempuan, dan cara sembahyang Jumaat dengan azan, dua khutbah dan seterusnya dengan diimamkan oleh lelaki, ini semua merupakan ibadah yang tidak boleh diubah. Mengubah ibadah tidak sah ibadahnya dan adalah merupakan bid'ah yang dilarang. Larangan mereka-reka/mencipta di dalam ibadah adalah disandarkan kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah. Firman Allah:
{ أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ } [الشورى : 21
Bermaksud: Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan oleh Allah.(Surah al-Shura, 42: 21)
Ayat ini menunjukkan  bahawa pensyariatan  agama  itu adalah dari Allah, bukan dari yang lain-Nya. Adapun pengambilan syariat oleh orang Mukmin dari Rasulullah, itu  adalah kerana perintah dari Allah. Dengan ini perkara agama iaitu ibadah adalah hanya diambil dari Allah dan RasulNya, tidak boleh direka-rekaka. Dalam hal ini Rasulullah bersabda:

« مَنْ أَحْدَثَ فِى أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ ».) (مسلم، الأقضية،17)
Bermaksud: Sesiapa yang mengada-adakan di dalam perkara kami ini (agama) yang bukan darinya dia adalah ditolak ( Muslim 1955, 3: 1343) Di dalam riwayat yang lain Rasulullah bersabda:

وَمَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهْوَ رَدٌّ ») (  صحيح البخاري، اليوع، النجش، 60)
Bermaksud: Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan tidak mengikut peraturan kami dia adalah ditolak.( al-Bukhari di dalam Ibn Hajar, t.t. 4: 355 ) Mengada-adakan/mencipta di dalam perkara ibadah adalah bid'ah yang dilarang. Sabda Rasulullah:
وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ ».(سنن أبي داود،  السنة ، 6، سنن الترمذي، العلم 16، سنن ابن ماجة، المقدمة، 6،  سنن الدارمي، المقدمة، 96، مسند أحمد ، العرباض بن سارية، سنن البيهقي، آداب القاضي، 20825   )
Bermaksud: Jauhilah dari mengada-ngadakan di dalam perkara ugama kerana setiap yang di ada-adakan adalah bidcah dan setiapa bidcah adalah sesat.(Abu Daud 1974, 5: 14-15, Ibn Majah t.t. 1: 16, al-Tirmidhi 1965, 5: 44 )
Adalah haram lagi tidak sah sekiranya seorang itu dengan sengaja sembahyang subuh tiga rakaat atau lebih, kerana pada anggapannya dua rakaat itu tidak sesuai memandangkan baru sahaja bangun tidur dan badan masih cergas. Oleh itu perlu kepada riadah yang lebih dari dua rekaat, atau dia menganggap tiga rakaat atau lebih itu adalah lebih baik dari hanya dua rakaat sahaja. Perbuatan ini haram, lagi tidak sah kerana di dalam perkara sembahyang kita mesti ikut Rasulullah. Sabdanya:
وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِى أُصَلِّى ْ (صحيح البخاري ، الأذان، 18)
Bermaksud: Hendaklah kamu sembahyang sebagaimana kamu melihat aku sembahyang.( al-Bukhari di dalam Ibn Hajar t.t. 2: 111 ).
Dari keterangan-keterangan di atas menunjukkan larangan untuk mencipta ibadah. Ibadah hendaklah dilakukan mengikut sebagimana yang disyaricatkan.

4. Perbezaan di antara ibadah dengan perkara-perkara duniawi
Jika perkara yang berkaitan dengan ibadah bentuknya adalah ittibac iaitu mengikut maka perkara-perkara yang berkaitan dengan duniawi bentuknya adalah ibtidac iaitu mereka/cipta. Ini bererti perkara-perkara yang berkaitan dengan duniawi seseorang itu hendaklah menggunakan akal dan ilmunya untuk mencari jalan yang lebih baik bagi menghasilkan yang lebih mendapat manfaat, selagi tidak bertentangan dengan garis-garis yang telah ditetapkan oleh syara. Seseorang itu digalakkan membuat teori-teori baru melalui kajian-kajian yang mendalam di dalam bidang sains, kejurutraan, ekonomi dan lainnya, tetapi berkaitan dengan ibadah sembahyang hendaklah dia menunaikan sembahyang itu mengikut sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah (s.a.w.) dengan tidak boleh mengubahnya.  Suruhan mengunakan akal dan ilmu pengetahuan  bagi mendapatkan munafa'at yang lebih baik  pada perkara-perkara duniawi boleh difahami dari sabda Rasulullah (s.a.w.):
« أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ ».(صحيح مسلم، الفضائل، 141)
Bermaksud: Kamu lebih mengatahui mengenai urusan dunia kamu.(Muslim 1955, 4: 1836 )

5. Kaum lelaki lebih utama mengimarahkan masjid berbanding kaum wanita
Sebelum ini telah dinyatakan nas al-Quran dan Hadith mengenai suruhan mengerjakan sembahyang Jumaat, saf lelaki dan saf wanita ketika sembahyang di dalam masjid, di zaman Rasulullah dan Sahabat yang semuanya menunjukkan bahawa kaum lelaki adalah menguasai masjid lebih dari kaum wanita, dan dari hadith-hadith yang lain juga menunjukkan bahawa kaum lelaki adalah lebih menguasai masjid dari kaum wanita. Antaranya ialah sabda Rasulullah (s.a.w.):
« إِذَا اسْتَأْذَنَتِ امْرَأَةُ أَحَدِكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلاَ يَمْنَعْهَا » ( البخاري، النكاح، 116)
Bermaksud: Apabila isteri seseorang dari kamu meminta izin untuk pergi ke masjid maka jangan dia menegahnya. (al-Bukhari di dalam Ibn Hajar, 9: 337,  Muslim 1955, 1: 326-327) Hadith ini menunjukkan bahawa hak mengimarahkan masjid itu adalah kepada kaum lelaki kerana  isteri dikehandaki meminta izin kepada suaminya apabila hendak  pergi masjid dan kepada suami janganlah dia melarangnya. Adapun bagi suami dia tidak perlu untuk meminta izin kepada isteri apabila dia hendak pergi ke masjid. Jika suami dan isteri sama tarafnya untuk mengimarahkan masjid maka tidaklah perlu bagi isteri untuk meminta izin dari suaminya sebagaimana isteri tidak perlu meminta izin dari suami untuk mengerjakan sembahyang fardu di rumah.
Apabila telah jelas menunjukkan bahwa kaum lelaki itu lebih utama untuk mengimarahkan masjid maka layaklah mereka yang duduk dibarisan hadapan dan layaklah mereka yang menjadi imam.

6.  Tidak ada sebab penting kaum wanita untuk menjadi imam
Memandangkan kaum lelaki yang layak menjadi imam adalah masih terlalau ramai, mereka boleh membaca al-Quran dengan baik, mereka alim tentang agama, mereka tidak mempunyai sesuatu yang mencacatkan untuk menjadi imam  maka tidak ada sebab penting yang dianggap daruruh perempuan boleh jadi imam. Oleh kerana itu perempuan tidak boleh menjadi imam sembahyang Jumaat.
Dari penjelasan-penjelasan yang disandarkan kepada nas-nas yang sahih lagi banyak  menunjukkan imam sembahyng Jumaat, sembahyang fardu dan sembahyang sunnat yang terdiri dari lelaki dan perempuan imamnya adalah lelaki.

7.      Perbincangan mengenai hadith Umm Waraqah
1. Nas hadith
Terdapat hadith yang zahirnya menunjukkan bahawa wanita menjadi imam dan di belakangnya terdapat lelaki. Wanita itu ialah Umm Waraqah. Hadith Umm Waraqah adalah sebagai berikut:
591 - عَنْ أُمِّ وَرَقَةَ بِنْتِ نَوْفَلٍ أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- لَمَّا غَزَا بَدْرًا قَالَتْ قُلْتُ لَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ ائْذَنْ لِى فِى الْغَزْوِ مَعَكَ أُمَرِّضُ مَرْضَاكُمْ لَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يَرْزُقَنِى شَهَادَةً. قَالَ « قِرِّى فِى بَيْتِكِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَرْزُقُكِ الشَّهَادَةَ ». قَالَ فَكَانَتْ تُسَمَّى الشَّهِيدَةَ. قَالَ وَكَانَتْ قَدْ قَرَأَتِ الْقُرْآنَ فَاسْتَأْذَنَتِ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- أَنْ تَتَّخِذَ فِى دَارِهَا مُؤَذِّنًا فَأَذِنَ لها. .. (سنن أبي داود، الصلاة)
Antara maksud hadith ini ialah Umm Waraqah, seorang wanita qariah, meminta izin kepada Rasulullah untuk melantik seorang juru azan lalalu Baginda mengizinkan kepadanya…( Abu Daud 1969, 1: 396-397)
Di dalam riwayat yang lain menyatakan:
592 - ،  وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَزُورُهَا فِى بَيْتِهَا وَجَعَلَ لَهَا مُؤَذِّنًا يُؤَذِّنُ لَهَا وَأَمَرَهَا أَنْ تَؤُمَّ أَهْلَ دَارِهَا. (سنن أبي  داود، الصلاة، 62)
Bermaksud: Adalah Rasulullah (s.a.w.) menziarahinya di rumahnya dan Rasulullah menjadikan untuknya seorang juru azan, dan Rasulullah menyuruhnya menjadi imam untuk ahli rumahnya. (Abu daud 1969, 1: 397, al-Darqutni 1966, 1: 404)
2. Hukum hadith
Menurut Ibn Hajar di dalam riwayat tersebut terdapat perawi yang bernama Abd al-Rahman bin Khallad, beliau, fih jahalah ( Ibn Hajar 1979, 2: 29) dengan itu  hadith ini da'if. Walau bagimanapun Ibn Hibban memasukkannya di dalam kitabnya al-Thiqat. (Abadi 1967, 2: 302) Dengan ini menurutnya hadith ini boleh dijadikan hujah Dengan demikian terdapat  hilaf di kalangan ulama  hadith  tentang kesahihan hadith ini, ada yang menerima dan ada yang menolak.
3. Tafsiran hadith
Jika hadith Umm Waraqah itu bertaraf maqbul iaitu boleh dijadikan hujjah maka zahir maksud hadith tesebut ialah Umm Waraqah adalah menjadi imam bagi ahli rumahnya  sebagaimana dijelaskan di dalam nas hadith tersebut. Ini bererti Umm Waraqah tidak boleh menjadi imam bagi yang lain dari ahli rumahnya. Jika ditafsirkan maksud dar di dalam hadith ini adalah bermaksud satu kawasan yang besar yang mengandung banyak bilangan rumah, tafsiran ini tidak benar, kerana tidak terdapat bukti-bukti yang menunjukkan demikian. Perbincangan lanjut mengenai pendapat ulama mengenai hadith ini akan diperkatakan selepas ini.

8.      Wanita menjadi imam di dalam sembahyang
Di dalam membahaskan tajuk ini saya bincangkan sepeti berikut:
  1. Wanita menjadi imam bagi wanita
  2. Wanita menjadi imam bagi lelaki dan wanita
Wanita menjadi imam bagi wanita
Terdapat nas-nas yang menunjukkan bahawa wanita boleh menjadi imam bagi wanit. Antara nas-nasnya ialah
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّهَا أَمَّتْهُنَّ فَقَامَتْ وَسَطًا. (سنن البيهقي، كتاب الصلاة،5563،   مسند الشافعي، 1: 53)
Bermaksud: Daripada Umm Salamah bahawasanya beliau menjadi imam kepada kaum wanita dan beliau berdiri di tengah-tengah. (al-Bayhaqi 1989, 1: 343, al-Shafici, 1: 53)

عن عائشة أنها أمت نسوة في المكتوبة فأمتهن بينهن وسطا وسطا، (السنن الصغرى، 1: 343، السنن البيهقي، 3: 131)
Bermaksud: Daripada cAisah (r.a.c.) bahawasanya beliau menjadi imam bagi kaum wanita untuk sembahyang fardu lalu beliau mengimamkan mereka di tengah-tengah (al-Bayhaqi 1989, 1: 343, al-Bayhaqi 1994, 3: 131)
  وعن أم سلمة أنها أمتهن فقامت وسطا (السنن الصغرى، 1: 343)
.Bermaksud: Daripada Umm Salamah bahawasanya beliau menjdi imam bagi kaum wanita lalu beliau bangun di tengah-tengah. (al-Bayhaqi 1989, 1: 343)
  عن عائشة ثم أنها كانت تؤذن وتقيم وتؤم النساء وتقوم وسطهن  (سنن البيهقي, 3: 131)
Bermaksud: Daripada Aisah bahawasanya beliau azan, kamat, dan menjadi imam kepada kaum wanita dan beliau berdiri di tengah-tengah.( al-Bayhaqi 1994, 3: 131)
Nas-nas di atas menunjukkan bahawa cAishah dan  Umm Salamah telah menjdi imam di dalam sembahyang dan yang menjadi makmum adalah dari kalangan wanita juga, tidak ada lelaki padanya

Wanita menjadi imam bagi lelaki
Berpandukan kepada zahir hadith Umm Waraqah di atas tadi, -jika hadith itu diterima- maka seseorang wanita boleh menjadi imam bagi lelaki yang termasuk di dalam ahli rumahnya,  wanita itu   qariah dan ahli rumah tiada yang qari`. Wanita boleh menjadi imam bagi lelaki adalah merupakan pendapat Abu Thawr, al-Muzani dan al-Tabari. Adapun jamhur al-Ulama iaitu kebanyakkan ulama menentang pendapat mereka bertiga ini. ( Abdi 1967, 2: 302, al-Qurtubi 1967, 1: 356). Ini ialah kerana hadith ini tidak disepakati kesahihnnya dan ia bertentangan dengan hadith-hadith  sahih  sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, oleh itu menurut jumhur, jika hadith ini diterima- maka perkataan ahli rumah di sini ialah ahli rumah yang perempuan tidak termasuk yang lelaki.
Apa yang perlu diambil perhatian, ialah pendapat tiga ulama tersebut adalah di dalam konteks hadith Umm Waraqah di atas iaitu perempuan menjadi imam dirumahnya bagi ahli keluarganya, dan perempuan itu sebagi qari'ah dan ahli keluarganya tidak qari. Adapun perempuan menjadi imam sembahyang fardu di dalam masjid, apatah lagi bagi sembahyang Jumaat maka saya tidak mengetahui ada  ulama muctabar yang mengharuskannya.


9. Bukan merupakan satu penindasan atau tidak adil kepada wanita jika dia tidak boleh menjadi imam bagi sembahyang Jumaat.
Siapa sahaja yang melakukan amal salih sama ada lelaki atu perempuan Allah akan memberi balasan dengan yang lebih baik, tidak kira lelaki atu perempuan: Firman Allah:
{مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (97)} [النحل :
Bermaksud: Sesiapa yang melakukan amal soleh sama ada dari lelaki atau perempuan sedangkan dia beriman maka Kami akan memberikannya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas pahala mereka dengan sebaik-baik apa yang mereka lakukan. (Surah al-Nahl, 16: 97)
Walaubagaimanapun terdapat sedikit perbezaan, di antara lelaki dengan perempuan, bukan dari segi balasan pahala dan dosa, tetapi dari sudut-sudut yang lain, ini bukan menunjukkan tidak adil, tetapi itu sebagai sesuatu yang ditetapkan selaras dengan tabiat  kejadian mereka. Oleh sebab itu orang yang adil ialah orang yang mengikut suruhan Allah, yang meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya, tidak melampau dan tidak cuai. ( Ibn Hajar t.t. Fath al-Bari,2: 145)

Kesimpulan
Dari nas-nas yang sahih, bukan adat tetapi adalah merupakan sunnah Rasulullah bahawa perempuan tidak boleh menjadi imam sembahyang Jumaat, kerana sembahyang Jumaat adalah merupakan ibadah, bukan adat dan bukan urusan duniawi. Di dalam perkara ibadah seseorang Mukmin diperintahkan supaya ittibac bukan ibtidac mengikut bukan mencipta.


Rujukan:
Al-Quran al-Karim
Abu Daud, Sulayman bin al-Ashcath. 1969/1388. Sunan Abi Daud, tacliq cIzzat cAbid. Siriya: Hims.
Abadi, Muhammad Muhammad Shams al-Haq. 1968/1388. cAun al-Macbud, Sharh Sunan Abi Daud. Al-Madinah al-Munawwarh: al-Maktabah al-Salafiyyah.
Al-Bayhaqi, Ahmad bin al-Husayn bin Ali 1989/1410. al-Sunan al-Sughra, tahqiq Dr, Muhammad Diya' al-Rahman al-cAzami. Al-Madinah al-Munawwarah.
Al-Bayhaqi, Ahmad bin al-Husayn bin Ali. 1994/1414. al-Sunan al-Bayhaqi al-Kubra. Makkah al-Mukarramah.
Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail di dalam Ibn Hajar. T.T. Sahih al-Bukhari di dalam Fath al-Bari. Al-Maktabah al-Salafiyyah.
Al-Darqutni, cAli bin Umar. 1966/1386. Sunan al-Darqutni, tacliq Abdi. Al-Madinah al-Munawwarh.
Al-Harith bin Usamah. 1992/1413. Musnad al-Harith. Al-Madinah al-Munawwarah.
Ibn Hajar, Ahmad bin Ali. 1979/1399. Talkhis al-Khabir. al-Qahirah: Maktabah al-Kulliyyat al-Azhariyyah
Ibn Majah, Muhammad bin Yazid. T.T. Sunan Ibn Majah tarqim Muhammad Fuad Abd al-Baqi. Al-Qahirah: cIsa al-Halabi.
Al-Nasa'I, Ahmad bin Shucayb. T.T. Sunan al-Nasa'I, sharh al-Suyuti wa al-Sindi. Al-Qahirah: al-Matbcah al-Misriyyah.
Muslim bin al-Hajjaj. 1955/1374. Sahih Muslim, tahqiq Muhammad Fuad Abd al-Baqi. Al-Qahirah: CIsa al-Babi al-Halabi.
Al-Qurtubi, Muhammad bin Ahmad. 1967/1387. al-Jamic Li Ahkam al-Quran. Al-Qahirah: Dar al-Kitab al-cArabi.
Al-Shafici, Muhammad bin Idris. Musnad al-Shafici. Bayrut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Tirmidhi, Muhammad bin cIsa. Sunan al-Tirmidhi, tahqiq Muhammad Shakir. Al-Qahirah: Mustafa al-Halabi.


 http://alistiqamahsgmerab.blogspot.co.uk/2011/09/wanita-menjadi-imam-sembahyang-jumaat.html

Comments

Popular posts from this blog