Hukum Solat Subuh Selepas Matahari Terbit



Dipetik dari sesi Soal Jawab Agama Harian Metro:


Saya kerap berjaga malam untuk mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan tugasan. Ia menyebabkan saya sukar bangun dan menunaikan solat Subuh esok hari.

Saya juga ada rakan yang mempunyai masalah sama, tetapi mereka dapat menunaikan solat Subuh sebaik saja terjaga daripada tidur walaupun matahari sudah terbit.

Saya keliru adakah itu dibenarkan dalam Islam memandangkan terdapat waktu dilarang menunaikan solat termasuklah waktu selepas terbit matahari.

Mohon penjelasan Dr

KELIRU, Sabah


Jawapan:
Sebenarnya Allah SWT menjadikan malam untuk berehat dan tidur bagi mengembali tenaga kita. Dengan adanya kerehatan tubuh menjadi sihat.

Apabila peraturan dan ketetapan Allah diubah, tentu ada akibatnya tersendiri. Itu sebenarnya yang berlaku kepada anak muda sekarang termasuk diri anda yang berjaga malam dan tidur siang.

Mungkin tidak cukup tidur apabila banyak pekerjaan perlu dibuat pada siang hari. Ini akan merosakkan kesihatan, pembelajaran dan pekerjaan anda nanti.

Sebenarnya, Allah sudah mengatur solat fardu supaya dapat menjaga jadual hidup kita sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya di muka bumi. Apabila kita lalai dalam menjadi hamba tentu ada akibat tertentu.

Mengenai solat Subuh yang dilaksanakan selepas waktu atau terbit matahari, terdapat beberapa pandangan, antaranya ia dibolehkan bagi melaksanakan kewajipan solat fardu itu.

Lebih-lebih lagi, apabila kita tertidur dan bukannya kerana saja malas bangun. Ketika terjaga, kita hendaklah segera melakukannya tanpa berlengah-lengah lagi. Dengan itu, dosa meninggalkan solat Subuh tidak terkena.

Bagaimanapun, amalan berjaga malam sehingga tidak dapat menunaikan solat Subuh dalam waktunya berdosa dan tidak sepatutnya diteruskan.

Solat Subuh itu wajib diqadak dan jangan diulang-ulang kesalahan berkenaan. Ubah tabiat tidur dan elak mengamalkan berjaga malam kerana ia tidak baik untuk kesihatan selain melalai menunaikan solat Subuh.

Allah berfirman mengenai ciri orang mukmin yang mendapat ganjaran syurga: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya, mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Quran, Surah al-Mukminun (23): 9-11).

Comments

Popular posts from this blog