‘BUSJAKET YANG SELALU DILIHAT’
 
 
 
Seperti kebanyakan pemimpin yang hebat, Tun Razak pada dasarnya mencapai kejayaan atas daya usaha beliau sendiri.  Bapa beliau ialah seorang pegawai daerah, jawatan yang dianggap tinggi dan dihormati pada zaman pemerintahan Inggeris.  Namun, ini tidak bermakna beliau hidup dalam kemewahan.  Latar belakang beliau yang serba sederhana dan kepintaran beliau telah mendorong beliau meletakkan nilai yang tinggi untuk diri beliau dalam mencapai matlamat hidup.  Akhirnya, beliau berjaya menjadi seorang pemimpin politik yang amat dihormati di Malaysia dan di rantau ini semasa era pembangunan Negara dari tahun 1954-1976.
 
Di bawah pemerintahan rejim British, tidak ramai pelajar Melayu diberikan hak istimewa untuk berpendidikan tinggi.  Hanya pelajar yang benar-benar pintar dan bertuah sahaja dianggap layak mendapat biasiswa dan dihantar ke United Kingdom.  Dengan itu, London menjadi tempat mendidik ahli politik dari negara-negara Komanwel.  Dalam keadaan sebegini Tun Razak didaftar untuk menuntut dalam jurusan undang-undang di Lincoln’s Inn.  Di sana, beliau berkenalan dengan Tunku Abdul Rahman yang juga sedang mengikuti kursus tersebut.  Mereka berkongsi minat yang sama dalam politik dan kemudiannya menjadi teman dan pemimpin dalam UMNO, sama-sama berjuang untuk kemerdekaan Malaya. 

Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.  Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri pertama dan Tun Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri.  Ketika itu beliau baru berusia 35 tahun.
Jika kepandaian boleh diukur melalui prestasi, Tun Razak boleh dianggap sebagai pelajar yang cemerlang kerana menyempurnakan kursus undang-undang hanya dalam tempoh 18 bulan, mungkin suatu jangka masa terpendek yang diperlukan.  Ia merupakan rekod yang sangat bagus.  Jelas sekali beliau meminati bidang undang-undang.  Jika beliau tidak ditakdirkan memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan, beliau tentu dilantik menjadi Peguam Negara atau Ketua Hakim Negara di Mahkamah Persekutuan.  Walaupun beliau tidak berpeluang bertugas dalam bidang undang-undang, beliau telah diterima masuk sebagai seorang peguam dalam tahun 1973 ketika beliau sudah pun menjadi Perdana Menteri.

Malaysia telah membangun dengan pesatnya.  Pada mulanya ia negara pertanian, pengeluar utama getah, minyak kepala sawit dan bijih.  Keadaan ekonomi ketika itu stabil tetapi tidak dinamik.  Kekayaan yang dimiliki di kawasan bandar adalah jauh berbeza berbanding dengan luar bandar, begitu juga antara kaum.  Masalah ini boleh dan telah membawa ancaman yang serius kepada kestabilan negara dan terpaksa ditangani sejurus selepas kemerdekaan.

Tun Razak dipertanggungjawabkan dengan tugas ini, pada mulanya sebagai Menteri Pelajaran dan kemudian sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.  Kedua-dua jawatan tersebut sangat disayangi beliau.  Beliau tidak pernah lupa zaman kanak-kanak sewaktu beliau terpaksa berkaki ayam ke sekolah. Pengalaman ini membuatkan beliau amat bersimpati dengan penduduk luar bandar.  Jika beliau tidak bertugas ke luar negara, separuh daripada masa beliau akan diluangkan melawat kampung-kampung, biasanya antara hari Khamis dan Ahad untuk benar-benar memahami masalah di situ dan untuk memastikan projek luar bandar dilaksanakan dengan sempurna.

Berbeza dengan sekarang, salah satu daripada perkara yang menjadi masalah pada tahun 1960-an dan 1970-an ialah cara mengelak penduduk luar bandar daripada berhijrah ke kota untuk mencari pekerjaan.  Keutamaan dan penekanan diberi kepada pembangunan luar bandar.  Beribu-ribu ekar tanah baru terpaksa dibuka.  Kelompok penduduk luar bandar dipindahkan ke tanah rancangan FELDA.

Ramai daripada mereka yang tidak memiliki tanah telah diberikan tanah untuk diusahakan dan menjadi pekebun kecil agar dapat memperbaiki kehidupan masing-masing.  Hari ini, ada pekebun kecil berjaya menjadi jutawan apabila mereka menjual tanah mereka untuk pembangunan industri.

Malaysia hari ini menjadi contoh negara berbilang kaum yang harmoni.  Keadaan ini tidak dapat dicapai tanpa usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh.  Salah satu daripada penyebab utama berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1968 ialah ketidakseimbangan agihan kekayaan antara kaum.

Oleh itu, jelas sekali pemulihan keadaan dan tindakan yang sewajarnya perlu diambil untuk menenangkan situasi ketika itu.  Dalam tahun 1973, Tun Razak telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan tujuan membantu kaum bumiputera mendapat bahagian yang sama rata daripada kekayaan negara.  Ini adalah risiko yang telah dipertimbangkan.  DEB boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku dalam politik negara.  Pada masa itu, penduduk bukan bumiputera belum bersedia untuk menerima perubahan sebegitu.  Tragedi 13 Mei telah meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada semua rakyat Malaysia.  Tun Razak mempunyai masa yang terhad untuk bertindak.  Beliau terpaksa mencari penyelesaian untuk bertahan dengan segera dan beliau berjaya melakukannya.

Tun Razak sedar beliau memerlukan persefahaman dan kerjasama golongan bukan bumiputera untuk melaksanakan DEB dengan sempurna.  Kestabilan politik harus dipastikan terlebih dahulu.  Parti Perikatan berkembang menjadi Barisan Nasional untuk memperluaskan lagi dasar politiknya bagi menangani Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Gerakan, PPP dan lain-lain gabungan parti kecil. 

Sekiranya timbul masalah, unsur subversif akan mengambil kesempatan ekoran situasi tersebut. Komunis masih aktif pada awal tahun 1970-an.  Kerajaan tidak boleh berpuas hati dan tidak boleh membenarkan mana-mana komuniti musnah kerana pengaruh subversif. Apabila negara China memulakan dasar terbuka menjalin persahabatan, Tun Razak mengambil peluang untuk menjalin hubungan diplomatik dengan China.  Malaysia dan China mempunyai dasar politik yang berbeza. Namun, kedua-kedua negara bersetuju untuk bekerjasama.

Tun Razak melawat China dalam tahun 1974 dan disambut mesra oleh Pengerusi Mao Zedong dan Perdana Menteri Chou En-lai.

Perdana Menteri Chou secara peribadi mengadakan majlis makan malam rasmi untuk Tun Razak dan rombongan walaupun beliau sedang sakit kuat.  Selepas Chou mendapat kebenaran daripada doktor, beliau terus keluar dari hospital untuk mengalu-alukan kedatangan Tun Razak. “Saya menanti-nantikan kedatangan Yang Berbahagia. Saya gembira atas kehadiran Yang Berbahagia”, beliau mengalu-alukan Tun Razak. Majlis rasmi itu merupakan majlis terakhir Perdana Menteri Chou yang meninggal dunia beberapa hari sebelum kematian Tun Razak sendiri pada tahun 1976.

Pertemuan Tun Razak dengan Pengerusi Mao juga amat mesra.  Tun Razak meminta pandangan Pengerusi Mao tentang cara mengatasi masalah komunis di Malaysia. Pengerusi Mao berkata, “Anda (kerajaan) adalah sah di sisi undang-undang, mereka (komunis) tidak sah. Mereka tidak akan berani menonjolkan diri. Jika tentera anda tidak mendekati mereka, tiada alasan untuk mereka menyerang anda.  Lama-kelamaan mereka akan hilang.”

Kesan kenyataan Pengerusi Mao ke atas pergerakan komunis Malaysia itu memang tidak dapat dinilai, tetapi sejak itu, pihak komunis akhirnya mencapai kata sepakat dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand dan mengundur diri daripada perang bersenjata.

Pada tahun itu juga, selepas lawatan beliau ke China, Tun Razak mengisytiharkan pilihan raya umum. Kali ini Barisan Nasional mendapat sokongan padu pengundi dan berjaya dengan undian yang cukup memuaskan.

Era baru selepas 13 Mei bermula.  Strategi politik Tun Razak terbukti berkesan dan membawa hasil yang diharapkan. Masalah politik yang lain bagaimanapun masih memerlukan usaha Tun Razak. Pada pandangan umum ketika itu, bangsa Melayu dianggap tidak berkemampuan untuk menangani masalah kewangan. Portfolio kewangan berada di tangan seorang menteri berbangsa Cina sejak kemerdekaan. Ia bukan persoalan bangsa Cina atau Melayu yang patut menjadi Menteri Kewangan.  Kita hanya ingin memperbetulkan anggapan palsu itu dan memberi semangat kepada bangsa Melayu, supaya lebih yakin dengan diri sendiri dalam menguruskan kewangan jika mereka ingin memperbaiki diri mereka dari segi ekonomi.

Dalam tahun 1974, Tun Razak sendiri mengambil alih portfolio kewangan dan menjadi Menteri Kewangan Melayu yang pertama selepas persaraan Tun Tan Siew Sin.  Beliau menguruskannya dengan agak cekap sekali walaupun beliau tidak pernah memperoleh ijazah dalam ekonomi atau kewangan.

Secara umumnya memang terdapat kepercayaan setiap individu mempunyai tiga ciri – peribadi yang dipamerkan, peribadi yang sebenar dan peribadi yang beliau anggap sebagai peribadinya sendiri.  Akan tetapi Tun Razak ialah dirinya yang sebenar.  Selaku seorang ahli politik, beliau lurus dan jujur. Sesetengah pihak menganggap beliau tidak mesra dan tidak dapat mempamerkan perasaan hanya kerana perkara kecil seperti cara beliau berjabat tangan.  Namun keikhlasan dan kemesraan beliau berada dalam diri beliau dan bukan di luar.  Terdapat juga pembantu politik yang merasakan ucapan beliau tidak cukup dramatik dan kurang bersemangat, dan kerana itu mereka telah menyediakan rangka ucapan untuk beliau. Apabila beliau melihatnya beliau akan berkata, “Ini bukan saya,” dan beliau akan merangka semula ucapan tersebut.

Tun Razak bukan seorang yang semata-mata berserah kepada nasib.  Beliau memegang teguh kepada falsafah hidup, “Manusia merancang, Tuhan menentukan.”  Sebagai Timbalan Perdana Menteri paling lama di dunia pada masa itu, 13 tahun – tentu sekali ada di kalangan penyokong beliau yang cuba menghasut beliau.  Akan tetapi beliau kekal setia kepada Tunku, berdiri teguh, tidak beralih arah dan meneruskan kedudukan beliau sebagai orang kedua sehingga Tunku melepaskan jawatan pada tahun 1970 berikutan tragedi 13 Mei.  Tun Razak pernah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada tahun 1959 ketika Tunku Abdul Rahman terpaksa menumpukan perhatian kepada kempen pilihan raya persekutuan yang pertama.  Tun telah menyerahkan semula jawatan tersebut kepada Tunku beberapa bulan kemudian.  Tunku pula mengundurkan diri sehari sebelum anak saudara beliau, Sultan Kedah, menjadi Yang Di-Pertuan Agong pada 22 September 1970. 

Pertimbangan dan hujah yang berfaedah merupakan kualiti kepimpinan yang penting. Selain membentuk dasar yang berkesan, pemimpin yang bagus mesti berkemampuan memimpin mereka yang sesuai menjalankan sesuatu tugas supaya dasar yang diperkenalkan mencapai kejayaan.  Apabila Tun Razak menjadi Perdana Menteri, beliau secara langsung mengambil alih pucuk pimpinan Barisan Nasional dan UMNO.

Salah satu agenda beliau adalah untuk mencari pemimpin yang lebih muda, berkebolehan dan menyediakan mereka untuk masa hadapan.  Antara mereka yang terpilih merupakan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam.  Ketiga-tiga mereka telah membuktikan kecemerlangan mereka walaupun hanya salah seorang daripada mereka yang boleh menjadi pemimpin tertinggi pada sesuatu masa.

Secara kebetulan, Tun Razak juga ialah insan yang cenderung dengan fesyen, terutamanya dengan busjaket.  Beliaulah yang mencadangkan supaya busjaket dipakai ke pejabat dan juga untuk melawat kawasan luar bandar.  Busjaket asalnya digunakan oleh orang Barat untuk memburu.  Namun, ia sungguh sesuai dengan keadaan cuaca di Malaysia.  Sedikit perubahan terhadap pakaian tersebut, sama ada berlengan pendek atau panjang, telah diterima dalam kebanyakan majlis pada siang hari, walaupun ia tidak pernah diterima secara rasmi.  Menteri kabinet dan kakitangan kerajaan dengan cepat mengikuti cara ini.  Orang awam juga mula menyukainya dan ia masih digemari hingga sekarang.

Tun Razak gemar bermain golf, dengan handicap 16 – agak bagus untuk seseorang yang hanya dapat bermain pada hujung minggu.  Selain memberikan ketenangan dan mengurangkan ketegangan, beliau dapat memperoleh komen tentang dasar dan prestasi kerajaan daripada teman-teman golf beliau. Malah, untuk memperkenalkan Bukit Fraser, beliau sering membawa sekumpulan teman untuk bermain golf di situ setiap kali beliau ke sana dalam lawatan rasmi.  Anak-anak beliau juga, lebih-lebih lagi Dato’ Sri Najib amat berminat dan mahir bermain golf.

Dengan bantuan Tun Rahah untuk menjaga keadaan di rumah, beliau dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja.  Sebagaimana kata orang Cina, “Semuanya akan menjadi baik jika rumah dalam keadaan harmoni.”  Tun Razak memang mempunyai keluarga yang bahagia.  Mungkin beliau berasa sedikit kecewa kerana tidak mendapat anak perempuan.  Bagaimanapun, beliau mempunyai lima anak lelaki. Kesemuanya berjaya dalam kerjaya masing-masing.  Penganut Buddha percaya, “Jika seseorang itu banyak membuat jasa baik, generasi seterusnya akan mendapat balasan yang baik.”

Tun Razak sudah meninggal dunia lebih daripada 33 tahun.  Mereka yang bernasib baik telah mengenali Tun Razak dan mereka yang tidak pernah bertemu dengan Tun Razak tetapi mendapat faedah daripada kerja-kerja beliau pula akan sentiasa mengingati Tun Razak.

Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas roh beliau.

Nukilan Y Bhg Tan Sri Dato’ Michael Chen,
dipetik dari buku ‘ Tun Abdul Razak – Potret Dalam Kenangan’

 http://www.yayasantunrazak.org.my

Comments

Popular posts from this blog