KOLEKSI ARTIKEL
..wuduk...
..Ia antara impian yang hampir menjadi kenyataan. Saya berdoa agar ia kekal begitu dan mudah-mudahan ia dimudahkan. Malah saya berharap agar Allah ringankan hati untuk terus mengamalkannya.Ya, saya mahu saat-saat akhir kehidupan sentiasa dalam keadaan berwuduk. Alhamdulillah, di sini suasananya begitu. Bila terbatal sahaja wuduk, ia bukan satu keberatan atau kesusahan untuk memperbaharuinya.
Bila begitu, banyak perkara lain akan membantu. Misalnya, Roza sudah lama tidak bermake-up. Ia sudah tidak jadi satu keperluan sebagaimana masa lampau yang telah berlalu. Di antara memperbaharui wuduk dengan bermake-up buat wanita – kadangkala – menjadi satu beban besar.
Jika saya dipanggil mengejut, mudah-mudahan saya pergi dalam keadaan paling bersih di sisi Allah.
Takdir
Saya memahami satu perkara, tidak ada mereka yang terlepas dengan menyatakan, "Ya Allah aku tidak solat kerana Engkau telah menetapkan begitu. Kaulah yang Maha Berkuasa, kenapa tidak gerakkan aku untuk solat?"
Saya juga tahu, bekas staf saya di UiTM Johor tidak boleh menipu Allah dengan menyatakan, "saya tidak solat di masjid UiTM kerana Dr Kamil mengadakan mesyuarat pada ketika azan dilaungkan".
Janganlah berhelah dengan pilihan yang kita lakukan.
Begitulah, ibu-bapalah yang membentuk anaknya menjadi Majusi atau Nasrani. Namun Allah Maha Berkuasa, Dia sudah mengetahui apa pilihan yang dibuat oleh manusia sebelum kita dilahirkan lagi.
Kita? Ia bukan dalam pengetahuan kita!
Allah tidak pernah berlaku zalim terhadap hambaNya. Ia ada aturan dan peraturan tertentu yang perlu dipelajari dan diamati. Jangan kita terkhilaf dalam soal ini.
Ia konsep yang sangat membuntukan kepala. Lalu dinasihatkan kepada kita, "bab ini jangan difikir-fikirkan sangat!".
Tetamu Umrah
Jaga aurat tanda awal umrah atau haji mabrur buat wanita"Jangan banyak ketawa, suka-suka atau terlalu bergurau senda," salah satu pesan saya kepada mereka dan diri sendiri.
"Masa yang telah kita lalui lebih panjang daripada masa yang tinggal. Apa yang telah kita lakukan pada masa lampau? Hampirkah kita kepada Allah?"
Ia kenyataan untuk kita serius dalam melaksanakan ibadat umrah atau haji. Biar kita lakanakan yang terbaik, hati dan perasaan supaya ada perubahan signifikan dalam kehidupan seharian selepas pulang ke Tanah Air. Dan ia bermula di sini.
...8 rAhsiA oRaNg biJaK..
Semua orang didunia ini suka apabila merasakan diri mereka bijak. Ya,
sememangnya manusia adalah makhluk yang bijak kerana mempunyai akal
yang mampu untuk membuat pertimbangan. Akal yang bijak sudah semestinya
lahir daripada otak yang cerdas. Jadi bagaimanakah cara anda menjaga
otak untuk membantu menjadi orang yang lebih bijak?
Mengambil sarapan pagi- Ramai pakar kesihatan menyatakan bahawa sarapan adalah penentu kepada kualiti persembahan anda untuk sepanjang hari tersebut. Ini menunjukkan bahawa pentingnya mengambil sarapan didalam kehidupan seseorang. Seseorang yang tidak mengambil sarapan akan menyebabkan paras gula dalam darah menjadi rendah dan mengurangkan bekalan nutrisi pada otak. Faktor ini akan menyebabkan banyak sel-sel otak akan mati dan akan menjadi kurang aktif.
Elak makan secara berlebihan- Orang yang bijak biasanya amat menitikberatkan terhadap pemakanan mereka. Ini kerana jika seseorang makan secara berlebihan akan menyebabkan banyak darah akan dialirkan pada bahagian usus dan perut untuk tujuan pencernaan. Ini menyebabkan kekurangan darah yang akan sampai ke otak dan akan mengakibatkan seseorang itu malas, mengantuk dan hilang daya fokus.
Elak merokok- Asap rokok sangat merbahaya kerana mempunyai terlalu banyak bahan kimia yang sebenarnya akan merosakkan sel-sel otak anda.
Elak daripada mengambil gula secara berlebihan- Pengambilan gula yang berlebihan akan mengganggu penyerapan protein dan nutrisi. Ia juga akan mengganggu perkembangan otak anda yang akan menyebabkan anda menjadi seorang yang kurang bijak.
Hidu udara yang bersih- Otak merupakan pengguna oksigen terbesar dalam sistem badan manusia. Menghidu udara yang segar akan membantu untuk mencerdaskan lagi otak serta membaiki sel-sel otak yang rosak.
Tidur secara berlebihan- Tidak dinafikan tidur adalah cara terbaik untuk merehatkan otak seseorang. Tetapi sekiranya ia dilakukan secara berlebihan, ia akan menyebabkan otak menjadi kurang aktif dan secara tidak langsung akan melemahkan daya berfikir seseorang.
Tidur dengan menutup muka- Tidur dalam keadaan meniarap atau mencekup muka dengan bantal, buku, lengan atau sebagainya akan menyebabkan gas karbon oksida terperangkan dan akan dihidu semula. Ini akan menyebabkan otak kekurangan oksigen serta merosakkan sel-sel otak seseorang.
Kurang berimaginasi/berfikir- Sesuatu barangan yang jarang digunakan sudah pasti akan mempengaruhi tahap persembahan sebenar yang mampu dilakukan. Begitu juga dengan otak, sekiranya ia jarang untuk diasah ataupun dilatih, ia akan menyebabkan pemikiran seseorang itu menjadi tumpul dan mereka akan menjadi kurang bijak.
...MenCaRi peNawaR dUka PenguBat seNgsara...
Apabila insan terjatuh dalam ujian hidup; kesusahan, keperitan,
kezaliman, keresahan, kesedihan dan segala rupa paras penderitaan, insan
akan bertanya, apakah penawarnya? Di manakah jalan keluar dari segala
kegelapan ini? Bagaimana mungkin dapat aku buang derita yang bersarang
dalam jiwa dan peristiwa? Dapatkah aku keluar dari kemelut ini?
Sebahagian ujian itu, jika diukur dengan akal insani, seakan tiada lagi baginya jalan keluar. Warna kegelapan kadang-kala merangkumi segala penjuru, hanya Allah sahaja yang mampu mengeluarkan insan dari keadaan yang sedemikian. Kadang-kala pula insan terpaksa berhadapan dengan realiti yang amat pahit, tidak mampu ditolak oleh dirinya yang kerdil. Namun, insan yang beriman yakin bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh menukar segala keadaan.
Menggantikannya dengan lebih baik yang tidak disangka. Memindahkan duka kepada bahagia dalam pelbagai rupa dan warna.
Persoalannya, bagaimanakah caranya agar Allah Yang Agung melimpahkan rahmatNya lalu menurunkan pertolonganNya. Ya, memang insan disuruh berdoa dan merintih kepadaNya. Namun apakah caranya agar mustajab lalu Allah membawanya keluar dari daerah duka kepada daerah sejahtera atau bahagia? Apakah ungkapan yang meredhakan Tuhan al-Rahman yang menjadikanNya dengan pantas mendengar rintihan insan?
Insan perlu sedar, antara penghalang rahmat Tuhan kepadanya adalah dosa dan kesalahannya. Dan, setiap insan pula tidak terlepas dari salah dan dosa. Sehebat mana pun, sealim mana pun dia, insan tetap insan, terdedah kepada dosa. Jika tidak anggotanya, mungkin dosa jiwa atau hati nurani yang sombong dan bongkak, atau hasad atau sangka buruk dan pelbagai lagi.
Percikan dosa sentiasa ada. Ia penghalang cahaya indah syahdu antara nurani insan mendampingi Allah untuk menjadi kekasihNya. Maka, doa sentiasa diganggu oleh dosa. Apakah penawar yang menerangi jalan agar doa itu sampai kepada insan dengan pantas dan mustajab?
Jawapannya ialah taubat dan 'istighfar' iaitu kembalikan kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya. Dengan jujur, dengan luhur, dengan kusyuk. Itulah penawar yang akan membuka kebahagian hidup. Itulah janjiNya: (maksudnya)
"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubat kepadaNya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia)..." (Surah Hud: 3)
Janji Yang Pasti
Setiap kita pernah melalui duka dan sengsara. Kita mencuba perbagai ungkapan dan doa agar Allah mendengar rintihan kita. Ya, doa itu senjata. Namun, di sana ada satu pemohonan yang jika dibuat oleh insan dengan keikhlasan jiwa, pengharapan dari lubuk jantung hatinya maka Allah akan mendatang pelbagai kebaikan lain kepadanya. Dikeluarkan dari kesempitan hidup, diberi kurnia rezeki dan anak, kebahagiaan jiwa dan ditambah kekuatan dan pertolongan.Inilah janjiNya dalam al-Quran.
Bukan janji yang diadakan oleh sesetengah buku doa, atau bicara tokoh-tokoh agama yang kadang-kala mengada-adakan pelbagai doa 'sendirian berhad' mereka yang entah dari mana dikutipnya. Tidak! Ini adalah jaminan langsung dari Allah dalam kitabNya.
Apakah pemohonan itu? Pemohonan ialah doa agar Allah S.W.T mengampuni dosa. Apabila ia dilafazkan dengan ikhlas dan jujur. Sebanyak-banyaknya. Dengan kekerdilan diri, tunduk dan insaf, maka keajaiban pertolongan Allah pun akan datang dalam pelbagai rupa dan cara. Inilah janji dalam banyak ayat dalam al-Quran.
Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya: (maksudnya)"Sehingga aku berkata (kepada mereka):
"Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai" (Surah Nuh: 9-12).
Pelbagai Kurnia
Inilah janji Allah kepada yang berikan kepada sesiapa yang beristighfar dengan ikhlas. Atas lisan Nabi Nuh a.s. Allah berjanji untuk menurunkan hujan rahmatNya, dibanyak rezeki dan anak, diberikan harta yang berharga dan subur. Maka, yang beristighfar dengan penuh ikhlas sebanyaknya, akan menikmati peruntukan ini.
Kekurangan hujan, harta, anak, kesuburan dan segalanya penawarnya ialah 'istighfar'.Dalam Miskat al-Masabih ketika membahaskan hadis istighfar, diriwayatkan seseorang datang kepada al-Imam Hasan al-Basri r.a mengadu tanahnya tidak subur, lalu jawab Hasan al-Basri: Beristighfarlah.
Datang yang lain mengadu kemiskinan, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang yang lain minta doa agar direzekikan seorang anak, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang pula yang lain mengadu kebunnya kekeringan, jawab beliau: Beristighfarlah. Lalu ditanya Hasan al-Basri mengapa jawapannya semua sama bagi soalan yang berbeza. Katanya "Ini bukan pendapatku, inilah yang Nabi Nuh a.s sebut" –lalu beliau membaca ayat di atas.
Mengelakkan Bala
Allah juga menjamin bahawa Dia tidak akan mengazabkan insan di dunia ataupun di akhirat kita insan itu benar-benar beristighfar kepadaNya. Hambatan dan ketakutan terhadap dosa dapat dibentengi oleh istighfar yang ikhlas. Inilah janji Allah. Dia Maha Benar.
Firman Allah: "Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau (wahai Muhammad) ada antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar" (Surah al-Anfal: 33).
Inilah janji Allah. Dalam ayat ini; kewujudan Nabi s.a.w dan kewujudan istighfar menghalang azab Allah. Adapun Nabi s.a.w baginda sudah tiada dalam kalangan kita, namun istighfar terus ada jika kita mengamalkannya.
Wahai jiwa yang dihambat dosa! Beristighfarlah sebanyak-banyaknya nescaya diselamat dari bala dosa. Wahai yang takut ditimpa bala! beristighfarlah.
Ditambah Kekuatan
Gelora hidup kadang-kala amat menakutkan. Ia memukul insan dari sudut yang diduga dan tidak diduga. Jika hanya bergantung kepada kekuatan diri semata, insan akan terkorban dan tidak akan berdaya.
Ganasnya lautan hidup hanya dapat dihadapi dengan kekuatan kurniaan Allah.
Firman Allah: "(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia ada)". (Surah Hud: 52).
Dengan tambahan kekuatan dari Allah dan bantuanNya insan merasai kekuatan dalam menelusuri permusafiran di dunia yang fana ini.
Maka membanyakkan istighfar adalah penawar hidup. Betapa banyak kisah insan-insan yang Allah berikan pelbagai kurnia disebabkan mereka membanyakkan istighfar. Betapa banyak hamba-hamba Allah yang diselamatkan dari pelbagai kesusahan, diberikan ketenteraman jiwa dan pelbagai pertolongan berkat keikhlasan istighfar mereka.
Setiap insan yang beristighfar dengan ikhlas sebanyak-banyaknya pada sesuatu hari akan merasai kesyahduan ruhnya. Allah akan membuka ufuk akalnya. Dia akan alami kekudusan jiwa, kesegaran minda dan merasai perdampingan dengan Allah.Tapi syaratnya, hendaklah istighfar yang ikhlas. Bukan yang hanya 'berlagu' di mulut tapi kontang jiwanya dalam mengharapkan keampunan Allah.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) menceritakan bahawa bagaimana beliau apabila menghadapi masalah, beliau akan beristighfar sehingga seribu kali atau lebih, di mana sahaja beliau berada; di masjid, di pasar, di pusat pengajian sehinggalah beliau dapati Allah lapangkan dadanya dan tunaikan hajatnya. (lihat: Ibn 'Abd al-Hadi, al-'Uqud al-Durriyah, 21. Beirut: Dar al-Kitab al-'Arabi).
Marilah kita banyakkan istighfar, ia adalah penawar. Istighfar adalah penyembuh derita jiwa seorang hamba. Ia membawa kurnia Allah yang disangka dan tidak disangka. Maka datanglah rezeki, kebahagiaan dan pertolongan. Hiasilah kepahitan hidup dengan istighfar, nescaya kita akan merasai kemanisan dan kelazatan berada di persada alam yang sementara ini.
...MenConTohi KerAjiNan SeMut....
Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah Tuhan semesta alam. Tuhan
yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah
dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan. Dari segala dosa dan
noda yang telah kami lakukan.
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam ke atas baginda s.a.w. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.
Kerajinan, daya usaha yang tinggi serta kegigihan adalah suatu frasa yang hampir sama ertinya. Namun berapa ramai daripada kita yang menghayati erti sebenarnya sebagai suatu aspek utama untuk mengorak kejayaan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan?
Berapa ramai dari kita yang menjadikan elemen rajin sebagai suatu unsur yang mesti ada dalam diri?. Terciptanya manusia sebagai khalifah dimuka bumi Allah ini adalah bukti kesempurnaan kejadian manusia. Jika kita bandingkan diri kita semua dengan makhluk lain seperti haiwan dan tumbuhan, sudah tentu terdetik rasa bertuahnya diciptakan sebagai manusia yang sempurna tubuh, akal fikiran dan anggota lainnya. Jika kita bandingkan diri kita dengan makhluk Allah bernama semut, pasti ada terlintas di fikiran bahawa semut adalah makhluk kecil yang lemah berbanding kita semua.
Semut adalah serangga bersaiz kecil dan halus tubuh badannya. Kekurangan tersebut langsung tidak mendukacitakan sang semut kerana mereka hidup dalam suatu komuniti yang besar, bersatu padu dan saling bekerjasama. Kegigihan sang semut sememangnya mengatasi manusia dan ini seharusnya menjadi pedoman dan pengajaran buat insan yang berfikir. Lihatlah bagaimana mereka meguruskan kehidupan harian dengan begitu rajin. Jika mencari makanan, mereka akan meredah segala pelusuk yang menempatkan makanan meskipun lokasinya amat jauh dari sarang.
Cubalah anda menyelusuri seekor semut dari saat dia keluar untuk mencari makanan hinggalah pulang ke sarangnya. Pasti anda akan mendapati kesungguhan yang luar biasa dan tanpa putus asa yang ada pada sang semut. Kata seorang sarjana Barat, Henry W. Beecher, "Satu jam yang tekun dan insentif, adalah jauh lebih baik dan menguntungkan daripada mimpi dan termenung yang bertahun lamanya." Komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh sang semut selari dengan tuntutan Islam yang menyeru umatnya agar sentiasa bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Firman Allah s.w.t dalam surah An-Najm bermaksud:
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya." (An-Najm:39)
Dikisahkan Nabi Sulaiman a.s sedang berehat diluar Istana lalu baginda ternampak seekor semut yang sedang merayap di atas seketul batu. Baginda berasa kagum bagaimana semut itu boleh hidup diatas batu-batu yang kering ditengah-tengah padang pasir itu. Disebabkan ingin membantu semut tersebut, baginda menyediakan sebuah rumah kecil dengan bekalan makanan gandum didalamnya. Selepas semut itu bersetuju, maka tingallah ia di dalam di dalam rumah kecil berisi bekalan gandum itu.
Selepas sebulan lamanya, gandum itu hanya tinggal sedikit. Semut tersebut menjelaskan kepada Baginda kenapa ia lebih senang hidup diluar daripada dipelihara. Ini kerana ia bimbang Baginda akan terlupa memberinya makan kerana kebiasaannya jika di luar sana, sang semut akan makan sebiji gandum atas daya usaha dan kerja kerasnya. Tetapi sebaik sahaja Nabi Sulaiman memasukkannya ke dalam rumah tersebut, sang semut menyatakan bahawa ia cuma dapat makan setengah gandum sahaja supaya bekalan itu mencukupi untuk sebulan lagi. Akhirnya Nabi Sulaiman akur bahawa usaha dan ikhtiar yang kuat sang semut dapat menjana kekuatan hidupnya. Benarlah apa yang dikatakan dalam buku Success Acceleration karya Tony Jeary:
"Bersikap optimis dan positif bukanlah hanya suatu tindakan, gimik atau formula ajaib yang perlu dilakukan apabila perlu. Sebaliknya ia adalah sesuatu yang mesti dibangun dan diamalkan sehingga ia menjadi suatu kebiasaan (a nature of response). Justeru mulai saat ini, jadilah seorang yang optimis sepanjang masa."
Sang semut menjalankan tugasnya dengan dua elemen yang penting yang boleh kita contohi iaitu focus dan priority (keutamaan). Sang semut sentiasa fokus iaitu memberi tumpuan kepada kawasan sumber makanan lalu melaksanakannya dengan ikhtiar yang tinngi untuk mendapatkan makanan tersebut. Prioroti sang semut pula menekankan kepada kesesuaian kawasan sumber makanan untuk mereka perolehi. Sebaik sahaja sang semut mengenalpasti kawasan yang ingin dituju, maka segerombolan semut akan melakukan operasi mencari makanan tersebut. Mereka melakukan dengan penuh kesungguhan sehingga berjaya. Kerana sikap itulah, sang semut jarang sekali atau mungkin tidak pernah pulang ke sarang dengan tangan kosong!. Hakikat ini disokong oleh Presiden Indonesia pertama, Sukarno ada menyatakan, "Orang yang rajin lebih berharaga daripada seorang raja". Wallahua'lam.
...ImaN itU MaNis....
Kelazatan iman (Halawatul Iman) tidak boleh dirasai jika kita tidak
memulakan langkah untuk memahami hikmat di sebalik setiap apa yang kita
lakukan, mengapa dan bagaimana kita lakukannya.
Kesedaran diri adalah kata awalan terhadap setiap amalan yang kita lakukan.
Kesedaran diri adalah kata awalan terhadap setiap amalan yang kita lakukan.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
"Ada tiga hal, yang jika tiga hal itu ada pada seseorang, maka dia akan berasakan manisnya iman. (Iaitu) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah; benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkan darinya, seperti bencinya jika dicampakkan ke dalam api." (Muttafaq alaih)
Anas berkata,
"Aku melayani Rasulullah SAW selama sepuluh tahun, Baginda tidak pernah memukulku, tidak pernah mencelaku dan tidak pernah bermuka masam di hadapanku. Rasulullah SAW mendoakan Anas dikurnia harta dan anak yang ramai dan doa Baginda dikabulkan Allah."
Makna hadis ini, ada tiga sifat yang jika ada pada seseorang maka orang itu akan berasakan manisnya iman. Manisnya iman adalah rasa nikmat ketika melakukan ketaatan kepada Allah, ketenangan jiwa, kesenangan hati dan lapangnya dada.
Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata,
"Syaikh Abu Muhammad bin Abu Hamzah berkata:
Pengungkapan dengan lafaz 'manis' kerana Allah mengumpamakan iman seperti pohon, seperti di dalam firman-Nya bermaksud:
"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik." (Surah Ibrahim, ayat 24)
Kalimat yang baik adalah kalimat ikhlas, kalimat tauhid, sedangkan pohon adalah pokok daripada keimanan, cabangnya adalah menjalankan perintah dan menjauhi larangan,daun-daunnya adalah segala amal kebaikan yang harus diperhatikan seorang mukmin,dan buahnya adalah segala macam bentuk ketaatan.
Manisnya buah ketika buah sudah matang,dan puncak daripada rasa manis itu adalah apabila buah telah benar-benar masak. Maka ketika itulah akan terasa manisnya buah itu.Mencintai Allah mestilah melebihi cintanya kepada orang lain seperti orang tua, anak, diri sendiri dan sesiapa saja yang dekat dengan kita. Beriman kepada Allah memiliki rasa manis yang tidak mungkin dinikmati, kecuali oleh orang yang beriman dengan sebenar-benar keimanan, penuh keikhlasan dan ilmu.
Oleh kerana itu, tidak semua orang yang mengatakan dirinya Muslim atau mukmin secara automatik dapat berasakan manisnya iman. Iman bukan cukup hanya dengan angan-angan, tetapi wajib dimantapkan dalam hati, dikuatkan dengan perkataan dan perbuatan yang dijiwai sepenuh hati. Kata kunci segala permasalahan ini adalah ikhlas.
Mengikut Imam Ibnul Qayyim, antara perbuatan untuk memperoleh kecintaan Allah dan kemanisan iman, selepas melakukan ibadat wajib:
- Membaca al-Quran dengan merenungkan dan memahami maknanya.
- Mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amalan sunat.
- Terus menerus berzikir kepada Allah dalam setiap tindak tanduk kehidupan dengan hati, lisan atau perbuatan.
- Mendahulukan apa yang dicintai Allah daripada apa yang dicintai diri sendiri.
- Berkawan dengan orang yang jujur mencintai Allah dan orang soleh
- Menjauhi segala perkara yang dapat menghalangi pautan hati dengan Allah.
Mencintai Rasulullah SAW yang menyusul selepas mencintai Allah adalah
ciri terpenting yang harus dimiliki sesiapa saja yang ingin berasakan
kelazatan iman. Cinta Allah dan Rasul-Nya adalah kayu ukur bagi
kecintaan terhadap diri sendiri, orang tua, anak dan seluruh manusia.
Suatu ketika Saidina Umar berkata kepada Nabi SAW:
"Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu apa pun, kecuali diriku."
Maka Nabi SAW menjawab, "Bukan begitu, demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sehingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri."
Maka Umar menjawab, "Demi Allah, sesungguhnya engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri."
Maka Nabi SAW menjawab, "Sekarang Umar, (telah sempurna imanmu)."
Anas juga meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, beliau bersabda yang bermaksud:
"Tidak beriman salah seorang di antara kalian, sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tuanya, anaknya dan seluruh manusia."
Mencintai seseorang kerana Allah maksudnya menjaga hubungan kasih sayang antara seorang Muslim dengan saudaranya atas landasan iman kepada Allah SWT dan amal soleh."
Kita mencintai saudara kita bukan kerana keuntungan kebendaan atau harta, kita membencinya atau menjauhinya bukan kerana kemiskinan atau tidak memperoleh manfaat dunia darinya. Ukuran cinta kita kepadanya adalah atas dasar iman dan amal
Saling mencintai kerana Allah mempunyai hak yang harus ditunaikan antaranya membantu memenuhi keperluan saudaranya dan menolong pada saat dia memerlukan bantuan, tidak membuka aib, tidak membenci, tidak iri dan dengki terhadap nikmat yang diberikan Allah kepada saudara kita.
Sentiasa mendoakan saudara kita tanpa pengetahuannya dan mengucapkan salam jika bertemu, bertanya khabar keadaannya, tidak sombong dan tinggi diri. Jalinan seorang Muslim dengan Muslim lain dibangun atas landasan cinta kepada Allah.
Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Baginda mengenai tujuh golongan yang akan dinaungi Allah antaranya:
"Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya."
http://cekgubest.blogspot.co.uk/2012_05_01_archive.html
Comments
Post a Comment