- SELAMAT MELAYARI BLOG INI SEMOGA KITA MEMPEROLEHI MANFAATNYA DAN HARAP DISEBARLUASKAN KEPADA PEMBACA YANG LAIN PULA BERSESUAIAN DENGAN SABDA RASULULLAH S.A.W "SAMPAIKAN DARIPADAKU WALAUPUN DENGAN SATU AYAT"

Tuesday, October 16, 2012









Pereka Bendera Malaysia

.

JOHOR BAHRU: Hasil siasatan yang dijalankan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) selama hampir dua bulan mendapati pencipta Jalur Gemilang adalah bekas arkitek Jabatan Kerja Raya (JKR), Allahyarham Mohamed Hamzah. Penolong Pengarah Bahagian Persuratan Sejarah YWJ, Dzulkarnain Asmawi berkata, maklumat dan dokumen yang ditemui selama ini mampu menyelesaikan beberapa pertikaian mengenai sejarah penciptaan Jalur Gemilang. Beliau berkata, selain lakaran mahupun karya Allahyarham Mohamed yang ditemui berkaitan dengan Jalur Gemilang, pihaknya juga berjaya mengumpul beberapa maklumat penting menerusi laporan surat khabar.

Sesuatu rumusan bukan saja boleh dilakukan berdasarkan dokumen hitam putih, malah bukti-bukti lain yang sesuai dan memadai juga boleh membantu sebarang keputusan dilakukan. Sehingga kini, kami turut berjaya mendapatkan beberapa saksi dan sumber yang terdiri daripada rakan karib serta anak didik Allahyarham bagi menyelesaikan pelbagai kekeliruan mengenai sejarah kewujudan bendera negara kita, katanya. Dzulkarnain berkata, walaupun pada permulaannya, beberapa individu tampil mempertikaikan identiti sebenar pencipta asal Jalur Gemilang, namun pihaknya tidak menafikan bahawa sehingga kini pihaknya hanya menemui bukti yang memihak kepada Allahyarham Mohamed.
.


Beliau berkata, individu yang mempertikaikan jasa Allahyarham berkenaan juga tampak mendiamkan diri berbanding keluarga dan rakan arwah yang memberi kerjasama penuh kepada YWJ mahupun Arkib Negara. Menurutnya, selain hasil penyiasatan daripada dokumen lama yang ditemui di stor JKR dan temubual dengan keluarga serta anak didik Allahyarham, pihaknya juga mengakui buku mata pelajaran Sejarah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Tingkatan Lima menyatakan Allahyarham sebagai insan yang bertanggungjawab mencipta bendera Malaysia. Buku sejarah berkenaan yang digunakan bagi sesi pembelajaran di hampir semua sekolah menengah di seluruh negara mungkin tidak mengandungi fakta-fakta yang salah mengenainya.

Malah, buku berkenaan yang dihasilkan oleh beberapa ahli sejarah terkenal juga berdasarkan rekod dan maklumat sahih yang diperolehi,  katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam. Beliau berkata, bagaimanapun, pihaknya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk membuat pengesahan mahupun pengumuman secara terbuka kepada masyarakat mengenai hasil siasatan berkenaan. Menurutnya, semua pengumuman hanya berhak dilakukan oleh Arkib Negara Malaysia (ANM) mahupun jabatan kerajaan lain yang dipertanggungjawabkan. Kami berharap semua lapisan masyarakat termasuk keluarga mahupun rakan Allahyarham bersabar sementara arkib melakukan sebarang pengesahan atau pengumuman,  katanya.


http://ragamisu.blogspot.co.uk/2009/01/pencipta-bendera-malaysia.html

No comments:

Post a Comment