Pedoman pengsyariatan haji
ALHAMDULILLAH, kita mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana
diberikan peluang oleh-Nya untuk sekali lagi dapat menjejakkan kaki ke
bulan haji. Bagi mereka yang sudah berlepas ke Mekah untuk menunaikan
haji, semoga dapat memperoleh haji mabrur dan dapat mengambil kesempatan
berada di sana untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan dapat
meningkatkan keyakinan terhadap Islam sebagai agama yang benar.
Ibadat haji adalah merupakan salah satu rukun Islam yang lima dan
diwajibkan ke atas umat Islam yang berkemampuan dan memenuhi
syarat-syaratnya untuk mengerjakannya.
Firman Allah SWT: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah
haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu berkuasa
sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar akan kewajipan ibadah
haji itu), maka sesungguhnya Allah maha kaya (berhajatkan sesuatu pun)
daripada sekalian makhluk. (Ali-Imran: 97)
Berdasarkan kepada nas di atas, maka para ulama telah bersepakat
mengenai ibadah haji yang mesti ditunaikan sekali seumur hidup bagi
mereka yang berkemampuan. Seandainya seseorang itu berkemampuan, tetapi
enggan menunaikan ibadah tersebut, maka dia akan mendapat dosa daripada
Allah SWT.
Perlu difahami, bahawa Allah SWT mewajibkan sesuatu ibadah itu kepada
hamba-hambanya kerana ia mempunyai hikmah dan kelebihannya yang
tersendiri. Antara kelebihan ibadah haji ialah sebagai medan untuk
membersihkan diri daripada dosa yang telah dilakukan selama ini, sama
ada sedar atau tidak.
Mereka yang pergi menunaikan haji dengan penuh keimanan dan ketakwaan
kepada Allah SWT, akan mendapat keampunan daripada Allah SWT. Ini
sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW daripada Abu
Hurairah ra: Sesiapa yang mengerjakan haji ke Baitullah dengan tidak
melakukan perkara-perkara keji dan tidak berbuat fasik, maka dia suci
daripada dosa-dosanya, seolah-olah dia kembali pada hari dilahirkan oleh
ibunya. (riwayat Al-Bukhari)
Ibadah haji juga dapat mendidik jiwa dan mentarbiah keperibadian
seseorang Muslim itu agar sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah
SWT. Hakikat ini dapat dilihat dengan pensyariatan beberapa ibadah lain
dalam Islam seperti solat dan puasa.
Begitu juga yang berlaku terhadap ibadah haji, di mana keseluruhan
amalan yang dilaksanakan adalah merupakan proses pentarbiahan terhadap
anggota jasad dalam mentaati perintah Allah SWT.
Pakej pentarbiahan ini bukannya ciptaan manusia, sebaliknya ia
merupakan modul tarbiah yang secara terus dicipta oleh Allah SWT yang
semestinya tidak mempunyai kelemahan.
Sebelum seorang hambanya berniat untuk menunaikan haji, mereka
dibenarkan untuk memakai apa jua pakaian yang menutup aurat. Tetapi
setelah mereka berniat di miqat yang ditentukan, maka hanya pakaian yang
tertentu sahaja yang dibenarkan untuk dipakai.
Begitu jugalah yang berlaku kepada amalan-amalan lain, yang pada
asalnya dihalalkan sebelumnya, tetapi bertukar menjadi haram sewaktu
mula dalam ihram. Contohnya mencabut tumbuh-tumbuhan, menyembelih
binatang, menggunting rambut, menjalin hubungan antara suami dan isteri
dan sebagainya. Bukankah segalanya ini menguji tahap kesabaran seseorang
itu dalam mentaati Allah?
1
2
3
4
5
6
Selain itu, ibadah haji merupakan sebesar-besar peringatan yang
mengingatkan orang-orang Islam tentang sejarah para Nabi yang terdahulu,
terutamanya kisah keluarga Nabi Ibrahim as. Semangat berkorban yang
ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan keluarganya demi memartabatkan agama
Allah SWT sepatutnya tersemai dalam hati sanubari kita apabila berada di
sana.
Di dalam kitab Al-Bidayah Wannihayah jilid pertama, karangan
Imam Al-Hafiz Ibnu Kathir menceritakan detik ketika mana isterinya Hajar
ditinggalkan dan dibiarkan berada di lembah tersebut lantas ia berkata
kepada suaminya: "Allahkah yang memerintahkan kamu untuk berbuat
demikian? Jawab Ibrahim: Ya, lalu isterinya berkata: Oleh itu Allah SWT
tidak akan mensia-siakan kami." Lihatlah, betapa agungnya pengorbanan
yang dilakukan oleh mereka.
Antara hikmah lain, ibadah haji merupakan perhimpunan umat Islam dari
seluruh dunia. Mereka berhimpun tanpa mengira warna kulit, kedudukan,
pangkat dan sebagainya. Mereka berzikir dengan ungkapan dan bahasa yang
serupa. Laungan takbir, tahlil dan tahmid meniti di bibir mereka. Oleh
kerana ajaran Islam tertegak atas dasar kasih sayang sesama umatnya,
maka syariat seumpama ini diwujudkan.
Justeru, sudah tiba masanya untuk kita melakukan sesuatu supaya
beroleh keampunan dan rahmat daripada Allah SWT. Terlalu banyak nikmat
yang dianugerahkan kepada kita, lantas mengajak agar kita bersyukur
kepadanya. Ramadan telah pun berlalu, kini menjelang pula program haji
yang penuh dengan beberapa pengajaran dan teladan yang perlu diselami.
Jikalau dahulu para Nabi dan Rasul teguh dalam melaksanakan misi dan
amanah yang diberikan kepada mereka tanpa banyak bicara, maka marilah
kita bermuhasabah kembali setakat mana amanah yang telah diberikan dalam
syarikat, keluarga dan masyarakat dapat dipikul dengan sebaiknya.
Pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim as dan anaknya Ismail
as sudah cukup menjadi bukti tentang kesabaran dan ketakwaan mereka
berdua. Bagaimana pula kita? Apakah pengorbanan yang telah kita curahkan
untuk meraih saham di akhirat? Sudahkah kita bersedia untuk bertemu
dengan Allah yang Maha Esa? Sebanyak manakah amalan yang telah kita
himpunkan untuk mendapat reda daripada-Nya?
Marilah kita renungkan bersama. Semoga pengsyariatan ibadah haji ini
akan memberikan banyak faedah kepada kita sebagaimana firman Allah SWT
yang bermaksud: Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka. (al-Hajj: 28)
artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121024/ba_01/Pedoman-pengsyariatan-haji#ixzz2AE2uuK6m
© Utusan Melayu (M) Bhd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Comments
Post a Comment