Lelaki Melayu tidak romantik?
LELAKI Melayu tidak romantik? Pasti ada yang bersetuju dan
sebaliknya. Persoalan ini bukan baru. Ketika pekerja asing terutama dari
Bangladesh dan Pakistan berduyun-duyun masuk ke Malaysia, isu ini
hangat diperkatakan.
Khabarnya gadis tempatan berpinar mata untuk membuat pilihan.
Selain kelihatan segak, bergaya - lelaki asing dikatakan ada faktor
ekstra iaitu romantik. Tidak kurang juga memilih lelaki dari negara
sempadan. Sampai sanggup buang emak, buang saudara semata-mata mahu
mengikat kasih dengan lelaki bukan Melayu.
Bagaimanapun pula lelaki bukan Melayu tempatan. Lelaki berbangsa
Cina, India? Romantikkah mereka berbanding kaum sejenis tetapi
berketurunan Melayu?
Bertambahkah angka perkahwinan campur antara gadis Melayu dan lelaki
bukan Melayu? Jika meningkat mungkin boleh dijadikan fakta sokongan
bahawa lelaki bukan Melayu memang romantik. Sebab itu agaknya mereka
berjaya menambat hati gadis Melayu.
Istilah romantik pun bukan lahir dalam masyarakat Melayu. Ia istilah
bahasa Inggeris, yang jika dirujuk kepada kamus diterjemahkan menjadi
romantis. Tidak ada penjelasan lanjut perihal romantis.
Justeru romantik atau romantis itu sifat sebenarnya sangat subjektif.
Boleh jadi ia gabungan sifat penyayang dan mengambil berat. Atau ada
elemen membeli jiwa yang keterlaluan - bak kata anak-anak muda sekarang
ini tangkap lentok, tangkap leleh.
Ada juga mengaitkan romantik dengan sikap mengambil berat bagi
perkara yang dianggap oleh lelaki Melayu remeh-temeh. Misalnya sanggup
bangun memberi tempat duduk kepada wanita. Maknanya ada elemen baik hati
dalam romantik.
Lelaki Melayu tidak kisah benda remeh-temeh. Untuk bangun memberi laluan atau tempat duduk sememangnya bukan perkara yang gemar dilakukan oleh lelaki Melayu.
Bukan juga amalan lelaki bukan Melayu tempatan. Justeru jika
dikatakan lelaki Melayu tidak romantik mengambil kira keprihatinan
perkara remeh-temeh, memang ada benarnya. Tetapi bukan lelaki Melayu
saja. Pendek kata semua lelaki tempatan bersifat begitu.
Itu belum lagi disentuh bab mengingati tarikh-tarikh penting seperti
hari jadi, ulang tahun perkahwinan, tarikh bertemu yang bagi wanita atau
gadis sangat penting. Memang bagi wanita semua tarikh penting,
malangnya tidak bagi lelaki
Sebab itu ada lelaki Melayu menghantar sejambak bunga dua hari
sebelum ulang tahun kelahiran isteri atau teman wanitanya. Bila ditanya
untuk apa bunga itu, dia baru tersedar dan memberi alasan kononnya
kejutan pra hari jadi. Itulah lelaki Melayu. Bukan saja tidak romantik,
tetapi golongan itu juga selamba dan dikatakan bijak membuat alasan.
Kesemua itu bertujuan menutup kesalahan dan kelemahan yang amat ketara iaitu tidak romantik.
Ada juga berpendapat, lelaki tempatan terutamanya Melayu romantik
berkala. Ada masa tertentu alahai romantiknya dia. Apabila taufan
melanda, hilang romantik - tanggung sajalah padahnya.
Popular
Bercakap mengenai lelaki warga asing romantik, perlu dilihat juga
sejauh mana benarnya rumusan itu. Lelaki asing menumpang di negara ini.
Semestinya mereka mahu mengambil hati semua orang. Lebih-lebih lagi hati
anak gadis. Kadang-kadang jiwa isteri orang pun cuba dibelinya. Untuk
menjadi popular di negara orang, maka antara yang perlu ditonjolkan
adalah sifat romantik.
Sebab itu apabila hutang karpet tidak dibayar, jawab penjual karpet
warga asing dengan nada romantik : Tidak apa, lain hari saya datang
boleh bayar.
Semestinya romantik itu untuk membeli hati atau dengan ayat yang
lebih tepat mahu jaga kepentingan diri agar diterima masyarakat
setempat. Lebih daripada itu dapat memikat gadis tempatan. Selesai kasih
terjalin dan hubungan dipateri dengan ikatan perkahwinan, romantik ke
mana ambil berat pun melayang nun di sana.
Lebih malang lagi ramai gadis ditinggalkan begitu saja. Umpama habis
madu sepah dibuang. Sifat romantik lelaki dijaja pula ke tempat lain
atau kembali ke negara sendiri. Ketika itu menjelmalah sifat sebenar
lelaki - tidak kira sama ada warga asing, Melayu atau bukan Melayu.
Apa sifat sebenar itu? Sememangnya lelaki Melayu tidak romantik.
Rakan sekerja - lelaki - membuat pengakuan jujur bahawa lelaki memang
tidak romantik. Sempat dan selamba dia menambah: Bukan saja tidak
romantik, lelaki boleh saja dikatakan gatal!
Tidak ada rasa bersalah sedikit pun lelaki itu membuat pengakuan.
Jika lelaki sendiri mengaku sedemikian, maka apa lagi yang boleh
dirumuskan oleh wanita. Tidak kira tempatan atau asing - itulah lelaki.
Paling ketara, lelaki tidak suka perkara remeh-temeh. Apa saja berkaitan
remeh-temeh diserahkan kepada wanita.
Lelaki tidak betah melakukan perkara kecil-kecil, lantas wanita
diberi tugas sedemikian. Sedangkan bagi wanita tiada benda di dunia ini
remeh-temeh. Semuanya penting dan mesti diberi keutamaan. Sebab itu
wanita mampu mengingati tarikh, sering mengalah dan sarat dengan
kemaafan.
Biarpun lelaki mendabik dada bersikap sama rata dan menghormati
wanita, namun dalam kebanyakan hal tidak begitu. Lelaki masih
berselindung di sebalik ego dan bertindak secara tersurat tidak
membenarkan wanita menandingi mereka.
romantik
Lelaki juga terlalu mengutamakan ego, jauh menidakkan lagi kenyataan
kononnya golongan itu romantik. Lantaran ego juga adakalanya lelaki
tidak kisah kehilangan atau melepaskan miliknya. Lantaran ego itu juga
adakalanya lelaki menggantung pasangan hidupnya.
Tuhan mengatur lelaki dan wanita berpasangan, tetapi Tuhan tidak
menetapkan lelaki itu lebih mulia dari wanita semata-mata sehingga
melayakkan mereka mengetepikan hak wanita itu sendiri.
Biar tidak romantik, lelaki sepatutnya ada rasa hormat terhadap
wanita. Wanita bukan tempat dilontarkan kata-kata yang sarat dengan
maksud berlapik. Lantaran lelaki mesti ingat, dalam hidup mereka ada
ibu yang melahirkan mereka ke dunia - ibu itu ialah wanita. Justeru
romantik bukan kriteria penting untuk wanita memilih lelaki, ada yang
lebih daripada itu - sikap menghormati.
Comments
Post a Comment