- SELAMAT MELAYARI BLOG INI SEMOGA KITA MEMPEROLEHI MANFAATNYA DAN HARAP DISEBARLUASKAN KEPADA PEMBACA YANG LAIN PULA BERSESUAIAN DENGAN SABDA RASULULLAH S.A.W "SAMPAIKAN DARIPADAKU WALAUPUN DENGAN SATU AYAT"

Tuesday, October 23, 2012







JPA bertindak 'kejam' kepada PDRM - Ahli Parlimen

22 Oktober 2012
Polis

KUALA LUMPUR - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini ditegur kerana didakwa tidak berlaku adil terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung soal gaji dan kebajikan anggota penguat kuasa itu.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) berkata pihak pasukan polis memohon kepada JPA supaya memberikan keadilan kepada mereka untuk hak yang sama rata dengan perkhidmatan kerajaan yang lain dan anggota pakaian seragam yang lain.

Katanya malah, permohonan ini telah didengar oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan beliau ketika pembentangan Bajet 2013, baru-baru ini.

"Saya nak bagi contoh, lulusan Diploma, gaji akhirnya RM4,480 (polis), anggota perkhidmatan awam (yang biasa) RM5,730 dan SPRM, gajinya RM6,121.

"Bukan pihak polis marah kepada kedua-dua pasukan itu, cuma sebagai perbandingan, polis memohon keadilan, (dan) JPA tolonglah berlaku adil kepada mereka," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat jawatankuasa, di sini hari ini.

Mohamad juga berkata, jika dilihat negara-negara lain, gaji anggota polis di negara terbabit adalah lebih tinggi berbanding perkhidmatan lain berikutan pengiktirafan yang telah diberikan kepada pasukan penguatkuasa itu.

"Sebagai contoh, gaji Ketua Polis Daerah (OCPD) lebih rendah daripada pengetua sekolah menengah, (sedangkan) pengetua jaga sebuah sekolah manakala OCPD jaga sebuah daerah.

"Jelas di situ bahawa mereka tidak mendapat layanan yang saksama daripada JPA, kenapa JPA sanggup bersifat kejam terhadap polis yang telah berjasa kira-kira 200 tahun kepada negara," katanya.
Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) ketika mencelah berkata berhubung soal penggajian, kakitangan Penjara juga jangan dilupakan kerana mereka didakwa antara kakitangan yang menerima gaji terendah dalam kalangan anggota pasukan seragam yang lain.

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) yang bersetuju dengan cadangan tersebut turut berpendapat kakitangan Penjara telah terpinggir berhubung soal itu dan mempersoalkan tempoh masa yang lama diambil oleh JPA untuk melakukan kajian berhubung soal gaji.

"Apa agaknya JPA terlalu lambat, bertahun-tahun, (kadangkala) empat hingga lima tahun baru boleh selesai," katanya.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pula berkata, JPA ditegur berikutan jabatan itu bertanggungjawab dalam soal penggajian perkhidmatan awam dan mahu gaji polis ditentukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Polis.

"Jadi biar suruhanjaya ini menentukan gaji polis, diserahkan kepada Kabinet dan Kabinet buat keputusan," katanya. - Bernama

sidang parlimen


 

No comments:

Post a Comment