MENTAATI PEMERINTAH/PEMIMPIN



http://an-nawawi.blogspot.com
Pada era ini, banyak sekali wujud kelompok-kelompok kecil yang mendakwakan diri sebagai pejuang Islam yang sebenar. Yang mana, setiap satunya mendakwakan bahawa kelompok merekalah yang benar dalam perjuangan menegakkan agama yang suci ini (Islam).

Namun, amat dikesalkan apabila kebanyakan daripada kelompk-kelompok ini bertindak meninggalkan golongan pemerintah dan pemimpin mereka. Pemerintah dan pemimpin di sini adalah difokuskan kepada pemerintah/pentadbir sesebuah negara.

Kelompok-kelompok ini sering melakukan banyak tindakan tertentu yang mana pada hakikatnya tidak wajar dilakukan oleh mereka yang mencintai Islam yang haq yang berada di atas manhaj/jalan kebenaran. Kebanyakan mereka meninggalkan tuntutan dan suruhan Allah serta Rasulullah dalam urusan mentaati pemerintah dan penguasa. Mereka meninggalkan hal urusan menasihati pemerintah/pemimpin melalui jalan yang ma’ruf. Mereka bertindak menjauhi para penguasa negara, lalu membiarkan para penguasa berada dalam keadaan terumbang-ambing dan jahil dalam informasi/hal-ehwal agama. Malah lebih teruk/malang lagi apabila mereka menjadi kelompok yang begitu kuat dan lantang dalam hal menetang pemerintah. Yang mana sehingga mereka sanggup memburuk-burukkan organisasi pentabiran negara mereka sendiri, dan bertindak menyebarkan ‘aib pemerintahan negara kepada khalayak ramai/rakyat. Yang mana, sebenarnya tindakan seperti ini hanya akan mendatangkan natijah/akibat yang lebih buruk lagi apabila kesalahan/kelompangan kerajaan didedahkan kepada khalayak umum. Ia akan menjadikan pelbagai pihak dari kalangan musuh-musuh Islam/negara tertentu akan mengambil peluang/kesempatan untuk mengganggu gugat urusan negara lalu menjadikan negara mengalami banyak ancaman dan kesukaran dalam banyak skop. Lalu akan menimbulkan lebih banyak lagi krisis yang buruk dalam hal-ehwal pemerintahan.

Sebenarnya, rasa tidak puas hati terhadap pemerintahan sesebuah kepimpinan dalam sesebuah negara hanya akan menghilangkan keyakinan terhadap pemerintah itu sendiri. Sedangkan jika diteliti dan dicermati dengan neraca as-Sunnah, hal mentaati pemerintah hendaklah dengan penuh keikhlasan, hikmah, dan bijaksana, dan bukanlah kerana ada tujuan atau ada niat sesuatu yang lain, apatah lagi dengan melakukan tindakan-tindakan tertentu yang kebanyakannya bertunjangkan emosi/kemarahan sebagai dasar. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Tiga golongan yang tidak diajak berbicara oleh Allah pada Hari Kiamat dan tidak dilihatnya serta tidak diakuinya, bahkan bagi mereka siksa yang sangat pedih iaitu:

Pertama: Seseorang yang mempunyai air melimpah di tengah padang pasir dan tidak mahu memberi minum kepada seorang ibnu sabil yang kehausan.

Kedua: Seseorang menjual jualannya kepada orang lain setelah waktu Asar, kemudian bersumpah dengan nama Allah dan mengatakan bahawa dia pasti akan mengambilnya dengan harga sekian. Lalu dia (pembeli) percaya sahaja, padahal kenyataannya tidaklah demikian.

Ketiga: seseorang membuat janji setia kepada pemimpin kerana tujuan duniawi semata, bila diberi sesuatu dia menepati janji setianya, tetapi jika tidak diberi, maka dia pun ingkar (mengkhianati) pada janji setianya (kerana tidak puas hati)”. (Hadis Riwayat Bukhari, 13/201 dan Muslim, 1/103)

Dalam setiap pemerintahan, termasuk pemerintahan Islam pasti ada pengkhianat dan musuh, sama ada musuh dari dalam atau dari luar. Adapun musuh dari dalam adalah musuh dalam selimut, iaitu mereka yang didalangi oleh golongan pengkhianat dan pemberontak. Golongan seperti ini terkenal dengan sikap mereka yang sentiasa berusaha mencari ruang untuk memenuhi kepentingan kumpulannya walaupun boleh menghancurkan agama, negara dan ummah demi mencapai tujuan yang tidak sewajarnya iaitu menjatuhkan pemerintah dan pemimpin Islam.

Menentang musuh-musuh Islam adalah wajib, cara yang efisien ialah melalui rakyat yang mencintai pemimpin mereka. Namun, rakyat tidak mungkin taat, menghormati, mencintai, bekerjasama dan melindungi pemimpin Islam kecuali ditarbiyah oleh para ulama melalui manhaj dan bimbingan yang sempurna, iaitu menasihati rakyat dengan al-Quran, al-Hadis, atsar para sahabat, fatwa-fatwa para ulama terdahulu serta melalui nasihat para ulama muktabar yang banyak terdapat di dalam kitab-kitab turath/terdahulu/terawal.

Menurut ahlus sunnah wal-Jama’ah umat Islam sentiasa diwajibkan bersatu dan sentiasa komitmen dan komited mematuhi kepimpinan seorang pemimpin (penguasa) Islam. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Barangsiapa melepaskan ketaatan dari pemimpin, dia akan berjumpa dengan Allah pada hari kiamat tanpa mempunyai hujjah (alasan)”. (Hadis Riwayat Muslim. Kitabul Imarah, syarah Nawawi 12/240)

Tiap-Tiap orang yang berkhidmat akan diberi bendera pada hari kiamat, lalu dikatakan padanya bahawa inilah pengkhianatan si Fulan (terhadap pemimpin)”. (H/R Muslim dan Turmizi)

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah:

“Dalam hadis ini ada kewajipan untuk taat kepada penguasa atau pemimpin yang telah diangkat, dan dilarang memberontak kepadanya walaupun dia zalim serta sewenang-wenangnya dalam melaksanakan ketetapan hukum, kerana kefasikan pemimpin bukan sesuatu yang membolehkan untuk memberontak kepadanya”. (Fathul Bari jld. 13 hlm. 68)

Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:

“Taat kepada Allah dan Rasul-Nya wajib bagi setiap Muslim, taat kepada penguasa merupakan penguat ketaatan kepada Allah. Barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasulnya dengan menjalankan ketaatan kepada penguasanya, pahalanya dijamin oleh Allah. Tetapi kalau taat kepada penguasa dalam hal-hal yang menguntungkan sahaja, bila diberi hal yang memenuhi kepentingannya ia taat dan sebaliknnya jika tidak diberi dia tidak akan taat, orang yang seperti itu pada hari akhirat tidak punya bahagian (pahala)”. (Majmu’ al-Fatawa. 35/16-17. Ibnu Taimiyah)

Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengajar umatnya agar sentiasa memuliakan penguasa, pemerintah atau pemimpin. Baginda bersabda:

“Barangsiapa yang memuliakan penguasa (kerana) Allah (di atas bumi), maka Allah akan memuliakannya pada Hari Kiamat”. (Hadis Riwayat Ibnu Abi Asim dalam as-Sunnah. Hlm. 275)

Imam Abul Wafa Ibnu Aqil al-Hambali pernah dikutuk (dicela) kerana mencium tangan penguasa (pemimpin) ketika bersalaman. Kemudian beliau menjelaskan mengapa beliau berbuat demikian:

“Bagaimana pendapatmu bila aku bersalaman dengan ayahku kemudian aku mencium tangannya, apakah yang demikian itu salah ataukah menjatuhkan kedudukannya? Mereka menjawab tidak salah! Beliau berkata lagi: Seseorang ayah telah mendidik anaknya secara khusus sedangkan penguasa telah mendidik rakyat secara umum, maka dia lebih berhak untuk dihormati”. (Badi’ul Fawaid. Ibnu Qaiyim)

Pendirian dan sikap Ahli Sunnah wal-Jamaah yang sebenar menyatakan wajibnya taat kepada pemimpin, penguasa dan mereka yang menguruskan urusan kaum Muslimin. Haram mengkhianati mereka terutamanya dalam urusan zakat, jihad, memerangai kesesatan dan kekufuran. Wajib bersolat di belakang mereka dan di belakang orang-orang yang menjadi wakilnya di masjid-masjid yang telah disediakan oleh penguasa Islam. Amat keji perbuatan mereka yang menjadi pengacau, seperti menghasut rakyat untuk mengkhianati pemerintah dalam hal-hal yang telah disebutkan di atas.

Malahan, kita sebenarnya sebagai seorang muslim yang sebenar yang mana berdiri di atas manhaj ahlus sunnah wal-Jama’ah, adalah wajib untuk bersama-sama di dalam jam’ah pemerintah samaada di ketika susah, sukar, mahupun senang.

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah memberi peringatan bahawa keluar dari jamaah, kepimpinan atau pemerintah Islam, melakukan penentangan terhadapnya dan bergabung dengan pihak-pihak tertentu bagi tujuan menjatuhkan pemerintah/penguasa adalah suatu bentuk perbuatan yang mengundang pelbagai perpecahan yang mana akan membawa kepada ancaman neraka sebagaimana sabda baginda Rasulullah s.a.w.:

“Ketahuilah, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu dari ahlu kitab telah berpecah belah menjadi 72 golongan. Dan sesungguhnya agama ini (Islam) akan berpecah-belah menjadi 73 golongan, 72 golongan tempatnya di dalam neraka dan satu golongan di dalam syurga, iaitu al-Jama’ah.” (Hadis Riwayat Abu Duad, Ahmad, ad-Darimi, al-Ajury, al-Lalikaiy. Disahihkan oleh al-Hakim, dan disepakati oleh Imam Az-Zhahabi)

Dalam riwayat yang lain disebutkan; “Semua golongan tersebut tempatnya di Neraka kecuali satu (iaitu) yang aku dan para sahabatku meniti di atasnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, dinilai Hasan oleh al-Albani)

Ketika Rasulullah memberitahukan bahawa umat ini akan terpecah menjadi 73 golongan yang kesemuanya di neraka, kecuali satu golongan. Baginda Rasulullah ditanya tentang perihal siapa yang satu itu..., lalu baginda Rasulullah s.a.w. menjawab;

“Mereka adalah orang yang berada di atas ajaran yang sama dengan ajaranku pada hari ini, dan para sahabatku.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Menurut Sheikh Soleh al-Fauzan di dalam Kitab Tauhid-nya (التوحيد للصف الاول العالي), “kebenaran sabda baginda Rasulullah s.a.w. tersebut telah terbukti ketika sebahagian manusia membangunkan aqidah dan manhaj mereka di atas selain kitab Allah dan sunnah yang sahih, iaitu dengan mengambil landasan ilmu kalam (mantiq dan aqal) yang diwarisi daripada falsafah Yunani dan Romawi. Maka atas sebab itulah, terjadinya pelbagai penyimpangan dan perpecahan dalam hal aqidah yang mana seterusnya mengakibatkan pecahnya umat dan retaknya masyarakat Islam kepada pelbagai jenis firqah dan manhaj beragama yang berbeza-beza.”


Oleh itu, marilah kita kembali semula merujuk kepada al-Qur’an dan as-Sunnah dengan method/manhaj yang benar dalam segala urusan kehidupan kita termasuklah dalam hal-ehwal urusan perhubungan terhadap pemerintah/penguasa.

Sabda Rasulullah di dalam hadis yang lain;

“Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah sesat. (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi, berkata al-Tirmizi: “Hadis ini hasan sahih”. Juga diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Darimi dalam kitab Sunan mereka. Demikian juga oleh Ibn Hibban dalam Shahihnya dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dengan menyatakan: “Hadith ini sahih”. Ini dipersetujui oleh al-Imam al-Zahabi (Tahqiq al-Mustadrak, 1/288))

Allah mengharamkan orang-orang yang beriman berpecah dari pemerintahan Islam, kerana pemerintah dianggap sebagai pengikat jamaah Islamiyah. Allah s.w.t. berfirman:

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai”. (Ali Imran 3:103)

Imam Al-Qurtubi rahimahullah telah menafsirkan dalam kitab tafsirnya tentang penafsiran “Tali Allah” dengan “Al-Quran” atau “Jamaah”. (al-Jami’ Li Ahkamil Quran. 4/159. Daarul Qutub) Kemudian beliau menegaskan:

“Sesungguhnya perpecahan hanya akan membawa kepada kehancuran, sedangkan jamaah akan menghantar kepada keselamatan. Semoga Allah merahmati Ibnu Mubarak yang telah menjelaskan: Sesungguhnya jamaah adalah Tali Allah, maka berpegang teguhlah dengannya”. (Al-Jami’ Li Ahkamil Quran. 4/159. Daarul Qutub)

Berkata Ibnu Abi Hatim rahimahullah:

“Ayahku menceritakan kepadaku, Amr bin Ali as-Shairafi telah menceritakan bahawa Abdul Rabbuh bin Bariq al-Hanafi telah menceritakan bahawa Simak bin Al-Walid al-Hanafi berjumpa Ibn Abbas di Madinah lalu berkata kepadanya:

Bagaimana cara menghadapi penguasa (pemerintah) yang telah menzalimi kita, mencela dan merampas sedekah kita, bukankah kita harus mencegah mereka? Ibnu Abbas menjawab: Jangan! Biarkanlah mereka wahai Hanafi! Lalu beliau menambah: Wahai Hanafi! Hendaklah bersama al-Jamaah (pemimpin Islam/penguasa), hendaklah kamu jaga persatuan (jamaah) sebab hancurnya umat dahulu kerana perpecahan (berlepas dari pemimpin atau penguasa), apakah kamu tidak mendengar firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala: Dan berpeganglah kamu kepada tali (agama/jamaah) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai”. (Tafsir Ibnu Abi Hatim 2/455. Tahqiq Dr. Hikmat Basyir Sayuti. (2). Lihat: Ad-Darul Mansur 2/285-286. Darul Fikr)

Imam at-Tabari rahimahullah menafsirkan:

“Sesungguhnya Allah tidak menyukai perpecahan. Dia telah menjelaskan kepadamu, memperingatkan dari berpecah dan melarang dengan tegas”. (Jami’ul Bayan ‘An Ta’wili Ayi al-Quran. 4/322)

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata:

“Tali Allah telah ditafsirkan dengan beberapa tafsiran, antaranya ialah kitab Allah, agama Allah, Islam, ikhlas, perintah Allah, janji Allah, taat kepada-Nya serta taat kepada jamaah (pemerintah)”. (Minhajus Sunnah an-Nabawiyah 5/134 Jamiatul Imam Saudi Arabia)

Ayat al-Quran, hadis-hadis sahih, tafsiran ayat dan fatwa para ulama terdahulu yang dibawakan di atas ini menunjukkan bahawa perpecahan adalah perbuatan yang mungkar dan malah boleh dianggap sebagai bid’ah iaitu perkara yang diada-adakan dalam agama yang mana kebanyakan kelompok yang menyelisihi pemerintah kerapkali berhujjah dengan mengambil slogan atas nama Islam. Bid’ah pula jelas merupakan perbuatan yang mendorong ke arah kesesatan dan pelakunya diancam dengan neraka sebagaimana sabda baginda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

"Berhati-hatilah kamu dengan hal yang baru (yang sengaja diada-adakan) dalam agama, sesungguhnya setiap yang diada-adakan itu adalah bid'ah dan setiap yang bid'ah itu sesat dan setiap yang sesat itu ke neraka". (H/R Ahmad (1653). Turmizi (2600). Abu Daud (3991). As-Sunnan Ibn Majah (42). Dan hadis riwayat Muslim dalam Khutbatul Hajah)

Salah satu punca kehancuran sesuatu umat adalah bermula daripada angkara tidak mentaati pemimpin mereka dan berpecah dari kelompok pemerintah. Ia juga menjadi penyebab kekufuran dan salah satu dari perbuatan bid'ah yang menakutkan kerana pada hakikatnya secara umum “Setiap bid’ah adalah sesat”. (Hadis dari Irbadh bin Sariyah diriwayatkan oleh Muslim dalam “Khutbatul Hajah” dan Turmizi) Dan “Bid'ah merupakan jambatan menuju kekufuran. Kerana bid’ah juga adalah kegemaran Iblis sebagaimana dijelaskan oleh Ibnu Ja'ad rahimahullah:

"Bid'ah itu lebih digemari (dicintai) oleh iblis daripada maksiat, kerana (pelaku) maksiat masih ada menaruh harapan untuk bertaubat dari maksiatnya. Adapun pelaku bid'ah pula tidak dapat diharapkan untuk bertaubat". (Atsar ini diriwayatkan oleh Ibn Ja'ad dalam musnadnya No. 1885)

Menurut Imam As-Syatibi, pada umumnya setiap bid’ah amat buruk dan keji. Selanjutnya beliau berkata:

"Tidaklah diragukan lagi bahawa bid'ah itu terhitung dalam perbuatan maksiat". (الاعتصام Jld. 2. Hlm. 60. As-Syatibi)

Mereka yang berpecah (bercerai-berai), keluar dari pemerintah atau penguasa Islam adalah mengingkari perintah Allah dan Rasul-Nya. Allah mengancam mereka melalui firmanNya:

"Maka awaslah orang-orang yang menyalahi perintahnya (Rasulullah) bahawa mereka akan ditimpakan fitnah atau ditimpa oleh siksa yang pedih". (an-Nur, 24:63)

Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan Taatilah Rasul-(Nya), dan pemimpin antara kamu”. (an-Nisa’ 4:59)

Baginda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam diutus semata-mata untuk ditaati sebagaimana firman Allah:

"Dan tidak Kami utus seorang Rasul melainkan untuk ditaati dengan seizin Allah". (an-Nisa, 4:64)

Julukan mubtadi’ (مُبْتَدِعٌ) "Pelaku, Aktivis atau Pembuat Bid'ah” diberikan kepada sesiapa sahaja yang melakukan bid’ah dengan sedar. Antara bid'ah yang menjadi punca fitnah yang paling besar ialah perbuatan memecah-belahkan jamaah dan kesatuan umat, iaitu dengan mengajak umat meninggalkan ketaatan kepada pemimpin Islam. Rasulullah telah memberi peringatan tentang hal ini dengan sabdanya:

"Barangsiapa yang melihat pada amirnya (pemimpinnya) suatu yang dibencinya hendaklah dia tetap bersabar atasnya. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu keluar dari (mentaati) pemerintahnya walau sejengkal kemudian ia mati dalam keadaan tersebut, maka matinya itu mati dalam keadaan jahiliyah". (Hadis Riwayat Muslim. Lihat: Sunan Abi 'Asim. No. 1101)

"Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam: Sesiapa yang meninggalkan ketaatan kepada (pemerintah Islam) dan meninggalkan jamaah (keluar dari mentaati pemerintah), kemudian ia mati, maka matinya adalah kematian jahiliyah". (مجموع الفتوى jld. 35. Ibn Taimiyah)

Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan dari Suwaid bin Ghaflah, dia berkata:

Umar bin al-Khattab radiallahu ‘anhu berkata kepadaku: Hai Abu Umaiyah! Sesungguhnya saya tidak tahu apakah saya akan berjumpa lagi dengan anda selepas tahun ini. Bila kamu diperintah oleh seorang hamba Habsyi yang terpotong telinganya, maka dengar dan taatilah dia, walaupun dia memukulmu dan bersabarlah. Apabila dia mengharamkan sesuatu kepadamu dan hendak mengurangi agama kamu, maka bersabarlah lalu katakan!: Saya dengar dan saya taat dalam urusan darahku, bukan dalam urusan agamaku. Janganlah kamu berpisah dari jamaah”. (Al-Musannaf 12/544. Lihat: as-Sunnah hlm. 111. Lihat: asy-Syariah hlm. 40 oleh Al-Ajuri. Dan lihat: Al-Amwal 1/76. Ibnu Zanjawiyah)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

"Bertakwalah kamu sekalian kepada Allah, dan telah diwajibkan kepada kamu mendengar dan taat walaupun (dipimpin) oleh seorang hamba Habsyi". (Hadis sahih riwayat Abu Daud)

"Dari Abi Zar radiallahu 'anhu: Sesungguhnya kekasihku (Rasulullah) berwasiat kepadaku agar aku mendengar dan mentaati (pemimpin), sekalipun ia seorang hamba sahya. (Di riwayat yang lain) sekalipun seorang hamba sahya dari Habsyah". (Mutaffaq 'alaihi)

“Sesungguhnya orang yang mendengar lalu taat (kepada pemimpin), dia tidak diminta memberi alasan (di akhirat). Sesungguhnya orang yang mendengar lalu menentang (pemimpinnya), dia tidak mempunyai alasan (di akhirat)”. (As-Sunnah hadis riwayat Abi Asim dan juga dari Adi bin Hatim. Lihat: Musnad Imam Ahmad 4/9. Majmu’uz Zawaid 5/271)

Ibnu Masoud radiallahu ‘anhu dalam khutbahnya menjelaskan:

“Wajib bagi kamu untuk sentiasa taat dan beristiqamah dengan jamaah, kerana itulah tali Allah yang kita diperintahkan untuk berpegang teguh dengannya”. (Muamalatul Hukkam fi-Dhauli al-Kitab was-Sunnah. Cetakan Kelima. 1996M-1417H. Abdus Salam bin Barjis bin Nasir Ali Abdul Karim. Saudi Arabia. Riyad)

Dari Adi Bin Hatim radiallahu ‘anhu: Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Kami tidak menanyakan kepadamu tentang taat kepada pemimpin yang bertaqwa, tetapi tentang orang yang berbuat demikian dan demikian (kezaliman atau melakukan yang keji). Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menjawab: Bertaqwalah kamu kepada Allah dan dengar serta taatlah (kepada pemimpin)”. (Zilalul Jannah fi Takhrijus Sunnah 2/508. al-Albani menyatakan hadis ini adalah hadis yang sahih. Lihat: as-Sunnah Ibnu Abi Asim)

Adapun dalil-dalil dari hadis tentang wajibnya taat kepada pemimpin selain dalil-dalil yang lalu ialah:

“Barangsiapa taat kepada penguasaku maka dia telah taat kepadaku. Barangsiapa yang bermaksiat kepada penguasaku, maka dia telah bermaksiat kepadaku”. (Muttafaq ‘Alaihi. Dari jalur Abu Hurairah. Lihat: al-Muzakkir wat-Tazkir waz-Zikra. Hlm. 42-43. Ibnu Abu Asim)

Imam Bukhari telah mengkhususkan satu bab tentang hadis ini dalam pembahasan al-Ahkam dari kitab sahihnya, iaitu bab firman Allah yang bermaksuad: “Taatilah Allah dan Rasulnya serta Ulil Amri antara kamu”.

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah:

“Di dalam hadis ini disebutkan tentang wajibnya mentaati para pemimpin, tetapi ia terbatas dalam hal-hal yang bukan maksiat”. Dan lafaz dari Muslim:

“Kecuali apabila kamu melihat bahawa pemimpin itu telah kafir secara terang-terangan dengan bukti (kenyataan dalil) dari Allah”. (Sahih Muslim 3/1470)

Taatilah seruan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dalam sabda baginda:

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyeru kami (agar patuh dan taat), maka kami pun membaiatnya, dan baginda meminta dari kami adalah: Agar kami membaiatnya atas dasar mendengar dan taat dalam suka maupun duka, dalam keadaan susah ataupun senang dan dalam keadaan tidak kita sukai atau kita suka serta supaya kita tidak merampas kekuasaan dari ahlinya. Kemudian baginda bersabda: Kecuali kamu melihat kekafiran yang telah nyata oleh kamu dengan pembuktian dari Allah Ta’ala (dalil dari al-Quran yang membuktikan kekafirannya)”. (Syarah Muslim. Kitabul Imarah, bab Wujubu at-Taah al-Umara fi Ghairi Masiyah wa-Tahrimuha fi al-Masiyah. Oleh Imam Nawawi. H/R Muslim)

Para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah mewajibkan taat kepada para pemimpin Islam dan bersatu di bawah kepimpinan mereka selagi mereka tidak menyatakan (mengiklankan) secara terang-terangan kekafirannya di khalayak ramai. Atau selagi tidak ada pembuktian melalui ukuran (penilaian) dari al-Quran atau as-Sunnah yang membuktikan ia telah benar-benar kafir. Dalam hal ini telah berkata Abu Abdillah Ahmad bin Muhammad asy-Syihhy:

“Sesungguhnya akidah kami sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah terhadap hukama (para pemimpin Islam negara) kami, bahawa kita tidak boleh keluar dari ketaatan kepada mereka, walaupun pada mereka terdapat kezaliman, kepalsuan (pembohongan) kefasikan dan tidak berlaku adil. Kami wajib taat selagi mereka tidak mengumumkan secara terang-terangan di khalayak ramai bahawa mereka tidak menghendaki dan tidak menyukai syariat Allah Ta’ala, kami wajib taat selagi mereka tidak kafir terhadap Allah dengan kekafiran yang dapat dibuktikannya dengan jelas melalui petunjuk dari Allah Ta’ala dan dalil dari kitab dan sunnah. Maka jika seandainya mereka berbuat demikian, bolehlah untuk keluar dari ketaatan terhadap mereka denga syarat yang kedua, iaitu kita memiliki kemampuan dan kekuasaan untuk menggulingkan mereka, tanpa mengakibatkan kerosakan yang lebih parah dari yang pertama. Kalau tidak demikian, kami Ahli Sunnah wal-Jamaah bekerjasama dengan pemimpin Islam dengan doa dan nasihat kepada mereka dengan cara hikmah, penuh bijaksana dan nasihat yang baik, tidak dengan revolusi dan pemberontakan”. (Hiwar Hadi Ma’ Ikhwani. Hlm. 30. Abi Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Asy-Syihhy, Cetakan Pertama. 1415H-1995M)

Seterusnya beliau berkata:

“Dan kita taat kepada mereka dalam suka ataupun duka, kecuali dalam kemaksiatan, maka tidak ada ketaatan kepada mereka. Maka kami pun memberi peringatan kepada orang yang keluar dari ketaatan terhadap mereka dari kalangan kaum muslimin”. (Hiwar Hadi Ma’ Ikhwani. Hlm. 30. Abi Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Asy-Syihhy, Cetakan Pertama. 1415H-1995M)

Perpecahan adalah dianggap sebagai sebahagian dari perbuatan bid’ah yang diharamkan oleh syara’. Sehingga orang yang menyebabkan perpecahan diperintahkan agar dibunuh sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Sesungguhnya suatu ketika nanti akan terjadi Hanat dan Hanat**. Barangsiapa yang ingin memecah-belahkan barisan umat ini (kaum Muslimin) sedangkan dalam keadaan kukuh (satu jamaah). Maka bunuhlah siapapun dia”. (Hadis Riwayat Muslim 3/1478/1480)

** (Yang dimaksudkan “Hanat dan Hanat” di dalam hadis ini ialah: “Fitnah dan bid’ah”. Lihat: Syarah Muslim oleh Nawawi 12/241)

Hanat mempunyai makna yang banyak, tetapi dimaksudkan di hadis ini ialah fitnah dan bid’ah. (Hadis Riwayat Muslim 3/1478/1480). Maksudnya ialah fitnah yang muncul silih berganti di muka bumi ini dan terjadinya kerosakan dan fitnah kerana merebut kuasa dan mengejar kedudukan. Menurut al-Qari, bahawa “Hanat” adalah kejahatan dan kerosakan yang muncul kemudian (setelah kewafatan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, pent.). Iaitu yang keluar dari sunnah dan jamaah. (Mirqatul Mafatih. 7/258-259) Dan amat jelas, sesiapa yang keluar dari sunnah dan jamaah mereka adalah benar-benar ahli bid’ah.

-------
SURUHAN UNTUK MENTAATI PEMIMPIN DI MANA ANDA BERADA DI BAWAH PENTADBIRANNYA-------

Dari Ziyad bin Kusaib al-Adawi dia berkata: Aku pernah berada di bawah mimbar Ibnu Amir bersama Abi Bakrah, ketika itu dia berkhutbah dengan mengenakan pakaian yang sangat tipis, dengan sepontan Abu Bilal berkata: Lihatlah penguasa kita memakai pakaian orang fasik. Maka Abu Bakrah berkata: Diamlah engkau! Saya telah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Barangsiapa menghina penguasa Allah di bumi, nescaya Allah akan menghinakannya” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

“Ibnu Abi Asim menyatakan, telah menceritakan kepada kami Hadiyyah bin Abdil Wahab, telah menceritakan kepada kami al-Fadl bin Musa, beliau menceritakan kepada kami dari Husain bin Waqid, dari Qais bin Wahab dari Anas bin Malik dia berkata: Para pembesar (penguasa) kami dari kalangan sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah melarang kami tentang beberapa hal: (1) Jangan kamu mencela (menghina) pemerintah (penguasa). (2) Jangan berbohong dengannya dan (3) Jangan menentangnya tapi bersabarlah, serta takutlah kamu kepada Allah, maka sesungguhnya perkara-Nya itu dekat. (As-Sunnah 2/488. (Sanadnya baik, semua perawinya siqah))

“Dari as-Sahmi berkata: Aku mendatangi Abu Ummah, lantas dia berkata: Janganlah kamu mencela/mengutuk/menghina al-Hajjaj, kerana dia adalah penguasamu dan bukan penguasaku. (Perkataan beliau: Dia bukan penguasaku, kerana Abu Ummah tinggal di Syam sedangkan al-Hajjaj Gabenor di wilayah Iraq”. (Riwayat Bukhari. (Rujuk: At-Tarikhul Kabir 7/18)

"Akan berlaku selepas peninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku, tidak mengikut sunnahku dengan panduan sunnahku. Akan muncul pula di kalangan kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan (manusia berhati syaitan). Aku (Huzaifah) bertanya: Apakah harus aku lakukan jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta-bendamu". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

"Dari Wail radiallahu 'anhu berkata: Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu jika kami mempunyai pemimpin yang menahan hak kami dan mereka meminta hak mereka dari kami? Baginda menjawab: (Sewajarnya kamu) sentiasa mendengar dan mentaati mereka kerana hanyalah atas mereka apa yang mereka kerjakan dan atas kamu apa yang kamu kerjakan". (Hadis Riwayat Muslim, 1846)

Dari Abdullah bin Masoud radiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:

“Sesungguhnya akan berlaku selepas peninggalanku sikap pemerintah yang merampas harta kamu dan berbagai-bagai perkara yang kamu ingkari. Para sahabat bertanya: Apakah yang engkau perintahkan pada kami wahai Rasulullah!? Baginda bersabda: Tunaikanlah kewajipan kamu dan berdoalah kepada Allah untuk mendapatkan hakmu”. (Hadis Riwayat Bukhari 13/5 & Muslim 3/1472)

Imam Nawawi berkata tentang hadis di atas ini:

“Dalam hadis ini terdapat suatu perintah supaya mendengar dan taat, walaupun Si penguasa zalim dan kejam. Hak untuk ditaati tetap wajib dijunjung, tidak boleh memberontak kepadanya. Bahkan semestinya tetap bertaqarrub dan berdoa kepada Allah untuk menghilangkan kejahatannya dan menolak keburukannya”. (Lihat: Syarah Muslim 12/232. an-Nawawi)

Ibnu Allan rahimahullah pula berkata:

“Pada hadis ini ada perintah supaya bersabar menghadapi takdir Allah dan redha atas ketetapan yang manis atau yang pahit, serta pasrah terhadap kehendak Allah Subhanahu wa-Ta’ala yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. (Lihat: Dalil Ghalihin)

"Ketahuilah! Sesiapa yang diperintah oleh seorang pemimpin kemudian dia mendapati pemimpinnya bermaksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci kemaksiatannya kepada Allah (yang dikerjakannya) tetapi tidak dihalalkan melepaskan tangan dari mentaatinya (tidak boleh membenci dan tidak boleh memberontak terhadapnya)". (Hadis Riwayat Muslim)

Di zaman para Imam muktabar seperti Imam Ahmad bin Hambal, Muhammad bin Ismail, Muhammad bin Idris (as-Syafie), Ahmad bin Nuh, Ishak bin Rahawih dan ramai lagi, mereka menghadapi suatu masa di mana para penguasanya banyak melakukan perbuatan zalim dan bid’ah yang sangat serious. Penguasa pada dimasa itu mengingkari sifat-sifat Allah. Para ulama dipaksa untuk menyokong kesesatan tersebut, tetapi para ulama tidak berganjak dengan perinsip-perinsip kebenaran. Para ulama diuji dengan berbagai-bagai siksaan. Ramai yang telah dibunuh, antara mereka ialah Ahmad bin Hashr. Walaupun keadaan ini sudah demikian sadisnya, namun tidak mendorong para ulama pada era itu untuk keluar dari ketaatan dan tidak melakukan pemberontakan, tidak mencerca dan tidak memburuk-burukkan penguasa (pemimpin mereka). (Lihat: Ad-Durar as-Sunniyah fil Ajwibah an-Najdiyah 7/177-178)

Daripada beberapa hadis yang diutarakan di atas, maka jelaslah bahawa pemimpin, penguasa atau pemerintah wajib ditaati kecuali setelah terbukti ia melakukan kufur yang nyata (kekafiran)
.

Allahu a’lam...

Comments

Popular posts from this blog