Kisah Benar – Kubur Hajjah Siah Bercahaya
Kisah ini adalah mengenai sebuah kubur yang dikatakan bercahaya di sebuah kampung Sungai Manik, Teluk Intan, Perak. Kubur yang dimaksudkan adalah kubur Hajjah Siah. Terdapat saksi yan menyaksikan tentang kejadian ini. Cerita ini juga telah menunjukkan salah satu bentuk kekuasaan Allah SWT. Sesungguhnya amalan tetap dihitung walaupun ia hanya sebesar zarah. Ikuti kisah di bawah ini.
Selepas berbuka puasa pada malam 1
Ramadan 2002, Tajuddin Ali, 31, berbual-bual dengan seorang rakannya
bernama Ahlid di halaman rumahnya sambil menghembus asap rokok
berkepul-kepul.Entah apa yang dibualkan mereka tapi mereka berdua rancak
bercerita sementara menunggu masuknya waktu solat fardu Isyak.
Sedikit demi sedikit malam mula berlabuh,
suasana jadi kelam. “Fuuuhh!” Tajuddin menghembus asap rokok melepas
ketagihan sejak siang tadi. Matanya memandang kearah tanah perkuburan yang terletak di depan rumahnya di Parit 1C, Sungai Manik, Teluk Intan, Perak yang mula diselubungi malam.
Keadaan tanah perkuburan itu kelam, tiada
apa yang kelihatan melainkan beberapa batang pokok kayu yang tinggi
menjulang dan rendang nampak berbalam. Namun, dalam kegelapan malam tu
tiba-tiba Tajuddin terlihat muncul satu cahaya aneh berwarna biru dari kawasan perkuburan.
Cahaya aneh berbentuk bulat seperti
disuluh lampu limpah itu menjadi semakin besar dan menaik sehingga
menjulang melebihi tiga meter. Cahaya itu tidak jauh dari mereka, lebih
kurang 100 meter sahaja dari halaman rumahnya. Kawannya, Ahlid turut
menyaksikan perkara yang sama, ternampak cahaya itu muncul dari batu nisan disalah sebuah kubur di situ.
Terkedu Tajuddin menyaksikan peristiwa
itu sehingga sebahagian kawasan tanah perkuburan menjadi terang
benderang seperti disuluh dengan lampu limpah. Hampir lima minit mereka
berdua menyaksikan cahaya aneh itu bermula dari warna biru, berubah
menjadi kekuningan, kemerahan kemudian beransur-ansur sirna.
Cahaya apakah itu?
Menggigil dan berpeluh Ahlid sehingga tidak dapat berkata apa-apa. Sebaik sahaja cahaya itu hilang mereka berdua berlari ke dalam rumah. “Kau nampak tak apa yang aku nampak tadi Lid?” soal Tajuddin.
“Ya, aku nampak Din,” beritahu Ahlid terketar-ketar.
“Ishhhk…! Pelik betullah cahaya apa tadi tu?” soal Tajuddin lagi.
“Entahlah Din, jangan-jangan hantu tak?” balas Ahlid.
“Ishhhk…! Merepeklah, bulan puasa mana ada hantu!” balas Tajuddin.
Akibat terlalu takut, malam itu Ahlid
tidak berani hendak balik tidur ke rumahnya sebaliknya bermalam di rumah
Tajuddin. Keesokan harinya hebohlah seluruh pekan Teluk Intan memperkatakan tentang kejadian kubur bercahaya di Sungai Manik.
Malam berikutnya, berduyun-duyunlah
penduduk kampung berkumpul berhampiran tanah perkuburan Islam Parit 1C
selepas berbuka puasa. Mereka tergiur ingin melihat cahaya apakah yang
telah disaksikan Tajuddin dan Ahlid, semalam.
Masing-masing bersidai didepan tanah
perkuburan Islam itu dengan harapan dapat melihat cahaya muncul dari
kubur tersebut. Masing-masing tertunggu-tumggu bilakah cahaya itu bakal
muncul!
Ada juga yang merasa ragu-ragu,
kalau-kalau Tajuddin sengaja mahu memperdayakan orang-orang kampung
dengan mereka-reka cerita berkenaan. Kira-kira pukul 8.00 malam, tiba-tiba muncullah cahaya aneh yang ditunggu-tunggu. Maka bertambah gemparlah seluruh penduduk Sungai Manik apabila menyaksikan peristiwa aneh itu.
Benarlah dakwaan Tajuddin dan Ahlid apabila sebahagian besar penduduk dapat menyaksikan sendiri cahaya yang terpancar, muncul dari celah-celah batu nisan seorang wanita tua bernama Hajah Siah Haji Tamin.
Malam tersebut, cahaya aneh muncul lebih
kurang dua hingga lima minit dan menerangi hampir sebahagian tanah
perkuburan Islam Parit 1C, Sungai Manik. Peristiwa pelik ini sangat
menakjubkan dan tersebar dengan begitu cepat bukan sahaja ke seluruh
pelosok negeri Perak tetapi seluruh Negara.
Sejak itulah juga kubur Hajah Siah
menjadi tumpuan ramai. Pengunjung tidak kira dari Melaka, Pulau Pinang
mahupun Johor turut datang semata-mata mahu menyaksikan cahaya yang
didakwa terbit dari batu nisan di bahagian kepala milik arwah Hajah
Siah.
Tapi… dalam keajaiban kejadian Allah ini
terdapat pula yang cuba berniat jahat. Geram betul Tajuddin apabila ada
pihak tertentu yang datang bertujuan cuba mendapatkan nombor ekor.
Orang luar yang tidak dikenali siap
membawa pen dan kertas. Malah ada desas-desus menyatakan ada pihak ingin
mencuri batu nisan tersebut! Tajuddin mengakui kejadian yang berlaku
hampir lapan tahun lalu amat menakjubkan sepanjang hidupnya.
Peliknya, cahaya tersebut biasanya muncul
antara pukul 8.00 malam hingga 10.00 malam dan jangka masa muncul
antara dua hingga lima minit sahaja. Pada mulanya ramai yang pelik mengapa cahaya ini muncul pada waktu berkenaan. Tetapi selepas mendengar cerita sebenar barulah ramai yang merasa takjub dengan allahyarham Hajah Siah.
Sebenarnya pada waktu berkenaanlah, arwah
Hajah Siah suka membaca al-Quran semasa hayatnya. Ceritanya lagi,
Allahyarham Hajah siah yang berasal dari Parit 4A, Sunga Manik merupakan
seorang yang warak dan alim ketika hidupnya. Arwah seorang yang
memiliki budi pekerti yang baik dan gemar ‘bersahabat’ dengan al-Quran.
Untuk mendapatkan kepastian, Tajuddin
membawa kami menemui dua anak arwah, Haji Muhammad Haji Othman, 69, dan
anak bongsunya, Jamaliah Haji Othman, 67.
Sambil dihidangkan secawan kopi, kami bertanya apakah ibadah yang selalu diamalkan oleh arwah ketika hayatnya sehingga kuburnya mengeluarkan cahaya untuk dijadikan iktibar kepada pembaca?
Jamaliah tersenyum sambil memberitahu
bahawa arwah ibunya meninggal dunia sebelum azan maghrib 8 Disember 2002
di Hospital Teluk Intan ketika berusia 80 tahun, beliau tidak
mengamalkan apa-apa ibadah yang istimewa. Jamaliah juga tidak mahu
terlalu memuji ibunya bimbang dianggap riak pula.
Pada Jamaliah, apa yang diamalkan arwah
ibunya biasa saja seperti amalan umat Islam lain iaitu melaksanakan
segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.
Misalnya, semasa hayatnya, arwah Hajah
Siah sentiasa menjaga solat lima waktu sehari semalam sebagaimana yang
diperintahkan Allah kepada setiap hamba-Nya. Arwah ibunya juga sering kali bersolat sebaik masuk waktu tanpa melengah-lengahkan dengan hal-hal keduniaan.
“Misalnya, sebelum masuk waktu solat
Maghrib lagi mak dah ambil air sembahyang, kemudian duduk menunggu di
atas sejadah sambil membaca al-Quran. “Bila azan Isyak selesai, mak
terus solat. Lepas solat sambung lagi mengaji al-Quran. Masa mak banyak
dihabiskan dengan membaca al-Quran!
“Tengah malam mak selalu bangun buat
solat Tahajud dan waktu pagi solat sunat Dhuha. Tiap-tiap hari itulah
amalan mak!” cerita Jamaliah. Kami juga dimaklumkan Jamaliah, dalam
setahun ibunya berkhatam al-Quran, lima hingga enam kali. Pada bulan
puasa sahaja arwah ibunya khatam al-Quran sebanyak dua kali.
“Mak selalu amalkan baca surah Yasin,
al-Waqiah dan surah al-Mulk. Tiga surah ini pasti mak baca pada
tiap-tiap hari. Kira amalan wajib bagi mak!” tambah Jamaliah.
Amalan lain yang turut menjadi darah daging arwah Hajah Siah ialah berzikir. “Mak berzikir tak kira waktu pagi, petang atau siang. Malam pula saya tengok mak berzikir. Tasbih memang tak lekang dibilang dan dibawanya ke mana-mana.”
“Tengah berkebun pun mak bawa tasbih
juga, kalau dia nak mencangkul dan menebas dia sangkutkan tasbih pada
lehernya!” beritahu Haji Muhammad pula.
Zikir yang selalu diamalkan arwah ialah
zikir harian yang selalu diamalkan Imam al-Ghazali. “Setiap kali
berzikir arwah mak buat seribu kali setiap hari!” beritahu Jamaliah.
Selain berzikir apa lagi amalan yang paling disukai arwah Hajah Siah?
“Ishhhk! Amalan ini memang berat, susah
orang nak buat. Tapi arwah mak suka sangat buat. Mak suka sangat
bersedekah kepada anak-anak yatim dan kepada masjid. “Mak sedekah bukan
sikit tapi banyak. Arwah mak pernah sedekah sampai RM1000 untuk bina
masjid. Kalau bab sedekah arwah mak memang tak sayang duit, hairan saya.
“Arwah mak ada pesan pada kami, kalau orang datang minta sedekah jangan dihampakan. Beri biarpun sikit!” ujar Haji Muhammad pula.
Semasa hayatnya, arwah Hajah Siah selalu
berpesan kepada Haji Muhammad dan Jamaliah supaya rajin-rajinlah membaca
al-Quran. Itulah saja penolong ketika berada di alam kubur.
“Kata mak, kalau kita rajin baca
al-Quran, nanti bila dah meninggal, dalam kubur akan bercahaya
terang-benderang seperti disuluh lampu. Sebab itulah saya tak terkejut
sangat bila orang heboh bercerita kubur mak saya bercahaya!” jelas
Jamaliah pula.
Begitulah cerita daripada anak-anak arwah Hajah Siah yang kami temui di rumah mereka di Parit 4A, Sungai Manik, Teluk Intan.
Melayukini.net -
Bagaimanalah dengan dengan amalan kita kan? Bolehkah kita menandingi
kehebatan Hajah Siah, sembahyang lima waktu tepat pada waktunya, selalu
baca al-Quran, setiap tahun khatam lima enam kali, berzikir seribu kali
sehari dan memperbanyakkan bersedekah jariah? Al-Fatihah buat arwah
Hajah Siah. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin. Sedikit berlinang air
mata apabila admin membaca kisah ini. Mohon share kisah ini supaya boleh
dijadikan sebagai renungan kita bersama. http://melayukini.net
Comments
Post a Comment