Bicara Agama – Hukum Mencabut Alat Sokongan Hayat



Kebiasaannya pesakit yang terpaksa berhadapan dengan alat sokongan hayat kadang kala mempunyai harapan hidup yang tipis. Persoalannya, apakah hukum jika kita mencabut alat sokongan hayat ini?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
By Shah

Melayukini.net – Bicara Agama – Hukum Mencabut Alat Sokongan Hayat |  Apabila seseorang itu mengalami koma yang berpanjangan, adakalanya doktor memaklumkan bahawa pesakit ini tidak boleh hidup lagi tanpa sebarang alat sokongan hidup. Dalam erti kata lain, nafasnya hanya bergantung kepada alat pernafasan oksigen di hospital. Persoalannya bolehkah kita menghentikan alat sokongan hidup untuk tidak mahu pesakit menderita berpanjangan dan membiarkan ia pergi menghadap ilahi. Ikuti ulasan di bawah ini.
Soalan 1: Hukum Mencabut Alat Sokongan Hidup

Baru-baru ini anak jiran saya menghadapi kemalangan. Agak lama beliau di wad ICU Hospital Swasta dalam keadaan koma dan dibantu oleh pelbagai alat sokongan kehidupan, lalu akhirnya meninggal dunia. Saya terfikir pada saat itu, apakah dibolehkan bagi ibubapanya untuk mematikan alat-alat sokongan itu? Apakah hukumnya di sisi Islam? Apakah ia dikira sebagai membunuh anak tersebut?

Jawapan:

Apabila diuji dengan sesuatu penyakit, baik kerana kemalangan atau apa-apa sebab yang lain, kita sebagai seorang muslim memiliki dua pilihan, berubat atau bersabar. Pilihan untuk berubat adalah berdasarkan sabda Rasulullah: Berubatlah wahai hamba Allah kerana sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit melainkan diturunkan baginya ubat, kecuali satu penyakit (iaitu) sakit tua. [Sahih al-Jami’ al-Sagheir – no: 2930]

Pilihan untuk bersabar adalah berdasarkan hadis berikut: ‘Atha’ bin Abu Rabah berkata, Abdullah Ibn ‘Abbas pernah berkata kepadaku: “Mahukah aku tunjukkan kepadamu seorang wanita dari penduduk syurga?” Aku menjawab: “Tentu.” Dia berkata: “Wanita berkulit hitam ini, dia pernah menemui Nabi sambil berkata: “Sesungguhnya aku menderita epilepsi dan auratku sering tersingkap (ketika diserang epilepsi), maka berdoalah kepada Allah untukku.”

 Baginda bersabda: “Jika kamu mahu, bersabarlah maka bagimu surga. Dan jika kamu mahu, maka aku akan berdoa kepada Allah agar Allah menyembuhkanmu.” Dia berkata: “Baiklah aku akan bersabar.” Wanita itu berkata lagi: “Namun berdoalah kepada Allah agar (auratku) tidak tersingkap.” Maka baginda mendoakan untuknya.” [Shahih al-Bukhari, no: 5220]

Di antara dua pilihan ini, berubat adalah lebih utama jika penyakit tersebut baru saja dialami, memiliki kemungkinan kesembuhan yang tinggi lagi mampu diusahakan oleh orang yang mengalaminya. Namun jika penyakit tersebut sudah lama dialami dan masih tidak sembuh, atau tidak diketahui ubatnya serta pengubatannya tidak lagi mampu diusahakan oleh orang yang mengalaminya, maka bersabar adalah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan. Kedua-dua pilihan ini memiliki sandaran dalam Islam.

Merujuk kepada kes di atas, ibubapa memiliki pilihan untuk mencabut alat-alat sokongan hidup anak mereka. Ini kerana:
  • Usaha telah dilakukan untuk mengubati anak, namun beliau tetap di dalam keadaan koma.
  • Lazimnya jumlah katil dalam wad ICU adalah terhad dan di luar sana mungkin terdapat pesakit yang memiliki kemungkinan kesembuhan yang lebih tinggi, yang memerlukan katil dalam wad ICU tersebut.
Membantu atau memberi jalan kepada seorang manusia (meskipun tidak dikenali, apa jua agamanya) memperolehi kesembuhan amatlah besar pahalanya, sehingga Allah umpamakan sebagai: Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. [al-Maidah 5:32]
  • Selama anak di dalam keadaan koma dan ditampung oleh alat-alat sokongan hidup, beliau mungkin dalam keadaan sakit atau derita yang tidak diketahui oleh orang-orang di sekelilingnya.
  • Kos rawatan di wad ICU amat tinggi dan akan memberatkan ibubapa. Kos yang sama boleh digunakan untuk membiayai pengasuhan dan pendidikan anak-anak yang lain.
Berdasarkan faktor-faktor di atas, tidak mengapa jika ibubapa membuat keputusan untuk mencabut alat-alat sokongan hidup anak mereka. Hukumnya harus (mubah) dengan syarat:

Pertama: Apa yang dilakukan hanyalah mencabut alat-alat sokongan hidup dan menyerahkan hidup atau mati anak kepada Allah, selari dengan firman-Nya: Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia tahan jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir. [al-Zumar 39:42]

Kedua: Tidak boleh membuat apa-apa tindakan bagi mempercepatkan kematian anak, seperti melalui suntikan atau apa-apa lain. Mempercepatkan kematian anak adalah sama seperti membunuhnya dan ini hukumnya haram. Firman Allah: Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar. [al-Isra’ 17:33]

Ketiga: Kos rawatan yang tinggi boleh menjadi sebab untuk mencabut alat-alat sokongan hidup anak, dengan niat menyerahkan hidup atau mati anak kepada Allah. Tidak boleh mencabut alat-alat sokongan hidup anak dengan niat untuk mematikannya demi mengelak diri daripada kemiskinan, kerana Allah telah berfirman: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut kemiskinan. Kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka.[al-An’aam 6:151]

Keempat: Setelah alat-alat sokongan hidup anak dicabut, hendaklah tetap di atas keputusan tersebut dan bersabar menerima ketentuan Allah. Janganlah meratap atau menyesali keputusan yang telah dibuat. Perhatikan semula hadis wanita yang mengalami sakit epilepsi di atas, syurga dijanjikan kepada beliau kerana beliau bersabar menerima ketentuan Allah.  
Melayukini.net - Jadi di sini jelaslah bahawa kita tidak boleh sewenang-wenangnya mencabut alat sokongan hayat kepada pesakit. Ia perlu dikaji dan membuat pertimbangan dahulu sebelum menyesal di kemudian hari. Bimbang ia tergolong dalam orang yang membunuh orang muslim yang lain. 

 http://melayukini.net

Comments

Popular posts from this blog