AJAL TIDAK MENUNGGU TAUBAT KITA















 

 “Sentiasa ingin kembali padaMu….”

“Astaghfirullahalazim… Astaghfirullahalazim… Astaghfirullahalazim…”

Kalam suci itu semakin lama semakin mendayu diungkapkan dalam sebuah lafaz... Mata dipejam erat. Bayangan-bayangan dosa silam menjelma di tubir mata, seakan-akan sebuah skrin yang menayangkan kembali satu persatu kesilapan diri yang terlalu banyak dilakukan...rasa tidak terhitung lagi…seraya air jernih terus menitis. Hangat. Semakin lama hati menjadi semakin sebak…pilu menusuk-nusuk ruangan sanubari…

“Allahurabbi…terlalu menggunung dosaku ini..apakah Engkau masih sudi memaafi? Meski berkali-kali ku ungkapkan kata lafaz untuk kembali, tetapi janji itu sentiasa dimungkiri.. Apakah masih ada kesempatan lagi untukku mengukir taubat ini…??



Dosa-dosa yang dilakukan terasa kian menghimpit dada, hati menyedari sejadah iman terlalu banyak telah terkoyak, lantas apakah ia masih dapat dibaiki?

Hati pula terus menyoal, apakah diri masih layak untuk memohon keampunan Tuhan sedangkan berkali-kali masih mengulangi dosa yang sama??

Seringkali itulah yang dipersoalkan kerana beranggapan sukar sekali meraih keampunan lantaran terlalu banyak kesilapan demi kesilapan yang dilakukan…

Mari kita duduk seketika, wahai saudara dan saudariku yang dirahmati Allah sekalian.

Ambillah masa cuma seminit dua, berusaha untuk menghabiskan bacaan sampai di akhir tulisan ini. Entry kali ini penulis ingin kita sama-sama bermuhasabah diri. Diriku dan dirimu jua.
Semoga seminit yang dibaca dengan penuh rasa keinsafan, moga akan ada hati yang tergerak untuk menyedari betapa Sang Khalik sentiasa menunggu kita. Ya. Menunggu kita semua…!
Nobody Perfect


Sememangnya tiada manusia yang sempurna. Nobody perfect.

Manusia diciptakan dengan asal perkataan ‘nasia’ iaitu lupa.

Benar, selalu lupa.

Lupa kita cuma hamba-Nya.

Lupa kita hanya tinggal di dunia ini hanya sementara.

Lupa kita akan kembali kepada Dia.

Lupa kita akan dihisab dan dikira, apakah titik terakhir nanti ke syurga atau neraka??

Lihatlah. Betapa lupanya kita seorang hamba, yang cuma berasal daripada sari pati air mani yang hina. Lupa kerana terlalu asyik dan seronoknya dengan dunia. Seringkali juga lupa bahawa Raqib dan Atid yang sentiasa setia menulis amalan kita. Alam ghaib yang tidak ternampak di mata sememangnya membuatkan kita mudah lupa...

Meskipun diri tidak sempurna, seringkali melakukan kesalahan dan dosa, sentiasa mengulangi kesilapan yang sama, maka kita perlu akui dengan kekurangan kita sebagai manusia yang tiada seorang pun yang benar-benar sempurna, bersih dari segala dosa dan noda. 

Hakikatnya, kita sentiasa berdosa. Dosa juga kadang-kadang tidak nampak jelas di mata, tetapi sebenarnya ia dapat dirasai oleh hati-hati yang hidup, yang masih diberikan petunjuk dan hidayah oleh-Nya.

Bersyukurlah jika kita masih berada dalam golongan yang diberikan petunjuk itu. Sekurang-kurangnya hati kita masih hidup, tidak mati dari mengingati Sang Pencipta yang menciptakan diri sebagai hamba.

Pendek kata, kita masih ingin kembali...

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (QS. Al Baqarah: 222)





Jangan Berputus Asa Dari Rahmat Allah


Tidak dinafikan, dosa-dosa silam pasti akan menggamit naluri hati, menyesakkan rasa di qalbi sehingga kita merasa seakan berputus asa…

Tetapi, jangan biarkan ia sirna kerana kita masih punya masa. Selagi ajal tidak datang menjemput, selagi diri masih dapat bernafas, maka selagi itu jugalah pintu langit pengampunan Ilahi tetap sentiasa terbuka untuk kita.
‘La taiasu min rauhillah.’
Jangan berputus asa dari rahmat Allah. Ibaratkan diri seperti sang labah-labah. 

Meskipun sentiasa rosak dan hancur sarangnya, tetapi tidak sesekali sang labah-labah merasa berputus asa. Membaiki, membaiki dan terus membaiki sehingga sarangnya menjadi pulih seperti biasa.

Begitu juga dengan diri kita. Apabila kita telah menyedari diri telah melakukan kesalahan dan dosa, segeralah kita beristighfar dan memohon ampunan dari Ilahi. Kembalilah semula kepada Tuhan yang Maha Pengampun.

Janganlah sesekali merasa bosan mahupun berputus asa memohon ampun kerana sesungguhnya DIA tidak pernah sesekali bosan mendengar rayuan permohonan maaf dari hamba-hambaNya.
Firman Allah swt:

“ Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (dengan memperbuat dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah swt. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Kembalilah (bertaubatlah) kamu kepada Tuhanmu, dan patuhlah kamu kepadaNya sebelum tiba siksaan kepadamu, kemudian kamu tidak mendapat pertolongan” (Az-Zumar: 53,54).
Taubat Orang Berdosa Lebih Baik

Bagi orang yang berdosa, belum tentu selamanya dia terus kekal dalam keadaan berdosa dan tidak ada hak untuk kita menghakimi dirinya sepantasnya ke neraka, kerana orang yang berdosa tetapi bertaubat itu jauh lebih baik dari orang yang jarang dan tidak pernah bertaubat, lantaran merasakan diri telah sempurna imannya.

Sehinggakan dalam dirinya timbul perasaan ujub, riak dan bangga dengan diri sendiri, merasakan sudah alim dan sangat baik di hadapan manusia maka itu jauh lebih dahsyat kerana sesungguhnya tiada seorang insan pun di dunia ini yang sempurna melainkan DIA Tuhan yang memiliki zat yang Maha Sempurna.

Kadang-kadang Allah memang sengaja mengatur takdir membuatkan kita melakukan kesalahan dan dosa itu, terjerumus juga dengan dosa dan maksiat meskipun kita telah berusaha menghindarinya.

Kerana apa? kerana DIA ingin menguji tahap keimanan kita, apabila kita telah melakukan dosa tersebut, apakah kita kembali semula kepada Allah dan meminta keampunan dariNya?

Dan sesungguhnya jauh lebih baik orang yang diuji dengan maksiat dan terjerumus dengan dosa,maka akhirnya dia sedar kembali bertaubat dan membersihkan dirinya serta berusaha dan berazam menjadi lebih baik dari sebelumnya sehinggakan dia menjadi semakin taqarrub dan lebih dekat dengan Sang Pencipta.

Tetapi jangan salah faham pula akan maksud yang ingin disampaikan oleh penulis di sini. Tidak pula beerti kita harus melakukan maksiat dahulu baru ingin kembali kepadaNya tetapi ika kita telah bermujahadah dalam ketaatan kepadaNya namun kita jadi terlalai dan terjebak juga dengan maksiat, maka berusahalah untuk membersihkan diri dan kembali semula kepadaNya.

Firman-Nya yang beerti:

“Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu, jika kamu orang yang baik, maka sungguh Dia Maha Pengampun kepada orang yang bertaubat” (Al-isra’:25)





Martabat Semakin Diangkat Bagi Taubat Yang Ikhlas


Alunkanlah irama zikir sayyidul istighfar di bibirmu…Perlahan-lahan, bangun dan berwuduklah. Menyungkur sujud dua rakaat yang dilakukan dengan penuh keinsafan jauh lebih baik dari beribadat seribu tahun.

Firman Allah SWT yang Maha Agung bermaksud:

“Dan mohon ampunlah (beristighfar) kamu kepada Tuhanmu kemudian bertaubatlah kamu kepadaNya, nescaya Dia akan memberi kamu kesenangan yang baik sehingga sampai ajalmu” (Hud: 3).
Jika hati terasa sebak, maka menangislah, kerana air mata yang jatuh menitis itu akan menghancurkan rasa ego di hati, memusnahkan runtunan rasa nafsu yang sentiasa bergelodak di jiwa.

Jangan malu untuk menangis di hadapan-Nya kerana ia bukan mnjadikan kita semakin terhina, malah akan semakin diangkat darjat dan martabat kita di sisi-Nya.

Orang yang tidak bisa menangis, yang tidak mampu untuk mengalirkan air mata walau setitis apabila mengingati dosa-dosanya maka ketahuilah hatinya masih lagi terikat dengan dunia, masih lagi keras dan tinggi egonya di hadapan Allah.

Oleh itu, didiklah hati, sucikan jiwa dengan taubat kepadaNya…

Allah SWT berfirman kepada Rasul-Nya yang bermaksud:

"Sesungguhnya jikalau mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulpun memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. (QS. An-Nisa: 64)

Allah Sentiasa Menunggu Taubat Kita

Sedarilah. Allah Sentiasa Menunggu Taubat Kita. Dia tidak pernah jemu dengan taubat sang hamba. Dia tidak pernah bosan mendengar rayuan ampunan kita. Rintihlah selagi kita dapat merintih. Rayulah selagi kita dapat merayu.

Dambaan sarat dengan penuh pengharapan kita mengharapkan semoga jalan yang dahulu gelap kembali terang. Hati yang gundah dan gelisah digamit dosa lalu pasti akan kembali tenang dan tenteram andai kita mendapat pengampunan dari Tuhan.
Allah swt telah berfirman dalam sebuah hadis qudsi :

“ Wahai anak Adam! Sekiranya engkau berdoa dan memohon keampunan dariKu, maka akan Aku ampunkan segala dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sekiranya dosa-dosa yang telah engkau lakukan menggunung setinggi langit kemudian kau memohon keampunan dariku, maka akan Aku ampunkan dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sekiranya kau datang kepadaku dengan dosa sebanyak seisi dunia dan kau tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu, maka akan Aku datangkan padamu maghfirahku (keampunanku) sebanyak seisi dunia”.

Seperti sabda Rasulullah saw :

"Jika kalian melakukan kesalahan-kesalahan (dosa) hingga kesalahan kalian itu sampai ke langit, kemudian kalian bertaubat, niscaya Allah SWT akan memberikan taubat kepada kalian."
(Hadist diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Abi Hurairah)

Subhanallah. Lihatlah, betapa PEMAAFNYA DIA. Maha Suci Allah yang maha pengampun lagi maha penyayang…



Penutup: Rebutlah peluang bertaubat


Selagi nafas masih bisa berhembus, selagi masih punya kesempatan dan waktu maka jangan sesekali disia-siakan kerana apabila ajal datang menjemput, maka sudah sia-sia semua taubat itu.

Lihatlah betapa banyak kalamNya menyebut untuk menerima taubat dari kita, pintunya sentiasa terbuka, tetapi jika kita tidak menghargai,maka kitalah orang yang paling rugi.

Ubahlah diri sebaik mungkin. Jangan sesekali merasa putus asa untuk mengubah diri.

Dekatkan diri sebaik mungkin kepada Sang Khalik, itu terapi dan penawar yang paling terbaik dan mujarab.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

"Dan Dialah Yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan." (QS. Asy-Syuuraa: 25)

Berdoa dan terus berdoa semoga Allah memperbaiki diri kita, hidup kita ke arah lebih baik, lebih berkat dan lebih diredhai-Nya. Insya Allah… semoga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang suka menyucikan diri dan bertaubat kepadaNya…

Sekian. Wallahu’alam.

“Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha memperbaiki diri menjadi insan yang baik, meskipun masih digamit ghairah dosa dan kejahatan nafsu. Pintalah keampunan dariNya kerana Allah tidak pernah jemu dengan taubat sang hamba selagi kita tidak berputus asa meminta. Ukirlah rasa taubat itu setulus dari hatimu. Semoga dari ketulusan itu, Allah mencurahkan keampunan dan kemaafan, serta menyinari hidupmu seterang bintang di tengah malam,menetapkan hati di atas keimanan dan ketakwaan serta memberikan ketenangan dan kedamaian di sepanjang jalan kehidupan…  ”


Comments

Popular posts from this blog