Memahami HIKMAH dari UJIAN dalam KEHIDUPAN
Kehidupan manusia ini memang tidak
pernah terlepas dari ujian. Tidak kira sama ada orang itu Islam atau
bukan Islam, ada pegangan agama atau tidak, kecil atau besar, tua atau
muda. Bagi orang bukan Islam, mereka menghadapinya dengan berbagai
kaedah yang difikirkan logik mengikut akal mereka. Jika akal mereka
sudah tidak mampu berfikir, maka mereka mengambil jalan singkat dengan
makan ubat tidur, makan racun atau membunuh diri sendiri. Bagi orang
Islam pula, mereka ada jalan penyelesaian yang telah Allah tunjukkan
tetapi mereka perlu kepada ilmunya.
Setiap ujian yang Allah timpakan ada
maksud tersirat dari Tuhan yang ramai manusia tidak tahu akan hikmah di
sebalik ujian tersebut. Ujian; sama ada ujian sakit, ujian miskin, ujian
isteri atau suami meragam, ujian anak-anak, kena fitnah, kena hina dan
sebagainya semuanya dalam kuasa Tuhan. Hakikatnya Tuhanlah yang
mendatangkan ujian itu.
Ujian yang datang ada tiga peringkat atau untuk tiga golongan manusia.
Peringkat pertama:
Untuk peningkatan darjat.
Allah berikan ujian adalah kerana hendak naikkan darjat seseorang di
sisi-Nya di Akhirat kelak. Ketinggian darjat di sisi Tuhan ini adalah
untuk orang-orang yang taat dengan Tuhan ketika di dunia lagi. Di dunia
dia banyak berbuat amal soleh, amal kebajikan tapi masih lagi Allah beri
ujian yang berat kepadanya. Ini tidak lain tidak bukan ialah untuk
meninggikan darjatnya di Akhirat kerana ketabahannya dan kesabarannya
menghadapi ujian. Ujian seperti ini adalah untuk para rasul, para nabi,
para wali dan paling rendah ialah orang soleh. Ujian paling berat kita
lihat dalam sejarah seperti yang ditanggung oleh para nabi dan rasul
yang mana ia sangat bersesuaian sekali dengan tingginya darjat mereka.
Peringkat kedua:
Untuk penghapusan dosa dan didikan
langsung dari Tuhan.
Ujian yang diberi untuk orang-orang Islam yang berdosa. Semua orang ada
membuat dosa tidak kira dosa besar atau kecil. Ini adalah kerana manusia
biasa bukannya maksum iaitu terpelihara dari dosa seperti para rasul.
Jika kita merasakan diri kita tidak berdosa, itu juga merupakan satu
dosa.
Jadi segala ujian ini Allah berikan tidak sia-sia dan ia ada dua tujuan:
1. Penghapusan dosa Allah Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya.
Sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya
melebihi dari kasih sayang yang diberikan oleh seorang ibu kepada
anaknya. Walaupun hamba-hamba-Nya telah berbuat dosa tapi masih diberi
peluang untuk membersihkan dosa sebelum pulang ke pangkuan-Nya dengan
jalan diberikan ujian-ujian. Kesabaran dan redha dalam menerima ujian
itu akan dinilai oleh Allah sebagai penghapusan dosa.
2. Untuk ‘post-moterm’ diri
Manusia lazimnya akan mudah sedar dari kesilapannya apabila ia diuji.
Terutama apabila ujian itu benar-benar
memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupannya. Manusia yang telah
Allah sedarkan ini akan mudah insaf dan akan sentiasa membaiki diri
daripada kesalahan lalu dari masa ke semasa. Maha Suci Tuhan yang amat
kasih akan hamba-Nya, walaupun telah banyak berbuat dosa tapi Allah
masih beri jalan untuk menghapuskan dosa-dosa tersebut dengan cara
diuji. Tetapi kita mesti faham benar akan maksud Tuhan itu. Supaya
dengan itu kita dapat tabah dan redha dengan ujian Tuhan. Jika terasa
berat ujian yang ditanggung, kita faham ujian itu memang sesuai dengan
kita kerana telah banyak buat kesalahan dengan Tuhan atau sesama
manusia. Oleh itu jika kita sedar maka kita akan berkata,
“Terima kasih Tuhan kerana sesungguhnya Engkau masih sayang lagi
kepadaku. Semoga dengan ujian ini Engkau ampunkanlah segala dosa-dosaku
yang lalu.”
Manusia apabila ditimpa musibah sebagai ujian hidupnya, dia akan mudah
insaf akan kesalahan yang telah dilakukan. Jika tidak dia akan mudah
lupa daratan, merasa diri hebat, tidak mahu terima pandangan orang lain.
Ujian ini bagi orang yang faham ialah didikan terus dari Allah SWT.
Tetapi jika seseorang itu tidak tahan dengan ujian yang didatangkan, ia
akan hilang pertimbangan dan tidak boleh menilai tujuan baik Tuhan dalam
memberi ujian itu. Orang yang tidak redha ini biasanya disebabkan tidak
faham akan ilmunya. Jika ilmu mengenai ujian itu sendiri tidak ada,
bagaimana pula hendak mengamalkannya?
Peringkat ketiga:
Bala atau hukuman dari Tuhan
Diperingkat ini ujian terbahagi pula kepada dua:
1. Untuk orang-orang kafir
Ujian diturunkan untuk semua peringkat manusia bukan untuk orang Islam
sahaja bahkan termasuk juga orang-orang bukan Islam. Mereka juga
menghadapi musibah kesusahan, kesedihan, mala petaka seperti gempa bumi,
kebakaran, kematian dan sebagainya. Tetapi oleh kerana mereka itu
orang-orang yang tidak beriman maka segala ujian yang ditimpakan ke atas
mereka itu tidak boleh meningkatkan diri mereka itu menjadi baik. Malah
mereka menjadi semakin jahat, semakin jauh dari Tuhan. Jika mereka
boleh bersabar sekalipun dengan ujian tersebut, tiada pahala dan apa-apa
kebaikan Akhirat untuk mereka.
2. Untuk orang Islam
Iaitu orang-orang Islam yang sudah terlalu jahat atau terlalu zalim dan
sudah tidak boleh diinsafkan lagi. Tujuan didatangkan ujian di dunia
ialah kerana Tuhan hendak hukum dia di dunia lagi sebelum di Akhirat.
Jika ujian yang Allah berikan di dunia itu dapat menyedarkannya, maka
selamatlah dia di Akhirat kelak. Itu pun jika dia faham akan hikmah yang
tersirat dalam ujian itu. Kesimpulannya jika kita diuji oleh Allah,
lebih baik kita anggap diri kita dalam golongan peringkat kedua kerana
golongan dalam peringkat yang pertama hanya untuk orang yang luar biasa
iaitu para nabi dan rasul.. Kita anggap diri kita golongan yang banyak
berdosa kepada Tuhan dan layaklah kita dihukum. Manakala
3. Untuk orang yang jahat.
Kalau selepas diuji dia bertaubat, betulkan sembahyang, berpuasa,
bermaaf-maafan, bertolong bantu, insya-Allah di samping Allah
mengampunkan dosa kita, Tuhan juga akan selesaikan masalah kita.
1
2
kehidupan yg sempit
http://amira-alias.blogspot.com/2012/08/memahami-hikmah-dari-ujian-dalam.html
Comments
Post a Comment