Pandangan 2 Sen Untuk Menjaga Harga Diri
“Kalau kertas jawapan pelajar terbaik di hadapan kamu sudah terhulur begitu, mengapa tidak meniru?” saya bertanya.
Peserta tersenyum-senyum.
Hadirin ketawa. Mereka bukan murid sekolah. Mereka adalah ibu-ibu dan bapa-bapa murid di sebuah badan korporat.
“Jika semasa berpuasa, anda tidak tergamak untuk menelan air shower yang
termasuk ke mulut semasa mandi, mudah-mudahan anda juga tidak akan
berani meniru di dalam dewan peperiksaan, juga tidak akan menipu di
dalam perniagaan” saya menokok cerita.
Saya
adalah manusia yang tidak percaya dengan etika perniagaan yang
dipisahkan daripada etika peribadi. Pejabat lain, rumah lain. Walhal
kita adalah manusia yang sama, berurusan dengan manusia, membabitkan
akal, hati dan nafsu manusia, serta masih berpijak di bumi Tuhan yang
sama. Justeru prinsip-prinsip yang dipegang dalam kehidupan peribadi
mestilah prinsip yang sama juga dipraktikkan di tempat kerja.
“Seandainya kita meniru di dalam peperiksaan, sama seperti menelan air shower semasa berpuasa, iaitu empat perkara akan berlaku” saya menyambung kisah.
BEGIN WITH THE END IN MIND
Ayuh ibu bapa.
Ayuh anak-anak.
Lihatlah implikasi meniru di dalam peperiksaan. Apa implikasinya?
Pertama sekali, anda menipu Allah. Akibatnya adalah DOSA. Anda tahu apa akibat dosa, bukan?
Kedua,
anda menipu Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam. Hadith sudah
menjelaskan: من غشّ فليس منّا, bahawa “sesiapa yang tidak berlaku jujur,
maka dia bukan dari kalangan kami”.
Seterusnya,
anda menipu isteri apabila keluar dari bilik air, tanpa segan silu anda
bertanya, “Yang, petang ini berbuka puasa makan apa?” Walhal anda sudah
pun berbuka puasa dengan air pancut di bilik air tadi.
Atau pun anda menipu guru, kawan-kawan, ibu bapa dan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Anda memang penipu besar.
Namun, implikasi duniawi paling malang adalah pada akibat keempatnya, iaitu, ANDA HILANG HARGA DIRI.
Bagaimana?
HILANG HARGA DIRI
Anda
berjaya meniru. Anda ketagih meniru. Anda meniru berulang-ulang kali.
Anda berjaya. Anda menyambung pelajaran ke Universiti Oxford di England.
Anda menamatkan pengajian dan beroleh pekerjaan yang hebat. Anda
berkahwin. Anda mendapat cahaya mata. Anak anda membesar. Kini di
sekolah anak anda berusia 7 tahun, belajar di Tahun 1.
Di
dalam peperiksaan, anak anda mendapat markah 9/100. Dengan DNA Oxford
yang diwarisinya, anak anda menambah nombor 1 selepas angka sembilan
untuk menipu anda, bahawa beliau mendapat markah 91/100!
Apa rasanya anda sebagai graduan Oxford ditipu oleh seorang budak berusia 7 tahun?
Kalau mahu ditipu pun, biarlah ditipu graduan Harvard atau Cambridge. Janganlah ditipu budak berusia 7 tahun.
Sangat mengaibkan. Sangat memalukan!
“Kamu
kalau tak faham, beritahu ayah, ok. Ayah boleh hantar kamu tusyen. Ayah
boleh ajar kamu” kata si ayah mengajar anaknya subjek INTEGRITI.
Anak mengangguk.
“Tetapi, jangan meniru!!!!” kata si ayah, mahu menjaga maruah dirinya sebagai graduan Oxford.
Err… sepantas kilat, memorinya kembali ke kenangan silam di bangku sekolah.
Bukankah beliau juara meniru di sekolah dahulu?
Tiba-tiba mahu memberitahu anak, jangan meniru?
Malu sendiri.
DUA WAJAH
Orang
yang tidak jujur, tidak punya integriti. Tanpa integriti, tiada harga
diri. Mereka yang berkrisis dengan harga diri, terpaksa hidup dengan dua
wajah.
Satu wajah mengadap manusia.
Satu wajah mengadap diri sendiri. Wajah sebenar. Wajah yang banyak menghancurkan diri kita dari dalam.
Anda
tidak kisah berwajah dua? Kami tidak dapat membantu anda. Menerima diri
berwajah dua adalah serendah-rendah keadaan diri. Tidak mungkin dapat
dibantu:
“Sesungguhnya
orang-orang MUNAFIQ itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah
sekali dari (lapisan-lapisan dalam) Neraka. Dan engkau tidak sekali-kali
akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka” [al-Nisaa' 4: 145]
Hidup, biar miskin harta, jangan miskin harga diri.
Pandangan dua sen saya, nasihat buat diri dan anda semua.
My two cents opinion!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Comments
Post a Comment