Menghayati keagungan peristiwa Israk Mikraj didik jiwa Muslim ke arah kesempurnaan

Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa
yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW dan dianggap sebagai satu
penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua
peristiwa itu adalah kurnia Allah SWT kepada baginda untuk
memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan-Nya.
Israk bererti perjalanan Nabi SAW dari Masjidilharam di Mekah ke
Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin. Peristiwa ini tertulis di
dalam Al-Quran, Firman Allah yang bermaksud:-
“Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada
suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di
Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan
kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.
Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah
al-Israa: ayat 1).



Sementara itu, Mikraj pula merujuk kepada perjalanan baginda SAW dari
Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, seperti mana yang
digambarkan oleh Al-Quran yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk
rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidratul Muntaha. Di
dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannatul Ma’wa). (Muhammad
melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidratul Muntaha
itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad)
tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula)
melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda
(kekuasaan) TuhanNya yang paling besar.” (Surah an-Najm: ayat 13-18).
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad SAW pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah SWT dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
Salah satu inti penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah perintah solat yang diterima Nabi SAW di Sidratul Muntaha. Pada mulanya Allah SWT memberi perintah supaya mengerjakan solat 50 waktu sehari semalam. Tatkala bertemu dengan Nabi Musa AS di langit keenam, Nabi Muhammad SAW menceritakan perintah yang diterimanya daripada Allah. Lalu Nabi Musa menyarankan agar baginda kembali menghadap Allah SWT untuk memohon keringanan, dengan alasan bahawa umatnya tidak akan sanggup melaksanakan solat 50 waktu itu. Disebabkan baginda terlalu sayangkan umatnya, Nabi SAW menerima saranan itu. Ia pun kembali menghadap untuk memohon keringanan. Permohonan itu berulang sehingga 9 kali hinggalah Allah SWT mengabulkannya dengan mengurangi waktu solat menjadi hanya 5 kali sehari semalam.
Manusia harus sentiasa mengadakan hubungan baik dengan Allah, di kala
ditimpa kesusahan mahupun di kala mendapat kesenangan. Selain itu,
manusia sebagai hamba Allah harus menjauhi perkara mungkar dan maksiat.
Selain daripada itu, semasa Israk Mikraj, baginda ditunjukkan berbagai
bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai
akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka
lakukan.
Sebagai kesimpulannya, Israk Mikraj merupakan mukjizat yang tidak
diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Justeru, Pelbagai pengajaran
berharga yang terkandung di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati
supaya ianya dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan,
baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah
mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi
cabaran globalisasi masa kini. Seandainya peristiwa dalam Israk dan
Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu
mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan.
Peristiwa Israk dan Mikraj ini juga merupakan ujian dan mukjizat yang
membuktikan kekuasaan Allah SWT. Allah telah menunjukkan bukti-bukti
kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda. Yang menjadi agenda utama
sempena peristiwa ini adalah perintah wajib menunaikan solat lima waktu
sehari semalam, khususnya untuk peribadi baginda mahupun untuk umatnya
dengan waktu yang telah ditetapkan. Justeru, ini dapat dilihat bahawa
betapa pentingnya ibadah solat di dalam kehidupan seseorang Muslim.
Jadikan pengajaran dan iktibar dari peristiwa Isra’ dan Mikraj
sebagai langkah untuk membersihkan serta membentuk sahsiah diri kita
dengan kembali ke jalan Allah dan meninggalkan perbuatan keji dan
sia-sia. Kita sebagai hamba Allah , tugas kita bukan sahaja memperingati
peristiwa Israk Mikraj ini malah kita haruslah mempraktikkan
berdasarkan pengajaran daripada peristiwa Israk Mikraj ini untuk
mendapatkan keredhaan daripada Allah SWT.
By: Nur ‘Afifah Mohammadhttp://www.islamituindah.my/menghayati-keagungan-peristiwa-israk-mikraj-didik-jiwa-muslim-ke-arah-kesempurnaan
Comments
Post a Comment