PROSES PENGAMBILAN PTD
Bagi memasuki perkhidmatan PTD, seseorang calon itu perlu terlebih
dahulu mendaftar dengan pihak Suruhanraya Perkhidmatan Awam sama ada
melalui Borang SPA 8 ataupun secara online di laman
http://www.spa.gov.my. Secara umumnya, semua calon akan melalui tiga
tapisan sebelum mereka dilantik sebagai pegawai PTD.
Peperiksaan
Hanya mereka yang mempunyai kelayakan
minimum sekurang-kurangnya ijazah Sarjana Muda dengan kepujian yang
diiktiraf sama ada daripada universiti tempatan mahupun luar negara,
akan dipanggil untuk mengambil peperiksaan khas bagi memasuki
perkhidmatan PTD ini. Soalan-soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan
tersebut meliputi pelbagai bidang pengetahuan, berbentuk objektif dan
subjektif serta terbahagi kepada lima bahagian seperti berikut:
Seksyen A – Pengetahuan am mengenai Malaysia dan alam sekeliling.
Seksyen B – Daya menyelesaikan masalah.
Seksyen C – Pengertian dan kefahaman terhadap esei-esei.
Seksyen D – Menulis esei Bahasa Melayu.
Seksyen E – Menulis esei Bahasa Inggeris.
PTD Assessment Centre (PAC)
Hanya mereka yang berjaya dalam peperiksaan memasuki PTD sahaja akan
dipanggil untuk ke tapisan yang seterusnya iaitu PTD Assessment Centre
(PAC). PAC merupakan mekanisme bagi membantu pihak JPA membuat penilaian
terhadap kesesuaian dan kelayakan calon-calon PTD sebelum diperakukan
kepada SPA untuk tujuan temu duga dan lantikan ke perkhidmatan awam.
Pelaksanaan PAC ini bermula sejak tahun 1999 dengan melibatkan kesemua
INTAN kampus wilayah termasuk INTAN Sabah dan INTAN Sarawak.
Program penilaian ini akan dilaksanakan selama tiga hari. Aspek-aspek kompetensi yang akan diuji adalah seperti berikut:
KOMPETENSI
|
PEMERHATIAN
|
PENGERTIAN
|
| Kualiti Personal |
Tatakelakuan | Mempunyai perilaku dan nilai murni selaras dengan nilai keIslaman dan budaya ketimuran |
| Penampilan | Mempunyai imej dan penampilan diri yang membolehkan kehadirannya dirasai dan disenangi dalam sebarang suasana | |
| Keyakinan Diri | Yakin terhadap kebolehan diri dan berani menghadapi tugasan serta mempunyai daya tahan(tolerence level) yang tinggi terhadap cabaran dan masalah yang dihadapi (mental dan fizikal) | |
| Penggerak Kumpulan | Keupayaan untuk mengurus dan bekerjasama sebagai satu pasukan | |
| Potensi Kepimpinan | Mempunyai potensi sebagai seorang pemimpin yang baik | |
| Pengetahuan | Kematangan idea | Berupaya mencetuskan idea yang matang, substantif, relevan dan diterima |
| Kemahiran |
Kemahiran berkomunikasi | Berkebolehan berkomunikasi di kalangan rakan dengan yakin dan berkesan |
| Pengucapan awam/Public speaking | Kebolehan untuk menyampaikan idea, maklumat dan maksud dengan yakin dan berkesan | |
| Debat ala parlimen | Kebolehan menyampaikan idea, maklumat dengan yakin dan berhemah |
Calon-calon akan turut menjalani ujian kecergasan iaitu larian 2.4 km
dengan kiraan masa. Selain itu, mereka juga perlu mengikuti latihan
jasmani yang lain.
Temu duga
Tapisan terakhir yang perlu ditempuhi oleh calon-calon sebelum mereka
layak diterima sebagai PTD adalah temu duga yang dijalankan oleh pihak
SPA. Penilaian calon semasa PAC akan diuruskan oleh Urus setia PAC
dengan menyedia dan menyelenggara satu pangkalan data markah. Nama-nama
calon akan disusun mengikut keutamaan atau ranking dan kemudiannya akan
dibentang serta diserahkan kepada SPA. Hanya mereka yang mendapat
penilaian yang tinggi sahaja dan benar-benar berkeupayaan akan dipanggil
untuk mengikuti temu duga bagi memasuki ke perkhidmatan PTD.
Latar Belakang
Perkhidmatan Awam Malaysia mempunyai peranan yang signifikan dalam
memastikan negara dan masyarakat dapat mengecapi keharmonian dan
kemakmuran. Sehubungan itu juga, keberkesanan perkhidmatan awam
merupakan penyumbang utama kepada kepesatan pembangunan negara bagi
membolehkan Malaysia berdiri teguh sebagai sebuah negara bangsa yang
berdaulat dan dihormati di persada dunia.
Dalam konteks sektor awam di negara ini, Perkhidmatan Tadbir dan
Diplomatik (PTD) merupakan perkhidmatan premier yang membantu kerajaan
dalam merencana dan melaksanakan dasar-dasar negara. Sebagai teras
perkhidmatan awam negara, pegawai-pegawai PTD telah mengisi kebanyakan
jawatan-jawatan utama di peringkat kementerian dan jabatan, badan
berkanun persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan, syarikat milik
kerajaan dan badan-badan antarabangsa.
Dari perspektif sejarah, skim perkhidmatan PTD lahir sebagai
kesinambungan daripada jentera pentadbiran negara semenjak sebelum
kemerdekaan. Ia bermula seawal tahun 1896, apabila perkhidmatan yang
dinamakan Straits Settlements and Federated Malay States Civil Service
telah diwujudkan oleh British untuk mentadbir Negeri-Negeri Selat dan
Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Kemudian pada tahun 1920, Malayan Civil
Service telah ditubuhkan dengan dianggotai oleh pegawai-pegawai kolonial
untuk mentadbir Tanah Melayu. Malayan Civil Service (MCS) telah
mengalami pelbagai transformasi sepanjang penubuhannya. Pada tahun 1929,
Malay Administrative Service telah diwujudkan dengan mengambil
pegawai-pegawai Melayu sebagai pelapis kepada MCS.
Pada tahun 1966, MCS telah digantikan dengan Malaysian Home and
Foreign Service (Perkhidmatan Dalam dan Luar Negeri Malaysia). Namun
begitu, peranan penting perkhidmatan ini dalam sistem pentadbiran awam
Malaysia tetap kekal berterusan. Akhirnya pada tahun 1972, perkhidmatan
ini telah ditukar namanya kepada Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik
(PTD) dan seterusnya kekal sehinggalah sekarang.
Lantikan
Mereka yang berjaya dalam proses temu duga akan menerima surat
tawaran pelantikan sebagai pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik.
Untuk menjadikan para pegawai PTD muda yang baru dilantik ini memiliki
tahap pengetahuan, kemahiran dan budaya kerja yang cemerlang,
program-program khusus telah diatur bagi mencapai matlamat tersebut.
Secara umumnya terdapat empat tahap latihan yang perlu diikuti secara
mandatori oleh pegawai PTD lantikan baru.
Tahap 1 : Kursus PTD Unggul
Unggul bermaksud tersohor, terbilang atau something beyond the
ordinary. Sememangnya perkhidmatan PTD memerlukan penjawatnya
mempamerkan budaya kerja unggul supaya mereka dapat memimpin dengan
berkesan, memenuhi kehendak dan keperluan negara serta mampu menghadapi
pelbagai cabaran dan rintangan yang mendatang. Oleh itu peringkat ini
menyediakan tahap keperluan yang paling asas bagi perkhidmatan seorang
pegawai PTD.
Modul PTD Unggul ini dilaksanakan di kampus-kampus INTAN yang
terpilih bagi tempoh selama 10 hari yang bertujuan untuk mencapai
objektif-objektif berikut:
i) mempertingkatkan kesedaran para peserta dengan nilai-nilai murni demi kecemerlangan diri, organisasi dan negara;
ii) memupuk pengetahuan para peserta tentang aspirasi dan hasrat
stakeholders terhadap perkhidmatan awam yang unggul pada masa hadapan;
dan
iii) mendedahkan para peserta kepada sistem pembelajaran bersepadu
merangkumi aspek jasmani, mental dan rohani bagi melahirkan insan yang
seimbang.
Penyumbang input kepada modul ini terdiri daripada pegawai-pegawai
kanan perkhidmatan awam yang berpengalaman luas dalam bidang
masing-masing. Pada akhir modul ini, para pegawai PTD lantikan baru ini
akan mengetahui penempatan tugas masing-masing iaitu sama ada di agensi
pusat, kementerian, jabatan ataupun negeri.
Tahap 2 : Penempatan di Kementerian atau Jabatan
Pada peringkat ini, seseorang pegawai PTD muda akan di ditempatkan di
mana-mana bahagian atau cawangan di kementerian atau jabatan sama ada
di peringkat persekutuan mahupun negeri. Sebagai peneraju perkhidmatan
awam, penempatan di jabatan kerajaan ini bertujuan untuk mengukuhkan
kesedaran mereka mengenai tanggungjawab sebagai pemimpin, perencana dan
pelaksana dasar-dasar negara serta penasihat kepada kerajaan kelak.
Semasa penempatan ini, mereka turut dilatih secara on the job training
untuk membolehkan mereka memahami dan menguasai tugas sebagai penjawat
awam.
Tahap 3 : Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA)
Pada tahap ini pegawai PTD muda akan dipanggil untuk mengikuti Kursus
Diploma Pengurusan Awam (DPA) selama enam bulan di INTAN, Kampus Utama
Bukit Kiara. Kursus ini perlu diikuti dengan jayanya kerana ia adalah
syarat utama bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan PTD gred M 41.
INTAN sebagai institusi latihan utama dalam sektor awam bertanggungjawab
mengendalikan Kursus DPA ini yang berbentuk intensif dan sepenuh masa.
Matlamat kursus ini adalah untuk:
- Melahirkan pegawai PTD yang berketrampilan dan mampu menghasilkan prestasi dan produktiviti yang tinggi melalui amalan budaya kerja cemerlang;
- Membentuk pegawai PTD yang sentiasa peka kepada kehendak-kehendak pelanggan, memiliki nilai-nilai kemanusiaan, berhemah tinggi, berbudaya (cultured) dan berdisiplin serta mengamalkan kerjasama berpasukan yang berkesan;
- Melahirkan pegawai PTD yang patuh kepada agama, taat-setia kepada bangsa dan negara, bangga terhadap perkhidmatannya serta memahami dan mendokong dasar-dasar pembangunan negara; dan
- Melahirkan pegawai PTD yang berfikiran global dan berupaya menangani perubahan persekitaran yang dinamik.
Pendekatan Kursus DPA ini terbahagi kepada dua iaitu latihan akademik
dan latihan bukan akademik. Latihan akademik merujuk kepada aspek
pembelajaran secara ilmiah dalam bilik kuliah. Modul-modul akademik yang
dibentuk adalah berasaskan kepada lapan bidang teras PTD iaitu
pengurusan sumber kewangan, pengurusan sumber ekonomi, pengurusan sumber
manusia dan organisasi, hubungan antarabangsa dan hal-ehwal dalam
negeri, pengurusan teknologi maklumat dan komunikasi, pentadbiran dan
pembangunan tanah, daerah dan tempatan, perancangan dan pentadbiran
sosial serta keselamatan dan pertahanan negara. Peserta didedahkan
kepada pelbagai input berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan
organisasi, pengurusan ekonomi dan kewangan, perlembagaan dan
undang-undang, bahasa dan komunikasi dan sebagainya bagi melengkapkan
mereka menjadi pegawai yang kompeten.
Latihan bukan akademik bertujuan untuk membentuk peningkatan
disiplin, ketahanan fizikal, mental, rohani dan spiritual para peserta
melalui pembelajaran luar bilik kuliah, latihan ketenteraan, pengurusan
bencana, aktiviti lasak dan sistem mentor-mentee. Melalui pendekatan
ini, peserta Kursus DPA perlu menjalani latihan lasak, antaranya modul
ketahanan diri dan disiplin di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA),
Maktab Polis Di Raja Malaysia, Pusat Latihan Bomba dan Penyelamat serta
Outward Bound School. Latihan lasak ini adalah khusus untuk pembentukan
sahsiah diri (character building) dan peningkatan tahap disiplin yang
tinggi. Selain itu juga beberapa subjek lain seperti etika sosial,
protokol, pengucapan awam, lawatan sambil belajar, event management,
sukan dan sebagainya turut dimuatkan dalam latihan bukan akademik ini.
Tahap 4 : PTD Training Roadmap
Tahap keempat dilaksanakan selepas pegawai PTD muda menamatkan Kursus
DPA dan kembali berkhidmat ke kementerian atau jabatan masing-masing.
Berdasarkan kepada konsep pembelajaran berterusan, mereka ini akan
dipanggil untuk mengikuti siri kursus yang dikenali sebagai PTD Training
Roadmap, gred M 41. Pemilihan peserta untuk mengikuti kursus ini akan
ditentukan oleh Bahagian Perkhidmatan, JPA. Objektif kursus-kursus dalam
siri ini adalah untuk meningkatkan kompetensi dan kepakaran para
pegawai PTD muda dalam bidang-bidang khusus iaitu seperti berikut:
- Penulisan kertas cadangan dan laporan berkualiti
- Kemahiran komunikasi dan interpersonal
- Pengurusan kewangan dan akauntabiliti
- Pengurusan dasar sektor awam
- Pengurusan sumber manusia di sektor awam
- Perancangan dan pengurusan projek
- Kemahiran perancangan strategik
- Metodologi penyelidikan
- Pentadbiran tanah
Carta Proses Pemilihan dan Pelantikan PTD

http://www.intanbk.intan.my/i-portal/ms/component/content/article/28-ptd/57-carta-proses-pemilihan-dan-pelantikan-ptd-.html
http://keajaibanpenjimatan.com/blog/rujukan-peperiksaan-ptd-m41-edisi-terkini-2012/

Comments
Post a Comment