Kakitangan awam perlu fokus pada tugas, amanah
SUASANA politik dan ekonomi yang kurang stabil masa kini memerlukan
kerjasama pelbagai pihak sama ada pemimpin yang menerajui kerajaan atau
pembangkang.
Dalam keadaan ini, kakitangan awam juga perlu memainkan peranan
penting. Mereka perlu sedar tanggungjawab sebenar iaitu sebagai jentera
kerajaan.
Kecuaian dalam melaksanakan tugas boleh menyebabkan keadaan negara
menjadi semakin tidak stabil. Konsep dan prinsip hidup sebagai hamba dan
khalifah Allah di muka bumi ini perlu ditanam dalam sanubari kakitangan
kerajaan. Mereka perlu menjadi tekun dan gigih dalam melaksanakan dasar
kerajaan tanpa mengira parti mana yang memerintah.
Kedudukan kakitangan kerajaan amat berbeza dengan ahli-ahli politik.
Mereka tidak perlu bertarung untuk mengekalkan kedudukan seperti
ahli-ahli politik. Perkhidmatan mereka tidak terbatas kepada parti
politik.
Kakitangan awam memainkan peranan penting untuk menjayakan dasar
kerajaan walaupun para pemimpin bertukar ganti. Sikap dan mentaliti
setiap kakitangan awam juga menentukan kejayaan dan kegagalan sesebuah
negara.
Berbeza dengan ahli politik, kakitangan awam hanya perlu menumpukan
perhatian kepada tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.
Jika kakitangan awam kurang memahami tanggungjawab sebagai jentera
kerajaan maka mereka akan mengambil kesempatan untuk melakukan sesuatu
yang bertentangan dengan etika kerja. Mereka akan jadi malas, cuai dan
menyalahgunakan kedudukan.
Sikap sebegini bukan sahaja melambatkan proses pembangunan malah ia juga boleh menghancurkan kerajaan.
Etika kerja amat perlu kerana masih terdapat kakitangan yang tidak
serius melaksanakan tugas mereka. Rungutan masyarakat tentang kecuaian
dan kelembapan kakitangan awam dalam melaksanakan tugas amat
membimbangkan.
Kes-kes begini sering berlaku di kawasan luar bandar. Terdapat
wakil-wakil rakyat di luar bandar yang menjadikan kakitangan kerajaan
sebagai ejen untuk menguasai atau mengeksploitasi hak dan peruntukan
kerajaan untuk rakyat. Sikap dan mentaliti begini semakin ketara.
Perkara ini berlaku mungkin disebabkan pihak atasan atau pucuk
pimpinan tidak tahu tindakan wakil-wakil rakyat dan kakitangan kerajaan
sebegini.
Masih banyak keperluan asas rakyat tidak dipenuhi kerana sikap tidak
jujur segelintir wakil rakyat dan kakitangan kerajaan. Saban tahun
kerajaan mengeluarkan bajet yang banyak untuk pembangunan. Persoalannya,
ke manakah peruntukan tersebut disalurkan?
Wakil rakyat yang hanya memegang jawatan beberapa tahun, mampu
memiliki rumah bak istana sedangkan penduduk di kawasannya masih
terpinggir. Keadaan dan nasib mereka masih daif.
Orang miskin masih menderita, wajah wakil rakyat tidak pernah muncul.
Masyarakat tidak tahu bahawa kerajaan memperuntukkan berjuta-juta
ringgit untuk membantu mereka kerana bantuan itu tidak kunjung tiba.
Keadaan ini memerlukan pemantauan pucuk pimpinan.
Terdapat kes pelancaran dana untuk membantu orang miskin tetapi wang
yang berjaya dikutip masuk ke kantung pihak yang tidak sepatutnya.
Perkara seperti ini perlu diberi perhatian kerana ada ketikanya kroni
yang dipilih bertindak merosakkan nama baik pemimpin atasan sendiri.
Sikap dan mentaliti begini jika tidak ditangani secara pantas boleh
menyebabkan hak dan keistimewaan rakyat dirampas. Nama baik kerajaan
yang cuba sedaya upaya membantu rakyat akan terjejas.
Rakyat memilih wakil rakyat kerana mereka percaya nasib mereka akan
terbela. Kerajaan memilih kakitangan awam untuk melaksanakan tugas dan
dasar negara bagi melicinkan proses pembangunan dan kemiskinan.
Jadi, semua pihak perlu memastikan matlamat kerajaan untuk membantu
golongan miskin dan seluruh rakyat tercapai. Jika perantara - wakil
rakyat dan kakitangan awam - tidak melaksanakan tugas, pembangunan tidak
akan mengambil tempat.
Rakyat akan membenci kerajaan dan memilih pihak lain yang belum tentu
boleh membantu mereka. Maka untuk memastikan semua ini tidak menjadi
terlalu terlewat untuk diperbetulkan, pemantauan sebaik mungkin sangat
diperlukan.
Namun paling utama ialah semua pihak perlu ikhlas melaksanakan tugas
yang diamanahkan. Jangan cuba mengambil kesempatan dan melakukan
penyelewengan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Berkhidmatlah dengan penuh istiqamah semoga mendapat ganjaran daripada Allah SWT.
PENULIS ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, UIAM
1
2
3
4
5
6
7
8
Comments
Post a Comment