Fitnah haram, tukang fitnah berdosa besar

MARILAH
kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu
Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala
suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita
menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di
akhirat.
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu
Wata'ala kerana telah melimpahkan nikmat yang tidak terkira banyaknya
kepada kita. Di antara nikmat yang utama yang dikurniakan Allah
Subhanahu Wata'ala kepada hamba-Nya ialah lidah.
Lidah
mempunyai kebaikan dan manfaat yang amat banyak, bagi mereka yang
menjaga dan menggunakannya ke arah tujuan yang sebenar seperti berzikir
kepada Allah Subhanahu Wata'ala, membaca Al-Qur'an, berdakwah menyeru
manusia ke arah mentaati perintah-Nya dan meninggalkan segala
larangan-Nya dan memberi nasihat serta teguran yang berguna kepada
sesama manusia.
Sesungguhnya lidah itu merupakan nikmat
yang amat berharga kerana itu kita hendaklah menjaga dengan
sebaik-baiknya, jangan sampai disalahgunakan seperti membuat fitnah.
Namun
dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia bukan sahaja
menyebar fitnah menggunakan lisan, tetapi juga melalui kecanggihan
teknologi maklumat, sama ada melalui media cetak mahupun media
elektronik seperti akhbar, blog dan facebook serta lain-lain.
Tujuan kemudahan itu dicipta untuk memudahkan
kita melihat, mendengar dan menyebarkan apa jua berita dan maklumat
tentang keadaan yang berlaku di sekeliling kita, sama ada apa yang
berlaku di dalam negeri mahupun di luar negeri.
Oleh itu kita hendaklah menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut dengan baik dan bijaksana.
Namun
apa yang membimbangkan pada masa ini terdapat segelintir masyarakat
yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakannya untuk menyebarkan
berita-berita yang tidak benar, khabar-khabar angin apatah lagi yang
mengandungi unsur-unsur fitnah.
Kita perlu mengetahui bahawa fitnah itu adalah satu perkara yang buruk dan boleh menjejaskan maruah seseorang.
Fitnah
ialah tuduhan, khabar, kisah dan lain-lain yang diadakan atau
dibuat-buat untuk memburukkan atau membencanakan seseorang dan memfitnah
pula ialah membuat fitnah dan mengada-adakan sesuatu untuk
memburuk-burukkan atau membencanakan sesuatu pihak yang dilakukan sama
ada dengan perkataan atau tulisan atau isyarat dan gerak-geri dan
sebagainya, sama ada perkara itu sememangnya suatu keaiban atau
kekurangan mahupun bukan.
Orang yang membuat fitnah itu dikatakan juga sebagai orang yang membawa mulut atau mengadu domba.
Adapun
perbuatan fitnah itu hukumnya adalah haram dan termasuk dalam perkara
dosa-dosa besar. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Qalam
ayat 10 - 11 tafsirnya:
"Dan janganlah kamu menurut
kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina, yang suka mencaci,
lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan."
Diriwayatkan daripada Khuzaifah Radiallahuanhu, beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya:
"Tidak masuk syurga orang yang suka memfitnah (mengadu domba)." (Hadis riwayat Imam Muslim).
Daripada
dalil-dalil tersebut jelas menunjukkan bahawa fitnah itu adalah suatu
perkara yang sangat dilarang dan perlu dijauhi. Oleh yang demikian, kita
hendaklah memelihara diri dan keluarga kita dari perbuatan menabur
fitnah.
Maka apabila disampaikan kepada kita suatu berita
yang memburuk-burukkan orang lain, maka kita hendaklah memelihara diri
kita daripada mendengarnya dan menghebah-hebahkann ya kepada orang lain.
Memang
tidak dapat dinafikan dalam kehidupan kita berkeluarga, berjiran dan
bermasyarakat, sememangnya kita tidak dapat mengelakkan diri dari
mendengar berita-berita atau cerita-cerita yang diperbualkan ketika
bertemu, sama ada ketika berada di majlis-majlis keramaian seperti
majlis perkahwinan, majlis kenduri atau di kedai-kedai kopi dan
sebagainya.
Dalam hal sedemikian, jika kita mendengar
perbualan yang boleh mendatangkan dosa seperti cerita yang direka-reka,
memburuk-burukkan orang lain, memfitnah dan sebagainya.
Maka
kita hendaklah berusaha mengelakkan diri daripadanya, seperti tidak
membenarkan atau mempercayai apa yang disampaikan itu, kerana orang yang
membawa fitnah itu adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang
fasiq dan berita yang dibawa oleh mereka itu tidak boleh dipercayai.
Selain
itu, kita sepatutnya melarang orang yang membawa fitnah itu daripada
meneruskan perbuatannya dan menasihatinya serta menerangkan kepadanya
bahawa perbuatannya itu adalah salah di sisi agama.
Janganlah
pula cerita yang disampaikan oleh orang yang memfitnah itu membuatkan
kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari sama ada ianya benar
atau sebaliknya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah
Al-Hujuraat, ayat 12 tafsirnya:
"Wahai orang-orang
yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak
menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari
sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari
kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat
setengahnya yang lain."
Ketahuilah bahawa
tidak ada orang yang suka dirinya diperkatakan atau menjadi bahan cerita
orang, apatah lagi cerita itu tidak berasas, tidak benar dan hanyalah
fitnah semata-mata.
Maka jika mendengar sesuatu cerita,
berita atau khabar-khabar angin, yang mana cerita, berita atau
khabar-khabar angin itu boleh menyebabkan hati orang yang dijadikan
bahan cerita itu tidak tenteram, mencemar maruah dirinya dan sebagainya.
Maka
hendaklah orang yang mendengar cerita, berita atau khabar-khabar angin
itu tidak menceritakan atau memanjang-manjangka n lagi apa yang telah
diceritakan kepadanya. Sebagaimana kita tidak suka diri kita
diperkatakan orang, sepatutnya kita tidak juga memperkatakan tentang
orang lain.
Jika difikirkan apakah kebaikan yang boleh
diperolehi daripada perbuatan-perbuatan sedemikian? Ianya tidak lain
hanyalah menggembirakan orang yang berhati busuk.
Sedangkan
sebenarnya mereka itu telah terpedaya oleh syaitan sehingga pandangan
mereka menjadi kabur, lalu merasakan apa yang mereka lakukan seolah-olah
tidak salah, tetapi sebenarnya adalah buruk dan berdosa besar.
Perkara
ini bukan sahaja dilarang oleh agama Islam, bahkan undang-undang dalam
bernegara juga menegahnya dan boleh diambil tindakan, lebih-lebih lagi
jika fitnah itu boleh menggugat keselamatan dan keharmonian dalam
beragama, bermasyarakat dan bernegara.
Begitu juga dengan
perbuatan mereka-reka dan menyebar khabar angin, baik dilakukan secara
individu atau kumpulan yang bertujuan untuk memfitnah atau mengaibkan
maruah atau martabat mana-mana pihak.
Maka dalam hal ini,
perbuatan tersebut akan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan
sebagai langkah dalam memastikan keharmonian dan ketenteraman awam.
Sebagai
bahan renungan, pernah berlaku suatu peristiwa di zaman Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam, yang lebih dikenal dalam kitab-kitab Sirah
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai hadisul ifki bilamana
terjadinya fitnah ke atas isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
iaitu Sayidatina 'Aisyah Radiallahuanha.
Dalam peristiwa
tersebut, Sayidatina 'Aisyah Radiallahuanha telah difitnah oleh
orang-orang munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul dan
beberapa orang di kalangan Muslimin telah terpengaruh dengan cerita
fitnah yang disebarkan itu.
Mereka menabur fitnah
mengatakan bahawa Sayidatina 'Aisyah Radiallahuanha telah berlaku curang
atau membuat hubungan sulit dengan seorang sahabat yang terkenal jujur
dan amanah iaitu Safwan bin Muaatal.
Akhirnya Allah
Subhanahu Wata'ala menurunkan ayat 11 - 20, Surah An Nuur sebagai
penjelasan bersihnya Sayidatina 'Aisyah Radiallahuanha di atas fitnah
yang dilemparkan ke atasnya.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam ayat 19, Surah An Nuur tafsirnya:
"Sesungguhnya
orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan yang buruk dalam
kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang
tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah
mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian."
Membuat
fitnah itu dipandang berat dan dilarang oleh agama Islam, sebab ia
boleh menimbulkan permusuhan dan permusuhan pula boleh menimbulkan
kepada perpecahan dan huru-hara. Fitnah adalah tuduhan yang tidak benar
dan tidak berasas dan perbuatan itu mendatangkan azab di akhirat kelak.
Ingatlah!
Bahawa semua anggota tubuh badan termasuk lidah akan menjadi saksi di
depan penghakiman Allah Subhanahu Wata'ala pada Hari Kiamat.
Akhirnya
peliharalah diri kita dari perbuatan fitnah dan menaburnya. Didiklah
diri kita, keluarga kita dan masyarakat dengan saling menasihati dan
tegur-menegur terhadap perbuatan yang membawa kepada dosa dan maksiat,
apatah lagi membawa kepada dosa-dosa besar seperti membuat dan menabur
fitnah.
Semoga dengan amalan sedemikian, kita dapat
menikmati kehidupan yang aman tenteram dan sentiasa mendapat petunjuk,
hidayah dan berkat dari Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin Ya
Rabbal'alamin.
Firman Allah Subahanhu Wata'ala dalam Surah Al- Baqarah ayat 191, tafsirnya:
"Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan."
Hadith yang di riwayatkan oleh Ibnu Abbas, katanya: ketika Rasulullah s.a.w melalui dua buah kubur baginda bersabda:
“Ingatlah,
sesungguhnya dua mayat ini sedang diseksa, tapi bukan kerana melakukan
dosa besar. Seorang diseksa kerana dahulunya dia suka membuat fitnah dan
seorang lagi kerana tidak membersihkan dirinya daripada air kencing.”
~LB~https://www.facebook.com
Comments
Post a Comment